24.12.10

Bagaimana menyambut Krismas?

christmas
Esok 25 Disember 2010 merupakan tarikh bagi penganut agama Kristian merayakan hari Natal atau Krismas. Hari Krismas ini disambut bersempena lahirnya Nabi Isa a.s. ke dunia meskipun pihak gereja berbeza pendapat tentang perkara ini. Di sesetengah tempat di dunia seperti di Mesir dan Etopia,mereka merayakan Krismas pada 7 Januari.

Pada hari Krismas, pihak gereja akan menyambutnya dengan pelbagai aktiviti termasuklah paparan kelahiran Jesus Christ. Tradisi ini diperkenalkan di Itali dan menjadi ikutan banyak gereja di seluruh dunia. Babak kelahiran dipaparkan dalam bentuk patung sebesar saiz manusia, ataupun sekecil kotak mancis.

Di seluruh dunia, orang yang menganut agama lain juga menyambutnya dengan penuh sekular. Di Jepun, yang penganut Kristiannya sedikit menyambut Krismas dengan bertukar-tukar hadiah dan menghias pokok Krismas. Tradisi pohon krismas ini berasal daripada negara Jerman.

Itulah sedikit sebanyak sambutan Krismas, yang terkadang umat Islam terlepas pandang tentang sejarah dan sewenang-wenangnya menyambut hari Krismas dengan rasa bangga. Bangga bertukar-tukar hadiah, bangga menyanyikan lagu-lagu Krismas dan pelbagai lagi bentuk sambutan yang dilakukan.

Umat Islam sepatutnya sedar bahawa hari Krismas merupakan satu perayaan penganut Kristian yang berbeza aqidah dengan umat Islam. Demi menyelamatkan aqidah diri, seharusnya umat Islam tidak terjerumus dengan perayaan dan aktiviti hedonisme yang melampau.

Hari Krismas sinonim dengan hadiah. Dan, di dalam Islam seorang Muslim tidak dilarang untuk memberi dan menerima hadiah daripada non-Muslim. Rasulullah sendiri pernah memberi hadiah kepada non-Muslim. Al-Bukhari merekodkan dalam perang Tabuk, seorang raja pernah menghadiahkan baginda dengan kain putih.

Walaupun begitu, sekiranya kita memberikan hadiah kepada mereka semasa berlangsungnya hari perayaan yang dimuliakan mereka, ini amalan yang ditegah. Bahkan dalam hal ini, orang Islam sendiri yang memberi hadiah kepada orang Islam yang lain sempena perayaan Krismas juga tidak dibolehkan seperti yang diulas oleh Ibn Taimiyah:

"Dan sesiapa yang memberi hadiah kepada orang Islam dalam hari perayaan (orang kafir),maka jangan diterima hadiahnya. Terutamanya, jika hadiah itu berkaitan dengan perayaaan mereka."

Umat Islam seharusnya merujuk kepada al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w dalam melaksanakan sesuatu perkara. Rasulullah s.a.w tidak merayakan hari Krismas.

Di dalam Islam, kita sudah dikurniakan dengan pelbagai sambutan. Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Awal Muharram, 10 Muharram, Hari Arafah,Nisfu Syaaban dan pelbagai lagi. Cintailah Islam, maka anda akan rasa Islam itu merupakan nikmat yang amat berharga.

Usah disambut Krismas. Biarkan sahaja penganutnya sahaja yang menyambut.
Continue Reading

23.12.10

Anda Pembimbing bukan Penghukum


Saya ingin berkongsi satu kisah. Moga-moga diakhirnya sama-sama kita dapat manfaat. Bahawa, manusia belum tentu lagi beriman sehingga hembusan nafas terakhir. Dan, seorang yang bukan Islam belum tentu lagi kafir sehingga mata tertutup rapat,tiada sinar lagi.

Kisah ini berkenaan dengan seorang alim dan seorang Nasrani.

Pada suatu hari, seorang alim keluar berjalan-jalan melihat alam ciptaan Allah s.w.t. Tiba-tiba, dia dilanggar oleh seorang Nasrani. Dalam keadaan marah, dia menutur, "Tak guna betul ahli neraka!".

Kata-kata kesat itu mengundang amarah Nasrani. Lalu dia membalas, "Apakah kamu yang memegang neraka? Maka bersaksilah bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan Muhammad itu pesuruhNya". Dengan segera, Nasrani itu meninggalkan si alim.

Orang alim itu meneruskan perjalanannya. Dalam perjalanan, dia melalui sebuah rumah. Dari pintu rumah itu, keluarlah seorang gadis yang rupawan. Tertarik orang alim melihatnya. Maka, orang alim itu ingin menjadikan gadis tersebut sebagai suri hatinya.

Kemudian, dia berkunjung ke rumah itu dan menemui ayah si gadis. Rupa-rupanya gadis itu berasal daripada keluarga Nasrani.

Maka, ayah gadis Nasrani itu berkata,"Jika engkau hendak mengahwini anakku, maka masuklah ke dalam agama Nasrani, dan bekerjalah sebagai penternak khinzirku selama beberapa bulan."

Akibat mabuk dengan cinta dan kecantikan si gadis, si alim itu bersetuju.

Selepas beberapa ketika, si Nasrani yang sudah memeluk Islam itu terserempak dengan si alim. yang sedang menternak khinzir.

Lantas, dia bertanya, "Apa yang sudah berlaku kepadamu, wahai Muslim?"

Si alim menjawab,"Kerana aku menghinamu, maka Allah telah menukarkan kedudukan kita".

Kesimpulan

Dalam hidup ini, seringkali kita bertemu dengan pembuat-pembuat maksiat dan dosa. Yang tidak solatnya, yang pandang ringan tentang solat, yang minum arak, yang berzina, yang tidak tutup aurat dan banyak lagi.

Bagaimana kita memandang mereka? Adakah dengan pandangan bimbingan atau pandangan menghina?

Ingatkah lagi dialog si Nasrani kepada si alim,"Adakah kamu memegang neraka?"

Justeru, sama-samalah terus-terusan berusaha untuk menjadi Muslim yang baik, baik dalam erti kata berusaha untuk mempereratkan hubungan diri dengan Pencipta. Terus berusaha kekal dalam hidayah Allah hingga kita meninggalkan dunia yang tiada langsung nilai di sisi Allah.
Continue Reading

17.12.10

PRP di PPUM


Alhamdulillah, sekarang sudah masuk minggu ke-21 saya menjadi PRP di PPUM atau Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Inilah coretan pengalaman saya di sini. Di PPUM, ada 5 stesen utama untuk PRP.

Farmasi Pesakit Dalam

Saya ditempatkan di Farmasi Pesakit Dalam atau In-Patient Pharmacy selama 9 minggu. InsyaAllah Mei 2011, saya ke stesen ini kembali untuk 9 minggu lagi.

Di IP, PRP dikehendaki berada di sini hampir 18 minggu. 18 minggu ni, termasuklah TDM 4 minggu, dan Ward 2 minggu. Sebenarnya, di PPUM kerana kekurangan staf, rotation untuk ward tidak seperti di KKM. Di KKM, PRP kena berada di ward selama 8 minggu. setiap minggu kena clerk 15 kes dan present 3 kes setiap minggu kepada preceptor. Makanya di PPUM, PRP hanya clerk 30 kes.

Farmasi Pesakit Dalam di PPUM membekalkan ubat untuk wad dan juga pesakit discaj. Waktu kerja ialah 8.30am ke 515pm. Nampak awal kan? Tapi, kehidupan kerja berlainan dari waktu belajar. Jadi, habiskan kerja baru balik. Itulah sifirnya.

Di IP,PRP kena buat packing =1 minggu, methadone = 1minggu, DD = 2minggu, Screening antibiotics=4minggu,wad = 2 minggu, tdm=4 minggu,checking dan kaunseling untuk 4 minggu lagi.

Kesimpulannya, IP ialah tempat paling mencabar.

Farmasi Pesakit Luar

Farmasi pesakit luar ialah tempat kegemaran kebanyakan PRP. Waktu kerja sama seperti IP. Yang menariknya, ada rehat pagi selama 30 minit. Dan apabila tiba 515pm, boleh balik tepat pada masanya.

Satu hari, purata pesakit di OP (Out-Patient) PPUM berjumlah 2000++.

OP terbahagi kepada 3 unit. 1) Main OP (4-5 minggu), 2) RF (Revolving Fund) (3-4minggu)Tempat menjual ubat-ubat yang mahal seperti Viagra, Celebrex dan lain-lain. 3) PharmCare (Perkhidmatan kutipan ubat secara SMS, Pos dan Drive-Tru.) (3-4minggu).

Manufacturing

Manufacturing terbahagi kepada 2 stesen. 1) CDR (6minggu) 2) TPN (4minggu). Di sini, PRP akan belajar tentang hand washing, gowning degowning,clean room,cytotoxic drugs reconstitution, tpn dan banyak lagi.

Sehari, purata 130 produk ubat sitotosik di buat.

Kedai

Di PPUM, PRP berpeluang untuk berada di stesen ala-ala komuniti farmasi selama 1 atau 2 bulan. Di Kedai, pelbagai ubat dan alat bantuan medikal di jual.

In-Patient Chemo

In-Patient Chemo (IPC) bekerjasama dengan Sterile Complex untuk membekalkan ubat sitotosik ke wad. IPC akan menerima preskripsi dari Doktor, dan menghantar ke dalam Sterile Complex untuk dibuat. Setelah ubat siap, Sterile Complex akan menghantar ubat ke IPC dan kemudian dari IPC ke wad. PRP akan berada di sini selama 2 bulan.

Itulah 5 stesen utama bagi PRP di PPUM. Stesen seperti DIS dan Store tidak ada. DIS perlu di buat sepanjang PRP. Druq enquiry haruslah 100. Attachment di store tidak ada. Attachment di Enforcement juga tidak ada.

Menurut senior di PPUM, bekas graduan UIA yang pernah ke sini ialah Rx3 = Adibah. Rx4=Nurizzati (half-way) Rx5 = Ainna, Nursalwa dan saya.

Ok, itu sahaja. Terima kasih.
Continue Reading

4.12.10

Pemergianmu


Pagi ni, saya tersentak seketika. Panggilan telefon dari bonda tentang kematian rakan sekolah, Nabil Afham menyebabkan hati saya terduduk. Terduduk lantas mendetikkan:Ya Allah, Engkau Maha Berkuasa. Engkau Mematikan dan Engkau Menghidupkan. Meski umur masih 24 tahun, Engkau jemput beliau ke alam yang lain.

Dunia akan ditinggalkan

Saya berfikir, ajal itu pasti. Dan semua manusia akan menemui ajal. Tidak akan lambat hatta sedetik pun. Namun, kesibukan kehidupan dunia menyebabkan kita alpa tentang peri pentingnya menambah amal kebajikan di dunia. Kita lupa tugas dan galasan Allah berikan kepada kita di muka bumi ini. Kita lupa kita merupakan hamba-Nya.

Kita boleh bangun awal untuk bekerja kerana kita perlu sampai tepat pada waktunya. Namun, pernahkah kita berfikir, kita bangun awal saban hari, kerana mahu ke tempat kerja atau mahu menunaikan solat Subuh? Andai kita mampu bangun seawal jam 530am untuk bersiap-siap ke tempat kerja, jika hari Sabtu dan Ahad (tidak bekerja), adakah kita akan bangun 530am untuk bersiap-siap menunaikan solat Subuh di masjid?

Dunia tempat bercucuk tanam

Dunia ini tempat bercucuk tanam untuk akhirat. Di sini kita menanam dan hasilnya kita tuai di alam akhirat.

Jika mahu dibuat analogi, seorang pelancong Malaysia yang ingin ke Amerika Syarikat perlulah menukar matawang Malaysia kepada US Dollar sebelum ke sana. Jika tidak, dia tidak dapat membeli atau melaksanakan urusan di sana. Alangkah ruginya dia. Ingin kembali ke Malaysia tiket belum masanya.

Begitu jua dengan akhirat. Dunia ini tempat untuk kita kumpul bekal, amal soleh yang akan memberikan mata wang pahala. Dan, mata wang pahala inilah yang akan menyelamatkan dan membahagiakan kita di akhirat kelak. Alangkah ruginya, pelancong dunia tadi kering pahala di negeri akhirat.

Kesimpulan

Mari sama-sama berfikir tujuan Allah hidupkan kita di atas dunia. Tugas kita sebagai khalifah memakmurkan bumi Allah. Tugas kita sebagai hamba (Abdullah). Kita berusahakah untuk menjadi khalifah dan hamba yang baik?

Saban hari, kerana kesibukan, kita tidak mampu meningkatkan amal. Semenjak 2-3 tahun kebelakangan ini, apa usaha kita untuk menjadi hamba yang baik? Jika setahun dulu kita baca al-Quran sehari satu muka surat, adakah tahun ini masih sama? atau langsung tidak membacanya?

Justeru, marilah menjadi Muslim yang sentiasa memperbaiki diri. Sama-samalah kita. Ingatlah ibrah dari pemergian sahabat saya pada usia 24 tahun. Ajal itu akan datang tidak akan lewat biar sedetikpun.

p/s: Pohon doa dari rakan-rakan pembaca untuk kesejahteraan kawan saya Nabil Afham. Moga Allah menempatkannya di dalam syurga.
Continue Reading

11.10.10

Konsert Glambert Hanya Menggalakkan Zina


Siapa yang tidak kenal dengan penyanyi Amerika Syarikat Adam Lambert. Penyanyi dengan jolokan Glambert ini akan bertandang ke Malaysia pada 14 Oktober dalam siri jelajah konsertnya. Puas dibantah oleh pelbagai pihak, namun konsert itu diteruskan juga.

Alasannya, Glambert sudah memberikan kenyataan bahawa kejadian jijik yang berlaku di atas pentas di Jepun dan konsert jelajahnya yang lain tidak akan berlaku di negara Malaysia ini.

Meskipun begitu, konsert sebegini hanya mengundang padah. Masyarakat Malaysia sudah parah dengan masalah zina di mana-mana. Masalah pembuangan anak buktinya.

Apa yang menarik perhatian saya ialah di mana kesungguhan pihak kerajaan menyelesaikan masalah zina yang berleluasa sekarang?

Di Terengganu, seorang imam hadir awal ke masjid untuk menunaikan solat Subuh. Kemudian, beliau melihat ada bungkusan plastik yang tersangkut di pagar masjid. Seperti kebiasaan, imam tersebut menjangkakan ada orang menyedekahkan pisang kerana amalan itu selalu dilakukan terutamanya pada hari Jumaat.

Selepas solat Subuh, imam tersebut mengajak beberapa orang jemaah masjid untuk duduk bersama menyantap pisang tadi. Apabila dibuka plastik bag tersebut, rupanya ada seorang bayi. Bersamanya ada nota:

"Didiklah anak ini dengan ajaran Islam."

Itu di Terengganu.

Di Temerloh pula, satu konsert dianjurkan. Selepas konsert, kempen anti zina dilakukan. Seramai berbelas-belas pasangan di tangkap di hotel-hotel kerana melakukan zina.

Di sekolah-sekolah, hakikatnya pelajar perempuan kita sudah pandai membawa kondom ke sekolah.

Kesimpulan

Itulah realiti masyarakat sekarang tentang zina. Zina situ sana sini. Buang anak situ sana sini.

Perlu lagikah masyarakat disuntik dengan Konsert Glambert ini. Masyarakat Malaysia semakin parah. Konsert ini sesungguhnya menggalakkan zina.

Jika di konsert Maher Zain pun ramai yang taksub sehingga lupa hakikat akhlak. Bagaimana dengan konsert Glambert.

Ya Allah, usah Engkau turunkan bala kepada seluruh penduduk Malaysia. Berilah hidayah kepada pemimpin-pemimpin kami.
Continue Reading
Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template