Salamun a'laik. Xia wu hao. (Mandarin: selamat petang). Rantaian syukur dipanjatkan kepada Allah s.w.t kerana masih memberi kesempatan untuk mencoret sedikit petang-petang sayyidul ayyam ini. Petang Jumaatlah ada terasa kekosongan untuk melayari internet mencari makanan rohani yang sering lalai dan kurang kebergantungan kepada Rabbul Jalil. Jika hari-hari lain, sejak si ayam berkokok bertasbih di kala subuh, hinggalah camar tampak melayah pulang senja, hidup dipenuhi kepertanggungjawaban sebagai seorang pelajar tahun akhir. Seketika terasa langkah ini berat untuk menghadapi tuntutan para pensyarah. Ada sahaja yang perlu dibuat. Seolah-olah apabila masuk tahun akhir, kami sudah menjadi 'custodian of drugs'. Ditelur nama penyakit dan ubat sudah tahu apa dan bagaimana? Bak sekilas melihat ikan di air, sudah tahu jantan atau betina. ya Allah, permudahkanlah urusan duniaku. Kuharapkan dengan kesibukan ini, Engkau pelihara aku daripada tipu daya syaitan.
Sesungguhnya syaitan itu mengalahkan hamba dalam 3 hal: "Ketika marah, ketika syahwatnya naik dan ketika lalai."
Apabila ke hospital melihat pesakit, secara tidak langsung peristiwa-peristiwa yang diamati menjadi muhasabah. Semalam, seorang pemuda meninggal dunia di wad meskipun, para pengamal perubatan berusaha membuat jantung si pesakit mengepam. Muda lagi pesakit ini, dalam lingkungan 30-an. Ibu yang menemani, tenang menyampaikan cerita sayu kepada sanak saudara. Mata-mata kami tunduk mengiringi keranda yang membawa jasadnya pergi dari wad. ya Allah, aku 20-an, mampukah aku memasuki syurga-Mu jika ajal aku jua seperti hamba Allah ini? Cukupkah bekal aku? Moga-moga Allah sentiasa melorongkan hati-hati kita untuk melakukan kebajikan demi mengharapkan redho dan rahmat-Nya. Apalah guna dunia ini jika kita tidak bercucuk tanam untuk negeri akhirat.
p/s: semalam tahu tentang RBBB (Right Bundle Branch Block). maksudnya, ventricle kanan jantung tidak menerima impulse secara langsung untuk menyebabkannya mengepam. =)


0 comments:
Post a Comment