4.12.10

Pemergianmu


Pagi ni, saya tersentak seketika. Panggilan telefon dari bonda tentang kematian rakan sekolah, Nabil Afham menyebabkan hati saya terduduk. Terduduk lantas mendetikkan:Ya Allah, Engkau Maha Berkuasa. Engkau Mematikan dan Engkau Menghidupkan. Meski umur masih 24 tahun, Engkau jemput beliau ke alam yang lain.

Dunia akan ditinggalkan

Saya berfikir, ajal itu pasti. Dan semua manusia akan menemui ajal. Tidak akan lambat hatta sedetik pun. Namun, kesibukan kehidupan dunia menyebabkan kita alpa tentang peri pentingnya menambah amal kebajikan di dunia. Kita lupa tugas dan galasan Allah berikan kepada kita di muka bumi ini. Kita lupa kita merupakan hamba-Nya.

Kita boleh bangun awal untuk bekerja kerana kita perlu sampai tepat pada waktunya. Namun, pernahkah kita berfikir, kita bangun awal saban hari, kerana mahu ke tempat kerja atau mahu menunaikan solat Subuh? Andai kita mampu bangun seawal jam 530am untuk bersiap-siap ke tempat kerja, jika hari Sabtu dan Ahad (tidak bekerja), adakah kita akan bangun 530am untuk bersiap-siap menunaikan solat Subuh di masjid?

Dunia tempat bercucuk tanam

Dunia ini tempat bercucuk tanam untuk akhirat. Di sini kita menanam dan hasilnya kita tuai di alam akhirat.

Jika mahu dibuat analogi, seorang pelancong Malaysia yang ingin ke Amerika Syarikat perlulah menukar matawang Malaysia kepada US Dollar sebelum ke sana. Jika tidak, dia tidak dapat membeli atau melaksanakan urusan di sana. Alangkah ruginya dia. Ingin kembali ke Malaysia tiket belum masanya.

Begitu jua dengan akhirat. Dunia ini tempat untuk kita kumpul bekal, amal soleh yang akan memberikan mata wang pahala. Dan, mata wang pahala inilah yang akan menyelamatkan dan membahagiakan kita di akhirat kelak. Alangkah ruginya, pelancong dunia tadi kering pahala di negeri akhirat.

Kesimpulan

Mari sama-sama berfikir tujuan Allah hidupkan kita di atas dunia. Tugas kita sebagai khalifah memakmurkan bumi Allah. Tugas kita sebagai hamba (Abdullah). Kita berusahakah untuk menjadi khalifah dan hamba yang baik?

Saban hari, kerana kesibukan, kita tidak mampu meningkatkan amal. Semenjak 2-3 tahun kebelakangan ini, apa usaha kita untuk menjadi hamba yang baik? Jika setahun dulu kita baca al-Quran sehari satu muka surat, adakah tahun ini masih sama? atau langsung tidak membacanya?

Justeru, marilah menjadi Muslim yang sentiasa memperbaiki diri. Sama-samalah kita. Ingatlah ibrah dari pemergian sahabat saya pada usia 24 tahun. Ajal itu akan datang tidak akan lewat biar sedetikpun.

p/s: Pohon doa dari rakan-rakan pembaca untuk kesejahteraan kawan saya Nabil Afham. Moga Allah menempatkannya di dalam syurga.

1 comments:

saidah said... [Reply to comment]

Innalillahiwainna ilaihi rajiun... semoga rohnya ditempatkan dikalangan org2 mukmin.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template