Assalamualaikum. Hari ni kita berperi. Biar peri ini sering didengari tapi yang baik patut diulangi agar pengajarannya dekat di hati.Arakian, maka pulanglah lelaki soleh membawa sebiji tembikai. Tembikai itu lantas diserahkan kepada isteri tercinta.
Maka dibelah oleh si isteri lantas dia merasa. "Ah, tawar sekali rasa. Seperti tidak diletak gula. Masakan mahu di makan orang. Melepas tekak tidak pula akan tembikai ini."selar isteri yang asyik menyelar sahaja kerjanya. Suka makan ikan selar kuning agaknya.
Lelaki soleh memandang tepat ke arah isteri belahan jiwanya. Atau dalam bahasa Jawanya sigaraning. Dia membuka bicara "Abang yang beli di pasar tadi. Agaknya intan payungku, hajat hati mahu dipilih manis atau tawar di pasar tadi?"
"Alah, abang ni. Masakan tidak tahu. Sudah gaharu cendana pula. Kura-kura dalam perahu pun tahu jawapannya." jawab si isteri walaupun sedikit gusar, benarkah kura-kura pun tahu?
"Nah, ketika penjual tembikai ini menjual di pasar, adakah yang manis atau yang tawar pilihan hatinya?"
"Manislah kanda. Jikalau tawar, tidakkah bersepai kepala penjual itu dengan tembikai-tembikainya? Ish, ish kanda ni. Relevan, kanda. Relevan."
"Isteriku yang matanya bulat bak purnama mengambang. Dahimu luas sekangkang kera. Bibirmu merah bak delima merekah," si suami menarik nafas, tidak berani dia memuji memuja si isterinya lagi, kerana si isteri sudah kembang semangkuk.
Lantas dia menyambung, "Semua orang mahukan yang manis. Dari penanam tembikai, pemetik tembikai, peraih tembikai, penjual tembikai, pembeli tembikai, pembelah tembikai. Tetapi, kuasa Allah yang memutuskan buah itu tawar rasanya. Jadi awak nak marahkan siapa? Awak nak marahkan Allah yang menentukan rasa tawar?
Zasss. Terdiam si isteri. Mukanya yang hitam-hitam manis bak kulit manggis itu bertukar menjadi merah merona kulit rambutan.
Syukur
Syukurlah dengan apa yang ada. Syukurlah, maka Allah akan tambah nikmatnya kepada kamu. Belajarlah menyukai apa yang kita ada. Apa yang ada, jarang disyukuri. Apa yang tiada sering dikesalkan.
Adab makan juga, jangan dikecam makanan yang tidak sedap. Renunglah dan hayatilah kisah di atas. Sanggupkah kita marah dengan Pencipta kita?


1 comments:
tengok musim gak tembikai ni...kalau musim hujan di tawar sket...kalau dapat yang tawar..campur gula blend wat jus... syukur...
Post a Comment