5.9.09

Penghapus Tarantula

Preet! Bermulalah separuh masa kedua untuk bulan Ramadhan tahun ini. Beruntunglah buat mereka-mereka yang merebut peluang beramal di dalam bulan yang mana pintu-pintu syurga terbuka luas. Manakala, rugi besarlah mereka-mereka yang menganggap ramadhan itu puasa dan puasa itu ialah ramadhan, sedangkan ramadhan merupakan madrasah tarbiyyah yang syumul.

Mengapa saya mengatakannya begitu? Kerana program Allah itu jika kita ikut dengan penuh keikhlasan pasti berbuah hasil yang menguntungkan. Ramadhan perlu disayangi dan untuk menyayangi kita harus mengenali. Kenal keutamaan bulan Ramadhan, fadhilat dan sejarah, agar nanti timbul kesedaran dan kemanisan dalam beribadah. Kelak nanti, Istiqamah dan tidak jemu mengharap redho-Nya. Mengusir jauh futur daripada menguasai diri.

Buat mereka yang sudah lemah semangat, peluang masih terbuka luas. Rasulullah s.a.w beriktikaf di masjid pada sepuluh malam terakhir di dalam bulan Ramadhan. Sahabat, andai Rasulullah s.a.w tersebut yang ma'sum begitu sayangkan Ramadhan, bagaimana pula dengan kita? Sedih apabila saya mendengar lagu raya sudah berkumandang di corong-corong radio. Itu bermaksud, bulan ramadhan semakin dekat untuk meninggalkan kita.

Sedih lagi saya, apabila ada di kalangan manusia yang tidak melakukan solat sunat terawih semata-mata kerana sibuk dengan urusan dunia. Tidak mengertikah kita bahawa solat sunat ini unik? Hanya dilakukan dalam bulan Ramadhan. Sekejap sahaja terawih ini, 930pm insyaAllah dah habis. Lepas itu bertebaranlah mencari kurnia yang Esa.

Setelah sekian lama blog ini bersarang, entri inilah penghapus horizon sepi yang melatari blog ini selama beberapa minggu. Ibarat sinar mentari mencerahkan bumi.

Beberapa minggu ini, banyak ceritera yang berlaku. Ada suka, ada duka. Tapi kedukaan itu yang lebih dominan. Mungkin selepas saya berusaha untuk sesuatu, Allah tidak perkenankan...saya harus pasrah bahawa itulah takdir yang Allah tetapkan terbaik buat saya.

Terkadang kita ingat perkara itu buruk bagi kita, tapi itulah yang terbaik di pandangan Allah. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaNya. Maafkan aku Tuhan, andai aku lemah dalam memperbaiki hubungan antara manusia.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template