13.6.10

Tips: Mencari Pasangan Hidup

mencari pasangan hidup
Cuti sekolah memang sinonim dengan jemputan kenduri-kendara sanak saudara dan rakan taulan. Ada yang mengembara jauh ke selatan tanah air meskipun tinggal di utara bagi meraikan rakan yang mahu melengkapkan sebahagian daripada agama menerusi perkahwinan.

Yang telah melafazkan "Aku Terima Nikahnya" sudah lega kerana sudah bertemu jodoh. Yang masih bujang trang tang tang, berura-ura untuk mencari pasangan hidup. Siapalah isteri aku nanti? Siapalah prince charming aku nanti? Soalan-soalan fitrah menerjah cerebrum yang tidak mengenal erti noktah.

Baru menziarahi rumah saudara, soalan spesis yang sama berkumandang lagi. Itu belum waktu hari raya. Lagilah macam mesingan soalan-soalan itu ditanya sama ada menuntut jawapan atau sengaja menjadi buah lelucon.

Persoalan bagaimana mencari pasangan hidup pasti terfikir jua dek akal. Hendak ber'couple' jauh sekali. Itu membuka jalan dosa. Jadi bagaimana mahu mencari pasangan hidup? Bagaimana ciri-ciri lelaki dan wanita yang baik?

Ciri-ciri lelaki dan wanita soleh

1) Mengawal Hawa Nafsu

Kita boleh perhatikan bagaimana lelaki atau wanita tersebut bergaul. Adakah terjaga batas-batas pergaulannya. Atau, bersenang lenang bercanda bermesra dengan berlainan jantina.

Ini amat penting. Semasa berumah tangga nanti, kedua-dua suami isteri akan bekerja. Seawal 6pagi sudah keluar rumah, pulang pula lewat malam. Maknanya, waktu di pejabat lebih berkualiti daripada waktu di rumah. Lelaki dan wanita yang mengawal hawa nafsu, dan menjaga pergaulan di mana-mana sahaja, sudah pasti lebih terselamat daripada fitnah yang memungkinkan lafaz "Aku Ceraikan Dikau" dilontarkan.

2) Di bawah naungan al-Quran dan As-Sunnah
Lelaki dan perempuan yang baik sentiasa merujuk kepada al-Quran dan As-Sunnah sebagai pedoman hidup. Andai dia ditimpa musibah, kekeliruan dan kesulitan, dia menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan bagi membebat hati yang luka.

Dia tidak akan mengeluh, merungut, mengherdik, marah atas apa yang Allah uji ke atas dirinya. Pendek kata, kita boleh mengenal lelaki dan perempuan yang baik untuk dijadikan pasangan dengan melihat akhlaknya. Selalunya, akhlak lelaki dan perempuan tersebut terserlah ketika dia bersama-sama dengan lingkungan teman-teman rapatnya.

3) Beribadat kepada Allah

Seringkali apabila datang merisik si gadis, bakal ibu mertua akan bertanya, "Kamu kerja apa? Berapa gaji kamu? Pakai kereta apa?" Kita lupa untuk bertanya "Kamu solat tak?"

Lelaki dan perempuan yang baik akan diringankan hatinya untuk melakukan ibadah kepada Allah. Dia rindu untuk sujud merendahkan dirinya sebagai hamba kepada Allah. Kita boleh lihat, bagaimana seseorang itu rajin beribadah atau tidak. Adakah dia menghormati waktu solat ketika tiada keuzuran dan sebagainya.

4) Terikat Hati dengan Masjid dan Dakwah

Bermakna, rajinkah dia mengerjakan solat berjemaah? Sensitifkah dia dengan isu-isu semasa dan terlibat dalam proses dakwah dan humanisasi? Renung-renungkanlah

5) Berakhlak Mulia dan Berbudi Bahasa

Kata orang, hendak mengenal seseorang, kita memerlukan masa sekurang-kurangnya 2minggu. Ya, ada benarnya juga. Masa akan sedikit sebanyak memaparkan sisi-sisi negatif seseorang. Kawan saya Dr. Ahmad Hazim Abd Ghaffar pernah berpesan kepada kami rakan-rakannya (mengikut pemahaman saya seperti berikut):

"Semakin lama anda berkawan dengan saya, anda akan lihat kelemahan-kelemahan yang terdapat pada diri saya. Usahlah anda menggunakan kelemahan-kelemahan tersebut untuk membenci saya. Seharusnya, sama-samalah kita menutup lubang-lubang kelemahan antara satu sama lain kerana kita semua bersahabat kerana-Nya".

Kita boleh lihat bagaimana akhlak seseorang. Bagaimana dia bersama rakan-rakan, guru-guru, ibu bapa dan sebagainya. Ketawa tak ingat alamkah? Bercerita 24 jamkah? Bersuara seperti keldaikah?

Kesimpulan

Sebenarnya, banyak lagi ciri-ciri yang diungkapkan oleh Ustaz Emran Ahmad dalam bukunya Mencari Pasangan Hidup terbitan Alaf 21. Buku yang murah ini (RM16), pasti menjadi nasihat yang berguna bagi mereka yang sudah berkira-kira untuk mencari pasangan hidup.

Akhirnya, jangan terlampau mengharapkan yang terbaik. Jangan terlalu high expectation terhadap pasangan anda. Bukankah "Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka" (Al-Baqarah: 187). Lengkap melengkapi, kurangkan sepatutnya dalam hidup berumahtangga. Contohnya, sepatutnya isteri tukang masak, suami tukang makan dan sebagainya.

Renunglah ciri-ciri di atas. Jika sudah ketemu calonnya, dan bersedia, mulakan langkah pertama. Usah didengar bisikan syaitan yang membenci perkahwinan.
Continue Reading

8.6.10

Ar-Raheeq Al-Makhtum (The Sealed Nectar)

raheeq makhtum the sealed nektar
Pada tahun 1976, konferens pertama tentang Sirah Nabi Muhammad s.a.w. telah berlangsung di Pakistan yang ditaja oleh Liga Muslim Dunia. Liga ini telah menganjurkan pertandingan menulis Buku Biografi junjungan besar Muhammad s.a.w. Pemenang akan membawa pulang wang tunai berjumlah 50000SR (RM60000-RM65000).

Akhirnya, Ar-Raheeq Al-Makhtum (The Sealed Nectar) telah memenangi pertandingan ini dengan mengenepikan 170 manuskrip biografi Rasulullah s.a.w yang lain.

Tentang Penulis

Safiur Rahman al-Mubarakpuri ialah ulama' besar di Universiti Islam Madinah. Beliau lahir di Mubarakpur, India.

Tentang Buku

Manuskrip setebal 584 muka surat ini memberikan gambaran yang jelas terhadap perjalanan hidup Nabi Muhammad s.a.w sehingga baginda s.a.w wafat. Permulaan buku ini membawa pembaca menelusuri susur galur keturunan baginda s.a.w. dan diakhiri dengan mengenal karakter dan akhlak Nabi Muhammad s.a.w.

Buku ini juga menerangkan kronologi peristiwa pada zaman Nabi Muhammad s.a.w dengan kaedah yang begitu tersusun. InsyaAllah, jika anda mula memegang buku ini, anda akan merasakan payah untuk menutupnya kembali. Anda akan terkesima dengan hebatnya peribadi Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya. Percayalah, titisan air mata akan mengalir dari kedua bola mata anda.

Banyak kisah sirah yang saya terlepas pandang selama ini. Dahulu, saya sangka nasyid ahli Madinah "Tola'al Badru 'alaina" itu, dinasyidkan oleh penduduk Madinah semasa ketibaan Rasulullah s.a.w tatkala berhijrah. Namun, saya tersasar. Rupa-rupanya, nasyid ini dialunkan semasa ketibaan pulang Rasulullah s.a.w dan para sahabat dari medan Tabuk.

Malah, peristiwa perang Uhud amat menyentuh perasaaan. Rasulullah dilindungi oleh 9 orang sahabat (7 Ansar 2 Muhajirin) semasa serangan balas pihak Quraish. 7 orang Ansar syahid, manakala Saad bin Abi Waqqas r.a. dan Talhah bin Ubaidillah r.a. mempertahankan Nabi dengan bersungguh-sungguh. Sehingga Abu Bakar r.a. mengatakan Hari Uhud ialah Hari Talhah r.a. Manakan tidak, Talhah r.a. tercedera di tangan dan terputus jarinya kerana melindungi Rasululah s.a.w. Dan, tidak hairanlah, Saad r.a. dan Talhah r.a. tergolong dalam 10 orang yang dijanjikan syurga.

Sikap dan jasa Abu Bakar r.a. juga begitu mengagumkan. Sehingga Rasulullah s.a.w. bersabda: "....sekiranya aku hendak memilih Khalil ( rakan) selain Allah s.w.t, maka aku akan pilih Abu Bakar sebagai rakanku."

Dan baginda bersabda, "Jika ditimbang iman Abu Bakar dengan iman seluruh umat, maka berat lagi timbangan Abu Bakar."

Kesimpulan

Sesungguhnya, jiwa setiap Muslim itu pasti mencintai junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Kerana apa? Kerana, melalui baginda kita dapat kenal Islam dan beriman kepada Pencipta sekalian alam yakni Allah azzawajalla.

Memupuk cinta kepada Rasulullah s.a.w amat penting seperti yang difirmankan oleh Allah di dalam al-Quran (Ali Imran:31)

"Katakanlah (wahai Muhammad), jika kamu benar-benar mencintai Allah, maka ikutlah aku (yakni Islam, ikut al-Quran dan As-Sunnah), maka Allah akan mencintai kamu."

Marilah sama-sama memperbanyakkan selawat pada baginda Rasulullah s.a.w. Dengan memperbanyakkan selawat, itu tanda kita mencintai baginda.

"Allahumma Solli 'Ala Muhammad, Wa'ala ali Muhammad"

Ringkasan

Tajuk Buku: Ar-Raheeq Al-Makhtum (The Sealed Nectar)
Penulis: Safiur Rahman Al-Mubarakpuri
Terbitan: Darussalam Riyadh, Saudi Arabia
Muka Surat: 584
Harga: RM30-35
Tempat Beli: Da'wah Corner, As-Safwa Tower, Makkah al-Mukarramah

Selamat Membaca!
Continue Reading

5.6.10

Ucapkanlah yang Baik-baik

Kata ibarat pedang
Mentari masih perkasa di dada awan. Belum nampak penat menyebarkan jalur cahaya memanah bumi. Namun, pohon nangka menentang perjalanan jaluran tersebut. Tegar meneduhi halaman rumah Faisal.

"Nate, nok gi mano tu? tegur Pok Leh. (Binatang, nak pergi mana tu?)

"Bodoh, aku nak pergi main bolalah. Kau tak tengok aku bawak boot bola ni. Pehal, babi. Kau nak ikut ke?" ajak Faisal.

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Usahlah saya perpanjangkan dialog di atas yang menikam-nikam jantung iman. Allah telah menurunkan al-Quran yang di dalamnya menyeru manusia supaya bertutur atau bercakap kepada manusia yang lain dengan perkara yang baik-baik. (Waqulu linnas si husna).

Mempunyai tutur kata yang sopan ini merupakan akhlak mulia dan disukai oleh Allah s.w.t. Orang yang bertutur sopan akan dikurniakan bilik yang istimewa di dalam syurga.

Abdullah Ibnu Amr melaporkan, Rasulullah s.a.w bersabda:

"Di syurga kelak terdapat bilik lutsinar. Abu Musa al-Asy'ari bertanya untuk siapakah bilik itu wahai Rasulullah s.a.w? Baginda menjawab, untuk orang yang lembut bicaranya (tidak menyakiti orang lain)...."

Nah, betapa istimewanya ganjaran untuk orang yang bertutur perkara yang baik-baik. Mungkin kita menganggap bilik lutsinar apalah yang istimewa sangat? Astaghfirullah. Ini syurga, teman-teman. Allah janjikan syurga ini sebagai satu tempat yang tidak pernah terlihat dek mata dan tidak tergambar oleh fikiran kita.

Panggilan tanda Respect.

Bagaimana kita berdoa kepada Allah? Sudah pasti kita akan mulakan dengan: Allahumma (Wahai Tuhan Kami), ya Allah, ya Rahman dan sebagainya. Kita tidak berdoa terus tanpa memuji Allah. Itu tanda kerdilnya kita. Itu tanda hormatnya kita pada Pencipta.

Contoh lain, bagaimana kita bahasakan diri kita dengan ibu bapa? Adakah sebegini: Mak, dah siap masak ke? Saya laparlah. Atau begini: Mana makanan ni. Laparlah. Lihat, mari sama-sama bermuhasabah. Anda yang pertama atau yang kedua?

Kajian menunjukkan, ramai remaja bermasalah dan meringkuk dalam penjara bertutur kasar sesama rakan termasuklah ibu bapa mereka. Mereka tidak segan silu mengherdik ibu bapa dan bersikap kasar dengan mereka. Insaflah. Ibu bapa ini besar pengaruhnya dalam kehidupan kita. Justeru, hormatilah mereka. Panggillah mereka dengan kata-kata yang selayaknya.

Perbanyakkan perkataan mak atau ayah dalam ayat kita. Contoh:
"Mak, saya nak pergi kedai" "Ayah, tolong hantar saya ke sekolah" "Kejap lagi insyaAllah datanglah tu, mak." "Alhamdulillah saya sihat, ayah". Nah, membaca contoh ini pun sudah mendamaikan. Apatah lagi dialog-dialog sebegini diperdengarkan kepada mak ayah kita.

Al-Quran sudah mendidik perkara sebegini. Lihat surah Yusuf ayat ke-4:

"......wahai ayahku! Sesungguhnya aku bermimpi melihat 11 bintang dan matahari serta bulan. Aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku."

Kesimpulan

Bertuturlah yang baik-baik kepada sesama manusia. Pertuturan yang kasar petanda kepada kerendahan akhlak dan kecetekan minda. Orang yang bertutur kasar dan berakhlak rendah pasti dipandang hina.

Berubahlah meskipun payah. Sama-sama. Mari, sama-sama bertutur yang baik-baik.
Continue Reading

2.6.10

Tips: Melamar Teman Hidup

Melamar Teman Hidup
Telefon bimbit berdering. "Eh, Apasal pula Hanis telefon memalam buta." monolog Sue sendirian.

"Suhana Fauzi!!!" laung Hanis.

"Oit. Kot ya pun, bagilah salam dulu. Assalamualaikum. Yang suara kau tinggi macam latihan vokal ni kenapa?"

"Waalaikumussalam. Sue, kau mesti tak percaya dengan berita ni."

"Apanya? Isulah kau ni."

"Gunjai"

"Kenapa dengan mamat Gunjai aka Anuar tu?"

"Nuar melamar aku."

"He What?"

"He just did"

"Aaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa". Serentak dua sahabat itu menjerit. Walaupun jam dah menunjukkan pukul 11.59 malam.

--------------------------------------------------------------------------------------------------
Sebelum tu..

11.00 p.m. di alam Y!M

Gunjai:Assalamualaikum.

Hanis:Waalaikumussalam.

Gunjai:Saya nak datang rumah awak esok.

Hanis:Ok

Gunjai:Saya nak datang rumah awak + mak ayah saya esok.

Hanis:Ok

Gunjai:Saya nak datang rumah awak + mak ayah + cincin.

Hanis:Ok

Gunjai:Betul ni ok?

Hanis:You've never ask it before. Ok.

Melamar Teman Hidup

Bagaimana untuk memulakan langkah pertama untuk meminang atau melamar pasangan hidup anda menurut Islam?

Secara ringkas, di dalam Islam, terdapat 2 bentuk lamaran yang boleh dipraktikkan:

1) Melamar melalui wali wanita itu.
2) Melamar terus kepada wanita tersebut. (Lamaran jenis ini menandakan wanita itu berhak ke atas dirinya).

Berikut pula adalah cara yang dianjurkan untuk melamar

1) Tertarik dengan seseorang kerana agama, akhlak, budi pekerti, rupa, keturunan atau apa sahaja sebab.

2) Berbincang dengan keluarga sendiri. Tanya pendapat mak ayah. Restu mak ayah amat penting dalam perkahwinan.

3) Berlakunya usaha melamar, sama ada menggunakan utusan, orang tengah atau diri sendiri.

4) Jika yang dilamar bersetuju, hantar rombongan melamar/meminang daripada pihak keluarga.

5) Perkenalan dan taaruf berlaku hanya SETELAH peminangan berlaku.

4 langkah sahaja. Mudahkan perkahwinan?

Yang menjadi isunya, praktikal lamaran yang dilakukan oleh kita sekarang. Lihat ini:

1) Perhubungan bermula dengan berkawan terlebih dahulu antara lelaki dan perempuan, sama ada rakan sekelas atau rakan sekerja.

2) Mula timbul rasa cinta antara kedua-duanya. Kemudian, melangkah ke tahap yang lebih serius. Makan bersama, menonton wayang bersama, menghabiskan kredit telefon setiap malam dan sebagainya.

3) Cinta semakin membara. Mula memanggil masing-masing dengan gelaran bi (hubby, baby), sayang dan sebagainya.

4) Meluahkan isi hati kepada pasangan (the proposal).

5) Jika diterima, rombongan meminang mungkin serta merta dihantar atau masih tak kunjung tiba. Perhubungan tetap seperti langkah-langkah yang telah diceritakan di atas.

Kesimpulan

Islam telah menganjurkan cara terbaik untuk melamar teman hidup anda. Bebas zina. Bebas dosa. Dosa ini akan menghantui kita. Percayalah.

Perkahwinan ini ibadah. Mana mungkin status ibadah itu akan menjadi berkat jika jalan untuk melakukan ibadah itu dipenuhi dosa. Saya khuatir, kerana dosa itu, perkahwinan nanti tiada keberkatan dan porak peranda akhirnya. Mahukah anda?

Renungilah dengan akal yang berfikir.

p/s:

Kepada sahabat-sahabat saya yang akan berkahwin (dah dilamar atau melamar) tahniah saya ucapkan.
Continue Reading

1.6.10

Obesiti: Kurangkan Karbohidrat Terproses

Piramid Makanan Malaysia
Obesiti atau kegemukan secara mudahnya berlaku kerana kalori yang diambil (daripada makanan) berlebihan daripada tenaga yang digunakan untuk aktiviti harian.

Penambahan sebanyak 500 kalori sehari selama 1 minggu akan menyebabkan peningkatan berat badan sebanyak 1 kilo. Bermakna, 1 kilo = 3500 kalori. Jika anda mahukan penurunan berat badan, kurangkan 500 kalori sehari selama seminggu. Maka, berat badan anda akan berkurang sebanyak 1 kilo.

Punca Obesiti

Antara punca obesiti yang dikenalpasti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ialah tabiat rakyat Malaysia yang kerap makan di restauran-restauran pada lewat malam dan awal pagi. Di bandar-bandar, kedai-kedai mamak nasi kandar menjadi pilihan. Di kampung-kampung, gerai-gerai kecil terutamanya yang menawarkan hiburan karaoke dipenuhi pengunjung.

Namun kita terlepas pandang tentang salah satu daripada punca obesiti iaitu makan Karbohidrat Terproses.

Apa itu karbohidrat terproses?

Makanan yang dibuat daripada tepung yang diproses. Contohnya: Donut, biskut, kek, roti dan lain-lain.

Keburukan Karbohidrat Terproses

Tepung yang diproses kurang mengandungi vitamin, mineral, omega-6 yang diperlukan oleh tubuh.

Mengapa Cepat Lapar?

Kenapa apabila seseorang makan roti, sekejap sahaja dia berasa lapar?

Ini kerana, makanan yang diproses ini akan melepaskan glukos (gula) ke dalam darah secara pantas. Apabila tinggi kandungan gula, mereka rasa bertenaga. Namun, apabila kandungan gula berkurang, mereka keletihan, kelaparan, murung dan sebagainya.

Justeru, mereka memerlukan perangsang seperti coklat, kopi, teh, kuih-kuih manis dan sebagainya.

Baru Saya Faham

Dulu semasa di universiti, rakan sekelas saya yang membina badan ada berpesan, kurangkan makanan karbohidrat terproses. Ambil makanan yang dimasak, seperti nasi dan lauk-pauk. Saya tidak faham kenapa pada waktu itu. Sekarang, baru saya faham. Kenapa kena kurangkan makan donut, roti, biskut dan sebagainya.

Ambillah karbohidrat sebanyak 50-55% untuk keperluan tenaga anda. Untuk memudahkan anda, anggapkan separuh pinggan nasi sebagai 50%.

Semoga anda mendapat berat badan yang ideal!
Continue Reading
Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template