20.10.11

Panadol Selamat atau Tidak?

Selamat atau tidak? (pic~google image)
Saya membaca salah satu link di Facebook bertajuk "Pengambilan Panadol memudaratkan kesihatan". Itu memanggil saya untuk melakukan kajian apakah benar seperti yang digembar-gemburkan? 

Saya hanya mengambil langkah berhati-hati kerana kecanggihan teknologi dewasa ini, memberi ruang dan peluang yang besar bagi sesiapa sahaja yang ingin untuk berkongsi maklumat. Tugas kita sebagai pembaca untuk membuktikan kesahihannya dengan merujuk kepada ahli dalam bidang-bidang tersebut.

Justeru, saya cuba membuktikan kenyataan-kenyataan yang diuar-uarkan. Sebelum kita bermula, Panadol ialah nama produk, manakala Paracetamol atau Acetaminophen (U.S.) ialah nama ubat.

Cepu emas: Apakah nama produk selain Panadol yang mengandungi Paracetamol? 

Kenyataan 1: Paracetamol toksik kepada tubuh kita. Ia merosakkan organ hati. 

Secara asas, hati ialah organ di mana ubat-ubat di dalam badan kita diproses untuk menjadikannya lebih mudah dikeluarkan daripada badan. Saluran utama ubat-ubat ini untuk keluar daripada badan ialah melalui air kencing.  

Panadol, sekiranya diambil mengikut dos yang ditetapkan iaitu 2 biji (500mg) 4 kali sehari (dos maksimum sehari:4 gram) adalah 'painkiller' yang selamat tanpa merosakkan organ hati. 

Di hati, paracetamol diproses menjadi bahan kimia yang mudah dikeluarkan di dalam air kencing. Terdapat sedikit peratusan daripada paracetamol (Panadol) bertukar menjadi bahan kimia yang reaktif. Walaubagaimanapun, setiap sel di hati mengandungi 'glutathione' yang berfungsi untuk meneutralkan bahan kimia ini dan membuangnya juga melalui air kencing.

Sekiranya, dos Panadol diambil terlampau tinggi, ini akan menyebabkan sel-sel hati akan mati. Sepanjang saya bekerja di hospital, orang-orang yang putus cinta sering menelan paracetamol untuk membunuh diri. Kami sebagai farmasis sering dipanggil untuk menyelamatkan mereka yang suka mencampakkan diri ke lembah kebinasaan. 

Kesimpulan: Kenyataan 1 Benar jika ambil terlalu banyak Panadol melebihi dos maksimum.

Kenyatan 2: Panadol akan tinggal di dalam badan selama 5 tahun? 

Sepanjang saya belajar dan bekerja, saya tidak pernah mendengar kenyataan sebegini tentang Panadol. Setiap ubat ada 'half-life' di dalam tubuh badan manusia. Half-life ialah masa yang diambil untuk jumlah ubat berkurangan sebanyak 50% daripada dos asal.


Sebagai contoh, Panadol sering diambil 2 biji yakni 1000mg. Half life untuk Panadol ialah 1 hingga 4 jam. Selepas 1 hingga 4 jam, jumlah Panadol akan berkurangan sebanyak separuh yakni 500mg. 

Jadi, dalam masa 48-72jam, Panadol akan dikeluarkan sepenuhnya daripada tubuh kita melalui air kencing. 

Kesimpulan: Kenyataan 2 Tidak Benar bahawa Panadol akan tinggal di dalam badan selama 5 tahun. 

Kenyataan 3: Panadol adalah sejenis “pain killer”, semakin banyak anda mengambilnya, semakin lama semakin kurang kesannya kepada anda. Bererti anda perlukan dos yang lebih lagi apabila ia kurang berkesan. 

Secara asas, saintis masih melakukan kajian tentang bagaimana Panadol bertindak di dalam tubuh. Mereka mempercayai Panadol mengurangkan 'prostaglandin': bahan kimia yang menyebabkan penghasilan bahan-bahan kimia lain yang menyebabkan kesakitan di dalam tubuh badan.

Badan kita mempunyai mekanisme yang tersendiri untuk memastikan keseimbangannya. Kemasukan bendasing, ubat ke dalam tubuh badan menyebabkan tubuh badan cuba mengelakkan ubat ini untuk mengganggu sistem tubuh. 

Justeru, semakin banyak dos panadol yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu kesan. Ubat yang mengganggu sistem otak dan saraf tunjang berkait rapat dengan fenomena ini. Seperti yang saya terangkan, saintis masih melakukan kajian tentang bagaimana Panadol bertindak.

Selain itu, pada asasnya, badan kita juga perlu berehat daripada terus-terusan memakan ubat. Ini akan memberikan masa untuk protein protein di dalam badan untuk kembali aktif menerima ubat-ubat. Kesannya, keberkesanan sesuatu ubat akan lebih terjamin. 

Kesimpulan: Kenyataan 3 Benar. Ubat seperti Panadol juga dipercayai dapat mengurangkan kesakitan melalui tindakannya dalam mengurangkan 'prostaglandin' dalam tubuh badan. Saintis belum mengetahui tindakan sebenar Panadol. Secara asasnya, ubat yang memberi kesan di otak dan sistem saraf tunjang berkait rapat dengan kenyataan 3.

Kesimpulan

FDA Amerika Syarikat pada tahun 2009 telah berbincang mengenai perkara ini. Mereka telah memastikan produk-produk yang hanya mengandungi Paracetamol dijual 1 tablet atau caplet tidak melebihi 650mg. Bukan lagi 1000mg seperti tahun-tahun sebelumnya. 

Bagi tablet yang mengandungi Paracetamol bersama ubat-ubat yang lain, jumlah Paracetamol maksimum ialah 325mg untuk 1 tablet. Langkah-langkah ini bertujuan untuk mengurangkan kesan toksik Paracetamol.

Secara asas, dos maksimum untuk Panadol sehari ialah 4 gram = 8 biji Paracetamol 500 mg.

Dos yang disyorkan ialah 2 biji (500mg) 4 kali sehari bermakna setiap 6jam.

Saya suka untuk memetik kata-kata Doktor dari Switzerland, Paracelsus:


All things are poison, and nothing is without poison; only the dose permits something not to be poisonous. 

Justeru, patuhilah dos yang ditetapkan. Ambillah ubat dengan kaedah yang betul. 
Continue Reading

19.10.11

Cerpen: Ujian Tanda Allah Kasih

Tumbuh kerna kasih-Nya (pic~deviantart)
Salina memandang skrin komputer. Sudah menjadi satu rutin untuk dia melayari laman Facebook sebelum ke laman-laman yang lain. Niatnya murni, dia ingin terus berhubung dengan keluarga dan teman-teman meskipun dipisahkan oleh biru laut. Bahkan, sekarang musim luruh menyelubungi benua Eropah. Waktu malamnya lebih panjang berbanding musim panas. Justeru, Salina lebih suka terperuk di rumah.

Tut tut. Bunyi itu keluar dari corong pembesar laptop serentak dengan terbitnya tetingkat chat di Facebook. 


(Salwani): Salam Ina. Tengah buat apa tu?

(Salina): Waalaikumussalam. Tengah 'chat' dengan Wani.

(Salwani): Loyar buruk ya. Haha. By the way, Ina, aku ada masalahlah. Boleh tolong solve tak?

(Salina): Oh, bila ada masalah, cari Ina ya. Macam pegawai keselamatan pula. InsyaAllah, Allah pasti menolong. Ceritalah.

(Salwani): Macam ni Ina. Aku tak boleh cope belajar di France ni. Bayangkan, kuliah dalam French. Aku tak faham apa-apa. Nak belajar dengan kawan-kawan, aku seorang saja Melayu di universiti ni. Buntulah. Macammana aku nak pass exam ni.

(Salina): Wani, inilah tanda Allah kasih. Dia uji Wani. 

(Salwani): Kasih? Apa maksudnya? Wani terseksa sangat dengan ujian ni. Menangis saja tiap hari.

(Salina): Ya, Allah kasih akan kita. Dengan ujian, Dia panggil balik kita supaya kembali kepada-Nya. Allah rindu kita berdoa, merintih, menangis, meratap meminta kepada-Nya.

(Salwani): Aku dah berdoa, Ina. Agar dipermudahkan urusan aku kat sini. Namun, setiap hari aku rasa down. Kawan-kawan lain pick up dalam kelas. Aku nganga sorang-sorang.

(Salina): Itu tanda tarbiyyah, Wani. Allah nak upgrade sifat sabar dan tawakal dalam diri. Dengan ujian, baru mapan iman. Betul tak Wani?

(Salwani): Logik jugak. Dengan ujian baru iman jadi kuat. Tanpa ujian kita berada di zon yang selesa, lantas berdikit-dikit lupa akan Tuhan. 

(Salina): Haah, betul-betul. Lagi satu, kitakan hamba. Hamba hanya mampu berusaha, Allah yang mentakdirkan segala sesuatu. Jika apa yang kita usahakan tidak tercapai, kita kena redha dan beriman dengan Qada' dan Qadar Allah. Allah maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. 

(Salwani): Betullah Ina. Kitakan hamba. Pemikiran kita terbatas. Setakat ini, aku tak mampu fikir apa hikmahnya Allah uji dan campak aku sorang-sorang di France ni. Pasti, ada hikmahnya.

(Salina): Kembali senyumlah Wani. Orang Mukmin harus strong. Allahkan bersama orang-orang Mukmin.

(Salwani): Tq Ina. Tak sia-sia aku chat dengan hang. Bila nak lawat aku dekat France ni? Denmark tu bukan jauh mana.

(Salina): Sama-sama. InsyaAllah, cuti winter nanti ya. Ina pun cuti lama sampai New Year. Apa-apa Ina roger balik.

(Salwani): Orait. Ilalliqa' ukhti. Assalamualaikum

(Salina): Ma'assalamah. Waalaikumussalam.

Salina menutup tetingkap chat Facebook. Dia meng'update' status:

Sabda Rasulullah S.A.W.: Aku takjub dengan perihal orang yang beriman.Semuanya ada kebaikan.Tidak ada suatu kebaikan pun kecuali ianya untuk orang yang beriman. Apabila diberikan sesuatu nikmat, dia akan bersyukur. Maka itu baik baginya. Apabila diuji dengan suatu ujian, dia akan bersabar.Maka itu juga baik baginya. (Imam Muslim) near Copenhagen, Denmark
Continue Reading

18.10.11

Budaya Kerja Orang Denmark

Bersama Harrie, supervisor
Pada tahun 2010, Forbes.com melaporkan orang Denmark ialah orang yang paling gembira di dunia. Salah satu faktor utama mereka gembira adalah kerana budaya kerja. Setelah beberapa lama di Denmark, saya terdedah dengan budaya kerja dan hidup orang Denmark yang baik untuk diperhatikan dan dicontohi.

Orang Denmark kurang formal

Semasa kuliah berjalan, saya terkejut juga dengan stail pakaian pensyarah. Dengan muka yakin, beliau pakai jeans 3/4 dan mengajar. Itu yang perempuan. Yang lelaki dengan T-shirt dan 'sweater' saja.

Rupa-rupanya macam itulah budaya mereka. Jika anda hendak hadir temuduga kerja di sini, tak perlulah memakai tali leher, kot dan sebagainya. Orang Danish akan berfikir anda "salesman". Cukup dengan jeans, baju kemeja dan kasut. Pakai pakaian 'leisure' saja. 

Orang Denmark 'enjoy' bekerja

Mereka amat menggemari apa yang mereka kerjakan. Pernah seorang pengutip sampah di temuduga oleh satu syarikat televisyen. Dia tidak merasa hina hanya kerana dia bekerja sebagai pengutip sampah. Orang ramai akan bertegur sapa dengannya dan menganggap pekerjaannya penting.

"Work life balance"

Ini merupakan satu budaya yang amat menarik minat saya. Jarang sekali mereka berada di tempat kerja selepas jam 4 atau 5 petang. Selepas kerja, mereka akan bersenam di gim, atau mengambil anak-anak dari sekolah dan tidak kurang juga beriadah di taman-taman yang menghijau di kota Copenhagen ini. 

Seorang rakyat Malaysia yang bekerja di sini juga merasainya. Setelah dia pulang, tidak wajib baginya mengangkat telefon dari pejabat. Mentaliti mereka, sekiranya tidak mengangkat telefon, itu bermakna pekerja tersebut sudah pulang ke rumah. Kalau di Malaysia, esoknya pasti ditegur bos kerana tidak mengangkat telefon. =)

"Work life balance' juga merupakan faktor bagi majikan untuk memilih pekerja. Mereka mahu melihat bakal pekerja mereka bukan hanya seorang yang rajin bekerja tetapi mempunyai aktiviti-aktiviti yang lain selepas waktu kerja. Mereka melihat pekerja mereka sebagai seorang manusia secara keseluruhannya.

Ketepatan Masa

Budaya ketepatan masa di Denmark amat saya puji. Jika pukul 10 pagi anda berjanji, mereka akan tiba awal 5 hingga 10 minit. Jika anda lewat, itu sudah memberikan persepsi yang kurang enak. 

Jika kelas bermula pada jam 8 pagi, maka pensyarah akan mulakan kelas pukul 8 pagi meskipun kehadiran belum penuh.

Aktiviti-aktiviti luar dan persatuan

Di Denmark terdapat beratus-ratus kelab dan persatuan untuk menepati hobi dan minat rakyatnya. Balik sahaja dari tempat kerja, mereka akan bermain, pergi ke kelas memasak dan melakukan pelbagai hobi yang lain. Hidup mereka bukan hanya tertumpu pada kerja tetapi pelbagai lagi aktiviti yang dapat mewarnai kehidupan, mengurangkan stress dan gembira untuk bekerja kembali.
Budaya berbincang

Di sini, anda berhak untuk bersuara untuk memberikan pendapat meskipun di hadapan anda ialah bos-bos besar. Orang Denmark ini saya boleh katakan sosialis. Jadi meskipun bos, tak semestinya kita perlu rasa ada batu penghalang untuk dijadikan kawan dan melontarkan idea. Satu kebiasaan bagi seorang bos untuk turun ke pantri dan membancuh kopi lalu bersembang dengan para pekerjanya.

Kesimpulan

Saya amat memuji budaya ketepatan masa dan 'work-life balance' rakyat Denmark.

p/s: Sumber tulisan ini ialah daripada beberapa ceramah kareer yang saya hadiri. Ceramah-ceramah ini disampaikan oleh orang Denmark dan expatriat yang bekerja di sini. Saya masih mahu pulang dan bekerja di tanah air.

Continue Reading

9.10.11

Ikon Denmark: The Little Mermaid

Tidak sah jika anda berkunjung ke Denmark tetapi tidak meluangkan masa sedetik dua untuk melawat patung The Little Mermaid.  Foto anda bersama patung itu merupakan bukti kukuh anda sudah tiba di Denmark. Itulah yang menjadi kemestian para pelancong yang datang ke sini.

Patung ini terletak di Langelinie, Copenhagen. Kerana pusat bandar Copenhagen yang sederhana besar, hanya dengan berjalan kaki dari Stroget pun anda boleh tiba ke sini. Jaraknya kurang lebih 2-3km. Jika tidak, anda boleh berbasikal dengan menggunakan basikal yang disediakan khas untuk pelancong. Dengan 20 kroner (RM12), anda sudah boleh memulakan kayuhan. Setelah anda meletakkan basikal pada tempatnya, anda boleh ambil kembali 20 kroner tersebut. Ya, percuma saja. Tiada had waktu.

 The Little Mermaid merupakan karya 'fairy tale' yang popular. Karya ini ditulis oleh Shakespeare Denmark (Hans Christian Andersen) pada tahun 1837. Ia mengisahkan kehidupan seorang puteri duyung yang sanggup meninggalkan dunianya di laut demi mengejar cinta putera kacak di darat.

Patung Little Mermaid ini dibuat oleh pengukir patung iaitu Edvard Eriksen pada tahun 1913. Dia menggunakan isterinya sebagai model untuk patung tersebut. Patung ini telah mendepani pelbagai masalah vandalisme. Dia pernah kehilangan kepala dan juga kedua-dua belah tangannya banyak kali.  Pada tahun 2006, seniman Denmark Bjorn Norgaard telah membuat semula patung tersebut. Patung tersebut kini diperbuat daripada konkrit yang menyukarkan masalah vandalisme yang mendatang.

Ya, hampir terlupa. Anda juga boleh menaiki boat untuk melihat seluruh ikon-ikon penting di Copenhagen termasuklah The Little Mermaid. Selamat melancong ke Denmark.
Continue Reading
Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template