18.9.11

Cerpen: Alkohol Dalam Ubat

Sihat sebelum sakit (~image from ekesihatan)
Pohonan maple berbaris menghiasi stesen bas Holte. Kini, musim luruh sudah tiba. Daunan pohon maple akur. Semasa musim panas, mereka segar menghijau. Sekarang, mereka bertukar warna menjadi merah keperangan. Itu petanda usia sudah hampir ke penghujungnya.Tidak lama lagi, putih salju bakal menutupi pusara mereka.


Salina memandang barisan pohon maple itu. Cantik. Mungkin ramai yang kurang suka cuaca di Denmark semasa musim luruh. Angin dan hujan bergabung menurunkan suhu. Salina pun bukan spesis yang tahan sejuk. Musim luruh pun, dia sudah memakai berlapis-lapis pakaian. 

"Assalamualaikum. Dah lama sampai?" suara ceria menyapanya. 

Salina menoleh, lantas tersenyum. "Waalaikumussalam. Sampai pun Kak Cahaya. Salina baru sahaja sampai. Tak sempat menggigil lagi."

"Kamu tu. Dah tahu tak tahan sejuk, tunggulah di dalam 7 Eleven. Nanti demam, siapa yang nak jaga? Lainlah kak Cahaya, abang Hariz ada." 

Salina senyum segaris. Kak Cahaya memang suka berceloteh. Hari ini mereka akan ke Ganlose, bahagian desa yang jauh daripada bandar Copenhagen untuk menziarahi Kak Ros yang mengadakan rumah terbuka Aidilfitri. Abang Hariz tidak turut serta kerana ada tugas di fakulti.



"Kak Cahaya sudah sihat daripada demam?" soal Salina mengambil berat. Di sini, warga Malaysia ibarat keluarga. Yang tua dihormati, yang muda disayangi.


"Alhamdulillah. Puji dan syukur kepada Allah, Salina. Kak Cahaya sihat. Cuma sekarang, tinggal batuk sahaja. Kak Cahaya makan Strepsils. Tapikan Salina, kakak tengok kandungan Strepsils ada alkohol. Kamukan ahli farmasi, apa pendapat kamu? Bolehkah?" 


Salina terdiam sejenak berfikir. Kemudian dia bersuara, "Menurut Ibnu Qudamah dalam kitab al-Mughni, tepung jika diuli bersama arak, dibakar menjadikannya roti dan di makan, orang itu tidak dikenakan hukuman Had kerana tidak dikira meminum atau memakan arak. Ini kerana, api telah menghilangkan bahagian-bahagian arak, ia tidak ada lagi melainkan kesannya sahaja."

"Kak tahu tentang Ibnu Qudamah. Beliau merupakan ulama' besar mazhab Hanbali dan turut serta menjadi tentera Salahuddin al-Ayyubi menentang tentera Salib. Penjelasan kamu tadi tentang roti, kalau ubat bagaimana?" soal Kak Cahaya lagi.

"Jika dilihat dari sudut ubat-ubatan, pencampuran sedikit alkohol di dalam ubat adalah dibenarkan kerana tidak nampak kesan alkohol yang memabukkan itu." balas Salina.

"Oh, begitu. Baru lega sikit hati kakak. Mange tak Salina."

"Sama-sama. Tak tahu pula saya nak balas dalam bahasa Danish. Eh, kak! Bas 334 ke Ganlose sudah sampai. Jom kita naik."

"Jom. Perut kak dah berkeroncong jazz ni."

"Kak ni ada-ada sahajalah."

Tawa menjadi komunikasi selepas itu.
Continue Reading

14.9.11

Cerpen: Sandarkan Pada-Nya

Sandarkan Pada? ~ Pic. by Danev deviantart
Minggu Orientasi pelajar baru di Universiti Copenhagen sudah beberapa hari bermula. Setelah mendengar pelbagai ceramah sejak pagi, para pelajar berkumpul bersama-sama pada sebelah petang untuk sesi ice breaking. Salina tidak terkecuali. Dia ingin turut serta supaya dia akan mengenali ramai rakan-rakan sekelas yang datang dari pelbagai negara. Ada dari Romania, Serbia, Iceland dan banyak lagi.

Salina memilih untuk duduk bersama beberapa pelajar lelaki dan perempuan. Mereka semua sedang rancak berbual. Salina memulakan bicara, "Can I join you?" Salah seorang daripada mereka menjawab, "Yes, please have a seat." Salina melihat ke arah tag namanya. Tertulis, Peter.

Dalam kerancakan mereka bersuai kenal, seorang senior mengagihkan makanan ringan, minuman bergas dan beberapa tin arak. Salina memandang redup minuman itu. "Inilah, ibu segala maksiat," monolog Salina. Semua pelajar mencapai tin-tin Carlsberg itu. Salina pula mencapai tin minuman bergas.

Dia tidak terkejut dan kekok dengan keadaan itu. Di negara pengeluar arak Carslberg ini, tiada undang-undang melarang rakyatnya untuk minum di khalayak ramai. Makanya, di mana-mana orang minum arak. Hatta di universiti pun.

Mereka kehairanan melihat pilihan minuman Salina. Peter bertanya, "Salina, don't you drink, do you?" "Nope," Salina membalas pendek. "Why don't you drink? Is it because of health or because of religion?" Peter menduga.

Gadis manis bertudung litup itu menjawab, "Both of them. Of course it is not permissible to drink alcohol if you are a Muslim. Basically, God will prohibit something that will ruin your own life."

"Look. Do you believe in God? I don't believe it, girl. We have the power to choose what we want to do in this life. Someone who believes in God is weak. Furthermore, where is God when we are in trouble?" Peter menimbulkan persoalan.

Salina tersenyum. Dia belajar sejarah agama di Denmark. Mereka menganut agama Kristian Katholik. Kemudian, mereka mendokong ajaran agama yang dibawa oleh paderi Martin Luther iaitu Kristian Protestan. Sekarang, mereka tidak selalu ke gereja. Mereka seakan-akan tidak percaya akan Tuhan lagi.

"Peter. As you said, we have the power to choose which way we want in this life. But, are you really sure that you achieve what ever you want? Can you predict your life to be a happy ending? No, you cannot. Even, what will happen in five minutes, we cannot predict. That shows how weak we are and we need God.

"Yes, we cannot predict. But we can do precaution steps. We have the right to choose the consequences. We don't need God. God is not there when we need Him."

"Peter, we really cannot predict the consequences. As example, you want to wake up early in the morning to go to school. You cannot predict whether you can arrive early or not. Maybe, you cannot hear the alarm, or, it rains heavily or perhaps transportation is delayed."

Peter diam. Semua yang lain turut diam. Mereka ingin mendengar lagi daripada Salina.

"As Muslim, we will give all our hopes to God. God will choose the best consequences. Our roles are do the efforts and precaution steps. I believe that God will not ignore those who seek help from Him. He has said that whoever believes in Him, he will be blessed with happiness in this world and in the hereafter."

Bola mata mereka membundar. Hujah Salina tiada balasan. Salina tenang. Dia yakin, mereka yang mendengar di hadapannya juga makhluk Allah. Telinga dan hati mereka juga ciptaan Allah. Apabila, organ-organ ini mendengar perkara yang mengajak kepada fitrah, pasti tidak terdaya berhujah.

Salina menyandarkan jiwa dan urusannya kepada Allah S.W.T. Allah itu Maha Mendengar dan Maha Berkuasa. Dia tidak akan lagi menyandarkan pada usaha, kekuatan yang ada pada dirinya, kerana itu semua tidak kekal. Salina juga mengerti, antara tanda-tanda kurang kebergantungan kepada Allah S.W.T ialah dengan kurang berdoa.

Lantas, Salina berdoa:

Ya Rabbi, Thabbit Qulubi 'Ala Dinik Wa'ala Tho'atik.
(Ya Tuhanku , tetapkanlah hatiku di dalam agama-Mu dan di dalam ketaatan kepada-Mu)
Continue Reading

11.9.11

Kisahku: Berhari Raya di Copenhagen

Sambutan Hari Raya (Grand) di Avedove, Copenhagen
Kerana program orientasi program sarjana di Copenhagen Universiti bermula pada 31 Ogos 2011, aku terpaksa ke bumi Copenhagen sebelum sempat berhari raya bersama keluarga tercinta. Itulah pengorbanan. Itulah perjuangan. Bagiku, setiap sesuatu yang diatur Tuhan, pasti ada hikmahnya. 

Maka, pada 28 Ogos 2011 aku tiba di lapangan terbang Kastrup, Copenhagen dengan menaiki Malaysian Airlines. Perjalanan 14 jam ini merangkumi perjalanan dari Kuala Lumpur-Amsterdam-Copenhagen. Selain daripada Malaysian Airlines, syarikat penerbangan seperti Thai Airlines, Singapore Airlines dan Gulf Air juga menawarkan perjalanan dari ibu kota Malaysia ke pusat negara Denmark ini.

Pada 30 Ogos 2011, kebanyakan umat Islam di seluruh dunia merayakan hari kemenangan setelah sebulan berpuasa. Hari yang mana umat Islam kembali kepada fitrah sebenar. Aku juga tidak terlepas merayakannya. Dalam alunan takbir, aku amat bersyukur kerana Allah mempertemukan aku dengan komuniti dan keluarga besar Malaysia di bumi yang masih asing bagiku.Moga Allah merahmati dan memurahkan rezeki mereka semua. Mereka amat suka menabur bakti dan budi. 

Pada malam hari raya, kami berkumpul bersama-sama di Virum, Copenhagen bagi menyantap juadah hari raya. Seusai mendirikan solat secara berjemaah, kami bertakbir memuji memuja kebesaran Rabbul Jalil. Kami berkumpul dengan hasrat demi mengeratkan silaturrahim dan mengagungkan Pencipta.


Di hadapan Kedutaan Indonesia Denmark
Pagi raya, dengan berpakaian baru dan berwarna-warni kami ke Kedutaan Indonesia di Hellerup, Copenhagen untuk melaksanakan solat sunat Aidilfitri. Di wilayah Scandinavia, kedutaan Malaysia terletak jauh di Stockholm. Maka, umat Islam Malaysia di Copenhagen ini, menumpang kasih bangsa serumpun. Selepas solat, kami menyantap juadah dan berkenal-kenalan dengan umat Islam dari Indonesia. 

Pada hari raya pertama 30 Ogos 2011 aku ke rumah Abang Haizan dan Kak Aya. Mereka sudah berbelas tahun tinggal di Norrebro, Copenhagen. Abang Haizan bekerja di restoran makanan Thai di bandar Copenhagen ini. Di sini aku bertemu dengan ramai lagi rakyat Malaysia. Kurang lebih satu Denmark ini, terdapat 200 orang warga Jalur Gemilang. Kebanyakan daripada mereka bekerja dan sudah berumahtangga. 
Di rumah Abang Haizan dan Kak Rohaya
Golongan pelajar pula tidak sampai 20 orang. Di Copenhagen Universiti, ada empat pelajar PhD dan dua pelajar Master. Di Technical University of Denmark (DTU), ada lima orang pelajar PhD dan seorang pelajar Master. Ada dua orang pelajar PhD. di Roskilde Universiti. Nun jauh di Aalborg dan Arhus, terdapat 4 orang lagi pelajar PhD. 
Di Nyhavn, Copenhagen
Pada hari Sabtu, 3 September 2011 kami berhari raya di rumah Abang Nazri dan Kak Adila yang terletak di Nyhavn, Copenhagen. Abang Nazri sudah 4 tahun bekerja di Copenhagen. Kami merasakan rumah Abang Nazri ini sebagai Malaysian Hall Denmark kerana bendera Malaysia di hadapan rumah beliau. Setiap kali sambutan rumah terbuka hari raya diadakan, aku pasti bertemu dengan ramai lagi rakyat Malaysia.
Rumah Terbuka Hari Raya di Holte, Copenhagen
Pada hari Ahad, 4 September 2011, saya meluangkan masa ke LoppeMarked (Car Boot Sale) dan berhari raya di Holte, Copenhagen. Di sinilah Abang Azizul dan Kak Salwa menetap. Abang Azizul merupakan pelajar Doktor Falsafah di Technical University of Denmark (DTU). 

Kemudian, baru semalam, 10 September 2011, kami semua menyambut hari raya secara besar-besaran di Avedove, Copenhagen rumah Kak Shureen. Kami bergotong royong menyiapkan pelbagai juadah. Kemudian selepas zohor, kami adakan sedikit permainan untuk merapatkan lagi hubungan. 

Hari ini, 11 September 2011, aku menerima jemputan rumah terbuka di Nordhavn, Copenhagen dan minum petang di Virum, Copenhagen. Sesungguhnya, aku amat bersyukur kerana dapat merasakan kehangatan dan kemeriahan Aidilfitri yang sama di Malaysia meskipun berada jauh di rantau orang.  

Namun, aku juga pasti rindu pada bonda dan keluarga dengan rindu yang teramat sangat. Pernah aku menyebut rindu 40 kali untuk melepaskan rindu tersebut. Aku pejamkan mata kemudian. Tetapi sungguh, rindu itu masih menebal. Yang pasti rindu takkan hilang, kasih takkan berubah. 

Selamat Hari Raya Aidilfitri daripada daku di Copenhagen, Denmark. Taqabbalallhu Minna Waminkum.
Continue Reading

3.9.11

Gamitan Copenhagen Buatku

University Library Copenhagen
Inilah kisahku. Kisah perjalanan seorang anak muda dari desa ke bandar nusa Danes. Copenhagen namanya. Perjalanan yang penuh dengan onak duri. Beberapa kali aku jatuh. Namun, aku kumpulkan kekuatan dan pastilah kekuatan perkasa itu dari langit untuk bangun ke tahap ini. Aku berbisik pada diri, "You have come this far, just hold on!"

Aku mengambil pengajian Sarjana dalam bidang Pembangunan Ubat-ubatan di Copenhagen Universiti. Program 2 tahun ini begitu menarik. Sistem yang digunakan ialah sistem blok. Satu tahun terdiri daripada 4 blok. 1 blok, kami hanya mengambil 2 subjek.

Secara mudah, inilah dia 'study plan'ku:

FIRST YEAR
SECOND YEAR
BLOCK 1
BLOCK 3
BLOCK 1
BLOCK 3
Drug Discovery and Development
(7.5 ECTS)
Pharmaceutical Analytical Chemistry
(7.5 ECTS)
Pharmaceutical Formulation of Peptides and Proteins
(7.5 ECTS)
Thesis
Principles of Pharmacology
(7.5 ECTS)
Intellectual Property Rights and Innovation in Pharmaceutical Sciences
(7.5 ECTS)

Advanced Manufacturing of Pharmaceuticals
(7.5 ECTS)
BLOCK 2
BLOCK 4
BLOCK 2
BLOCK 4
Pharmaceutics and Drug Development
(7.5 ECTS)
Research Project in Pharmaceutics and Drug Delivery
(15 ECTS)
Pharmaceutical Preformulation, profiling drug substances for biomedical sciences
(7.5 ECTS)
Thesis
Medicinal and Biostructural Chemistry
(7.5 ECTS)
Advanced Drug Delivery
(7.5 ECTS)

Kami terdiri daripada 40 orang pelajar sarjana yang datang daripada pelbagai negara. Ada daripada Canada, Greece, Russia dan banyak lagi. Setelah kesemua 40 pelajar ini mengambil subjek wajib iaitu yang berwarna KUNING di atas, mereka akan memilih pengkhususan sama ada:

Pengkhususan 'Drug Discovery'
Pengkhususan 'Drug Development' = pengkhususan saya
Pengkhususan "Medicine and Society'

Setelah itu, saya akan belajar subjek wajib, iaitu yang berwarna BIRU dan mengambil 5 subjek elektif yang berwarna MERAH. Di akhirnya, saya akan membuat thesis master.

Ringkasan

Tahun 1
3 subjek wajib untuk semua pengkhususan, 3 subjek wajib pengkhususan dan 1 subjek elektif

Tahun 2
4 subjek elektif dan thesis di Copenhagen Universiti atau

1) Melakukan 'double degree Master' di Vrije Universiti (VU), Amsterdam. Di akhir pengajian, anda akan dapat Master of Pharmaceutical Sciences daripada Copenhagen Universiti dan Master of Drug Discovery and Safety dari VU. Sudah pasti anda perlu membayar 2 yuran pengajian berjumlah RM 130,000.

2) Melakukan Master Thesis di salah satu daripada universiti di bawah:
  1. University of Uppsala, Faculty of Pharmacy (Sweden)
  2. University of London, The School of Pharmacy (United Kingdom)
  3. University of Leiden and University of Amsterdam, The Leiden/Amsterdam Center for Drug Research (The Netherlands)
  4. University of Paris Sud, Faculty of Pharmacy (France)
  5. University of Parma, Faculty of Pharmacy (Italy)
  6. University of Leuven, Faculty of Pharmacy (Belgium)
Anda akan mendapat bantuan maximum 160 euro sebulan.

Banyak lagi peluang lain, namun hanya relevan kepada pelajar Danish.

Seterusnya, saya akan memberikan jawapan-jawapan penting kepada persoalan yang sering diutarakan

Kenapa memilih Denmark?

1) Negara kedua penduduk paling gembira di dunia (Aman, tiada stress, tiada traffic jam)
2) Faktor keselamatan dan kebajikan yang tinggi. (Anda tidak perlu membayar sesen pun jika menggunakan perkhidmatan di hospital seperti melahirkan anak dan apa-apa sahaja. Jika anda tidak cukup wang untuk menyara keluarga, anda akan mendapat bantuan daripada kerajaan walaupun anda bukan warganegara)
3) Taman-taman yang besar dan cantik untuk rekreasi
4) Antara pengeluar terbesar daging halal Eropah. (Daging halal terutamanya ayam ada di mana-mana)

Kenapa memilih Copenhagen Universiti?

1) Universiti tertua di Eropah Utara: 530 tahun
2) Universiti terbesar di Denmark
3) Top 50 universiti di dunia
4) 8 penerima Noble Prize termasuk Niels Bohr

Kenapa memilih Farmasi di universiti ini?

1)  Program yang begitu hebat (saya telah terangkan contoh di atas)
2)  Dapat membuat kerjasama dengan syarikat farmaseutikal seperti Novo Nordisk dan Lundbeck. (Salah satu external supervisor ialah daripada syarikat-syarikat ini untuk Thesis)
3) Berpeluang besar untuk bekerja di dalam syarikat farmaseutikal di sini.

Kesimpulan

Marilah ke Copenhagen Universiti untuk belajar. Untuk maklumat lanjut tentang program yang universiti ini tawarkan sila ke link di bawah:

Copenhagen Universiti

p/s: Saya bersedia menjawab pertanyaan anda.
Continue Reading

6.8.11

Biar Puas Hati Mati Nanti


Salam Ramadhan al-Kareem buat semua. Semoga kita diampunkan dosa-dosa dan keluar sebagai graduan Ramadhan yang lahir suci seperti bayi yang baru diperlihatkan dunia. Syukurlah kerana kita masih dipertemukan dengan Ramadhan yang punya 1001 kelebihan daripada bulan-bulan lain. Kerana itu, marilah bersama-sama kita beraku janji, bahawa kita akan menggunakan segenap ruang dan peluang demi mengimarahkan Ramadhan.

Saya ingin mengajak pembaca untuk berfikir, tahukah bila masanya kita akan meninggal dunia dan bertemu dengan Pencipta? Tidak bukan. Inilah rahsia yang Allah simpan demi menguji siapakah dikalangan hamba-hamba-Nya yang benar-benar bersifat hamba.

Saya teringat kisah seorang ulama yang telah pun meninggal dunia. Sepanjang hayatnya, dia telah pun menghasilkan hampir 100 buah kitab. Dia begitu komited dalam beragama. Meskipun terlantar di atas katil pesakit, apabila tetamu datang menziarahi beliau dan bertanya tentang ilmu dan hukum, beliau pasti bersemangat untuk menyampaikan ilmu.

Beliau juga seorang yang tidak meninggalkan solat berjemaah. Pernah beberapa kali anak-anak beliau menegah supaya tidak solat di masjid. Bukan kerana apa, mereka risaukan ayah mereka. Sudah 4 kali beliau tidak mengecam jalan ke rumah. Akhirnya, orang ramai yang membantu menghantar beliau ke rumah.

Ada seorang bertanya kepada beliau. "Ustaz, kenapa tak solat di rumah sahaja. Keadaan Ustaz ni, sudah membolehkan Ustaz tak ke masjid".

Beliau menjawab, "Aku teringat pada kisah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. iaitu Abdullah bin Ummi Maktum r.a. Sahabat ini seorang yang buta. Namun beliau tidak pernah meninggalkan solat berjemaah di Masjid Nabawi."

Para tetamu yang menziarahi jenazah ulama ini begitu puas hati. Puas hati, kerana mereka kenal ketokohan, ketinggian ilmu, kewarakan, kesungguhan dalam beribadah yang dimiliki oleh ulama ini.

Kesimpulan

Allah s.w.t. telah mengurniakan kehidupan yang panjang untuk kita umat Muhammad. Rata-ratanya ialah 60-70 tahun. Amat panjang untuk melaksanakan tugas kita sebagai hamba dengam sebaiknya.

Renungkanlah kisah ulama di atas, betapa komitednya beliau demi agama sehingga kepuashatian itu terpancar kepada para penziarah jasadnya.

Renungkanlah jua, kisah sahabat Rasulullah s.a.w., iaitu Saad bin Mu'az. Meskipun hanya 6 tahun memeluk Islam, bergegar arasy Allah menyambut rohnya. Kita, rata-rata hidup lebih daripada itu, maka biarlah kita meninggalkan dunia ini dengan puas hati.

Buat akhirnya, saya ingin mengingatkan firman Allah s.w.t. ini:

Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata: "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin. (as-Sajdah:12)

Dan, sudah pastilah permintaan mereka ini tidak dikabulkan oleh Allah s.w.t. Justeru, di kesempatan bulan Ramadhan yang penuh dengan peluang untuk menggandakan amal ini, marilah sama-sama memperkasa iman dan menambah amal saleh supaya nanti kita puas hati apabila bertemu Pencipta.

Continue Reading
Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template