
Salam Ramadhan al-Kareem buat semua. Semoga kita diampunkan dosa-dosa dan keluar sebagai graduan Ramadhan yang lahir suci seperti bayi yang baru diperlihatkan dunia. Syukurlah kerana kita masih dipertemukan dengan Ramadhan yang punya 1001 kelebihan daripada bulan-bulan lain. Kerana itu, marilah bersama-sama kita beraku janji, bahawa kita akan menggunakan segenap ruang dan peluang demi mengimarahkan Ramadhan.
Saya ingin mengajak pembaca untuk berfikir, tahukah bila masanya kita akan meninggal dunia dan bertemu dengan Pencipta? Tidak bukan. Inilah rahsia yang Allah simpan demi menguji siapakah dikalangan hamba-hamba-Nya yang benar-benar bersifat hamba.
Saya teringat kisah seorang ulama yang telah pun meninggal dunia. Sepanjang hayatnya, dia telah pun menghasilkan hampir 100 buah kitab. Dia begitu komited dalam beragama. Meskipun terlantar di atas katil pesakit, apabila tetamu datang menziarahi beliau dan bertanya tentang ilmu dan hukum, beliau pasti bersemangat untuk menyampaikan ilmu.
Beliau juga seorang yang tidak meninggalkan solat berjemaah. Pernah beberapa kali anak-anak beliau menegah supaya tidak solat di masjid. Bukan kerana apa, mereka risaukan ayah mereka. Sudah 4 kali beliau tidak mengecam jalan ke rumah. Akhirnya, orang ramai yang membantu menghantar beliau ke rumah.
Ada seorang bertanya kepada beliau. "Ustaz, kenapa tak solat di rumah sahaja. Keadaan Ustaz ni, sudah membolehkan Ustaz tak ke masjid".
Beliau menjawab, "Aku teringat pada kisah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. iaitu Abdullah bin Ummi Maktum r.a. Sahabat ini seorang yang buta. Namun beliau tidak pernah meninggalkan solat berjemaah di Masjid Nabawi."
Para tetamu yang menziarahi jenazah ulama ini begitu puas hati. Puas hati, kerana mereka kenal ketokohan, ketinggian ilmu, kewarakan, kesungguhan dalam beribadah yang dimiliki oleh ulama ini.
Kesimpulan
Allah s.w.t. telah mengurniakan kehidupan yang panjang untuk kita umat Muhammad. Rata-ratanya ialah 60-70 tahun. Amat panjang untuk melaksanakan tugas kita sebagai hamba dengam sebaiknya.
Renungkanlah kisah ulama di atas, betapa komitednya beliau demi agama sehingga kepuashatian itu terpancar kepada para penziarah jasadnya.
Renungkanlah jua, kisah sahabat Rasulullah s.a.w., iaitu Saad bin Mu'az. Meskipun hanya 6 tahun memeluk Islam, bergegar arasy Allah menyambut rohnya. Kita, rata-rata hidup lebih daripada itu, maka biarlah kita meninggalkan dunia ini dengan puas hati.
Buat akhirnya, saya ingin mengingatkan firman Allah s.w.t. ini:
Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata: "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin. (as-Sajdah:12)
Dan, sudah pastilah permintaan mereka ini tidak dikabulkan oleh Allah s.w.t. Justeru, di kesempatan bulan Ramadhan yang penuh dengan peluang untuk menggandakan amal ini, marilah sama-sama memperkasa iman dan menambah amal saleh supaya nanti kita puas hati apabila bertemu Pencipta.

3 comments:
assalammualaikum
Allahu akbar..entry yg mnyentap hati sesiapa yg mbacanya..syukran
Salam Ramadhan al Mubarak
salam..
terima kasih atas peringatan :)
mohon share ya..
waalaikumussalam
terima kasih noor azlen dan nazatimsuria
sila-silakan kongsi, insyaAllah ada manfaatnya
Post a Comment