Mungkin semua pelabur tengah teruja untuk membeli unit-unit amanah kerana harga NAB (nilai aset bersih) dewasa ini sedang rendah daripada harga pembukaan. Namun, ada juga yang menanti harga terendah sebelum membeli unit-unit amanah ini. Pelbagai spekulasi dan ramalan dikeluarkan namun semua itu akan menjadi realiti jika sekiranya dengan izin Allah s.w.t. Sedikit selingan: insya Allah itu amat penting untuk dituturkan kerana kita sebagai hamba-Nya tidak pasti dengan segala aturan yang Allah buat untuk kita. Teringat saya kisah yang dicatatkan dalam surah al-Qalam dari ayat 17-34. Dalam ayat itu, diceritakan tuan-tuan punya kebun yang yakin tahap habisan akan tuai hasil tanaman mereka sehingga lupa kuasa Tuhan. Lupa menyebut insya Allah. Akhirnya, maha Kuasa Allah memusnahkan kebun mereka dengan sekelip mata saja.
Bersambung kembali: buat yang masih baru dalam unit amanah, izinkan saya untuk menerangkan unit amanah serba sedikit. Unit amanah ini merupakan pelaburan yang mengumpul wang daripada pelabur-pelabur (kita) untuk dilaburkan dalam pelbagai disiplin pelaburan seperti saham atau bon. Objektif utama sudah pasti untuk mengaut keuntungan. Terang lagi tak perlu disuluh. Namun, pesanan saya, piihlah produk unit amanah yang halal. Rezeki berkat, dunia akhirat sejahtera.
























