19.9.11

Ber'hygge' di Avedove, Denmark

Kek Aiskrim Black Forest (Satu kek=RM20)
Hygge merupakan salah satu budaya yang sebati dengan orang Denmark. Hygge ialah menikmati suasana yang tenang dan selesa bersama orang tersayang, dengan hidangan makanan, snek atau minuman. Tidak dilupa, kehadiran cahaya lilin bakal menaikkan lagi seri suasana. Menurut orang Denmark (Danish), waktu hygge terbaik ialah semasa hujan di waktu malam gelap yang diterangi cahaya lilin.

Hari ini, saya mendapat jemputan untuk ber'hygge' di Avedove. Avedove merupakan pekan yang terletak 9 km di barat bandar Copenhagen. Kak Shureen sudah berpesan, majlis 'hygge' akan bermula tepat pada jam 11 pagi. Sudah menjadi satu budaya yang menebal di kalangan orang Denmark untuk menepati masa. Untuk itu, awal-awal lagi saya sudah melayari rejseplanen.dk bagi merancang perjalanan.

Rejsepalnen.dk merupakan laman web yang memberikan maklumat penting waktu bertolak semua rangkaian kereta api dan bas di Denmark. Saya hanya perlu menaip alamat rumah yang ingin saya tuju. Seketika kemudian, rejseplanen akan merancang perjalanan saya untuk tiba sebelum jam 11 pagi di Avedove. Untuk lebih mudah, saya meminta rejseplanen.dk menghantar SMS, pelan perjalanan saya ke Avedore. Semua itu percuma. Menarik bukan?
Ahli-ahli Hygge
Saya tidak keseorangan ber'hygge' di Avedove. Abang Hariz sekeluarga sudah tiba lebih awal. Mereka memilih untuk berjalan kaki dari stesen kereta api Avedove. Saya pula memilih untuk menaiki bas dari stesen kereta api Friheden. Kerana sistem pengangkutan yang cekap dan tersusun, kami mempunyai banyak pilihan untuk ke destinasi. Amat mudah jika hendak ke mana-mana.

Kami bermula dengan bihun sup. Setelah puas menghirup kuah, kami beralih menikmati kek keju. Kemudian, kek Black Forest pula menjadi mangsa. Itu pusingan pertama.

Pai Epal
Pusingan kedua, kami mencicah nachos dengan sos. Akhirnya, kami tutup selera dengan pai epal. Resipi pai epal diperturunkan oleh Kak Shureen kepada saya. Memang mudah disediakan. Sedap pula tu.

Setelah beberapa jam berceloteh, bertukar cerita, kami semua pulang ke rumah masing-masing. Abang Hariz tidak sabar untuk menonton perlawanan bola sepak antara Manchester United dan Chelsea. Sejujurnya, kami amat gembira dapat menikmati 'hygge' di rumah Kak Shureen.

'Hygge' memang satu budaya yang patut dicontohi. Dalam kesibukan kita dengan keluarga dan kerjaya, konsep 'hygge' atau dalam Islam, ziarah dapat merapatkan hubungan silaturrahim sesama saudara mara dan sahabat handai. Oleh itu, selamat ber'hygge'!

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template