17.5.11

Bukankah Aku Saudara Kamu?


DD berjalan tunduk menuju ke pejabatnya. Dalam hati bercampur rasa. Rasa malas berjumpa orang, rasa malas bekerja, rasa Blue Monday dan rasa mahu cuti selamanya. Biar dia berjalan tunduk. Mudah, tak adalah orang perasan. Dan, tidaklah orang mengata dia sombong. Maklumlah, gosip-gosip office tak kurang panasnya. Sekali terkena pancaran, gerhana juga jiwa.

Sesekali dia mendongak juga memastikan arah tujuan. Dia terpandang kawan sekerjanya, KZ. Meskipun mereka kurang rapat, tapi mereka kenal antara satu sama lain.

Baik aku tunduk. bisik hati DD. Dia mempercepatkan langkah. Dalam tunduk, dia dapat merasakan yang dia sedang berselisih dengan KZ.

Tiba-tiba, tangannya ditarik. KZ berkata dengan senyum terukir, "Bukankah aku saudara kamu?"

Mata DD membulat terkejut. "Apa maksud hang KZ?" Dalam terkejut terkeluar loghat utara DD.

"Bukan, aku pelik, kau menunduk dan tidak memberi salam kepadaku. Bukankah aku saudara seIslam kamu?"

DD tersentak. Benar. Salam itu syiar Islam. Salam itu doa. Dia memandang KZ. "Assalamualaikum, KZ."

"Waalaikumussalam, DD. Jom sarapan sekali."

Salam sebagai wadah eratkan kasih-sayang

Di medan selera, mereka duduk semeja. Saling bertentangan. Di hadapan DD, set makanan breakfast barat: omelette, sosej, baked beans dan sandwich. Di hadapan KZ, terhidang nasi lemak dengan telur mata kerbau.

DD memulakan bicara, "KZ, terima kasih atas peringatan kau tadi. Salam itu memang penting. Kita sebagai umat Islam lupa. Selalu kita cakap Good Morning, Morning dan sebagainya apabila ketemu orang. Terima kasih. Terima kasih."

KZ menjawab, "Sama-sama. Aku setuju dengan hang. Kita kena ingat, sabda Rasulullah s.a.w:

Kalian tidak akan masuk syurga sampai kalian beriman dan saling mencintai. Mahukah aku tunjukkan satu amalan apabila dilakukan akan membuat kalian saling mencintai? Iaitu, sebarkanlah salam antara kalian."

DD menyampuk, "Ya, hadis riwayat Muslim itu. Semoga Allah mengganjari kamu atas peringatan kamu tadi."

KZ menyambung, "Semoga Allah mengganjari kamu jua. Salam itu juga salah satu daripada 6 hak sesama Muslim. Tahukan?"

DD mula buat muka lupa campur tak pernah dengar. "Apa ya Ustaz KZ?" Dia bertanya sambil tersengih.

Salam salah-satu hak sesama Muslim

KZ menjawab, "Ustaz apa. Kitakan pharmacist. Hehe. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Hak Muslim ataas Muslim yang lainnya ada 6.

1) Ucapkanlah salam apabila kamu bertemu dengannya.
2) Jika dia mengundang kamu, maka penuhilah undangannya.
3) Jika dia meminta nasihat, maka berikanlah dia nasihat.
4) Jika dia bersin, dan memuji Allah (mengucapkan Alhamdulillah) maka ucapkanlah (Yarhamukumullah)
5) Jika dia sakit, maka jenguklah dia
6) Jika dia meninggal dunia, maka iringilah jenazahnya."

DD terkesan dan menutur rendah. "Satu lagi hadis riwayat Muslim"

"Waa, aku macam tak percayalah. Kau ni macam lulusan dalam ilmu Hadis pula. Semua riwayat kau hafal." KZ mengusik.

"Mana ada, dulu masa sekolahkan kena hafal. Buat salah sikit, kena hafal hadis sebagai hukuman. By the way, Thanks atas peringatan."

"You are more than welcome. Apa guna Muslim kalau tak saling ingat-mengingatkan. Ok, dah masuk waktu kerja ni. Jom."

"Let's go and tuai pahala." ujar DD sambil tersenyum.
Continue Reading

8.5.11

Nak Jadi Baik Memang Lambat

taubat
"Ustaz, saya dulu hafiz al-Quran. Dulu, solat ni memang saya tak tinggal. Saya semakin hanyut dengan dunia. Sekarang, saya sudah tidak solat. Saya ingin berubah. Masih adakah sinar untuk saya?"

Ustaz N memandang telefon bimbit Masjid Kuning Kota Damansara. Bagus masjid ni. Ada segmen Tanyalah Ustaz. Sesiapa jemaah yang ingin bertanya, boleh menghantarkan SMS.

"Masih ada sinar." Ustaz N menjawab pendek.

Jemaah mengangguk. Kebanyakannya faham sifat Al-Ghafur Allah. Jemaah di situ memang boleh letak belakang nama mereka dengan Ahmad atau Abu al-Damansari. Berlumba-lumba duduk di dalam taman-taman syurga ilmu. Marvellous!

Ustaz N menyambung, "Kembalilah kepada Allah, nak. Allah menciptakan rahmat sebelum menciptakan murka. Pintu taubat terbuka luas. Sibukkan diri dengan kebaikan. Jika anda jatuh, maknanya, masa anda masih banyak yang belum diisi dengan kebaikan."

"SMS masuk,Pak" Telefon Bimbit Tanyalah Ustaz berbunyi lagi.

"Terima kasih, Ustaz. Macammana nak jadi baik? Apa langkah pertama untuk saya berubah selepas bertaubat?"

Ustaz N tersenyum. "Pernah tak dengar kisah Abu Hurairah r.a. bertanya kepada baginda Rasulullah s.a.w. tentang seorang yang solat tetapi masih mencuri?"

Jemaah terlopong. Sah, tak dapat nak recall. Ini yang pentingnya hadir di ceramah-ceramah dan kuliah. Dapat peringatan, dapat refresh ilmu, dapat kesedaran. Dapat macam-macam. Best!

Ustaz N menarik nafas dan berkata, "Abu Hurairah r.a. bertanya bagaimanakah orang yang sedemikian? Rasulullah menegaskan, solat orang itu lambat laun akan menyebabkan dia berhenti mencuri."

Jemaah mengiyakan. Mereka teringat firman Allah s.w.t bahawa solat akan mencegah perkara keji dan mungkar.

"Maksud baginda Rasulullah s.a.w. dengan memperbaiki dan meningkatkan mutu solat, dari segi rukun qauli (percakapan), rukun fi'li (perbuatan) dan rukun qalbi (rasa hati), lambat laun solat akan berjaya menjadi benteng kepada amalan keji dan mungkar."

Jemaah berpandangan sesama sendiri. Mereka tersenyum dan mengangguk.

"Kesimpulannya, nak jadi baik memang lambat. Nak membina memerlukan masa. Nak meruntuh sekelip mata. Teruskan bermujahadah untuk istiqamah. Tutup ruang-ruang untuk melakukan kemaksiatan. Isi kehidupan dengan kebaikan. Berkawan dengan kawan-kawan yang baik. Usaha dan terus usaha. InsyaAllah, Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita"

Dalam jemaah itu, seorang anak muda tunduk. Matanya berkaca. Dia berbisik: Ya Allah, dosaku menggunung tinggi, tapi rahmatMu melangit luas. Ampunkanlah dosaku. Sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat.
Continue Reading

7.5.11

Orang Baik Mati Awal

mengingati mati
Dia memandang BlackBerry yang sudah lama ditinggalkan. 5 missed calls from Z.

Ni mesti urgent, sampai 5 kali telefon, monolog hatinya.

"Assalamualaikum, kenapa Z?"

"Waalaikumussalam, ni ha, jiran kita meninggal dunia. Saudara J. Yang jadi AJK Surau tu"

Macam mulut tiada lidah. Senyap. Dalam kepalanya terbayang susuk tubuh Saudara J. Bila bersua pasti mengucapkan salam dan melebarkan senyuman. Pasti.

"Bila akan solat jenazah?" dalam fikirannya terlintas tanggungjawab seorang Muslim dan ganjaran sebesar bukit Uhud seperti yang diajar baginda Rasulullah s.a.w.

"InsyaAllah lepas Zohor ni."

***

"Saudara J baik. Dialah yang selalu uruskan penceramah kat surau kita ni. Terkadang terdetik orang baik selalu mati awalkan?" ujar Ustaz M.

Dia berfikir sejenak. Ya, dahulu dia pun ada rakan. Soleh, baik. Solat Dhuha tak tinggal. Akhirnya mati dalam keadaan sujud. Waktu Dhuha pulak tu.

"Sepanjang hidup saya yang sejengkal ni, selalunya macam tulah. Bukankah ada hadis kata akhir zaman ni, ilmu akan diangkat dengan kematian para ulama? Maknanya, ada kebenarannya jugak orang baik mati cepat." dia membalas.

"Tak juga tu. Bukan semua orang baik ulama. Rasa sayalah, apabila orang baik mati awal, kita rasa kehilangan sangat. Sebab kita bahagia dan tak puas dengan kebaikan dia. Hidup denganya walaupun berpuluh tahun, masih tak puas. Sentiasa dia mempesonakan." Ustaz M menjelaskan.

"Ya tak ya juga. Dan, saya rasa orang jahat mati lambat sebab Allah itu Maha Pengampun dan Maha Menerima Taubat. Dia bagi ruang untuk hamba-hambaNya bertaubat. U-turn kembali kepada jalanNya."

Dalam fikirannya, dia terbayang seorang lagi sahabat, dulu sembahyang Subuh memang ikut suka. Lambat bangun dan kelas dah nak mula, memang almarhumlah Subuh. Solat-solat lain tu entahlah lagu mana. Tapi Allah sayang hamba-hambaNya. Dia bagi kesedaran dan akhirnya dia berubah jadi orang yang susah nak tinggal solat berjemaah. Sadis. Tak lama kemudian Allah panggil dia mengadapNya.

"Lama termenung?" usik Ustaz M

"Taklah Ustaz, kekadang saya fikir ada benarnya, orang baik mati awal" dia tersenyum.
Continue Reading

1.5.11

Luar Biasa Danau Toba, Medan


Air terjun Sipiso piso. Turun bukit nyaman. Naik bukit rasakan.

Kapal terbang AirAsia terbang tinggi beribu-ribu kaki melepasi kepul-kepul awan yang terhampar di dada langit. Tidak menghiraukan pemandangan di luar flight, Solah hanyut dalam kisah novel yang dibacanya. Hanyut juga dalam aroma dan rasa Ovaltine panas.

Baginya, bahan bacaan tak kira surat khabar ke, novel ke, kalau dibaca bersama hirupan coklat panas, itu nikmat. Nikmat yang words cannot define. Belum sempat titisan Ovaltine dihabiskan, kapten sudah mengumumkan flight sudah bersedia untuk mendarat.

Ai ai, hanya 55 minit perjalanan, baru nak layan novel. Monolog Solah.


Selamat datang ke Provinsi Sumatera Utara. Horas kata orang Batak.

Solah memandang ke luar pesawat. Kelihatan rumah-rumah beratap coklat memenuhi Kota Medan. Mak aih, tak tersusunnya. Kalau di Acheh dahulu, di tepi pantai sudah jadi macam Gurun Sahara. Rumah tiada, pokok pun hidup segan mati tak mahu. Jika di sekitar Sepang, barisan rimbunan pokok kelapa sawit menghijau melitupi alam. Indah.

Mendarat di Lapangan Terbang Polonia, Medan, Solah terus menaiki bas menuju ke pekan Parapat, Danau Toba. Perjalanan penuh berliku ini menyebabkan dia penat. Matanya semakin berat. Kuapnya semakin kerap. Di luar bas, daun-daun pohon getah berterbangan ditiup angin. Rintik hujan terus turun. Ngantuk Solah belum selesai. Terlelap akhirnya.


Pemandangan Danau Toba. Luar Biasa.


Jeti pekan Parapat untuk ke Pulau Samosir

"Ui, Lawanya. Subhanallah" ujar salah seorang penumpang.

Solah terjaga dari tidurnya. Dia memandang ke kanan menembusi tingkap bas. Dalam perasaan kagum, dia menutur, "Whoa. Subhanallah. Biar betul. Cantiknya."

Solah teringat firman Allah, surah al-Baqarah 164.

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.

True. Segala yang Allah jadikan merupakan tanda-tanda kekuasaanNya. Cuma manusia yang terus memilih untuk buta. Sedangkan nikmat Allah setiap saat manusia guna. Meskipun manusia lupakanNya, Allah tetap jaga hamba-hambaNya. Kufur atau syukur.

***


Rumah Batak beratap seperti Orang Minang. Mayat orang Batak dikuburkan dalam batu, bukan dikebumikan.

Di kejauhan, terbentang luas sejauh puluhan kilometer Danau Toba. Air-air kehijauan berombak kecil melambai-lambai para tamu datang. Di tengah danau, berbalam-balam Pulau Samosir terletak. Kabus tebal menyeliputi pulau itu. Seakan-akan misteri yang belum dirungkai. Kaum Batak Toba yang mendiami pulau Samosir memang terkenal dengan atap lengkung ala-ala Minangkabau, ilmu hitam dan simbol cicak berpayudara 4.

Setelah menjamu selera di Restoran Padang dan check in di Hotel Wisata Bahari berhadapan dengan pesisir Danau Toba, rombongan Solah menaiki bot membelah air menuju ke pekan Tomok di pulau Samosir. Waktu itu, rembang petang sudah ke penghujungnya. Matahari sudah segan untuk memancar sinar terang. Pulau Samosir yang sebesar Pulau Singapura itu, seolah-olah tidak akan menerima tamu lagi. Misteri dan menggerunkan.


Encik Sidabutar menerangkan sejarah Pulau Samosir dan kerajaan Batak.

Tiba di pekan Tomok,Pulau Samosir rombongan disambut oleh Encik Sidabutar. Persis nama Raja Sidabutar yang terkenal dalam kerajaan Batak Toba.

"Pasti bukan kebetulan. Dia meminjam namanya saja" gumam seorang dari anggota rombongan. Solah hanya senyap mengiyakan.

"Pulau Samosir ini dihuni oleh orang Batak Toba yang majoritinya merupakan penganut agama Kristian. Sebelum kemasukan agama, orang Batak begitu kuat dalam ilmu hitam dan amalan puja-puja. Dahulu, Raja Sidabutar mempunyai 4 orang putera. Salah satu puteranya hilang dalam peperangan. Akibat rindukan anaknya, Raja Sidabutar memerintahkan tukang pembuat patung mengukir patung mirip kepada anaknya. Kemudian dia memerintahkan pawang untuk menyerukan roh bagi menggerakkan patung tersebut." ujar Encik Sidabutar.

Ah sudah. Patung depan ni macam semacam je. Dahlah berlilit kepalanya dengan tali-tali merah, putih dan hitam. Scary.

Encik Sidabutar menyambung, "Setelah kemasukan agama Kristian dan Islam, kedua-dua agama ini menegah penganutnya untuk mengamalkan ilmu hitam. Makanya, masyarakat setempat memasukkan tali ke dalam patung untuk menggerakkannya. Baiklah, seterusnya, kita akan ke makam Raja Sidabutar."

"Maaf ya pak, kira-kiranya anak saya sudah merengek. Mau balik aja." seorang peserta rombongan bersuara. Dia pernah melanjutkan pelajaran di Indonesia. Makanya, bahasa Indonesianya juga agak baik.


Peta Pulau Samosir, sebesar Pulau Singapura

Rombongan itu berlayar meninggalkan Pulau Samosir. Bayu tasik cukup kuat senja itu. Bot terumbang-ambing melawan rintangan angin.

Solah berfikir. Kaum Batak bangsa terbesar di Medan. Ada Batak Karo, Batak Toba, Batak Pak Pak dan Batak Mendealin. Suku Batak yang utama di Medan ialah Batak Karo yang terkenal dengan Babi Panggang Karo. Batak Karo juga terkenal dengan pegangan mereka kepada ajaran Kristian Protestan. Sekali pandang, bumi Medan itu ibarat Vatican City. Penuh dengan gereja-gereja. Besar dan ada di mana-mana.


Masjid Raya Medan. Masuk masjid kena bayar. 1,000Rp buat tukang jaga kasut

Mujurlah dahulu Medan diperintah oleh Kesultanan Deli yang beragama Islam. Justeru, Masjid Raya Medan dibina. Lambang tingginya agama Islam di hati penduduk Medan.

"Oit, mengelamun. Teringat pada siapa?" abang Solah mencuit.

Solah tersenyum. Di dalam hati, dia bersyukur kerana dilahirkan dalam agama Islam dan pada saat ini dia masih terpilih untuk sujud pada Pencipta sekalian alam.

Ya Allah tetapkanlah hatiku di dalam agama-Mu dan di atas ketaatan kepada-Mu. Amin.

Danau Toba lambang kekuasaan Allah. Luar biasa. Tasik sebesar 30 km akibat letusan gunung berapi memang menakjubkan dan menggetarkan hati bagi mereka-mereka yang berfikir.

p/s: Klik pada gambar untuk lebih jelas. Terima kasih kerana membaca.
Continue Reading
Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template