"Aaah, persetankan sahaja. Orang mahu berbaik, masih lagi dia merajakan ego. Lantaklah." monolog hati Farid. Bara amarahnya menyala-nyala. Dia sedar. Dia mengerti. Keterlanjurannya telah merobek hati kawannya Fudhail.
Sehingga kini, Fudhail melarikan diri daripadanya. Puas dia meminta maaf, namun, seperti mencurahkan air ke daun keladi. Fudhail tetap tegar,"No Way, man. Kalau aku maafkan pun, kau mainlah jauh-jauh."
"Astaghfirullah, mudahnya syaitan memasukkan jarum-jarum halus. Baik aku membaca al-Quran. Untung-untung, tenang sikit."
Seusai berwuduk, Farid membaca kitab suci itu. Dia menyelak secara rawak dan membaca ayat surah an-Nisaa' ayat 148 dan 149.
"Allah tidak menyukai ucapan buruk (ucapan buruk sebagai mencela orang, memaki, menerangkan keburukan-keburukan orang lain, menyinggung perasaan seseorang dan sebagainya), (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya. Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
"Jika kamu menyatakan sesuatu kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan kesalahan (orang lain), sesungguhnya Allah Maha Pema'af lagi Maha Kuasa."
"Ya Allah, ini tazkirah daripada-Mu. Astaghfirullah, baru terdetik aku mahu bersikap sama seperti apa yang Fudhail lakukan terhadapku. Ampunkan aku ya Allah." rintih Farid bersendiri.
Selepas itu, Farid tekad. Dia akan terus-terusan memenangi hati Fudhail. Biarlah, Fudhail tidak memandang wajahnya. Biarlah, Fudhail bersikap acuh tak acuh padanya. Biarlah Fudhail tidak menegurnya lagi. Yang penting, Farid mengejar redho dan maghfirah-Nya. Farid tahu,
tidak sempurna iman
tidak bergelar insan
andai permusuhan
dibiar berteusan
buangkan kekeruhan
cintakan kedamaian
bara amarahmu jangan dinyalakan
Farid sedar dia silap. Dan, untuk mendapatkan kemaafan total dari Ilahi, Farid mahu mengejar jua kemaafan total dari Fudhail. Jika tidak, hidupnya tidak tenteram. Selagi asanya kepada Allah teguh, selagi itulah Farid tetap berusaha. Dia yakin dan percaya pada nasrullah dan mimpi yang berulang-ulang bahawa suatu hari nanti, Fudhail pasti menerima dirinya kembali. Ya, bagi Farid: Batasku Asaku pada Ilahi. Ukhuwwahnya kini teruji.
~Sketsa ini membawa erti bahawa hidup tidak seindah teori. Kita perlu merealitikan teori dan bukan membiarkan teori menjadi realiti. Luahan sesetengah orang: saya dah buat baik terhadap kawan saya, tetapi dia buat tak tahu saja, itu sudah lumrah.
Kita kena sedar, bukan semua orang faham apa itu ukhuwwah. Jika kita faham ukhuwwah yang tertinggi ialah melebihkan sahabat dan yang terendah ialah berlapang dada, adakah kawan kita sebegitu? Andai dia faham, adakah dia amalkan?
Begitulah, dalam kes ini, saya mahu memetik kata-kata seorang ulama' di Jordan
“Hubungan kamu dengan sahabat kamu, adalah tanggungjawab kamu kepada Allah SWT. Kamu tidak mengharapkan balasan daripada sahabat kamu atas kebaikan kamu. Tetapi kamu mengharapkan balasan Allah SWT atas kebaikan kamu. Hubungan sahabat kamu terhadap kamu pula, itu adalah tanggungjawab dia kepada Allah SWT”
Ingatlah, jika sebesar zarah kebaikan pun Allah kira, apatah lagi pengorbanan kita terhadap sahabat kita. Kita korbankan masa, ruang jiwa, harta dan apa sahaja untuk sahabat kita. Allah jualah sebaik-baik pemberi balasan. Bukankah dengan pengorbanan, ukhuwwah itu terasa manis?
Saya pun sedang diuji dengan perkara yang sama. Saya sedar saya salah, namun saya tetap ingin memenangi kembali hati kawan saya ini setelah dia memaafkan saya.Saya mengerti, sukar untuk menyayangi setelah memaafkan, namun itu bukan mustahil. Sahabat, biarpun jarak memisahkan kita, namun tiada noktah kasih dalam diri ini.
Saya juga sedar, hati manusia bukan macam plastisin. Sekali ketuk berubah. Hati manusia mampu menjadi sekeras batu. Namun, sekeras-keras batu, air mampu juga melekukkannya.
Selagi asa saya masih ada pada Ilahi itulah batasnya. Moga dipermudahkan Allah. Allahumma habbib a'bdaka haza, ila i'badikal mukminin. Ameen.
p/s: panjang sikit entri kali ini. Saya berkemungkinan besar tidak menulis entri untuk tempoh yang lama kerana saya akan menghadapi peperiksaan selama 3 minggu. Terima kasih kerana membaca dan hadirlah kembali.


2 comments:
I wish you the best of luck, and all the best en. Solah.
@Anonymousterima kasih, moga anta pun berjaya dan dipermudahkan oleh Allah
Post a Comment