28.5.09

Cinta Datang Tanpa Diundang

Kenapa apabila umur dah lepas usia mengundi saja (nasib baik tak undi 2 kali for Perak political crisis), semua orang nak tanya dah berpunya ke belum? dah ada kawan ke? dah ada tanda ke? bila nak bertunang? bila nak merasa makan nasi minyak? Macam mesingan. Malah, frekuensi spesis pertanyaan macam ni, semakin tinggi setelah tahu kita ni pelajar tahun akhir. Apatah lagi, masa-masa bertandang ke kenduri saudara-mara. Tahan sajalah.

Tak tahulah kenapa diajukan soalan spesis-spesis begitu.Kalau orang-orang tua tu, mungkin dah percaya kita mampu untuk ke peringkat perkahwinan. Bagi kawan-kawan, mungkin tengah seronok gula-gulakan orang kot. Jawapannya: senyum saja, any statement karang memerangkap diri. Huhu.

Pengalaman kalau dah sampai orang merisik (via orang tengah) tu, memang jatuh rahang tak tahu nak susun kata, lidah kelu untuk berbicara, serba salah tahap giga. Nak kata ya, diri ni belum bersedia. Masih taraf P (pelajar). Nak menolak, tak sampai hati pula. Akhirnya,berterus terang merupakan jalan terbaik. Biarlah ibarat menarik benang dari tepung, benang tidak putus, tepung tidak berserakan.

Bukannya tak pernah terlintas perasaan nak cari the so-called teman hidup. Memang aci tipu tahap tak ingatla kalau nak kata tak pernah terfikir langsung. Nak kata jenis memilih sangat entahlah. Rasanya macam taklah sangat. Bukannya ada senarai berkajang yang bertulis ciri-ciri isteri yang nak pun.

Tapi apabila meneliti diri, meneliti bahawa perkahwinan itu bukan hanya atas cinta, namun tanggungjawab juga hadir sama, persoalan-persoalan tentang perkahwinan hadir dalam benak fikir. Sanggupkah aku memikul tanggungjawab besar sebagai seorang suami/isteri dan bapa/ibu sekarang? Kalau belum bersedia, biarlah dulu urusan perkahwinan ini. Buatlah persediaan dahulu, sebelum ke tahap perkahwinan.

Untuk menempuh gerbang perkahwinan, bukan hanya cinta dan duit yang menjadi tumpuan utama. Ilmu juga sama pentingnya. Lengkapkanlah diri dengan ilmu sedikit-sebanyak tentang ilmu-ilmu rumahtangga, sebelum memberikan lampu hijau untuk diri mencari teman hidup. Saya amat memuji usaha seorang kawan saya yang membuat persediaan yang lama sebelum berkahwin. 3 tahun saya rasa. Beliau banyak membaca buku-buku tentang perkahwinan dan juga berbincang dengan keluarga. Alhamdulillah, sekarang, mereka bakal menimang cahaya mata yang pertama tidak lama lagi. Tidak sabar untuk melihat seorang lagi bayi yang akan mewarnai batch kami.

Nah, terserah. Perkahwinan yang hanya menimbang faktor cinta tanpa menghiraukan aspek keluarga, tanggungjawab, peranan hanyalah mengundang padah. Semoga kita tidak terbawa-bawa dengan keadaan persekitaran yang ghairah mencari pasangan hidup tanpa berfikir panjang. Tersentuh saya apabila menonton drama Pesantren Cinta (cerita yang sarat dengan unsur tazkirah dalam dialognya), mak Katie berkata: Udahlah Pa, jangan sesekali mendahului hak Allah dalam menentukan jodoh anak kita. Jodoh itu hak Allah. Namun, perlu diingat, tanpa usaha dan hanya menyerahkan kepada takdir, jodoh takkan datang bergolek. Ikutlah lunas-lunas yang digariskan agama Islam yang syumul ini.

p/s: Macammanalah, tertulis pula tajuk ini. =)

Continue Reading

23.5.09

Jalan Keluar Kemelesetan Ekonomi

Saya tergerak untuk membicarakan tentang konsep asas ekonomi yang baru saya baca baru-baru ini. Nah, konsep asas ekonomi yang telah lama dititipkan di dalam kitab al-Quran untuk mereka-mereka yang berfikir.

Kalam Allah surah Yusuf ayat 47:

'Yusuf berkata: Sesungguhnya kamu bertanam 7 tahun lamanya sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu simpan kecuali sedikit untuk kamu makan'

ayat 48:

'Kemudian sesudah itu akan datang 7 tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit). Kecuali sedikit daripada (biji gandum) yang kamu simpan.

Jika kita nak buat perbandingan, memang benarlah kata-kata Allah yang Maha Agung. Pakar ekonomi meramalkan setiap 10 tahun, akan berlaku sekali 'economic recession'. Iktibar yang boleh kita gali ialah sesebuah negara kena berjimat cermat sewaktu ekonomi tengah gah, supaya jika ekonomi merudum, simpanan yang ada digunakan untuk menjana ekonomi kembali.

Ini didokong oleh teori asas ekonomi. Kunci kepada ekonomi, ialah perbelanjaan pengguna. Jika pengguna ada duit, permintaan akan tinggi. Permintaan tinggi akan menyebabkan naiknya penawaran. Ketika kemelesetan ekonomi, kerajaan harus tingkatkan perbelanjaan dan tingkatkan kegiatan ekonomi. Kerajaan kena bagi peluang pekerjaan kepada rakyat.

Sebab apa? Supaya ada kerja, adalah duit. Ada duit boleh belanja. Permintaan akan naik. Perniagaan akan untung. Nak tunaikan permintaan tinggi, kena kembang perniagaan dan tambah pekerja. Begitulah kitarannya.


p/s: Moga-moga ada komen-komen yang berilmiah menambah input tentang masalah kegawatan ekonomi yang sedang pulih hari ke hari, dewasa ini.
Continue Reading

20.5.09

Kering Idealah

Assalamualaikum, moga-moga teman-temanku masih bersemangat menghadapi hidup yang penuh dengan mehnah dan tribulasi. Ada yang bersemangat waja untuk mengutip sebanyak-banyak ilmu dan pengalaman di kilang-kilang, dan tidak kurang juga yang tak tahu nak buat apa dah di kilang-kilang tersebut.
Baru tadi, saya belajar ilmu ubat baru bahawa, glibenclamide 5mg ubat kencing manis itu, tablet berwarna putih dengan garisan tengah dan kadang-kadang ada kilang yang mengeluarkan tablet ini dengan ukiran nombor 5 di atas tablet. Nama-nama seperti Diabitol dan Clamide itu merupakan brand name yang mewakilkan glibenclamide di pasaran. Moga-moga, selepas ini, sekilas melihat ubat, sudah tahu nama dan kegunaannya. Tahun depan nak kerja dah beb, insyaAllah.

Terkadang, idea untuk menulis entri dalam blog tak muncul-muncul, dah diperah tak keluar-keluar juga. Nak minum teh Lipton yang kaya dengan Thiamine tu, tak pakai Lipton la pula, pakai teh Boh ataupun Sariwangi kat rumah. Huhu. Tapi, jikalau tak tulis, bermakna visitors yang berpuluh-puluh sehari akan berkurangan, jadi bawah sepuluh. Sadis juga.

Apabila dah bercuti panjang ni, perasaan malas mudah untuk mengatasi sifat rajin. Alhamdulillah, Allah dorongkan diri untuk mendengar tazkirah daripada Ulama' dari Pesantren Medan petang ini. Gayanya yang penuh tawaddu' menyampai tazkirah, dengan memetik ayat-ayat al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad s.a.w cukup mengujakan. Sebab itulah, kita melihat muka orang alim pun kita mendapat pahala.

Ayat yang paling mantop untuk dikongsikan ialah, kita ibarat kapal, dunia ibarat air. Kapal (kita) memerlukan air (dunia) untuk terus berlayar. Jika air itu melimpah ke dalam kapal, makanya, kapal itu akan tenggelam.

Begitulah, kita manusia sepatutnya menggunakan dunia dengan sebaiknya. Jika tidak, kita akan hanyut dengan arus dunia yang begitu mencabar.

Moga-moga Allah terus-terusan membekalkan kita hidayah untuk menguatkan iman yang lemah. Dan untuk itu, kita perlu berusaha, dan berikhtiar untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Dan usaha itu ialah dengan beramal soleh. Dan, beramal soleh itu termasuklah menjaga solat dan khusyuk. Mungkin khusyuk itu sukar untuk didapati dalam solat. Apabila didirikan solat, fikiran kita entah ke mana-mana. Itu lebih baik daripada kita ke mana-mana dan tidak solat. Meninggalkan solat, itu sudah menempah tiket ke neraka. Nah, sekian (Nah, perkataan yang selalu diguna oleh orang Indonesia dalam ucapan)
Continue Reading

16.5.09

Angels & Demons

Bertemu lagi rakan-rakanku semua. Semalam, diluar perancangan menonton cerita Angels & Demons, cerita yang diluar lingkungan minat. Memula, diturut saja ajakan abang untuk keluar makan, namun, selepas melantak di Manhattan Fish (sedap juga), abang yang kaki wayang ini mengajakku untuk melihat cerita ini. Dalam fikiran, ni mesti cerita berat, boleh ke tahan mata ni tengok tayangan lewat malam.

Jadi, menarik juga cerita ini setelah ditonton. Cerita mengisahkan seorang Prof. yang membantu Gereja St. Peter di Vatican City untuk melantik Pope yang baru. Pope ini dibunuh oleh illuminati (satu organisasi yang ditubuhkan oleh para cendekiawan Rome yang mengagungkan sains dan dipinggirkan oleh pihak Gereja Katolik). Dendam lama terhadap pihak gereja telah memaksa Illuminati untuk membunuh 4 cardinals yang bakal dipilih salah seorangnya untuk menjadi Pope yang baru. Akhirnya 3 cardinals dibunuh, manakala hanya 1 cardinal yang berjaya diselamatkan. Cardinal inilah yang dilantik sebagai Pope yang baru.

Cerita ini sarat dengan unsur agama Kristian. Penuh Vatican City itu dengan gereja. Malah, Pope itu diagungkan sangat-sangat sebagai intermediary antara Tuhan dan manusia. Saya tertarik apabila Camelengo (penasihat Pope) berbicara: Agama itu tidak sempurna, kerana manusia itu sendiri tidak sempurna.

Agama Kristian tidak sempurna kerana dicipta oleh manusia sendiri yang terang-terangan penuh dengan ketidaksempurnaan. Agama Islam merupakan agama yang syumul yang datangnya daripada Tuhan yang Esa (Allah s.w.t). Islam merupakan cara hidup yang bukan tertumpu pada masjid sahaja. Dan kerana itulah, Islam mengajar adab-adab di dalam agamanya. Contohnya, kita disunatkan berwuduk supaya tidur kita juga dikira ibadah. Betapa indahnya Islam. Betapa sifat syumuliyyah Islam itu tidak perlu dipersoalkan lagi.

Terkadang hati kita tidak tenteram. Namun, percayalah apabila kita buntu, kita kembali ke asal. Dan, asal kita ialah dekat dengan pencipta yakni Allah s.w.t. Zikir dan solat merupakan cara-cara untuk mengembalikan diri kita ke asal iaitu dekat dengan pencipta.

Jika kita renung, kita rasa tenang apabila mendengar kicauan burung, deruan ombak memukul gigi-gigi pantai, air sungai mengalir dan pelbagai lagi bunyi-bunyi alam. Kesemua bunyi alam ini, ialah zikrullah kepada pencipta Allah s.w.t. Maka, kerana bunyi-bunyi ini kembali kepada pencipta, kita juga tenang pabila mendengarnya. Bukankah dengan mengingati Allah, jiwa akan menjadi tenang. Sehingga jumpa lagi, sekian.

Continue Reading

14.5.09

Dibunuh atau Membunuh


Puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah s.w.t yang ar-Rahman dan ar-Rahim. Ar-Rahman kerana memurahkan rezeki memberikan nikmat masa untuk saya berceloteh sebentar di ruang maya. Ar-Rahim kerana mengasihani saya dengan pertolongan yang agung untuk melepasi ujian yang maha hebat. Puji-pujian yang terus terusan untuk Allah s.w.t. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.

Dibunuh atau membunuh. Ini bukan matlamat permainan seperti Counter Strike atau DOTA. Ini tentang masa. Bak kata orang-orang sekarang, too much time to kill. Begitulah keadaan diri saya. Berlibur selama hampir 3 bulan tanpa sebarang latihan industri, community posting atau apa-apa sahaja yang sewaktu dengannya menyebabkan diri ini bosan tahap petala ke lapan. Dah bunuh masa tapi banyak lagi masa yang perlu dibunuh. Macam main Naruto Ultimate Ninja pula. Kage Bunshinnya terlampau banyak.

Masa ibarat pedang, jika kamu tidak membunuhnya maka kamu akan dibunuh. Itu dicedok daripada pepatah Arab yang berbunyi,

Air yang bertakung (tidak mengalir) akan dirosakkan oleh statiknya itu, pemuda yang banyak masa lapang (tidak dinamik) akan dibunuh oleh masa lapangnya itu.

Begitulah, malah, Dr. 'Aidh bin Abdullah al-Qarni juga berpesan agar isilah kekosongan dengan kesibukan. Masa lapang tanpa berbuat apa-apa (statik) akan menyebabkan diri malas, hidup dalam zon selesa dan tidak mahu berusaha memajukan diri.

Oleh kerana itu, saya sentiasa menyibukkan diri sampai kekadang macam jaga tepi kain orang pula. Huhu. Boleh dikatakan setiap hari saya akan bertanya ibu, hari ni ada kerja apa? Mahu ke mana? Supaya diri ini akhirnya, ada kerja. Apabila direnung, ruginya tidak berindustrial posting, tapi bila fikir balik, ada hikmahnya. Tahun hadapan, belum tentu dapat menemani ibu yang keseorangan di kampung. Perancangannya mahu bekerja di Kuala Lumpur. Inilah, masanya hendak berteduh kasih semahu-mahunya dengan ibu. Ya, ibu yang cinta tanpa syarat. Ibu, yang sifat pemaaf disertai dengan pertambahan kasih sayang. Celupan daripada sifat maha Pengampun, Allah s.w.t.

Jika dilihat, kebanyakan orang yang memaafkan kita, belum tentu terus menyayangi kita kembali. Ia mengambil masa dan selalunya bersyarat. Ibu tidak begitu. Ibu tetap menyayangi anak yang menumpang perutnya selama 9 bulan walaupun anak menconteng arang di muka ibu. Maka sama-samalah hargai ibu bapa kita selagi mereka masih hidup. Macam tema yang dilancarkan Astro sempena Hari Ibu, dakaplah ibumu.

Ibu bapa adalah pintu syurga yang paling tengah. Terserahlah kepada kamu sama ada mahu mensia-siakan pintu ini atau memeliharanya (Hadis sahih riwayat Ahmad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

p/s: Makanya, terserah kepada diri kita, untuk membunuh masa, atau dibunuh masa...ingatlah to live well or live hell, we choose..

Continue Reading

7.5.09

Pelaburan al-Awfar Bank Islam

Pelaburan al-Awfar

Beberapa bulan lalu, Bank Islam telah memperkenalkan produk pelaburan yang berteraskan al-Mudharabah iaitu al-Awfar. Al-Awfar membawa maksud pelaburan menguntungkan. Terdapat 2 jenis produk al-Awfar iaitu Akaun Simpanan-i dan Akaun Pelaburan-i. Kedua-dua produk ini adalah akaun yang memberikan insentif instimewa iaitu pulangan keuntungan Mudharabah (jika ada) dan peluang untuk menerima wang tunai (RM100,000) melalui undian yang dilakukan setiap 3 bulan. Setiap RM100 bersamaan dengan 1 penyertaan. Lagi banyak anda mendepositkan wang ke dalam al-Awfar, lagi tinggi peluang anda untuk mendapatkan hadiah cabutan wang tunai.

Berikut adalah sedikit perbezaan antara Akaun Simpanan-i dan Akaun Pelaburan-i

Transaksi Deposit

Akaun Simpanan-i

Amaun deposit minima permulaan sebanyak RM100 diperlukan untuk membuka akaun. Amaun minimum yang boleh dimasukkan pada bila-bila masa ialah RM1. Baki minimum ialah RM100 yang perlu dikekalkan setiap masa.

Akaun Pelaburan-i

Amaun deposit minima permulaan RM1000 diperlukan untuk pelaburan tempoh 1 bulan. Manakala, untuk pelaburan 3 bulan dan ke atas, deposit minima ialah RM500. Baki minima untuk pelaburan 1 bulan ialah RM1000 manakala pelaburan 3 bulan ke atas memerlukan baki minima sebanyak RM500.

Transaksi Pengeluaran

Akaun Simpanan-i

Pengeluaran wang boleh dilakukan di ATM dan di kaunter bank. Namun, baki minima perlu dikekalkan sebanyak RM100. RM100 ini hanya boleh dikeluarkan jika akaun ditutup.

Akaun Pelaburan-i

Untuk pelaburan, anda akan diberikan satu sijil. Wang dalam pelaburan anda hanya boleh dikeluarkan sekiranya sijil ini dikembalikan dengan tandatangan pelabur. Pengeluaran juga tidak boleh dilakukan dalam jumlah-jumlah yang berlainan dengan cek atau draf. Sebarang pengeluaran pra-matang sebelum tempoh 1 bulan, pelabur tidak layak untuk mendapat sebarang pulangan (jika ada).

Kelebihan

Pelabur berpeluang mendapat hadiah wang tunai melalui cabutan bertuah yang diadakan setiap 3 bulan. Hadiah-hadiahnya ialah seperti berikut:

Pertama RM100,000 (1)

Kedua RM10,000 (1)

Ketiga RM5,000 (1)

Keempat RM1000 (3)

Kelima RM500 (5)

Keenam RM250 (18)

Ketujuh RM100 (500)

*() bilangan hadiah setiap 3 bulan

p/s: apa yang ditunggu lagi, jadikan produk perbankan Islam ini wahana pergandaan wang anda.

Continue Reading

Luahan Hasrat dan Rasa

Apabila dikenang kembali, saya menulis di blog secara suka-suka. 4 tahun yang lepas sehingga awal tahun ini saya menulis di friendster. Atas dorongan dan tunjuk ajar abang ipar saya abufaris, saya berkecimpung dalam blogspot. Itu pun, belajar dalam keadaan mata yang menghidap viral conjunctivitis. 2 minggu saya tak menghadiri kelas. Serba salah jadinya apabila berpapasan dengan pensyarah dan teman-teman. Mana taknya, saya tunduk malu untuk bertatap mata.

Ingat lagi, rakan-rakan awal yang aktif ber'blog' di matric seperti Azwadi, Hendy dan Fakhri. Di bloglah saya meluahkan rasa ketidakpuashatian saya, tempat perkongsian cerita suka duka, ceria dan lara. Saya meluahkan hampir segalanya, kerana saya tahu, blog saya tidak ramai pembacanya. Dahulu saya menggunakan bahasa pasar, tapi sekarang, atas nasihat teman, saya menggunakan bahasa Melayu penuh.

Blogspot ini jika dilihat, tulisan-tulisan saya lebih mementingkan informasi daripada bercakap lebat. Dan genrenya lebih kepada kewangan kerana saya amat meminati bidang kewangan walaupun masa tingkatan 3 dulu saya amat membenci topik akaun dalam Kemahiran Hidup. Jika ada 10 soalan tentang akaun, adalah satu dua yang betul. Huhu.

Saya menulis tentang kewangan kerana rasa tanggungjawab untuk berkongsi sedikit ilmu pengurusan kewangan dengan teman-teman dan para pembaca sekalian. Ilmu pengurusan kewangan penting kerana wang merupakan elemen penting untuk hidup. Kekurangan penekanan di dalam kurikulum sekolah dan universiti menyebabkan pengurusan wang tidak dilakukan secara pintar. Jika hendak membeli buku-bukunya, mahal juga. Makanya, saya mengambil inisiatif untuk berkongsi di sini.

Hendak menulis tentang ilmu agama, saya amat jahil dan masih mendidik diri untuk mencintai perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Allah. Saya hamba Allah yang lemah terutamanya dalam menjadi hamba Allah yang bersyukur. Teringat saya tentang Rasulullah yang sampai bengkak-bengkak kakinya beribadah sebagai simbolik bersyukur kepada Allah atas segala nikmat.

Saya sedar, saya tak sehebat teman-teman yang bisa menulis tazkirah, ibrah, mauizoh yang menyentuh seperti Muzani, Shahmin, Mujahidin, Dr. Radzi dan lain-lain. Sebab itulah, jika saya menulis sedikit tentang tarbiyyah, ada teman yang kurang senang, kerana kebanyakan manusia, melihat siapa yang mengucapkan sesuatu, daripada apa yang diucapkan.

Kepada para pembaca, terima kasih kerana tetap menyokong blog saya. Semoga di alam maya ini, kita dapat bertukar-tukar fikiran dan informasi. Tanpa ilmu dan amal kita lemah, jahil dan tidak ke mana. Sekian.

Continue Reading

Mewahkah anda?

Apa yang ada jarang disyukuri, apa yang tiada sering dikesalkan. Bagi yang meminati irama nasyid sejak kecil, pasti dapat mendendangkan ayat pembukaan tersebut dengan betul. Cuba kita melangkah ke belakang sejenak, mengingati apa yang berlaku. Apakah ayat pembukaan tadi menyentuh hati kita? Jujur saya katakan, saya amat terkesan dengannya.

Sehingga saat saya menulis karangan ini, hati saya amat berharap untuk menukar handphone saya kepada Nokia Touch Screen, walaupun handphone saya masih sihat walafiat. Tambahan pula, saya tiada teman yang ramai, selalunya sepi itu kawan rapat saya. Makanya, kurang menggunakan telefon bimbit. Namun, hati terus teruja untuk merasai gadjet baru yang canggih.

Terkadang, kita melihat orang berkereta mewah, bermotorsikal baru, mempunyai telefon bimbit mahal dan semua gadjet-gadjet terkini, timbul rasa mahu seperti mereka. Ya, mahu yang teruk membelasah perlu. Sedangkan, ukuran baju di badan sendiri sudah ketat. Lumrah manusia, apabila berkereta mewah itu orangnya kaya. Namun hakikatnya, kereta itu bukanlah milik orang tersebut sehinggalah kesemua harga kereta habis dibayar.

Ukuran kemewahan yang sebegini patut ditepis jauh-jauh. Kemewahan sebenar adalah suatu nisbah antara jumlah simpanan anda, dibahagikan dengan jumlah perbelanjaan anda. Jom kira sama-sama.

Langkah 1: Campurkan kesemua simpanan anda.

Contoh: Tabung Haji (RM5000) + Public Mutual (RM10000) + Baki di Bank Islam (RM5000) =RM20k

Langkah 2: Campurkan kesemua perbelanjaan bulanan

Contoh: Makanan (RM400) + Ansuran Kereta (RM400) + Minyak Kereta (RM200) = RM1000

Langkah 3:

Bahagikan jumlah simpanan dengan perbelanjaan: RM20000/RM1000 = 20 (Sihat)

Penanda Aras Kemewahan

<1 = ICU

1-5 = HDU

6-10 = Normal

10-20 = Sihat

21-50 = Sihat Walafiat

50-96 = Tenang

>96 = Sangat Tenang

>168 = Kebebasan kewangan

p/s: Jadi, anda di mana? Alhamdulillah, saya yang masih bertatih tentang pengurusan kewangan ini, sedang menuju ke Sihat Walafiat. Sama-sama kita menyemarakkan amalan menabung.

Continue Reading

5.5.09

Tsunami Atjeh


Alhamdulillah puji dan syukur diserahkan kepada Rabbul Jalil kerana memperkenankan saya kembali menjejakkan kaki di tanah Indonesia. Ini kali ke-4 saya ke sini. Kali ini bukan ke Jakarta atau Bandung, tetapi ke serambi Mekah Indonesia iaitu Banda Aceh, negeri di utara Sumatera.

Pengangkutan

Dengan menaiki Air Asia selama 1 jam 25 minit saya tiba di Sultan Iskandar Muda Airport. Pemandangan dari atas flight menunjukkan Banda Aceh masih lagi berusaha untuk membangun selepas kejadian tsunami pada 26 Disember 2004.

Bercanda di sekitar Banda Aceh menaiki sebuah bas. Bas ini disewa untuk 3 hari dengan harga RM400 ringgit sehari. Ada juga kami menaiki Labi-labi (@ Angkot di Jakarta) dan beca bermotor. Harganya Rp 5000 bersamaan RM1.70 seorang tidak kira jauh atau dekat destinasinya.


Hotel

Tinggal di Hotel Lading, hanya 5 menit berjalan kaki daripada masjid kebanggaan rakyat Aceh iaitu Masjid Baiturrahman. Masjid ini begitu aktif diimarahkan oleh penduduk Aceh. Bacaan imam dan alunan ayat-ayat suci al-Quran, mengingatkan kita tentang Masjid Haram dan Masjid Nabawi. Semalam hanya RM20. Bilik lengkap dengan TV, AC dan air panas.

Makanan

Aceh terkenal dengan kopi Ulee Kareng. Kopi ini cair tapi rasanya begitu sedap, malah setanding dengan Nescafe. Rakyat Aceh selalunya minum 3 cawan kopi ini sehari. Namun, anda perlu memesan kopi yang kurang manis kerana minuman-minuman Aceh begitu manis.

Nasi gurih dan nasi uduk memang bukan selera anak tekak saya. Saya rasa loya dengan haruman limau purut yang terlampau sarat. Jika makanan Padang atau Minang saya amat menggemari Ayam Pop (dimasak dengan bawang putih) dan untuk minuman pula saya tidak jemu-jemu menyedut Jus Markisa.Markisa ini banyak didapati di tepian jalan Bandung-Bogor. Jus buah disini begitu pekat. Memang berbaloi-baloi.

Kesan Tsunami

Tsunami berlaku selepas 30 minit air laut surut sejauh 1-2km. Kemudian air setinggi 1km menghempas Banda Aceh sejauh lebih kurang 5km. Kapal yang seberat 6000tan di bawa tsunami sejauh 5km daripada pantai.

Tsunami mengorbankan lebih 400,000 nyawa iaitu 10% daripada penduduk negeri Aceh. Nampaknya, tsunami juga memberikan impak positif kerana tsunami melumpuhkan Gerakan Aceh Merdeka. Sebelum tsunami, peperangan berlaku selama 32 tahun antara pemimpin Aceh dengan pemerintah Indonesia. Ini kerana kezaliman pemerintah Indonesia yang mengambil hasil bumi Aceh tanpa menghiraukan kebajikan rakyat dan pembangunan di Aceh.

Barangan

Terkenal dengan sulaman yang begitu molek untuk dipandang. Tas tangan, baju, dompet dan barangan lain diwarnai dan dihiasi dengan corakan sulam yang mempunyai identity tersendiri. Simbol pagar Aceh merupakan corak wajib dalam sulaman. Kek Lapis Medan juga boleh dijadikan ole-ole. Berbeza dengan kek lapis Jakarta yang berempah, kek lapis Medan (negeri bersebelahan Aceh) lebih sedap. Namun, saya lebih menggemari kek lapis Sarawak.

Kesimpulan

Aceh merupakan kawasan yang selamat untuk membeli-belah atau bercanda jika dibandingkan dengan Jakarta. Tiada peminta sedekah, tiada aktiviti meragut beg dan aktiviti keganasan. Kata rakyat Aceh, "kami udah capet mau ribut-ribut". Aceh begitu mementingkan agama. Dan suasananya seperti di Kelantan. Cumanya, tiadalah aktiviti menaikkan harga barangan kepada orang yang tidak berbahasa Kelantan. Peniaga di Aceh begitu jujur dan menghormati pelanggan. Saya begitu gembira berpecah-belah (bahasa Aceh untuk membeli-belah) di negeri Aceh.

Sekian

p/s: Insya Allah akhir tahun ini atau tahun hadapan kami ke Beijing pula. Tahun hadapan juga Insya Allah, menyambut orang baru dalam keluarga kami. Amin.

Continue Reading
Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template