31.5.10

Kad Kredit Bank Islam

Kad kredit Bank Islam
Setelah kita mengetahui bahawa kad kredit konvensional mempunyai unsur riba yang menyebabkannya haram, alternatif yang ditawarkan ialah kad kredit yang dikeluarkan oleh perbankan Islam seperti Bank Islam, BSN (al-Aiman), AmBank (Al-Taslif) dan sebagainya.

Bagaimanakah konsep jual beli di sebalik kad kredit bank Islam ini?

Secara asasnya, kaedah (Bai') jual beli dalam perbankan Islam terbahagi kepada 6 iaitu:

1) Murabahah (Harga Tambah)
2) Salam (Jualan Tempah)
3) Istisna' (Tempah Buatan)
4) Inah (Belian Semula)
5) Sarf (Tukaran Wang)
6) Tawarruq (Belian Pelbagai Pihak)

Kebanyakan kad kredit perbankan Islam menggunakan konsep jual beli (Bai' al-Inah) iaitu (beli dan kemudian jual kembali).

Prosedur konsep jual beli (Bai' al-Inah) kad kredit Bank Islam:

1) Bank menjual aset kepada pemohon kad kredit dengan harga tertentu.
(Contoh harga aset: RM10,000).

Sekarang, pemohon kad kredit sudah mempunyai aset dengan membeli daripada bank.

2) Pemohon kad kredit membeli aset tersebut secara ansuran.

3) Kemudian, pemohon kad kredit menjual kembali aset tersebut kepada pihak bank dengan harga yang lebih rendah. (Contoh harga lebih rendah: RM8000)

4) Bank membeli dengan bentuk tunai dan memasukkan wang itu (RM8000, dalam contoh ini), ke dalam akaun khas yang dibuka untuk pemohon kad kredit tersebut.

5) Bank menyediakan kad yang nilainya bersandarkan wang yang terdapat dalam akaun khas tersebut. (RM8000, dalam contoh ini)

6) Sekiranya pelanggan membuat pembelian menggunakan kad kredit itu, bank membayar kepada penjual dengan menggunakan wang yang terdapat dalam akaun khas pelanggan.

Faham tak? Secara mudahnya, kad kredit perbankan Islam seperti kad kredit Bank Islam:

1) Mirip kepada kad debit.
2) Tidak ada caj kewangan terkumpul (compounding finance charge)
3) Berlandaskan konsep Syariah yang bebas dari unsur Riba dan Gharar (keraguan, kesamaran)
4) Menerima jual beli dengan penjual HALAL sahaja
5) Penghapusan yuran tahunan kad kredit dengan minimum 12 transaksi setahun
6) Caj Lewat Bayar serendah 1% ke atas baki tertunggak. (Kad kredit bank konvensional 1.5%)
7) Tiada Yuran Pendaftaran/Penyertaan

Banyakkan kelebihan kad kredit Bank Islam? Usah ragu-ragu lagi, pilihlah produk perbankan Islam.

Jika orang bukan Islam pun sedar hakikat ini, kenapa anda yang Muslim masih memilih kad kredit konvensional?

Rujukan


1) UZAR, 2009. Murabahah: Teori, Aplikasi, & Isu Dalam Perbankan Islam Semasa.
2) Mohamed Sulaiman & Aizuddinur Zakaria, 2010. Jejak Bisnes Rasul.
3) http://bankislam.com.my

p/s: Kad kredit Bank Islam telah bertukar dari menggunakan konsep Bai' al-Inah kepada konsep Tawarruq (Belian Pelbagai Pihak). Secara mudahnya, kedua-dua konsep lebih kurang sama. Perbezaan hanya pada siapa yang menjual aset kepada pemohon kad kredit.
Continue Reading

29.5.10

Kad Kredit Konvensional Haram?

Perfectly optimized page
Apa khabar semua? Sudah lama saya tidak mencoret perihal kewangan. Kali ini, saya tergerak untuk membicarakan tentang kad kredit. Nampak macam topik yang bosan, tapi tidak sebenarnya. Percayalah, tatkala anda mula kelihatan matang dan sudah bekerja, ejen-ejen kad kredit akan mula mencari anda. Jangan pula anda rasa glamor macam artis pula masa tu. Rimas adalah.

Kad kredit atau wang plastik ni memang banyak kelebihannya. Anda pasti maklum, bahawa anda tidak perlu lagi membawa sejumlah wang yang besar ke mana-mana, membeli secara online dengan mudah dan pelbagai lagi kemudahan yang ditawarkan oleh kad kredit ini.

Mari sama-sama memahami konsep jual beli dan caj-caj di sebalik kad kredit. Di sini, saya khususkan kepada konsep dan caj-caj kad kredit konvensional.
Justify Full
1) Acquirer Fee.

Acquirer=bank, Merchant=penjual.

Caj ini dikenakan oleh Acquirer kepada Merchant mengikut kepada pembelian pembeli.

Contoh:

Anda beli Sony PSP RM1000 menggunakan kad kredit. Acquirer (Bank) hanya membayar RM975 kepada Merchant (Kedai Sony) kerana Acquirer Fee ialah (2.5%).

2) Grace Period

Pemegang kad kredit diberikan tempoh masa selama 20-25 hari bagi menjelaskan hutang dan faedah yang dikenakan apabila menggunakan kad kredit kepada bank.

3) Bayaran minima

Pemegang kad dibenarkan membayar minima 5% daripada pembelian.

Contoh:

Anda menggunakan kad kredit sebanyak RM1000 pada bulan tersebut. Sebelum Grace Period, anda hanya perlu bayar minima 5% daripada RM1000 iaitu sebanyak RM50.

4) Faedah

Faedah kad kredit akan dikenakan terhadap baki hutang berdasarkan pengiraan bulanan selepas grace period.

Contoh:

Faedah tahunan=18%, Faedah bulanan=18/12 = 1.5%

Anda beli Sony PSP yang berharga RM1000 tadikan? Kemudian sebelum grace period tamat, anda bayar RM50 (5%). Maka bakinya ialah RM950. Selepas grace period, anda akan dikenakan faedah sebanyak RM14.25 (1.5%). Jadi, RM950 menjadi RM964.25.

5) Had kredit

Ditentukan oleh pengeluar kad (bank) berdasarkan status kewangan pemegang kad. Perasan tak ada kad kredit platinum dan sebagainya?

6) Yuran tahunan

Dikenakan kepada pemegang kad kredit bagi penggunaaan kad kredit tersebut.

Bagaimana kad kredit konvensional ini haram?

1) Haram sekiranya anda gagal membayar keseluruhan hutang semasa grace period. Kerana wujudnya unsur riba. Anda mungkin memandang remeh hal riba. Namun, riba ini seakan-akan anda melancarkan perang dengan Allah s.w.t. Sanggupkah anda?

2) Haram secara total berdasarkan kaedah Sadd az-Zara'i iaitu menutup jalan haram daripada berlaku. Lagipun, kad kredit Islam sudah banyak di pasaran. (Fatwa daripada Mazhab Syafi'e)

Kita Umat Islam

Telah banyak kad kredit Islam yang dikeluarkan oleh Bank Islam, BSN dan sebagainya. Sebagai orang Islam, gunalah perkhidmatan kad kredit sebegini. Sesungguhnya agama Islam itu, tidak akan menganiayai penganutnya. Yakinlah.

Jual Beli Berkat, Keluarga Selamat, Dunia Akhirat!
Continue Reading

27.5.10

Pasti ada Hikmah-Nya


Hidup ini tidak pernah putus dengan ujian daripada Allah. Supaya apabila diuji keimanan dalam diri manusia, barulah diketahui siapakah orang-orang yang benar dan siapakah orang-orang yang berdusta. Ujian terbahagi kepada 2 iaitu nikmat dan musibah. Dan, maha suci Allah yang mendatangkan ujian dengan hikmah yang kadangkala tidak terfikir dek akal yang terbatas dan terungkap dengan kata-kata.

Mari kita baca dengan teliti kisah ini. Seorang yang sentiasa bersangka baik dengan Allah, sabar dan redha atas apa sahaja ketentuan yang Allah tentukan ke atas dirinya. Mari, sama-sama.

Ketua kampung diuji dengan musibah

Seorang ketua kampung membela seekor kuda. Molek rupanya. Pantas. Gagah. Kerana itu, ketua kampung amat menyayangi kuda tersebut. Satu hari, kuda tersebut terlepas dari kandangnya, dan lari ke hutan. Pasti kita rasakan ketua kampung sedih. Tapi, tidak. Dia berkata: Takpalah, pasti ada hikmah-Nya.

Maka bertanyalah orang kampung, Apa hikmahNya? Ketua kampung menjawab: Saya pun tak tau. Pasti ada hikmah-Nya.

Ketua kampung diuji dengan nikmat

Beberapa minggu kemudian, kuda ketua kampung pulang bersama beberapa ekor kuda liar yang lain. Wah. bertuahnya ketua kampung. Ramai yang mengucapkan beruntunglah ketua kampung.

Namun, ketua kampung menjawab, "Belum tentu lagi. Tentu ada hikmah-Nya."

Ketua kampung kembali diuji musibah

Ketua kampung mempunyai seorang anak lelaki. Ketua amat menyayanginya. Satu hari, anak lelaki yang gemar menunggang kuda ini, terjatuh dan patah tangannya.

Lalu, orang kampung yang prihatin berkata, "Malang sungguh nasib ketua kampung. Baru diberi nikmat, sekarang ditimpa bala."

Ketua kampung dengan tenang menjawab, "pasti ada hikmah-Nya."

Akhirnya, inilah hikmah Allah.

Tidak lama kemudian, datanglah tentera negara tersebut ke kampung itu. Semua penduduk kampung galau, risau kerana raja negara tersebut, terkenal dengan kezalimannya.

Tentera membawa titah raja berkata, "Raja memerintahkan semua anak lelaki di kampung ini dikumpulkan. Negara memerlukan tentera untuk berperang di perbatasan."

Namun, kerana anak lelaki ketua kampung patah tangan, dia tidak dipilih untuk pergi berperang.

Semua penduduk teringat kata-kata ketua kampung. Pasti ada Hikmah-Nya!
Continue Reading

25.5.10

Engkau Pergi Bertemu Ilahi


Detik 845 pagi aku tiba di hospital. Kelihatan sanak saudara sudah berlinang air mata. Aksi tersebut terang lagi bersuluh menandakan keadaan abang yang sudah nazak atau sudah tiada. Aku bungkam.

Jam 1140 pagi, kakakku dan aku dipanggil ke ICU untuk melihat ujian bagi mengesahkan 'brain death' abang. Kesemua ujian memang sayu untuk dipandang, kerana hasilnya jelas abang sudah tiada. Doktor melepaskan segala alat bantuan dan membiarkan jantung abang berhenti berdegup.

Begitulah, akhirnya abang pergi jua bertemu Ilahi. Sebelum maghrib, jenazah dikuburkan. Alhamdulillah, urusan memandikan, mengkafankan, mensolatkan, dan menguburkan abang dipermudahkan.

Teringat semasa zaman sekolah dulu semasa kelas Tafsir oleh Ustaz Saidin. Ustaz ini tegas orangnya. Semua pelajar dikehendaki menghafal ayat quran yang kami belajar tafsirnya. Jika tidak, alamat rambut kena tariklah jawabnya. Namun, ada hikmahnya. Sehingga sekarang saya ingat lagi mafhum ayat tersebut. Alhamdulillah.

Antara ayat yang kami hafal ialah ayat yang begitu besar maknanya iaitu dari surah al-Baqarah 155-157.

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa dan hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.

(iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pelbagai kebaikan daripada TUHAN mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk hidayah-Nya.

Nah! Biarpun kita diuji dengan kehilangan jiwa, kita harus sabar dan redha. Daripada Allah kita datang, kepadaNya kita kembali. Perancangan Allah penuh dengan hikmah.

Pahala Sebesar Bukit Uhud

Di sini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua sanak saudara, sahabat dan kenalan Allaharyam Ahmad Perdous Hasan atas segala pengorbanan dan doa kalian.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:

Sesiapa yang menghadiri jenazah seseorang Muslim dalam keadaan iman & ihtisab, hingga disolatkan ke atasnya,hingga selesai dikebumikan maka baginya pahala 2 qirat, setiap satu qirat sebesar bukit Uhud, sesiapa yang menghadirinya hingga disolatkan kemudian dia pulang sebelum dikebumikan baginya satu qirat pahala. (al-Bukhari)

Terima kasih, semoga Allah membalas pengorbanan kalian.

Kepada sahabat-sahabat rapat saya, Bro. Azwin, Bro. Shahmin, Bro. Azwadi dan Bro. Muzani, terima kasih atas keprihatinan anda yang saban hari bertanya perihal abang saya. Terima kasih atas doa kalian. Terima kasih jua buat sahabat-sahabat yang lain.

Sama-samalah kita berdoa اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه

"Ya Allah, ampunilah, kasihanilah, sejahterakanlah dan maafkanlah beliau'

Terima kasih sekali lagi.
Continue Reading

23.5.10

Mari Sedermawan Abdul Rahman Auf


Kenalkah anda dengan sahabat Rasulullah yang dijanjikan syurga iaitu Abdul Rahman bin Auf? Andai taaruf (perkenalan) itu sudah, mari bersama kembali menelurusi sirah. Andai belum, baiklah dihayati kisah dermawan ini.

Abdul Rahman bin Auf ini amat kaya orangnya. Kaya sehingga Rasulullah s.a.w berkata kepadanya "Abdul Rahman bin Auf nanti akan memasuki syurga dalam keadaan merangkak."

Meskipun kaya, Abdul Rahman bin Auf tidak sedikit pun terikat dengan kekayaannya. Buktinya, beliau berhijrah ke Madinah sehelai sepinggang. Beliau meninggalkan segala harta kemewahannya di Mekah demi kecintaannya terhadap Allah dan Rasulullah. Inilah bukti umat ukhrawi dan bukannya hamba duniawi.

Abdul Rahman vs Yahudi di Madinah

Di Madinah, Abdul Rahman yang sehelai sepinggang dari Mekah memulakan perniagaannya dengan meminjam modal daripada sahabat yang lain. Yang ajaibnya, dalam masa yang singkat, beliau berjaya mendapat keuntungan yang melimpah ruah. Kehebatannya dalam perniagaan menjadikan beliau berjaya memecahkan monopoli Yahudi di Madinah dalam bidang perniagaan.

Abdul Rahman Amat Kaya Tapi Dermawan

Keuntungan yang melimpah ruah itu telah menyebabkan seorang sahabat berpesan kepada Abdul Rahman.

"Wahai Abdul Rahman. Aku melihat hartamu terlampau banyak. Bersedekahlah."

Abdul Rahman menjawab,"Aku sudah bersedekah."

"Jadi, bagaimana hartamu masih banyak?"

"Bagaimana hartaku hendak berkurang? Aku infakkan 1000 dinar pada siang hari, dan Allah kurniakan aku 2000 dinar pada malamnya.

Diriwayatkan, pada suatu hari sedang Ummul mukminin, Saidatina Aisyah duduk bersama hamba sahayanya, lalu mereka berasa seperti gegaran berlaku. Lantas, Saidatina Aisyah bertanya hambanya, apakah yang berlaku?

Hamba itu menjawab, "Itu Abdul Rahman bin Auf datang dengan 70 ekor unta merah yang semuanya penuh dengan muatan."

Para pembaca sekalian, unta merah ini jika hendak diumpamakan seperti Pagani Zonda atau Bugatti Veyronlah pada zaman sekarang. Dan yang menariknya 70 unta merah ini, disedekahkan oleh Abdul Rahman ke jalan Allah

Abdul Rahman Amat Cinta Akan Rasulullah s.a.w
Abdul Rahman tidak larut dalam kemewahannya. Beliaulah antara benteng terakhir Rasulullah s.a.w semasa peperangan Uhud. Kecintaannya kepada Rasulullah, menyebabkan beliau ditikam sebanyak 21 tikaman di kaki kirinya sehingga beliau tempang. Subhanallah, inilah dia contoh orang kaya yang melebihkan kecintaan terhadap Allah dan Rasul-Nya daripada kecintaan terhadap kebendaan.

Kesimpulan

Lihatlah bukti-bukti kedermawanan Abdul Rahman ini. Lihat juga pengorbanannya terhadap Islam dan Rasulullah s.a.w. Dia sanggup ditikam 21 kali di kaki kiri sehingga tempang demi menyelamatkan nyawa Rasulullah s.a.w. Ya Allah, Subhanallah. Hebat-hebat.

Saya merasakan Abdul Rahman bin Auf ialah contoh yang baik untuk jutawan masa kini. Bersedekahlah dan bersyukur, maka Allah akan tambah nikmat kepada kamu. Benarlah kata-kata Allah.

p/s: Gambar Bugatti Veyron
Continue Reading

19.5.10

Doakan Abang Saya


Masih terngiang di kepalaku kata-kata doktor ortopedik tersebut.

"Dr. how is his condition?" saya bertanya. Apabila saya sampai di hospital, belum seorang pun dari pihak keluarga yang telah tiba.

"Your brother has open fractured at radius and ulna. At humerus, the muscle has torn apart, where we can obviously see the bone which is also fractured. There is a hole around 1 cm at his head."

"With GCS score 3/15, what is your prognosis? When will he be concious?"

"Now, there is some bleeding at head. Of course, there is cerebral edema that explains why he is unconcious. Now, we have given him Mannitol to reduce the edema. We will do the surgery to insert metal in his hand. Hopefully, the head injury would not affect his brain."

Hikmah di sebalik Musibah

Melihat kepada keadaan abang saya, tipu jika saya katakan saya tidak sedih. Melihat keadaannya yang sudah 2 hari tidak sedar, berat mata saya memandangnya. Namun, saya mengerti. Kami semua merupakan hamba-hamba Allah. Allah yang menciptakan kita. Allah yang berhak untuk menguji hamba-hambaNya. Apabila Allah menurunkan musibah, pasti ada perancangan Allah yang tidak terfikir oleh akal manusia. Ya. Tidak terfikir, kerana akal kita lemah dan terbatas. Ilmu Allah Maha Luas.

Saya juga mengerti. Manusia amat memerlukan Tuhannya, yakni Allah. Sehebat manapun kita, sepakar mana pun kita. Kita tidak mampu mengubah natijah. Kita sebagai manusia hanya mampu berusaha melengkapkan sunnatullah. Berusaha, berdoa, bertawakal dan Allah menentukan natijahnya.

Di Facebook, ramai yang mengatakan innalillahi wainna ilaihi raji'un kepada status saya. Terima kasih atas doa kalian. Ayat al-Quran ini sering kita dengar. Namun, maknanya sungguh besar. Makna ayat ini menunjukkan kita hamba yang lemah, Allah yang maha berkuasa. Allah yang mencipta kita, maka Allah berhak untuk menarik nyawa sesiapa sahaja.

Di kesempatan ini, saya amat mengharapkan doa tuan puan yang budiman. Saya percaya doa itu senjata orang Mukmin. Dan yang ajaibnya, doa ini 'coverage'nya meluas. Di mana sahaja dan pada ketika apapun. Doakan supaya abang saya dipercepatkan kesembuhannya, dipermudahkan urusannya, diberjayakan rawatannya. Doa kan jua agar keluarga saya menerima perancangan Allah ini dengan sabar.

Terima kasih atas doa kalian. Moga Allah memberkati kalian.

Terjemahan

ortopedik= tulang
open fractured= patah yang terbuka (nampak tulang dari luar)
radius, ulna, humerus= tulang-tulang tangan
prognosis= medical justification about what will happen
cerebral edema= bengkak di otak
Continue Reading

16.5.10

Mekah al-Mukarramah

Ini siri kedua selepas entri Madinah al-Munawwarah. Di sinilah bumi yang pertama sekali diciptakan oleh Allah s.w.t. dan didoakan oleh Nabi Ibrahim a.s. supaya bumi ini aman. Keberkatan bumi ini tidak perlu diperkatakan lagi. Saya sendiri mengakuinya. Sejak berbulan-bulan lamanya, saya mencari titik noktah dalam uzlah (keterasingan) saya yang panjang. Uzlah itu menyebabkan saya tawar dengan rasa manisnya persahabatan dan ukhuwwah. Saya lebih menyendiri, takut untuk menyusahkan orang lain, dan berusaha untuk melakukan apa-apa pekerjaan tanpa pertolongan orang lain.

Sebelum ke tanah haram, saya risau, jika saya memerlukan bantuan, adakah di sana insan yang sudi menghulurkan bantuan dengan tanpa rasa teragak-agak? Pengalaman silam melihat manusia yang tidak pandai berterima kasih dan bersikap 'heartless' begitu memberi impak dalam mentaliti saya.

Lantas saya berdoa: Ya Allah, rasakanlah hatiku, agar kusentiasa bersama-Mu, supaya aku rasa ada Kawan melindungku dan supaya ku tak rasa sepi di dalam hidupku. Di tanah suci inilah, Allah tunjukkan dan limpahkan saya kemanisan ukhuwwah yang tiada tolong bandingnya.

Ketika saya mahu melintas jalan, ada yang memimpin saya. Ketika saya keseorangan, ada manusia yang bertanya khabar, bersalam, memeluk dan mencium saya. Saya lihat perkara sedemikian sebagai satu tazkirah dan nikmat terus daripada Allah buat saya.

Bahawa jika anda bersahabat atas dasar tauhid dan keimanan kepada Allah, maka ukhuwwah itu alangkah manisnya. Bukan itu sahaja, sahabat-sahabat seangkatan yang bersama saya mempunyai akhlak yang tinggi. Mereka orang-orang yang tidak lokek untuk menghulurkan bantuan. Sesungguhnya mereka orang-orang yang kaya budi! Alhamdulillah, baru saya sedar, Allah takkan sia-siakan kebaikan hamba-hambaNya. Jika A tidak membalas budi kita, Allah datangkan B, C, D, E dan lain-lain untuk sentiasa membantu kita. Subhanallah.

Begitulah. Jom kita lihat gambar-gambar di Mekah al-Mukarramah.






1,2,3) Kaabah
4) Di hadapan Hotel Baru berdekatan Masjid Haram
5) Bukit Marwah
6) Di atas Jabal Nur (Gua Hira) Sempat lagi posing letih-letih daki bukit.
7) Di Universiti Ummul Qura
8) Marwah dan dataran burung merpati
Continue Reading

15.5.10

Madinah al-Munawwarah

Alhamdulillah, saya diizinkan Allah untuk menjadi tetamu di 2 tanah haram. Setelah menarik diri beberapa kali untuk ke sana, akhirnya, Allah pilih saya jua. Subhanallah, saya terfikir, meski banyak mana pun duit kita, atau kita tidak mampu untuk ke sana, jika Allah izinkan dan pilih kita, kuasa dan perancangan Allah itu amat tak terjangkau dari kuasa dan perancangan manusia.

Dalam rombongan umrah kali ni, saya ditemukan dengan seorang pekerja di Petronas. Meskipun beliau seorang yang kaya dan muda, namun sifat mudah bergaul dan tinggi budi amat saya puji. Dia berpesan, "Jika nak tunggu waktu senggang dengan urusan dunia ni, sampai bila pun tak habis-habis.". Saya mengangguk tanda mengiakan. Manusia tidak mampu memupuk 2 cinta. Biar cinta Allah memimpin cinta-cinta yang lain.

Inilah gambar-gambar di Madinah al-Munawwarah.




1) Di pasar Kurma.

Kurma yang terbaik ialah Kurma Ajwa. Rasulullah s.a.w bersabda:

"Barang siapa yang makan pagi dengan 7 butir kurma Ajwah, maka tak akan mencelakainya racun dan sihir pada hari itu" (Shahih al-Bukhari)

Kurma ajwah ni, ada yang dari bumi Madinah ada yang tidak. Pastikan anda membeli kurma yang ditanam di Madinah.

2) Halaqah al-Quran di Masjid Nabawi.

InsyaAllah, anda akan berpeluang memperbetulkan bacaan anda dengan tuan guru. Indahnya, semua orang yang berbeza warna kulit, duduk bersama membaca ayat-ayat Allah. Dan, mereka ini bersatu atas tauhid kepada Allah jua.

3) Air zam-zam

Ada yang sejuk dan ada yang tidak. Tepuk dada tanya selera. Doa yang dianjurkan untuk kita semasa meminumnya ialah: Allahumma inni asaluka i'lman nafia' warizqan wasia' washifaam min kulli dain. Sahabat baginda, Abu Zar al-Ghifari hidup hanya dengan minum air zam-zam untuk beberapa lama.

4) Kilang al-Quran

Di sinilah, al-Quran dicetak untuk dijual dan diwakafkan di masjid-masjid terutamanya Masjidil Haram dan Masjidin Nabawi. Hanya pihak muslimin dibenarkan melawat dan anda akan mendapat satu al-Quran percuma yang diwakafkan oleh pemerintah Arab Saudi.

5) Di Taybah Universiti Bersama Rektor

Taybah juga nama lain bagi Madinah. Lawatan sambil belajar yang disambut penuh semangat ukhuwwah. Sudah menjadi satu kemestian bagi orang Arab untuk melayan tetamu dengan penuh mesra. Yang masalahnya, saya tak mampu nak makan sebanyakmana orang Arab makan.

6) Bukit Uhud

Pahala solat jenazah digambarkan sebanyak bukit uhud ini. Bukit Uhud ini sepanjang 7 km. Besarkan?

7) Masjid Jumuah

Masjid pertama Rasulullah menunaikan solat Jumaat berkiblatkan Masjidil Haram.

8) Masjid Nabawi

Rindu akan masjid ini. Nak melangkah kaki keluar daripadanya terasa berat. Solat disini pahalanya 1000 kali ganda dari masjid lain kecuali Masjidil Haram

9) Masjid Quba

Pahala solat dua rakaat di masjid ini selepas mengambil wuduk dan bermusafir dari rumah, ialah sama seperti menunaikan satu umrah.

10) Mimbar Rasulullah

Ma baina baiti wa mimbari raudatam mirriyadhil jannah. Apa di antara rumahku dan mimbar ku, taman di antara taman-taman syurga. Kerana itulah orang ramai berebut-rebut untuk solat di raudhah. Solat di antara mimbar dan rumah Rasulullah memang 'feel' dia lain.

11) Dari Perkuburan Baqi'

Perkuburan Baqi' ni ialah kubur ahli Bait, Ummahatul Mukminin dan para sahabat Rasulullah. Perkuburan ini dibuka selepas waktu subuh dan asar.

Ya Allah, aku memohon supaya kubisa menjejakkan kaki ke 2 tanah haram-Mu lagi. Ameen.
Continue Reading

14.5.10

Berhenti Lakukan 7 Perkara di Facebook


Facebook merupakan laman web sosial yang boleh dikatakan semua orang ada akaunnya. Dalam keghairahan kita berinteraksi, kita cuai dalam mendedahkan maklumat yang tidak sepatutnya dikongsikan kepada khalayak ramai. Pembuli internet akan mengambil maklumat diri anda dan percayalah mereka ini bakal melakukan onar di kemudian hari. Sedar-sedar, bil kad kredit kita meningkat!

Maka, jangan lakukan 7 perkara ini.

1) Password yang lemah

Elakkan daripada menggunakan perkataan yang boleh terus dicari dalam kamus atau nama sendiri walaupun gabungan perkataan dan huruf di belakang. Contoh: ahmad07. Jangan. Jangan. Yang terbaik, gunakan gabungan upper case,lower case, simbol, nombor. Masukkan simbol dan nombor di tengah juga satu idea bijak. Contoh: @Hm4Do7

2) Meletakkan Tarikh Lahir

Maklumat tarikh lahir penting bagi penjenayah siber mencari lebih banyak maklumat tentang diri anda seperti nombor akaun bank dan nombor kad kredit. Jika anda telah pun meletakkan tarikh lahir anda, ikut langkah ini.

Tekan Profile--->Tekan info tab--->Edit Information--->Di bawah Basic Information, pilih show only month and day or no birthday at all

3) Mengabaikan 'Privacy Setting' yang berguna

Apa sahaja di Facebook, anda boleh hadkan untuk anda sendiri, kawan sahaja, kawan kepada kawan dan semua orang. Hadkan layaran di bahagian foto, tarikh lahir, religious views, maklumat keluarga dan lain-lain lagi yang anda rasa terlampau terbuka. Berfikir sama ada perlu untuk meletakkan nombor telefon dan alamat rumah.

4) Meletakkan nama anak anda di 'caption' foto

Jangan gunakan nama anak anda di'tag' atau di'caption'. Jika seseorang telah melakukannya, tekan 'remove tag'. Jika anak anda tidak ada akaun Facebook, dan orang lain mendedahkan namanya di caption foto, minta orang tersebut membuang nama anak anda. Jenayah culik kanak-kanak sejak kebelakangan ini menggusarkan.

5) Memberitahu anda tiada di rumah

Itu seperti memanggil pencuri ke rumah anda. Tunggu sehingga pulang dari bercuti atau outstation sebelum ghairah bercerita.

6) Membenarkan 'Search Engine' mencari anda

Untuk memastikan tidak ada orang asing pergi ke profile anda, lakukan langkah ini.

Pergi ke Search section di Privacy Control--->Pilih 'Only Friends' untuk carian di Facebook.

Pastikan kotak kecil untuk Public Search tidak di tick.

7) Membenarkan kanak-kanak menggunakan Facebook tanpa pantauan

Facebook hanya membenarkan kanak-kanak berumur 13 tahun ke atas untuk membuka akaun, tetapi kanak-kanak lebih muda daripada umur tersebut sudah pun menggunakan Facebook. Salah satu cara untuk memantau ialah menjadi 'online friends' mereka. Ini akan memantau apa yang mereka lakukan di facebook, kerana notifications dan komen mereka akan dihantar ke email anda.
Continue Reading

13.5.10

Syukur: Kisah Tembikai

Assalamualaikum. Hari ni kita berperi. Biar peri ini sering didengari tapi yang baik patut diulangi agar pengajarannya dekat di hati.

Arakian, maka pulanglah lelaki soleh membawa sebiji tembikai. Tembikai itu lantas diserahkan kepada isteri tercinta.

Maka dibelah oleh si isteri lantas dia merasa. "Ah, tawar sekali rasa. Seperti tidak diletak gula. Masakan mahu di makan orang. Melepas tekak tidak pula akan tembikai ini."selar isteri yang asyik menyelar sahaja kerjanya. Suka makan ikan selar kuning agaknya.

Lelaki soleh memandang tepat ke arah isteri belahan jiwanya. Atau dalam bahasa Jawanya sigaraning. Dia membuka bicara "Abang yang beli di pasar tadi. Agaknya intan payungku, hajat hati mahu dipilih manis atau tawar di pasar tadi?"

"Alah, abang ni. Masakan tidak tahu. Sudah gaharu cendana pula. Kura-kura dalam perahu pun tahu jawapannya." jawab si isteri walaupun sedikit gusar, benarkah kura-kura pun tahu?

"Nah, ketika penjual tembikai ini menjual di pasar, adakah yang manis atau yang tawar pilihan hatinya?"

"Manislah kanda. Jikalau tawar, tidakkah bersepai kepala penjual itu dengan tembikai-tembikainya? Ish, ish kanda ni. Relevan, kanda. Relevan."

"Isteriku yang matanya bulat bak purnama mengambang. Dahimu luas sekangkang kera. Bibirmu merah bak delima merekah," si suami menarik nafas, tidak berani dia memuji memuja si isterinya lagi, kerana si isteri sudah kembang semangkuk.

Lantas dia menyambung, "Semua orang mahukan yang manis. Dari penanam tembikai, pemetik tembikai, peraih tembikai, penjual tembikai, pembeli tembikai, pembelah tembikai. Tetapi, kuasa Allah yang memutuskan buah itu tawar rasanya. Jadi awak nak marahkan siapa? Awak nak marahkan Allah yang menentukan rasa tawar?

Zasss. Terdiam si isteri. Mukanya yang hitam-hitam manis bak kulit manggis itu bertukar menjadi merah merona kulit rambutan.

Syukur

Syukurlah dengan apa yang ada. Syukurlah, maka Allah akan tambah nikmatnya kepada kamu. Belajarlah menyukai apa yang kita ada. Apa yang ada, jarang disyukuri. Apa yang tiada sering dikesalkan.

Adab makan juga, jangan dikecam makanan yang tidak sedap. Renunglah dan hayatilah kisah di atas. Sanggupkah kita marah dengan Pencipta kita?
Continue Reading

11.5.10

Tips: Hidup Mudah dan Tenang


Seronoknya apabila hidup kita dalam keadaan tenang. Jika selalu berfikir, kesihatan kita akan terjejas. Bukan tidak boleh berfikir, tapi jika terlampau berfikir, kita akan mensia-siakan masa dan peluang yang terbentang luas di hadapan kita. Jadilah kita umpama pepatah, kuman diseberang laut kelihatan, gajah di depan mata tidak pula.

Rancang dengan Apa yang Ada

Pernah dengar lagu Nowseeheart? "Rancang dengan apa yang ada ditangan, Bukan yang kita angan-angankan?". Malah cerdik pandai mengingatkan: "Beradalah di tempat kamu berada."

Maknanya, hidup dan beradalah pada hari ini dan sekarang. Jangan dikhuatir hari esok yang belum pasti. Jangan dihantui hari semalam yang telah berlalu

Yang pentingnya, rancang dan susun jadual kehidupan kita, kerana kegagalan untuk merancang, bermakna kita merancang untuk gagal atau istilah yang lebih popular "Fail to Plan is Plan to Fail". Iya kan?

Hidup umpama membaca sebuah buku yang tebal. Sabar dan jangan dilangkau-langkau dalam membacanya. Bacalah mengikut helaian dan setiap patah kata. Terkadang, kita boleh menggunakan pengalaman dan ilmu, yang sudah kita baca pada halaman sebelumnya untuk tindakan kita sekarang.

Nah, inilah antara rahsia ketenangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Mereka amat produktif kerana tidak gelisah dengan perkara yang tidak pasti. Mengapa saya katakan mereka produktif? Kerana kelangsungan dakwah mereka sampai kepada kita generasi kini. Allahumma Solli Ala Muhammad!

Usah difikirkan sangat masa depan yang dikawal oleh Tuhan. Inilah hikmahnya mengapa Allah rahsiakan Qada' dan Qadar daripada pengetahuan manusia. Supaya hamba-hambaNya dapat hidup tenang tanpa diganggu sedikitpun tentang pengetahuan masa hadapan.

Life make it simple

Akhirnya, life make it simple. Tenanglah dan hiduplah dengan mudah. Usah bebankan diri anda dengan perkara yang tidak pasti. Gunakan masa sebaiknya sekarang. Anda di masa depan ialah apa yang anda usahakan sekarang!
Continue Reading

9.5.10

Tips: Berlindung daripada Syaitan

Dalam usaha mengubah diri ke arah kebaikan, pasti ada musuh-musuh yang tidak senang dengan penghijrahan kita dari wilayah gelap ke wilayah cahaya. Siapakah musuh tersebut? Tidak lain dan tidak bukan dialah syaitan.

Siapakah syaitan?

Untuk menentang musuh, kita kena terlebih dahulu kenal dengan musuh kita. Betul tak? Menurut Ibn Jarir at-Tabari, "Sebenarnya, kalimah syaitan lazim digunakan oleh orang Arab dalam percakapan yang merujuk kepada setiap pembangkang daripada golongan jin, manusia, haiwan dan segala sesuatu."

Nah, ketuanya Iblis tapi syaitan itu boleh menjadi sesiapa sahaja yang membangkang. Itu termasuklah golongan manusia dan jin.

Setiap manusia ada qarin (jin yang mendampinginya)

Setiap manusia ada disertai oleh qarin. Ini bertepatan dengan Hadis Muslim no. 2814:

Rasulullah s.a.w bersabda: "Tidak ada seorang pun daripada kalian melainkan telah diutuskan kepadanya qarin (pendamping) daripada kalangan jin.

Para sahabat lantas bertanya: termasuk Nabi juga?

Jawapan Nabi: "Ya, cuma Allah telah membantuku menyebabkan ia masuk Islam, maka ia hanya menyuruhku melakukan kebaikan".

Cara Berlindung

Dah jelas difirmankan oleh Allah dalam surah al-A'raf ayat 201:

"Sesungguhnya orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)."

Selain itu:

1) Memperbanyakkan berta'awwuz. (A'uzubillahiminassyaitonirrajim)
2) Menjaga wuduk
3) Mengamalkan ayat kursi
4) Membaca keseluruhan surah al-Baqarah
5) Mengucapkan tahlil (lailahaillAllah)
6) Membaca doa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w daripada hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas'ud r.a. (al-Baihaqi)

"Allahumma inni A'uzubika Minassyaitonir Rajim, Wanafkhihi, wahamzihi, wanafthihi"

Bermaksud: Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada syaitan yang terkutuk, daripada penyakit gila yang ditimbulkannya, daripada godaannya dan hembusannya.
Continue Reading

8.5.10

Solat Dhuha: Amalan Orang Kaya


Solat Sunat Dhuha merupakan solat sunat yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w melalui hadis-hadis baginda. Makanya, ini merupakan sunnah qauliyah (perkataan) dan merupakan sunnah tertinggi jika hendak dibandingkan dengan sunnah taqririyah dan sunnah fi'liyah (perbuatan).

Waktu Solat Dhuha

Dari naik matahari sampai sepenggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir. Tetapi disunatkan dita'khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.

Berapa rakaat?

Solat sunat ini sama seperti solat sunat yang lain yakni dua rakaat dan satu salam.

Berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh at-Thabarani:

Sesiapa yang mengerjakan solat sunat dhuha,

2 rakaat=orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah
4 rakaat=orang yang suka beribadat
6 rakaat=dicukupkan baginya hari tersebut
8 rakaat=orang yang selalu berbuat taat
12 rakaat=Allah akan membina baginya mahligai di dalam syurga

Doa Selepas Solat sunat Dhuha

Ya Allah ya Tuhanku, jika rezekiku di atas langit, maka Engkau turunkanlah. Jika rezekiku di bumi, maka Engkau keluarkanlah. Jika sukar, mudahkanlah. Jika lambat, percepatkanlah. Jika haram, halalkanlah. Jika jauh perdekatkanlah.

Kelebihan

Rasulullah s.a.w bersabda: 2 rakaat solat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.

Inilah yang dipegang oleh sahabat baginda Said bin Zaid. Ketika beliau menjadi pemimpin dan hidup dengan keadaan yang begitu zuhud, Khalifah Umar al-Khattab bertemu dengannya untuk memberi sedikit bantuan. Beliau menjawab: Aku mengamalkan solat sunat Dhuha, maka itu sudah cukup mengkayakan aku.

Rasulullah s.a.w. juga bersabda:Barangsiapa yang menjaga solat Dhuhanya, maka diampuni Allah baginya segala dosanya walaupun seperti buih di lautan (Ibnu Majah dan At-Tirmidzi).

p/s

Ramai yang sedang bercuti barangkali. Dan hari ni dan esok merupakan hari cuti. InsyaAllah boleh diambil masa 5 minit untuk mengerjakan solat sunat Dhuha. Sama-sama kita sokong satu sama lain untuk beramal.
Continue Reading

6.5.10

Usah Jemu Melakukan Kebaikan


Dia ni kan tak tau berterima kasih langsung. Orang buat baik, boleh dia buat muka seposen. Malaslah aku nak tolong dia lagi. Monolog Azuwin.

Kebaikan dibalas kebaikan

Kenyataan di atas selalu terdetik dalam hati kebanyakan daripada kita. Seringkali kita terluka dengan orang-orang yang tidak pandai berterima kasih meskipun kita sudah membuat kebaikan. Orang-orang sebegini menyebabkan hati kita lesu dan jemu untuk melakukan kebaikan dan kebajikan.

Saya tidak terkecuali dalam hal ini. Saya tercari-cari apa sebenarnya makna disebalik ujian Allah ini. Akhirnya, alhamdulillah, saya ketemu jawapannya. Sifirnya sama: buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat.

Contohnya, si A selalu bertanya khabar, menolong dan berbakti kepada si B. Tapi si B tak pula begitu. Tapi si A lupa, si C sering bertanya khabar, menolong dan berbakti kepada si A. Subhanallah, janji Allah itu benar.

Contoh lagi, seorang pekerja yang ikhlas bekerja dan menganggap Allah is his CEO. Dia tak bodek-bodek untuk naik pangkat, naik gaji dan sebagainya. Meskipun begitu, Allah balas keikhlasannya, kebaikannya dengan anak-anak yang berjaya, berpangkat besar, isteri yang solehah dan sebagainya.

Rumusan

Allah Maha Adil. Allah takkan sia-siakan kebaikan hamba-hambaNya yang ikhlas melakukan kebajikan. Kebaikan itu ibarat bola getah yang kita baling ke dinding, dan dia akan memantul kembali kepada kita.

Usah jemu melakukan kebaikan meskipun tidak mendapat penghargaan. Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, sedikit sekali hamba Allah yang bersyukur meskipun Allah Maha Pengasih dan Maha Pemurah.

Lihat! Allah tidak berhenti memberi biarkan manusia tidak tahu bersyukur. Jadi, siapalah kita sebagai manusia untuk jemu memberi.

Teruskan memberi dan berbakti, kerana yang memberi akan merasa ketenangan jiwa dan kebahagiaan andai ikhlas bertakhta.
Continue Reading

5.5.10

Macammana Nak Jadi Baik?


Dari tingkap Monorail, kelihatan sekawan muda remaja berlainan jantina melepak di hadapan Times Square. Jauh lamunannya bersama renungan yang berat.

"Oit, kot ye pun janganlah berangan tengah hari buta. Apa kes?" sapa Shahmi sambil mencuit telinga Solah.

"Mi, Macammana nak jadi baik?"

Oh. Mamat ni tengah fikir benda ni rupanya. Ingatkan duk ingat tunang dia."Sebelum How, What is baik tu kena define dulu. Soalan How kau tu at some point in life is common. Sebab fitrah manusia nak jadi baik. So baik ni, definition dia apabila kita buat semua yang Allah suruh, dan tinggalkan semua yang Allah larang. Easy to say but hard to practice."

"Yup, indeed. Susah sebenarnya. But, aku ingat pesan sorang ni. Dia cakap, you'll never reach perfection because there's always room for improvement. Yet, along the way to perfection you'll learn to get better".

Diam. Otak Shahmi mencerna. Memang betul pun. Memangla nak mencapai kesempurnaan (jadi total baik) tu benda mustahil. Tapi kalau sentiasa usaha ke arah itu, tak ke berubah ke arah yang hampir sempurna?

"True. Cakap kau ni ada kaitan dengan Love Letter 2 ayat 208. Masuklah kamu ke dalam Islam secara sepenuhnya. Sebab itu kena define baik bebetul. Seorang yang solat tapi tak pakai tudung belum lagi baik. Seorang yang pakai tudung tapi pakai baju ketat, seksi belum lagi baik".

Solah mengangguk. Betul. Seorang yang solat tapi pakai seluar pendek main bola, dalam bilik, tak jaga aurat, belum baik. Seorang yang selalu menzalimi, menyakitkan hati orang belum baik. Seorang yang duk mencarut, menyumpah belum lagi baik.

"Mi, thanks a lot. Sekarang aku lega sikit. Kau pun tahu history aku. Bukan senang nak berubah dari Linkin Park, Blink 182 ke Maher Muaiqily. Dari clubbing,wayang ke masjid. Dari URTV, Mangga ke Harun Yahya. Sebab semua tu macam dah "all here"". ujar Solah sambil menunjuk dadanya.

"Flesh and bones, eh? Takpe Solah, take your time. Yang penting hati tu kena islah betul. Tonyoh dengan Clorox,Daia semualah. Tapi aku bangga kau dah berubah sampai tahap ni."

"Thank you bro. Uhibbukafillah."

"Uhibbukafillah aidhon. Saya sayang kamu kerana Allah juga." ujar Shahmi sambil tersenyum.
Continue Reading

4.5.10

Berubah Meskipun Payah


Dahulu Aku Ori Bukan Fotokopi, kini Berubah Meskipun Payah.

Buat 'mereka' yang mahu berubah
Berubahlah meskipun payah
Berubahlah untuk hidup yang lebih indah
Tuhan tidak memandang natijah
Berusahalah walaupun tersungkur rebah

p/s: Blog ini sudah ditajdidkan. Entri akan menjadi lebih pendek. Masa membaca insyaAllah kurang 5 minit. Masa mengload insyaAllah lebih baik. Datanglah ke sini. Mari kita bina usrah maya. Berpesan-pesan demi hak dan kesabaran. Uhibbukum fillah.
Continue Reading
Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template