Senyuman diukir demi menggembirakan. Tangan kita berjabat di rumah Allah yang bertamu ramai manusia. Mesej dari tangan yang bertaut mudah: ayuh semarakkan ukhuwwah, aku mahu menarikmu dari wilayah keterasingan. Jazakallah akhi, kamu insan mulia yang tahan diuji. Aku? aku lemah dan pasrah. Alangkah bagusnya jika insan itu menghulurkan tangan untuk berjabat denganku.
Setiap tahun, satu kebiasaan untuk minggu orientasi diadakan buat pelajar-pelajar baru di mana-mana institusi pengajian. Di sekolah dulu, senior saya mengucapkan "Ahlan Wasahlan" yang membawa maksud jadilah sebahagian daripada kami dan bersenang-lenanglah. Walaupun hakikatnya, kami dibasuh selama 5 bulan, namun 5 perkara unik di sekolah itu (Biah solehah, ukhuwwah, teachers, friends & tarbiyyah) menyebabkan berat hati untuk melangkah pergi.
Di universiti, kami disogok dengan tema Smile & Salam. Ya, senyum dan salam. Itulah Tips menyemarakkan cinta.
1) Senyum
Senyuman itu terbahagi kepada 2. Senyum kerana gembira dan senyum demi menggembirakan. Senyuman yang besar ertinya ialah senyuman untuk menggembirakan orang lain.
2) Salam
Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah s.a.w diriwayatkan oleh Imam Muslim:
Mahukah kamu, saya beritahukan sesuatu tentang yang apabila kamu kerjakan kamu akan saling menyayangi? Budayakanlah ucapan salam antara kamu.
3) Berjabat tangan
Janganlah sesekali kedekut untuk menghulurkan tangan. Jika melakukan kesalahan, cepatlah meminta maaf dengan menghulurkan salam. Apabila dihulurkan tangan, jangan pula diturut ego untuk tidak menyambutnya.
Kesimpulannya, jadilah orang yang sering menyemarakkan cinta. Bukankah sering diperingat, dengan menyalakan lilin orang lain, lilin kita tidak akan padam, malah kita akan mendapat lebih banyak cahaya? Renungkanlah, mari semarakkan cinta!


0 comments:
Post a Comment