24.12.10

Bagaimana menyambut Krismas?

christmas
Esok 25 Disember 2010 merupakan tarikh bagi penganut agama Kristian merayakan hari Natal atau Krismas. Hari Krismas ini disambut bersempena lahirnya Nabi Isa a.s. ke dunia meskipun pihak gereja berbeza pendapat tentang perkara ini. Di sesetengah tempat di dunia seperti di Mesir dan Etopia,mereka merayakan Krismas pada 7 Januari.

Pada hari Krismas, pihak gereja akan menyambutnya dengan pelbagai aktiviti termasuklah paparan kelahiran Jesus Christ. Tradisi ini diperkenalkan di Itali dan menjadi ikutan banyak gereja di seluruh dunia. Babak kelahiran dipaparkan dalam bentuk patung sebesar saiz manusia, ataupun sekecil kotak mancis.

Di seluruh dunia, orang yang menganut agama lain juga menyambutnya dengan penuh sekular. Di Jepun, yang penganut Kristiannya sedikit menyambut Krismas dengan bertukar-tukar hadiah dan menghias pokok Krismas. Tradisi pohon krismas ini berasal daripada negara Jerman.

Itulah sedikit sebanyak sambutan Krismas, yang terkadang umat Islam terlepas pandang tentang sejarah dan sewenang-wenangnya menyambut hari Krismas dengan rasa bangga. Bangga bertukar-tukar hadiah, bangga menyanyikan lagu-lagu Krismas dan pelbagai lagi bentuk sambutan yang dilakukan.

Umat Islam sepatutnya sedar bahawa hari Krismas merupakan satu perayaan penganut Kristian yang berbeza aqidah dengan umat Islam. Demi menyelamatkan aqidah diri, seharusnya umat Islam tidak terjerumus dengan perayaan dan aktiviti hedonisme yang melampau.

Hari Krismas sinonim dengan hadiah. Dan, di dalam Islam seorang Muslim tidak dilarang untuk memberi dan menerima hadiah daripada non-Muslim. Rasulullah sendiri pernah memberi hadiah kepada non-Muslim. Al-Bukhari merekodkan dalam perang Tabuk, seorang raja pernah menghadiahkan baginda dengan kain putih.

Walaupun begitu, sekiranya kita memberikan hadiah kepada mereka semasa berlangsungnya hari perayaan yang dimuliakan mereka, ini amalan yang ditegah. Bahkan dalam hal ini, orang Islam sendiri yang memberi hadiah kepada orang Islam yang lain sempena perayaan Krismas juga tidak dibolehkan seperti yang diulas oleh Ibn Taimiyah:

"Dan sesiapa yang memberi hadiah kepada orang Islam dalam hari perayaan (orang kafir),maka jangan diterima hadiahnya. Terutamanya, jika hadiah itu berkaitan dengan perayaaan mereka."

Umat Islam seharusnya merujuk kepada al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w dalam melaksanakan sesuatu perkara. Rasulullah s.a.w tidak merayakan hari Krismas.

Di dalam Islam, kita sudah dikurniakan dengan pelbagai sambutan. Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Awal Muharram, 10 Muharram, Hari Arafah,Nisfu Syaaban dan pelbagai lagi. Cintailah Islam, maka anda akan rasa Islam itu merupakan nikmat yang amat berharga.

Usah disambut Krismas. Biarkan sahaja penganutnya sahaja yang menyambut.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template