30.6.10

Cerpen: Apa yang Kau Damba?


Assalamualaikum w.b.t

Para pengunjung sekalian, saya akan menghilang selama 10 hari. Ke mana? Saya akan berprogram di Korea dan di Hong Kong, insyaAllah. Justeru, blog ini akan sunyi seketika. Kerana itu, saya sediakan satu cerpen buat tatapan pembaca setia semua.

Cerpen ini saya tulis selepas saudara Hilal Asyraf bersungguh-sungguh berkongsi dengan saya tips-tips untuk menjadi penulis Islami. Semoga, ole-ole ini bakal mempertautkan ukhuwwah kita. Biar saya menyepi, insyaAllah saya akan kembali. Terimalah. Apa yang Kau Damba.

Cerpen: Apa yang Kau Damba?

Tenang. Damai. Suasana itu memang sinonim dengan Surau al-Ansar. Kelihatan Suhail dalam posisi sujud. Sujudnya lama, seolah-olah merasai hakikat hamba. Kerdil dan lemah di hadapan Allah s.w.t.

Daripada jauh gerak geri Suhail diperhatikan Syafiq. Jiwanya diselimuti ketenangan dengan berbuat demikian. Dia berfikir, manusia yang bermasalah memerlukan tempat mengadu. Kepada siapa lagi yang layak selain Allah s.w.t.? Sudah pasti tiada. Tatkala manusia lain memandang busuk dan hina, Allah sentiasa ada. Ya, Allah Maha Pengasih.

Allah tidak akan lupakan hamba-hamba-Nya. Sekali-kali tidak.

Syafiq menunduk ke bawah. Kejadian tempoh hari masih berlabuh di dermaga ingatan. Kejadian yang bisa menyebabkan abu kecewa berbara marah. Mengapa Afiq sanggup membalas susu dengan tuba? Susahkah untuk menghargai orang lain? Payahkah menutur 2 perkataan magis itu? Terima kasih. Berat sangatkah?

Imbauan memori duka itu mencabar takat sabarnya. Cuping telinganya kini mulai berona merah. Syafiq marah. Dia panas. Luar dan dalam dirinya bagaikan neraka. Dia nekad. Selepas ini, dia tidak akan memperdulikan Afiq. Dia merasakan orang yang tidak pandai menghargai orang lain jangan diberi muka. Lihat sekarang, apa sudah jadi? Sudah berani Afiq memijak kepala. Enak sahaja menutur noda dan nista.

Syafiq masih ingat kata-kata yang disampaikan Haziq tempoh hari.

***

"Syafiq, kenapa kau baik dengan manusia macam si Afiq itu?" soal Haziq.

Syafiq bungkam sejenak seakan memikirkan sesuatu. Selepas seketika, dia bersuara "Diakan sahabat sebilik aku. Wajarlah aku menolong dia. Eh, kenapa kau tanya soalan luar alam macam itu?"

Haziq menjawab "Kau tahu, Afiq tu kutuk kau di belakang. Dia kata, kau sengaja mahu mencari perhatiannya. Nanti mudahlah kau menjadi orang kuat dalam Persatuan Usahawan Muda."

Mata Syafiq membundar. Perasaan terkejut dan ingin tahu berbaur. Sikap inkuirinya mengatasi intuisi. Dia terlupa Haziq ini memang terkenal sebagai talam dua muka.

"Ai, takkan diam sahaja. Takkan kau tak marah kot. Dia cerca kau. Dia kata kau terhegeh-hegeh mencari populariti dan kuasa." Cucuk si Haziq lagi.

"Dahlah, aku tak mahu dengar lagi. Cukup-cukup." Syafiq bernada tegas untuk memberikan amaran kepada Haziq.

Haziq tidak terkesan dengan amaran tersebut. Misi memecah keutuhan persahabatan antara Syafiq dan Afiq harus dijadikan realiti. Biar penat menjadi penat. Biar jemu menjadi jemu.

Haziq tersenyum sumbing dan menyusun kata, "Aku prihatin dengan kau. Kau punyalah baik dengan Afiq. Semua kau tolong dia. Pendek kata, berkorban apa sahaja macam dalam lagu tu. Tapi, macammana dia layan kau? Siap boleh kutuk-kutuk kau lagi. Kalau aku, dah lama Afiq tu kena!"

"Cukup! Bahagian mana dalam perkataan cukup yang kau tak faham?" Syafiq menutur keras sambil menekan jari telunjuknya ke dada Haziq.

Lidah Haziq kelu seribu bahasa. Jari Syafiq yang menekan dadanya seakan muncung pistol yang tidak sabar untuk memuntahkan peluru. Haziq memandang muka merah padam Syafiq. Kini, mata bertentangan mata. Haziq segera mengalihkan pandangan. Tidak berani dia merenung bola Syafiq lagi.

Segera dia meminta diri dan menapak menjauhi Syafiq menuju ke kelas. Dalam sembunyi-sembunyi, dia tersenyum jahat kerana misinya sudah tercapai.

***

Tiba-tiba bahu Syafiq terasa sejuk. Ada jemari yang memegang pundaknya. Jemari tersebut seolah-olah mengalirkan air untuk memadam api marah yang menguasai dirinya. Buat seketika, perasaan damai bertamu di kalbu.

"Macam ada masalah sahaja? Jika tidak keberatan, anta boleh berkongsi dengan ana. InsyaAllah, ana mampu bantu, ana bantu." Sapa Suhail lalu bersila di tepi Syafiq. Rapat sehingga lutut mereka bersentuhan.

"Suhail, kenapa orang tidak pandai menghargai orang lain? Kenapa manusia tidak pandai berterima kasih?" luah Syafiq. Hatinya yang sakit memerlukan penawar.

"Syafiq, ana rasa kata-kata Dr. Aidh Al-Qarni dalam La Tahzan ini baik untuk dijadikan renungan. Beliau berpesan, jika kamu mahu semua manusia berterima kasih atas apa yang kamu korbankan, maka kamu akan menjadi gila." Jelas Suhail.

Syafiq terdiam. Benar apa yang dituturkan oleh Suhail. Sekarang dia sedang merasai penyakit gila tersebut. Gila memikirkan sikap kurang ajar orang lain yang telah menyebabkan jiwanya menjadi kacau.

"Ana fikir, anta akan membuang masa jika hendak memikirkan tindak-tanduk orang ke atas anta. Anta dah buang masa dengan perkara remeh ini. Bukankah Allah s.w.t. berfirman, janganlah kamu bersedih dan merasa terhina sekiranya kamu beriman. Jika anta fikir apa yang yang anta buat itu, ikhlas untuk mendapat redha Allah, anta tak akan fikir pandangan orang lain. Anta fikir pandangan Allah sahaja."

Syafiq tersenta. Dia merenung niatnya. Apa yang dia damba dari kebaikan yang dia telah hamburkan kepada Afiq? Untuk pujian manusiakah? Untuk merasakan dirinya lebih baik daripada orang lainkah? Atau benar apa yang dikatakan oleh Haziq? Untuk populariti dan pangkat?

Dia beristighfar. Dia sedar, jika matlamatnya hanya mendamba redha Allah, pasti dia tidak akan terkesan untuk memberi dan terus memberi. Dia juga sedar, dengan memberi, dia akan merasa lebih bahagia. Ya, lebih bahagia daripada orang yang menerima. Dan itu semua, harus kembali disandarkan kepada Allah s.w.t.

Moga-moga dengan bersyukur, Allah akan meningkatkan kapasiti nikmatnya. Supaya, pada masa akan datang, dia dapat membantu orang lain pula.

"Suhail, terima kasih. Baru ana sedar, ana tak boleh menterbalikkan aturan hablumminAllah (hubungan dengan Allah) dengan hablumminannas (hubungan dengan manusia). Ana kena jaga jaga hablumminAllah, insyaAllah Allah akan memudahkan hablumminannas ana.

"Benar, Syafiq. Apa-apa pun yang kita lakukan, kita utamakan redha-Nya. Biar kita miskin, biar kita hina pada pandangan manusia, namun pada pandangan Allah, kita hamba-Nya yang diredhai dan dirahmati." balas Suhail.

"Eh, dah pukul 2 petang ni. Anta dah makan tengahari belum? Jom kita makan sekali di Gerai Makcik Gemuk. Ana laparlah." Saran Syafiq sambil memegang perutnya yang sudah berkeroncong irama asli.

"Lawaklah anta panggil makcik tu. Jom. Ana pun lapar juga ni. " Jawab Suhail.

"Ana panggil macam tu pun sebab makcik tu tahu panggilan Gerai Makcik Gemuk memang popular di kalangan pelajar." Jelas Syafiq.

Kedua-dua sahabat tersebut mula mengorak langkah menuju ke gerai tersebut. Di dalam hati Syafiq, dia yakin. Selepas ini, apa yang dia dambakan bukan pujian atau terima kasih daripada manusia. Namun, dia dambakan redha Allah.
Continue Reading

26.6.10

Cerpen: Pikullah Amanah itu

Akademi Al-Quran
Televisyen sedang menayangkan rancangan Akademi al-Quran musim ke-4. Penontonnya, Azwadi sedang duduk di sofa yang empuk, seakan dipukau oleh kemerduan alunan bacaan al-Quran. Setiap minggu, dia tidak akan ketinggalan rancangan yang menjadi pujaan kalbunya ini. Antara faktor X rancangan tersebut, ialah penyertaan kawan baiknya.

Hassan Adli. Ya, nama itu. Betapa indahnya ukhuwwah antara mereka sewaktu pengajian di universiti. Suka gembira dirai. Duka lara dikongsi. Andai Hassan tercubit, dia juga terasa peritnya.

Di kaca TV, kelihatan Hassan sedang melangkah tertib ke pentas untuk memulakan bacaan. Kemudian, dia duduk bersila di belakang rehal dan bersedia menerima soalan ujian pada minggu ini.

"Sila baca surah al-Baqarah bermula dari ayat 30 dengan menggunakan riwayat Susi," tutur jelas pengadil bahagian qiraat.

Riak wajah Hassan seakan mengingat pelajaran qiraatnya di dalam akademi.

"Dengan menggunakan 2 tarannum, iaitu Husaini dan Rast." sambung Ustaz Radzi Kamarul Hailan, juri tarannum.

Tiba-tiba, dunia Azwadi menjadi gelap. Matanya tidak dapat melihat sinar cahaya. Hendak kata 'blackout', ruang tamu itu masih dilatari alunan bacaan dari Hassan.

"Teka siapa?" satu suara dari belakangnya berbunyi.

"Sofia, abang tengah 'feel' tengok Hassan ni."

Serta-merta dunia kelam menjadi cerah. Sofia sudah mengangkat tapak tangannya dari mata Azwadi, abangnya.

"Abang, Sofia dilantik menjadi Head Girl kat kolej. Macammana ni? Sofia rasa macam satu gunung dekat atas bahu. Tak layaklah, bang. Sofia bukannya bagus sangat." Sofia menutur sambil merenung dirinya. Dia maklum, dia bukanlah bagus sangat. Bukannya, tiap hari dia tepat pun waktu pergi perhimpunan. Ada juga dia kena denda sebab datang lewat sekolah. Tapi, dia tak buatlah perkara-perkara yang budak perempuan lain buat. Tergedik-gedik bersaing berebut prince charming, free hair ke apa. Dia tahu semua tu tak selari dengan agama.

Mata Azwadi masih di kaca TV. Pertanyaan Sofia hanya bahasa sepi yang menjadi jawapannya.

"Abang, dengar tak ni?" kata Sofia tidak berpuas hati.

"Dengar. Baguslah Sofia yang terpilih. Tahniah. Cuba Sofia fikir, kalau jawatan tu dapat dekat orang yang otak dia 'weng', tak ke 'rule' kolej kita tu jadi lebih teruk daripada sekarang. Dahlah yang 'girl' dia free hair kebanyakannya. Yang 'boys' dia pula waktu beriadah tak pandai pula nak tutup aurat ke apa. Cuba Sofia fikir, kalau yang pegang amanah tu orang yang 'hu-ha, hu-ha' tak ke buat dia anjurkan pertandingan ratu kebaya ke apa."

Sofia senyum. Apalah abang dia ni. Ada ke zaman moden sekarang orang buat pertandingan ratu kebaya. Memang mode Hang Tuahlah.

"Bila Sofia pegang Head Girl, sekurang-kurangnya Sofia boleh ubah sedikit-sedikit 'rule' kolej tu. Boleh adakan solat berjemaah, ceramah seminggu sekali, wajibkan tutup aurat semasa bermain, bataskan pergaulan antara berlainan jantina dan sebagainya."

"Betul juga. Terima kasih atas nasihat abang." kata Sofia. Dia terfikir, amanah ni besar, tapi bernilai ibadah. Ada hikmahnya Allah pilih dia. Memang dia bukanlah terbaik. Tapi, alhamdulillah solat 5 waktu cukup, baca Quran paling kurang satu muka surat sehari dan tak buat dosa-dosa besar ni. Moga-moga dengan amanah ni, dia dapat 'push' dirinya menjadi orang yang lebih baik.

"Sama-sama. Selamat menjalankan tugas. Usaha, Doa, Tawakal" Azwadi menutur seperti pegawai polis sambil menabik adiknya.

p/s: cerpen ini saya tulis semasa bengkel penulisan novel Islami Galeri Ilmu. Minta berkongsi komen anda tentang cerpen ini. Ambillah yang jernih. Terima kasih
Continue Reading

23.6.10

Fahami Makna Doa

Doa
"Luqman, bacalah doa, supaya Allah selamatkan perjalanan kita nak ke rumah opah ni."

"Luqman tak tahulah, abah. Dekat Khalifah Institute tak belajar lagi."

"Luqman, baca sahaja doa dalam bahasa Melayu. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."

Lantas kedua anak-beranak itu menadah tangan.

"Ya Allah, abah dan Luqman dan balik kampung jumpa atuk dan opah. Luqman rindu dengan atuk dan opah. Selamatkan perjalanan Luqman dan abah pergi dan balik. Berkatilah perjalanan kami ya Allah."

Abdul Birri terharu. Biar ringkas doa anaknya yang comel gebu itu, keikhlasannya terserlah. Titisan air mata mengalir perlahan dari kedua-dua bola mata.

"Kenapa abah nangis?"

"Semoga Allah memberkati kamu, nak. Abah terharu dengan doa kamu tadi. Cuma, nak jangan lupa, puji-pujian dan selawat diawal dan diakhir doa."

Abdul Birri menarik nafas. Kemudian menyambung tuturan hikmah.

"Dalam al-Quran, banyak doa-doa. Contohnya, doa Nabi Musa a.s. apabila pulang berbicara dengan Allah. Pada waktu baginda sampai kepada kaumnya, Bani Israil sedang menyembah patung anak lembu. Doa berikut ada dalam surah al-A'raaf:151
Ya Tuhanku, ampunilah aku dan saudaraku dan masukkanlah kami ke dalam rahmat Engkau, dan Engkau adalah Maha Penyayang antara para penyayang.
Dan ini pula doa Nabi Musa a.s. selepas membunuh seorang Qibti dipasar. Qibti ini bergaduh dengan seorang bangsa Israel. Nabi Musa a.s. berdoa memohon ampun
"Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diriku sendiri kerana itu, ampunilah daku" (Al-Qashash:16)
Ini pula, untaian doa-doa Nabi Musa a.s. supaya dilapangkan dada baginda untuk bertemu dengan Firaun yang maha kejam.
"...ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan." (Thahaa: 114)

"Ya Tuhanku, aku berlindung kepada Engkau daripada bisikan-bisikan syaitan. Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku, daripada kedatangan mereka kepadaku." (Al-Mukminun: 97-98)

"Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku. Dan mudahkanlah untukku urusanku. Dan lepaskanlah kekakuan daripada lidahku. Supaya mereka mengerti perkataaanku. (Thaahaa: 25-28)
"Oh, macam tu. Terima kasih, abah."

"Sama-sama, nak" Abdul Birri membalas terima kasih bersama pelukan.

Kesimpulan

Setiap kali solat, kita berdoa. Setiap kali melakukan sesuatu perkara hatta masuk ke tandas, kita berdoa. Sudah lama kita hidup di dunia ini. Mungkin sudah berbelas-belas tahun atau puluhan tahun.

Marilah sama-sama, memahami makna doa. Supaya, apabila berdoa, keikhlasan berdoa itu hadir dalam hati kita. Kalbu mana yang tidak tersentuh apabila memahami makna-makna doa? Semua doa menunjukkan betapa kita ini hamba. Lemah. Kerdil. Sungguh, kepada Allah sahajalah tempat kita mengadu dan meminta pertolongan.

Mungkin, anda mahu seperti Luqman. Boleh juga. Yang penting, fahami makna doa, supaya keikhlasan lahir daripada hati. Tulus meminta, insyaAllah dikabulkan Allah

p/s: Sengaja saya menggunakan nama teman-teman saya, tanda ingatan kepada mereka. Kami terpisah dengan sempadan geografi, namun, insyaAllah, saya tetap mengingati mereka. Sahabat, aku tetap di sini.
Continue Reading

21.6.10

Doa itu Wireless

doa senjata orang mukmin
"Kita ni nak, sesudah kita belajar bersungguh-sungguh, kita kena berdoa. Doa itu wireless. Coverage dia kat mana-mana pun ada. Tak perlu simbol Wifi Zone ke apa. Bar dia sentiasa penuh. Sebab tu, kita kena ambil kesempatan ini."

Tercengang pelajar-pelajar yang mendengar ceramah daripada Ustaz Muzani di surau kolej kediaman ke-11 Universiti Malaya itu. Mana taknya, cool juga ustaz ni boleh keluar dengan term doa itu wireless. Satu lagi sebab, biarpun Ustaz Muzani ni sudah berumur, handsome juga.

"Seperti mana yang difirmankan Allah dalam al-Quran: Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku."

"Ayat mana tadi?" Safwa menutur rendah sambil mencuit roommatenya Najwa.

"Itulah, terkesima sangat dengan ustaz tu. Al-Baqarah, 186" usik Najwa.

Senyum segaris. Pantas Safwa menyalin ke dalam buku notanya. Taknak tertinggal apa-apa poin penting.

"Jom kita tengok apa waktu-waktu yang mustajab berdoa. Maknanya, insyaAllah, Allah mudah mengabulkan doa kita.

Safwa terus mencatit.

"...waktu tengah sujud, waktu selepas khatam al-Quran, waktu selepas solat fardu, waktu sepertiga malam, waktu kita disakiti, dizalimi, waktu malam Jumaat dan tak lupa juga doa anak-anak yang taat untuk kedua ibu bapanya."

Najwa mengangguk.

"..Doa itu mudah, tak pandai berbahasa Arab, boleh dengan bahasa apa sekalipun. Dalam solat juga bacaan doa ada. Tak percaya? Al-fatihah itu juga doa. Bacaan antara dua sujud tu pun doa. Namun, lepas solat, Allah bagi peluang lagi kita minta kepada-Nya. Kenapa cepat benar bangun dari sejadah selepas memberi salam?.."

Dush. Kena sebiji. Dia sendirilah tu. Lepas beri salam tak doa dah. Insaf-insaf.

"..Berdoalah biarpun pendek. Apitkan doa dengan permulaan dan pengakhiran pujian kepada Allah dan selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. Berdoalah minta kebaikan di dunia dan di akhirat dan doa kepada kedua orang tua. Itu sudah mencukupi jika terlalu sibuk.."

Safwa dan Najwa serentak berpandangan dan mengangguk. Tetiba, belakang Safwa terasa berat.

"Oit, kalau nak 'syahid' pun cover line lah." Safwa menegur Zura yang duduk di belakangnya.

"Cover line lah ni, empuknya belakang cik Safwa." balas Zura dalam mamai-mamai.

"..oleh itu, saya sudahi ceramah kita dengan pesanan, berdoalah di mana sahaja anda berada. Doa itu senjata orang mukmin. Doa itu wireless."
Continue Reading

20.6.10

Kota Kinabalu, Mari Bah

Kota Kinabalu
Alhamdulillah, saya diberi kesempatan untuk bertandang ke Negeri Di bawah Bayu. Land below the Wind. It is Sabah! Jom sama-sama dapat manfaat dari tulisan saya kali ini. Mana tahu, entri ini memudahkan anda untuk ke sana.

Pengangkutan

Saya menggunakan MAS Airlines dengan tema MH. MH is Malaysian Hospitality. Perjalanan dari KLIA ke KKIA mengambil masa 2 jam 30 minit. Bosan juga duduk atas kapal terbang. Oleh itu, saya nasihatkan anda bawa earphone ke, PSP ke, MP3 ke, al-Quran, buku dan sebagainya untuk merendahkan tahap kebosanan yang menggila tersebut.

Di KKIA, saya disambut oleh travel agent dan dibawa untuk menginap di Marina Court. Saya merentas jalan raya di Sabah dengan menggunakan Exora pandu sendiri dengan harga sewa sehari RM306. Saya menyewa melalui KKLeisure Car Rent. Jika anda mahu menyewa apa sahaja kereta, boleh hubungi KKLeisure. Syarikat ini besar, dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan.

Penginapan

Di Marina Court, segala-galanya ada di sini. Kondominium 3 bilik 2 bilik air ini lengkap berperabot. You name it. Rice cooker, hair dryer, washing machine, tv with Astro pakej movie+sport+ 4 pakej rancangan, pinggan mangkuk, semua lah. Malah, Marina Court ini berhadapan dengan laut dan berdekatan dengan semua tempat membeli belah di Kota Kinabalu. Harga semalam ialah RM350 dan boleh memuatkan 6-7 orang dewasa. Maknanya RM50 seorang semalam. Memang berbaloi-baloi.

Kota Kinabalu

Kota Kinabalu ini saya pandang sebagai bandar seafood. Kenapa? Sebab, saya terkejut apabila makan air kelapa, ikan, sotong, udang, mangga baru RM49 untuk 7 orang. Boleh bayang tak betapa murahnya. Anda hanya perlu pergi ke Pasar Malam di Sinsuran, belakang Pasar Filipina setiap malam untuk menikmati seafood yang murah dan sedap. Tak percaya? Cuba dulu.

Kota Kinabalu juga terkenal dengan pasar yang meriah. Yang paling terkenal ialah Pasar Filipina. Di sini, anda boleh beli barangan kraftangan berasaskan mutiara dan kristal. Sampai 3 set butang baju melayu saya beli. Yalah, mana dapat mutiara punya butang baju melayu yang cantik dengan harga RM20. Mutiara ini semuanya didapati daripada ternakan tiram air tawar. Jika anda mahukan mutiara air masin, harganya lebih mahal. Boleh mencecah ratusan ringgit.

Pada sebelah pagi, anda boleh ke pasar basah. Dekat situ, anda akan lihat, nelayan menjual hasil tangkapan mereka. Memang ikan-ikan segar selonggok RM1. Siakap tahu berapa? RM7 sahaja. Udang besar pun anda boleh beli dan dibungkuskan untuk dibawa ke Semenanjung. Udang ini tahan selama 18 jam sahaja. Maka, belilah udang ini, di saat-saat terakhir, anda mahu pulang.

Kinabalu Park-Kundasang

Kinabalu Park memang mengujakan. Tapi, jika hendak ke sana, jangan memandu Exora. Out. Totally out. Masalah pertukaran gear tak sudah-sudah. Buat galau saja. Tinggi Kinabalu Park ni.Di sinilah para pendaki Gunung Kinabalu, memulakan perjalanan. Jika anda hendak memanjat Gunung, sila beritahu 2 minggu lebih awal. Hanya pendaki dengan pas dibenarkan mendaki.

Kundasang ini saya nasihatkan tak payahlah pergi. Takda apa-apa pun. Cameron Highland 10 kali ganda mantap darinya.

Kesimpulan

Saya bersyukur, sebab percutian saya mudah, takda masalah. Dengan bantuan GPS PDA saya, saya berjaya menjelajahi tempat-tempat menarik di sekitar Kota Kinabalu.

Ini senarai nombor telefon, jika anda mahu ke Sabah.

KKLeisure Car Rent - Mr Lesley (016-8309137)
Marina Court - Mr Mohan (012-8235409)
Continue Reading

14.6.10

Usah Jemu Bertaubat

Taubat
Apa khabar iman kita hari ni? Ada yang meningkat setinggi 7 petala langit. Tidak kurang jua yang menurun imannya hingga ke 7 lapisan bumi. Yang penting, usah jemu bertaubat jika berbuat dosa. Apabila melakukan dosa, iman akan berkurang. Apabila melakukan dosa, jiwa tidak akan tenteram. Namun, percayalah. Dosa itu perlukan pengampunan dari Allah Maha Pengampun Dosa. Tidak yakinkah anda bahawa Allah akan mengampunkan dosa?

Saya mahu bercerita tentang kisah seorang pemuda yang telah membunuh 100 orang. Dia ingin bertaubat dengan berhijrah ke perkampungan yang baik supaya dia terhindar daripada melakukan dosa lagi. Belum sempat sampai ke perkampungan baik tersebut, dia telah meninggal dunia. Namun, kerana ada niatnya untuk bertaubat dan berusaha ke arah itu, dia dimasukkan ke dalam syurga Allah. Belum lagi dia sempat bertaubat, dia baru berusaha ke arah itu, namun Allah ampunkan dia. Masya Allah. Allah memang Maha Pengampun.

Allah mencintai orang-orang yang sering bertaubat

Benarlah kata-kata Allah. Bahawa jika hamba-Nya datang dengan dosa sebanyak bumi ini, maka pengampunan Allah jua sebanyak bumi ini. Ingat lagi firman Allah yang mengatakan Allah suka orang-orang yang bertaubat. Dalam al-Quran di sebut: InnAllahu yuhibbun tawwabin.

Kenapa Allah gunakan perkataan tawwab? dan bukan taaib? Ini kerana tawwab bermaksud mengulang-ulang bertaubat dan taaib pula bermaksud bertaubat. Maknanya di sini, Allah suka orang yang mengulang-ulang bertaubat. Hamba itu melakukan dosa, kemudian hamba itu bertaubat. Dia jatuh tersungkur melakukan dosa. Kemudian, dia bangun bertaubat. Dia jatuh, dan dia bangun.

Manusia ini bukanlah ma'sum. Kita tidak akan terlepas daripada dosa. Bertaubatlah dan mintalah ampun daripada Allah Azza Wajalla. Dia sahajalah yang Maha Pengampun. Sebusuk manapun kita dengan najis dosa, Allah akan bersihkan kita jika kita berusaha ke arah kebaikan.

Akhirnya, para pembuat dosa, usah jemu bertaubat!
Continue Reading

13.6.10

Tips: Mencari Pasangan Hidup

mencari pasangan hidup
Cuti sekolah memang sinonim dengan jemputan kenduri-kendara sanak saudara dan rakan taulan. Ada yang mengembara jauh ke selatan tanah air meskipun tinggal di utara bagi meraikan rakan yang mahu melengkapkan sebahagian daripada agama menerusi perkahwinan.

Yang telah melafazkan "Aku Terima Nikahnya" sudah lega kerana sudah bertemu jodoh. Yang masih bujang trang tang tang, berura-ura untuk mencari pasangan hidup. Siapalah isteri aku nanti? Siapalah prince charming aku nanti? Soalan-soalan fitrah menerjah cerebrum yang tidak mengenal erti noktah.

Baru menziarahi rumah saudara, soalan spesis yang sama berkumandang lagi. Itu belum waktu hari raya. Lagilah macam mesingan soalan-soalan itu ditanya sama ada menuntut jawapan atau sengaja menjadi buah lelucon.

Persoalan bagaimana mencari pasangan hidup pasti terfikir jua dek akal. Hendak ber'couple' jauh sekali. Itu membuka jalan dosa. Jadi bagaimana mahu mencari pasangan hidup? Bagaimana ciri-ciri lelaki dan wanita yang baik?

Ciri-ciri lelaki dan wanita soleh

1) Mengawal Hawa Nafsu

Kita boleh perhatikan bagaimana lelaki atau wanita tersebut bergaul. Adakah terjaga batas-batas pergaulannya. Atau, bersenang lenang bercanda bermesra dengan berlainan jantina.

Ini amat penting. Semasa berumah tangga nanti, kedua-dua suami isteri akan bekerja. Seawal 6pagi sudah keluar rumah, pulang pula lewat malam. Maknanya, waktu di pejabat lebih berkualiti daripada waktu di rumah. Lelaki dan wanita yang mengawal hawa nafsu, dan menjaga pergaulan di mana-mana sahaja, sudah pasti lebih terselamat daripada fitnah yang memungkinkan lafaz "Aku Ceraikan Dikau" dilontarkan.

2) Di bawah naungan al-Quran dan As-Sunnah
Lelaki dan perempuan yang baik sentiasa merujuk kepada al-Quran dan As-Sunnah sebagai pedoman hidup. Andai dia ditimpa musibah, kekeliruan dan kesulitan, dia menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan bagi membebat hati yang luka.

Dia tidak akan mengeluh, merungut, mengherdik, marah atas apa yang Allah uji ke atas dirinya. Pendek kata, kita boleh mengenal lelaki dan perempuan yang baik untuk dijadikan pasangan dengan melihat akhlaknya. Selalunya, akhlak lelaki dan perempuan tersebut terserlah ketika dia bersama-sama dengan lingkungan teman-teman rapatnya.

3) Beribadat kepada Allah

Seringkali apabila datang merisik si gadis, bakal ibu mertua akan bertanya, "Kamu kerja apa? Berapa gaji kamu? Pakai kereta apa?" Kita lupa untuk bertanya "Kamu solat tak?"

Lelaki dan perempuan yang baik akan diringankan hatinya untuk melakukan ibadah kepada Allah. Dia rindu untuk sujud merendahkan dirinya sebagai hamba kepada Allah. Kita boleh lihat, bagaimana seseorang itu rajin beribadah atau tidak. Adakah dia menghormati waktu solat ketika tiada keuzuran dan sebagainya.

4) Terikat Hati dengan Masjid dan Dakwah

Bermakna, rajinkah dia mengerjakan solat berjemaah? Sensitifkah dia dengan isu-isu semasa dan terlibat dalam proses dakwah dan humanisasi? Renung-renungkanlah

5) Berakhlak Mulia dan Berbudi Bahasa

Kata orang, hendak mengenal seseorang, kita memerlukan masa sekurang-kurangnya 2minggu. Ya, ada benarnya juga. Masa akan sedikit sebanyak memaparkan sisi-sisi negatif seseorang. Kawan saya Dr. Ahmad Hazim Abd Ghaffar pernah berpesan kepada kami rakan-rakannya (mengikut pemahaman saya seperti berikut):

"Semakin lama anda berkawan dengan saya, anda akan lihat kelemahan-kelemahan yang terdapat pada diri saya. Usahlah anda menggunakan kelemahan-kelemahan tersebut untuk membenci saya. Seharusnya, sama-samalah kita menutup lubang-lubang kelemahan antara satu sama lain kerana kita semua bersahabat kerana-Nya".

Kita boleh lihat bagaimana akhlak seseorang. Bagaimana dia bersama rakan-rakan, guru-guru, ibu bapa dan sebagainya. Ketawa tak ingat alamkah? Bercerita 24 jamkah? Bersuara seperti keldaikah?

Kesimpulan

Sebenarnya, banyak lagi ciri-ciri yang diungkapkan oleh Ustaz Emran Ahmad dalam bukunya Mencari Pasangan Hidup terbitan Alaf 21. Buku yang murah ini (RM16), pasti menjadi nasihat yang berguna bagi mereka yang sudah berkira-kira untuk mencari pasangan hidup.

Akhirnya, jangan terlampau mengharapkan yang terbaik. Jangan terlalu high expectation terhadap pasangan anda. Bukankah "Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka" (Al-Baqarah: 187). Lengkap melengkapi, kurangkan sepatutnya dalam hidup berumahtangga. Contohnya, sepatutnya isteri tukang masak, suami tukang makan dan sebagainya.

Renunglah ciri-ciri di atas. Jika sudah ketemu calonnya, dan bersedia, mulakan langkah pertama. Usah didengar bisikan syaitan yang membenci perkahwinan.
Continue Reading

8.6.10

Ar-Raheeq Al-Makhtum (The Sealed Nectar)

raheeq makhtum the sealed nektar
Pada tahun 1976, konferens pertama tentang Sirah Nabi Muhammad s.a.w. telah berlangsung di Pakistan yang ditaja oleh Liga Muslim Dunia. Liga ini telah menganjurkan pertandingan menulis Buku Biografi junjungan besar Muhammad s.a.w. Pemenang akan membawa pulang wang tunai berjumlah 50000SR (RM60000-RM65000).

Akhirnya, Ar-Raheeq Al-Makhtum (The Sealed Nectar) telah memenangi pertandingan ini dengan mengenepikan 170 manuskrip biografi Rasulullah s.a.w yang lain.

Tentang Penulis

Safiur Rahman al-Mubarakpuri ialah ulama' besar di Universiti Islam Madinah. Beliau lahir di Mubarakpur, India.

Tentang Buku

Manuskrip setebal 584 muka surat ini memberikan gambaran yang jelas terhadap perjalanan hidup Nabi Muhammad s.a.w sehingga baginda s.a.w wafat. Permulaan buku ini membawa pembaca menelusuri susur galur keturunan baginda s.a.w. dan diakhiri dengan mengenal karakter dan akhlak Nabi Muhammad s.a.w.

Buku ini juga menerangkan kronologi peristiwa pada zaman Nabi Muhammad s.a.w dengan kaedah yang begitu tersusun. InsyaAllah, jika anda mula memegang buku ini, anda akan merasakan payah untuk menutupnya kembali. Anda akan terkesima dengan hebatnya peribadi Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya. Percayalah, titisan air mata akan mengalir dari kedua bola mata anda.

Banyak kisah sirah yang saya terlepas pandang selama ini. Dahulu, saya sangka nasyid ahli Madinah "Tola'al Badru 'alaina" itu, dinasyidkan oleh penduduk Madinah semasa ketibaan Rasulullah s.a.w tatkala berhijrah. Namun, saya tersasar. Rupa-rupanya, nasyid ini dialunkan semasa ketibaan pulang Rasulullah s.a.w dan para sahabat dari medan Tabuk.

Malah, peristiwa perang Uhud amat menyentuh perasaaan. Rasulullah dilindungi oleh 9 orang sahabat (7 Ansar 2 Muhajirin) semasa serangan balas pihak Quraish. 7 orang Ansar syahid, manakala Saad bin Abi Waqqas r.a. dan Talhah bin Ubaidillah r.a. mempertahankan Nabi dengan bersungguh-sungguh. Sehingga Abu Bakar r.a. mengatakan Hari Uhud ialah Hari Talhah r.a. Manakan tidak, Talhah r.a. tercedera di tangan dan terputus jarinya kerana melindungi Rasululah s.a.w. Dan, tidak hairanlah, Saad r.a. dan Talhah r.a. tergolong dalam 10 orang yang dijanjikan syurga.

Sikap dan jasa Abu Bakar r.a. juga begitu mengagumkan. Sehingga Rasulullah s.a.w. bersabda: "....sekiranya aku hendak memilih Khalil ( rakan) selain Allah s.w.t, maka aku akan pilih Abu Bakar sebagai rakanku."

Dan baginda bersabda, "Jika ditimbang iman Abu Bakar dengan iman seluruh umat, maka berat lagi timbangan Abu Bakar."

Kesimpulan

Sesungguhnya, jiwa setiap Muslim itu pasti mencintai junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Kerana apa? Kerana, melalui baginda kita dapat kenal Islam dan beriman kepada Pencipta sekalian alam yakni Allah azzawajalla.

Memupuk cinta kepada Rasulullah s.a.w amat penting seperti yang difirmankan oleh Allah di dalam al-Quran (Ali Imran:31)

"Katakanlah (wahai Muhammad), jika kamu benar-benar mencintai Allah, maka ikutlah aku (yakni Islam, ikut al-Quran dan As-Sunnah), maka Allah akan mencintai kamu."

Marilah sama-sama memperbanyakkan selawat pada baginda Rasulullah s.a.w. Dengan memperbanyakkan selawat, itu tanda kita mencintai baginda.

"Allahumma Solli 'Ala Muhammad, Wa'ala ali Muhammad"

Ringkasan

Tajuk Buku: Ar-Raheeq Al-Makhtum (The Sealed Nectar)
Penulis: Safiur Rahman Al-Mubarakpuri
Terbitan: Darussalam Riyadh, Saudi Arabia
Muka Surat: 584
Harga: RM30-35
Tempat Beli: Da'wah Corner, As-Safwa Tower, Makkah al-Mukarramah

Selamat Membaca!
Continue Reading

5.6.10

Ucapkanlah yang Baik-baik

Kata ibarat pedang
Mentari masih perkasa di dada awan. Belum nampak penat menyebarkan jalur cahaya memanah bumi. Namun, pohon nangka menentang perjalanan jaluran tersebut. Tegar meneduhi halaman rumah Faisal.

"Nate, nok gi mano tu? tegur Pok Leh. (Binatang, nak pergi mana tu?)

"Bodoh, aku nak pergi main bolalah. Kau tak tengok aku bawak boot bola ni. Pehal, babi. Kau nak ikut ke?" ajak Faisal.

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Usahlah saya perpanjangkan dialog di atas yang menikam-nikam jantung iman. Allah telah menurunkan al-Quran yang di dalamnya menyeru manusia supaya bertutur atau bercakap kepada manusia yang lain dengan perkara yang baik-baik. (Waqulu linnas si husna).

Mempunyai tutur kata yang sopan ini merupakan akhlak mulia dan disukai oleh Allah s.w.t. Orang yang bertutur sopan akan dikurniakan bilik yang istimewa di dalam syurga.

Abdullah Ibnu Amr melaporkan, Rasulullah s.a.w bersabda:

"Di syurga kelak terdapat bilik lutsinar. Abu Musa al-Asy'ari bertanya untuk siapakah bilik itu wahai Rasulullah s.a.w? Baginda menjawab, untuk orang yang lembut bicaranya (tidak menyakiti orang lain)...."

Nah, betapa istimewanya ganjaran untuk orang yang bertutur perkara yang baik-baik. Mungkin kita menganggap bilik lutsinar apalah yang istimewa sangat? Astaghfirullah. Ini syurga, teman-teman. Allah janjikan syurga ini sebagai satu tempat yang tidak pernah terlihat dek mata dan tidak tergambar oleh fikiran kita.

Panggilan tanda Respect.

Bagaimana kita berdoa kepada Allah? Sudah pasti kita akan mulakan dengan: Allahumma (Wahai Tuhan Kami), ya Allah, ya Rahman dan sebagainya. Kita tidak berdoa terus tanpa memuji Allah. Itu tanda kerdilnya kita. Itu tanda hormatnya kita pada Pencipta.

Contoh lain, bagaimana kita bahasakan diri kita dengan ibu bapa? Adakah sebegini: Mak, dah siap masak ke? Saya laparlah. Atau begini: Mana makanan ni. Laparlah. Lihat, mari sama-sama bermuhasabah. Anda yang pertama atau yang kedua?

Kajian menunjukkan, ramai remaja bermasalah dan meringkuk dalam penjara bertutur kasar sesama rakan termasuklah ibu bapa mereka. Mereka tidak segan silu mengherdik ibu bapa dan bersikap kasar dengan mereka. Insaflah. Ibu bapa ini besar pengaruhnya dalam kehidupan kita. Justeru, hormatilah mereka. Panggillah mereka dengan kata-kata yang selayaknya.

Perbanyakkan perkataan mak atau ayah dalam ayat kita. Contoh:
"Mak, saya nak pergi kedai" "Ayah, tolong hantar saya ke sekolah" "Kejap lagi insyaAllah datanglah tu, mak." "Alhamdulillah saya sihat, ayah". Nah, membaca contoh ini pun sudah mendamaikan. Apatah lagi dialog-dialog sebegini diperdengarkan kepada mak ayah kita.

Al-Quran sudah mendidik perkara sebegini. Lihat surah Yusuf ayat ke-4:

"......wahai ayahku! Sesungguhnya aku bermimpi melihat 11 bintang dan matahari serta bulan. Aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku."

Kesimpulan

Bertuturlah yang baik-baik kepada sesama manusia. Pertuturan yang kasar petanda kepada kerendahan akhlak dan kecetekan minda. Orang yang bertutur kasar dan berakhlak rendah pasti dipandang hina.

Berubahlah meskipun payah. Sama-sama. Mari, sama-sama bertutur yang baik-baik.
Continue Reading

2.6.10

Tips: Melamar Teman Hidup

Melamar Teman Hidup
Telefon bimbit berdering. "Eh, Apasal pula Hanis telefon memalam buta." monolog Sue sendirian.

"Suhana Fauzi!!!" laung Hanis.

"Oit. Kot ya pun, bagilah salam dulu. Assalamualaikum. Yang suara kau tinggi macam latihan vokal ni kenapa?"

"Waalaikumussalam. Sue, kau mesti tak percaya dengan berita ni."

"Apanya? Isulah kau ni."

"Gunjai"

"Kenapa dengan mamat Gunjai aka Anuar tu?"

"Nuar melamar aku."

"He What?"

"He just did"

"Aaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa". Serentak dua sahabat itu menjerit. Walaupun jam dah menunjukkan pukul 11.59 malam.

--------------------------------------------------------------------------------------------------
Sebelum tu..

11.00 p.m. di alam Y!M

Gunjai:Assalamualaikum.

Hanis:Waalaikumussalam.

Gunjai:Saya nak datang rumah awak esok.

Hanis:Ok

Gunjai:Saya nak datang rumah awak + mak ayah saya esok.

Hanis:Ok

Gunjai:Saya nak datang rumah awak + mak ayah + cincin.

Hanis:Ok

Gunjai:Betul ni ok?

Hanis:You've never ask it before. Ok.

Melamar Teman Hidup

Bagaimana untuk memulakan langkah pertama untuk meminang atau melamar pasangan hidup anda menurut Islam?

Secara ringkas, di dalam Islam, terdapat 2 bentuk lamaran yang boleh dipraktikkan:

1) Melamar melalui wali wanita itu.
2) Melamar terus kepada wanita tersebut. (Lamaran jenis ini menandakan wanita itu berhak ke atas dirinya).

Berikut pula adalah cara yang dianjurkan untuk melamar

1) Tertarik dengan seseorang kerana agama, akhlak, budi pekerti, rupa, keturunan atau apa sahaja sebab.

2) Berbincang dengan keluarga sendiri. Tanya pendapat mak ayah. Restu mak ayah amat penting dalam perkahwinan.

3) Berlakunya usaha melamar, sama ada menggunakan utusan, orang tengah atau diri sendiri.

4) Jika yang dilamar bersetuju, hantar rombongan melamar/meminang daripada pihak keluarga.

5) Perkenalan dan taaruf berlaku hanya SETELAH peminangan berlaku.

4 langkah sahaja. Mudahkan perkahwinan?

Yang menjadi isunya, praktikal lamaran yang dilakukan oleh kita sekarang. Lihat ini:

1) Perhubungan bermula dengan berkawan terlebih dahulu antara lelaki dan perempuan, sama ada rakan sekelas atau rakan sekerja.

2) Mula timbul rasa cinta antara kedua-duanya. Kemudian, melangkah ke tahap yang lebih serius. Makan bersama, menonton wayang bersama, menghabiskan kredit telefon setiap malam dan sebagainya.

3) Cinta semakin membara. Mula memanggil masing-masing dengan gelaran bi (hubby, baby), sayang dan sebagainya.

4) Meluahkan isi hati kepada pasangan (the proposal).

5) Jika diterima, rombongan meminang mungkin serta merta dihantar atau masih tak kunjung tiba. Perhubungan tetap seperti langkah-langkah yang telah diceritakan di atas.

Kesimpulan

Islam telah menganjurkan cara terbaik untuk melamar teman hidup anda. Bebas zina. Bebas dosa. Dosa ini akan menghantui kita. Percayalah.

Perkahwinan ini ibadah. Mana mungkin status ibadah itu akan menjadi berkat jika jalan untuk melakukan ibadah itu dipenuhi dosa. Saya khuatir, kerana dosa itu, perkahwinan nanti tiada keberkatan dan porak peranda akhirnya. Mahukah anda?

Renungilah dengan akal yang berfikir.

p/s:

Kepada sahabat-sahabat saya yang akan berkahwin (dah dilamar atau melamar) tahniah saya ucapkan.
Continue Reading

1.6.10

Obesiti: Kurangkan Karbohidrat Terproses

Piramid Makanan Malaysia
Obesiti atau kegemukan secara mudahnya berlaku kerana kalori yang diambil (daripada makanan) berlebihan daripada tenaga yang digunakan untuk aktiviti harian.

Penambahan sebanyak 500 kalori sehari selama 1 minggu akan menyebabkan peningkatan berat badan sebanyak 1 kilo. Bermakna, 1 kilo = 3500 kalori. Jika anda mahukan penurunan berat badan, kurangkan 500 kalori sehari selama seminggu. Maka, berat badan anda akan berkurang sebanyak 1 kilo.

Punca Obesiti

Antara punca obesiti yang dikenalpasti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ialah tabiat rakyat Malaysia yang kerap makan di restauran-restauran pada lewat malam dan awal pagi. Di bandar-bandar, kedai-kedai mamak nasi kandar menjadi pilihan. Di kampung-kampung, gerai-gerai kecil terutamanya yang menawarkan hiburan karaoke dipenuhi pengunjung.

Namun kita terlepas pandang tentang salah satu daripada punca obesiti iaitu makan Karbohidrat Terproses.

Apa itu karbohidrat terproses?

Makanan yang dibuat daripada tepung yang diproses. Contohnya: Donut, biskut, kek, roti dan lain-lain.

Keburukan Karbohidrat Terproses

Tepung yang diproses kurang mengandungi vitamin, mineral, omega-6 yang diperlukan oleh tubuh.

Mengapa Cepat Lapar?

Kenapa apabila seseorang makan roti, sekejap sahaja dia berasa lapar?

Ini kerana, makanan yang diproses ini akan melepaskan glukos (gula) ke dalam darah secara pantas. Apabila tinggi kandungan gula, mereka rasa bertenaga. Namun, apabila kandungan gula berkurang, mereka keletihan, kelaparan, murung dan sebagainya.

Justeru, mereka memerlukan perangsang seperti coklat, kopi, teh, kuih-kuih manis dan sebagainya.

Baru Saya Faham

Dulu semasa di universiti, rakan sekelas saya yang membina badan ada berpesan, kurangkan makanan karbohidrat terproses. Ambil makanan yang dimasak, seperti nasi dan lauk-pauk. Saya tidak faham kenapa pada waktu itu. Sekarang, baru saya faham. Kenapa kena kurangkan makan donut, roti, biskut dan sebagainya.

Ambillah karbohidrat sebanyak 50-55% untuk keperluan tenaga anda. Untuk memudahkan anda, anggapkan separuh pinggan nasi sebagai 50%.

Semoga anda mendapat berat badan yang ideal!
Continue Reading
Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template