Sudah pasti yang tertera di benak fikir saudara-saudari sekalian apabila membaca tajuk entri ini ialah program Bersamamu. Namun, bukan itu yang saya mahu ketengahkan. Jadi, apa?
Kisahnya begini. Saidina Ali r.a membeli sebiji buah delima selepas dipinta oleh isteri kesayangan beliau Saidatina Fatimah r.a. Dalam perjalanan pulang, beliau berjumpa dengan seorang miskin yang meminta makanan kepada beliau. Maka, Saidina Ali r.a memberikan buah delima yang sebiji itu kepada si miskin tadi dan menuju ke rumah.
Di rumah, Saidatina Fatimah r.a. bertanyakan suaminya Saidina Ali r.a: sudah dibelikah buah delima? Saidina Ali r.a menjelaskan peristiwa yang berlaku kepada Saidatina Fatimah r.a yang buah delima tadi disedekahkan kepada seorang miskin ketika perjalanan pulang.
Berita ini sampai kepada Rasulullah s.a.w. Maka baginda membeli 10 buah delima. Baginda meminta Abu Hurairah r.a untuk menghantar 10 biji buah delima ini kepada puteri baginda Saidatina Fatimah r.a. Abu Hurairah mengambil beberapa biji buah delima ini kerana memikirkan 10 biji buah delima ini terlalu banyak untuk dihabiskan Saidina Ali r.a sekeluarga.
Apabila menyerahkan buah delima kepada Saidina Ali r.a, Saidina Ali r.a mengira buah delima tadi dan berasa pelik mengapa tidak cukup 10 biji. Maka Saidina Ali bertanya, Mengapa tidak cukup sepuluh biji? Maka, Abu Hurairah r.a memberikan buah delima yang diambilnya tadi.
Sebenarnya, Saidina Ali yakin dengan janji Allah bahawa tiap-tiap 1 kebajikan itu akan dibalas dengan 10 kebajikan. 1 buah delimanya dibalas dengan 10 buah delima. Dan, Abu Hurairah r.a, sahabat Rasulullah yang tarafnya amat tinggi jika nak dibandingkan dengan kita itu, mempunyai maksud tersendiri bertindak sedemikian. Lihatlah, betapa Allah tidak mensia-siakan amal soleh dan kebajikan hamba-hambaNya.
Benarlah firman Allah s.w.t. dalam al-Baqarah,245.
“Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan memperlipatgandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya lah kamu dikembalikan.
p/s: Rakyat Malaysia juga begitu murah hati termasuklah anak-anak kecil kita. Buktinya, program Kuasa 10 sen: Gaza Di Bela menunjukkan ½ juta kanak-kanak kita, berjaya mengutip RM140,000 untuk Gaza. Semoga amalan bersedekah ini menjadi tradisi rakyat Malaysia yang diwariskan zaman-berzaman. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
Maaf agak serabut entri ni, buang yang keruh, ambil yang jernih


0 comments:
Post a Comment