Jangan rasakan mehnah yang Allah uji kita sebagai titik noktah untuk segala-galanya. Ingatlah bahawa setiap kesusahan itu pasti ada kesenangan. Setiap rasa mengantuk akan diubati dengan rasa segar bugar. (tidur dalam lecture hall, bukan amalan yang baik). Langit yang mendung bertukar ceria dengan perarakan kumpulan awan nan putih.Yakinlah, dengan firman Allah dalam surah al-Insyirah. Bahawa prinsip mudahnya, pada setiap jerit payah itu, ada kesenangan yang datang bertamu. Satu konsep yang dikembangkan daripada prinsip asas ini ialah Hukum Polariti. Hukum ini menyatakan bahawa, jika anda mengalami sesuatu yang sangat negatif, jika dibingkaikan semula secara positif, perkara itu akan menjadi sangat positif.
Setiap ujian yang Allah letak ke atas bahu kita untuk menjadikan diri kita tahan lasak. Mana mungkin kita mengaku bahawa kita beriman tanpa diuji. Yang pastinya, dengan ujian tersebut, tahap kebergantungan terhadap Allah semakin meninggi. Dan, amat benar bahawa dengan mengingati Allah, jiwa akan menjadi tenang. Dan, bahawasanya hati yang ada dalam diri-diri ini akan berbahagia.
Dalam menghadapi ujian, saya teringat kata-kata seorang Imam Ahmad bin Hambal bahawa jika kamu mahu berbicara dengan Allah, maka selalulah mendirikan solat. Dan jika kamu mahu Allah berbicara dengan kamu, maka bacalah kitab suci al-Quran.
Saya sedang diuji sekarang. Ada teman-teman yang perasan dan menelurkan pertanyaan tanda ambil berat. Jazakallahu khairan jaza'. Moga-moga masalah akan selesai akhirnya. Yakinlah, bahawa setiap kesusahan ada kesenangan.


0 comments:
Post a Comment