31.5.10

Kad Kredit Bank Islam

Kad kredit Bank Islam
Setelah kita mengetahui bahawa kad kredit konvensional mempunyai unsur riba yang menyebabkannya haram, alternatif yang ditawarkan ialah kad kredit yang dikeluarkan oleh perbankan Islam seperti Bank Islam, BSN (al-Aiman), AmBank (Al-Taslif) dan sebagainya.

Bagaimanakah konsep jual beli di sebalik kad kredit bank Islam ini?

Secara asasnya, kaedah (Bai') jual beli dalam perbankan Islam terbahagi kepada 6 iaitu:

1) Murabahah (Harga Tambah)
2) Salam (Jualan Tempah)
3) Istisna' (Tempah Buatan)
4) Inah (Belian Semula)
5) Sarf (Tukaran Wang)
6) Tawarruq (Belian Pelbagai Pihak)

Kebanyakan kad kredit perbankan Islam menggunakan konsep jual beli (Bai' al-Inah) iaitu (beli dan kemudian jual kembali).

Prosedur konsep jual beli (Bai' al-Inah) kad kredit Bank Islam:

1) Bank menjual aset kepada pemohon kad kredit dengan harga tertentu.
(Contoh harga aset: RM10,000).

Sekarang, pemohon kad kredit sudah mempunyai aset dengan membeli daripada bank.

2) Pemohon kad kredit membeli aset tersebut secara ansuran.

3) Kemudian, pemohon kad kredit menjual kembali aset tersebut kepada pihak bank dengan harga yang lebih rendah. (Contoh harga lebih rendah: RM8000)

4) Bank membeli dengan bentuk tunai dan memasukkan wang itu (RM8000, dalam contoh ini), ke dalam akaun khas yang dibuka untuk pemohon kad kredit tersebut.

5) Bank menyediakan kad yang nilainya bersandarkan wang yang terdapat dalam akaun khas tersebut. (RM8000, dalam contoh ini)

6) Sekiranya pelanggan membuat pembelian menggunakan kad kredit itu, bank membayar kepada penjual dengan menggunakan wang yang terdapat dalam akaun khas pelanggan.

Faham tak? Secara mudahnya, kad kredit perbankan Islam seperti kad kredit Bank Islam:

1) Mirip kepada kad debit.
2) Tidak ada caj kewangan terkumpul (compounding finance charge)
3) Berlandaskan konsep Syariah yang bebas dari unsur Riba dan Gharar (keraguan, kesamaran)
4) Menerima jual beli dengan penjual HALAL sahaja
5) Penghapusan yuran tahunan kad kredit dengan minimum 12 transaksi setahun
6) Caj Lewat Bayar serendah 1% ke atas baki tertunggak. (Kad kredit bank konvensional 1.5%)
7) Tiada Yuran Pendaftaran/Penyertaan

Banyakkan kelebihan kad kredit Bank Islam? Usah ragu-ragu lagi, pilihlah produk perbankan Islam.

Jika orang bukan Islam pun sedar hakikat ini, kenapa anda yang Muslim masih memilih kad kredit konvensional?

Rujukan


1) UZAR, 2009. Murabahah: Teori, Aplikasi, & Isu Dalam Perbankan Islam Semasa.
2) Mohamed Sulaiman & Aizuddinur Zakaria, 2010. Jejak Bisnes Rasul.
3) http://bankislam.com.my

p/s: Kad kredit Bank Islam telah bertukar dari menggunakan konsep Bai' al-Inah kepada konsep Tawarruq (Belian Pelbagai Pihak). Secara mudahnya, kedua-dua konsep lebih kurang sama. Perbezaan hanya pada siapa yang menjual aset kepada pemohon kad kredit.
Continue Reading

29.5.10

Kad Kredit Konvensional Haram?

Perfectly optimized page
Apa khabar semua? Sudah lama saya tidak mencoret perihal kewangan. Kali ini, saya tergerak untuk membicarakan tentang kad kredit. Nampak macam topik yang bosan, tapi tidak sebenarnya. Percayalah, tatkala anda mula kelihatan matang dan sudah bekerja, ejen-ejen kad kredit akan mula mencari anda. Jangan pula anda rasa glamor macam artis pula masa tu. Rimas adalah.

Kad kredit atau wang plastik ni memang banyak kelebihannya. Anda pasti maklum, bahawa anda tidak perlu lagi membawa sejumlah wang yang besar ke mana-mana, membeli secara online dengan mudah dan pelbagai lagi kemudahan yang ditawarkan oleh kad kredit ini.

Mari sama-sama memahami konsep jual beli dan caj-caj di sebalik kad kredit. Di sini, saya khususkan kepada konsep dan caj-caj kad kredit konvensional.
Justify Full
1) Acquirer Fee.

Acquirer=bank, Merchant=penjual.

Caj ini dikenakan oleh Acquirer kepada Merchant mengikut kepada pembelian pembeli.

Contoh:

Anda beli Sony PSP RM1000 menggunakan kad kredit. Acquirer (Bank) hanya membayar RM975 kepada Merchant (Kedai Sony) kerana Acquirer Fee ialah (2.5%).

2) Grace Period

Pemegang kad kredit diberikan tempoh masa selama 20-25 hari bagi menjelaskan hutang dan faedah yang dikenakan apabila menggunakan kad kredit kepada bank.

3) Bayaran minima

Pemegang kad dibenarkan membayar minima 5% daripada pembelian.

Contoh:

Anda menggunakan kad kredit sebanyak RM1000 pada bulan tersebut. Sebelum Grace Period, anda hanya perlu bayar minima 5% daripada RM1000 iaitu sebanyak RM50.

4) Faedah

Faedah kad kredit akan dikenakan terhadap baki hutang berdasarkan pengiraan bulanan selepas grace period.

Contoh:

Faedah tahunan=18%, Faedah bulanan=18/12 = 1.5%

Anda beli Sony PSP yang berharga RM1000 tadikan? Kemudian sebelum grace period tamat, anda bayar RM50 (5%). Maka bakinya ialah RM950. Selepas grace period, anda akan dikenakan faedah sebanyak RM14.25 (1.5%). Jadi, RM950 menjadi RM964.25.

5) Had kredit

Ditentukan oleh pengeluar kad (bank) berdasarkan status kewangan pemegang kad. Perasan tak ada kad kredit platinum dan sebagainya?

6) Yuran tahunan

Dikenakan kepada pemegang kad kredit bagi penggunaaan kad kredit tersebut.

Bagaimana kad kredit konvensional ini haram?

1) Haram sekiranya anda gagal membayar keseluruhan hutang semasa grace period. Kerana wujudnya unsur riba. Anda mungkin memandang remeh hal riba. Namun, riba ini seakan-akan anda melancarkan perang dengan Allah s.w.t. Sanggupkah anda?

2) Haram secara total berdasarkan kaedah Sadd az-Zara'i iaitu menutup jalan haram daripada berlaku. Lagipun, kad kredit Islam sudah banyak di pasaran. (Fatwa daripada Mazhab Syafi'e)

Kita Umat Islam

Telah banyak kad kredit Islam yang dikeluarkan oleh Bank Islam, BSN dan sebagainya. Sebagai orang Islam, gunalah perkhidmatan kad kredit sebegini. Sesungguhnya agama Islam itu, tidak akan menganiayai penganutnya. Yakinlah.

Jual Beli Berkat, Keluarga Selamat, Dunia Akhirat!
Continue Reading

27.5.10

Pasti ada Hikmah-Nya


Hidup ini tidak pernah putus dengan ujian daripada Allah. Supaya apabila diuji keimanan dalam diri manusia, barulah diketahui siapakah orang-orang yang benar dan siapakah orang-orang yang berdusta. Ujian terbahagi kepada 2 iaitu nikmat dan musibah. Dan, maha suci Allah yang mendatangkan ujian dengan hikmah yang kadangkala tidak terfikir dek akal yang terbatas dan terungkap dengan kata-kata.

Mari kita baca dengan teliti kisah ini. Seorang yang sentiasa bersangka baik dengan Allah, sabar dan redha atas apa sahaja ketentuan yang Allah tentukan ke atas dirinya. Mari, sama-sama.

Ketua kampung diuji dengan musibah

Seorang ketua kampung membela seekor kuda. Molek rupanya. Pantas. Gagah. Kerana itu, ketua kampung amat menyayangi kuda tersebut. Satu hari, kuda tersebut terlepas dari kandangnya, dan lari ke hutan. Pasti kita rasakan ketua kampung sedih. Tapi, tidak. Dia berkata: Takpalah, pasti ada hikmah-Nya.

Maka bertanyalah orang kampung, Apa hikmahNya? Ketua kampung menjawab: Saya pun tak tau. Pasti ada hikmah-Nya.

Ketua kampung diuji dengan nikmat

Beberapa minggu kemudian, kuda ketua kampung pulang bersama beberapa ekor kuda liar yang lain. Wah. bertuahnya ketua kampung. Ramai yang mengucapkan beruntunglah ketua kampung.

Namun, ketua kampung menjawab, "Belum tentu lagi. Tentu ada hikmah-Nya."

Ketua kampung kembali diuji musibah

Ketua kampung mempunyai seorang anak lelaki. Ketua amat menyayanginya. Satu hari, anak lelaki yang gemar menunggang kuda ini, terjatuh dan patah tangannya.

Lalu, orang kampung yang prihatin berkata, "Malang sungguh nasib ketua kampung. Baru diberi nikmat, sekarang ditimpa bala."

Ketua kampung dengan tenang menjawab, "pasti ada hikmah-Nya."

Akhirnya, inilah hikmah Allah.

Tidak lama kemudian, datanglah tentera negara tersebut ke kampung itu. Semua penduduk kampung galau, risau kerana raja negara tersebut, terkenal dengan kezalimannya.

Tentera membawa titah raja berkata, "Raja memerintahkan semua anak lelaki di kampung ini dikumpulkan. Negara memerlukan tentera untuk berperang di perbatasan."

Namun, kerana anak lelaki ketua kampung patah tangan, dia tidak dipilih untuk pergi berperang.

Semua penduduk teringat kata-kata ketua kampung. Pasti ada Hikmah-Nya!
Continue Reading

25.5.10

Engkau Pergi Bertemu Ilahi


Detik 845 pagi aku tiba di hospital. Kelihatan sanak saudara sudah berlinang air mata. Aksi tersebut terang lagi bersuluh menandakan keadaan abang yang sudah nazak atau sudah tiada. Aku bungkam.

Jam 1140 pagi, kakakku dan aku dipanggil ke ICU untuk melihat ujian bagi mengesahkan 'brain death' abang. Kesemua ujian memang sayu untuk dipandang, kerana hasilnya jelas abang sudah tiada. Doktor melepaskan segala alat bantuan dan membiarkan jantung abang berhenti berdegup.

Begitulah, akhirnya abang pergi jua bertemu Ilahi. Sebelum maghrib, jenazah dikuburkan. Alhamdulillah, urusan memandikan, mengkafankan, mensolatkan, dan menguburkan abang dipermudahkan.

Teringat semasa zaman sekolah dulu semasa kelas Tafsir oleh Ustaz Saidin. Ustaz ini tegas orangnya. Semua pelajar dikehendaki menghafal ayat quran yang kami belajar tafsirnya. Jika tidak, alamat rambut kena tariklah jawabnya. Namun, ada hikmahnya. Sehingga sekarang saya ingat lagi mafhum ayat tersebut. Alhamdulillah.

Antara ayat yang kami hafal ialah ayat yang begitu besar maknanya iaitu dari surah al-Baqarah 155-157.

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa dan hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.

(iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pelbagai kebaikan daripada TUHAN mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk hidayah-Nya.

Nah! Biarpun kita diuji dengan kehilangan jiwa, kita harus sabar dan redha. Daripada Allah kita datang, kepadaNya kita kembali. Perancangan Allah penuh dengan hikmah.

Pahala Sebesar Bukit Uhud

Di sini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua sanak saudara, sahabat dan kenalan Allaharyam Ahmad Perdous Hasan atas segala pengorbanan dan doa kalian.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:

Sesiapa yang menghadiri jenazah seseorang Muslim dalam keadaan iman & ihtisab, hingga disolatkan ke atasnya,hingga selesai dikebumikan maka baginya pahala 2 qirat, setiap satu qirat sebesar bukit Uhud, sesiapa yang menghadirinya hingga disolatkan kemudian dia pulang sebelum dikebumikan baginya satu qirat pahala. (al-Bukhari)

Terima kasih, semoga Allah membalas pengorbanan kalian.

Kepada sahabat-sahabat rapat saya, Bro. Azwin, Bro. Shahmin, Bro. Azwadi dan Bro. Muzani, terima kasih atas keprihatinan anda yang saban hari bertanya perihal abang saya. Terima kasih atas doa kalian. Terima kasih jua buat sahabat-sahabat yang lain.

Sama-samalah kita berdoa اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه

"Ya Allah, ampunilah, kasihanilah, sejahterakanlah dan maafkanlah beliau'

Terima kasih sekali lagi.
Continue Reading

23.5.10

Mari Sedermawan Abdul Rahman Auf


Kenalkah anda dengan sahabat Rasulullah yang dijanjikan syurga iaitu Abdul Rahman bin Auf? Andai taaruf (perkenalan) itu sudah, mari bersama kembali menelurusi sirah. Andai belum, baiklah dihayati kisah dermawan ini.

Abdul Rahman bin Auf ini amat kaya orangnya. Kaya sehingga Rasulullah s.a.w berkata kepadanya "Abdul Rahman bin Auf nanti akan memasuki syurga dalam keadaan merangkak."

Meskipun kaya, Abdul Rahman bin Auf tidak sedikit pun terikat dengan kekayaannya. Buktinya, beliau berhijrah ke Madinah sehelai sepinggang. Beliau meninggalkan segala harta kemewahannya di Mekah demi kecintaannya terhadap Allah dan Rasulullah. Inilah bukti umat ukhrawi dan bukannya hamba duniawi.

Abdul Rahman vs Yahudi di Madinah

Di Madinah, Abdul Rahman yang sehelai sepinggang dari Mekah memulakan perniagaannya dengan meminjam modal daripada sahabat yang lain. Yang ajaibnya, dalam masa yang singkat, beliau berjaya mendapat keuntungan yang melimpah ruah. Kehebatannya dalam perniagaan menjadikan beliau berjaya memecahkan monopoli Yahudi di Madinah dalam bidang perniagaan.

Abdul Rahman Amat Kaya Tapi Dermawan

Keuntungan yang melimpah ruah itu telah menyebabkan seorang sahabat berpesan kepada Abdul Rahman.

"Wahai Abdul Rahman. Aku melihat hartamu terlampau banyak. Bersedekahlah."

Abdul Rahman menjawab,"Aku sudah bersedekah."

"Jadi, bagaimana hartamu masih banyak?"

"Bagaimana hartaku hendak berkurang? Aku infakkan 1000 dinar pada siang hari, dan Allah kurniakan aku 2000 dinar pada malamnya.

Diriwayatkan, pada suatu hari sedang Ummul mukminin, Saidatina Aisyah duduk bersama hamba sahayanya, lalu mereka berasa seperti gegaran berlaku. Lantas, Saidatina Aisyah bertanya hambanya, apakah yang berlaku?

Hamba itu menjawab, "Itu Abdul Rahman bin Auf datang dengan 70 ekor unta merah yang semuanya penuh dengan muatan."

Para pembaca sekalian, unta merah ini jika hendak diumpamakan seperti Pagani Zonda atau Bugatti Veyronlah pada zaman sekarang. Dan yang menariknya 70 unta merah ini, disedekahkan oleh Abdul Rahman ke jalan Allah

Abdul Rahman Amat Cinta Akan Rasulullah s.a.w
Abdul Rahman tidak larut dalam kemewahannya. Beliaulah antara benteng terakhir Rasulullah s.a.w semasa peperangan Uhud. Kecintaannya kepada Rasulullah, menyebabkan beliau ditikam sebanyak 21 tikaman di kaki kirinya sehingga beliau tempang. Subhanallah, inilah dia contoh orang kaya yang melebihkan kecintaan terhadap Allah dan Rasul-Nya daripada kecintaan terhadap kebendaan.

Kesimpulan

Lihatlah bukti-bukti kedermawanan Abdul Rahman ini. Lihat juga pengorbanannya terhadap Islam dan Rasulullah s.a.w. Dia sanggup ditikam 21 kali di kaki kiri sehingga tempang demi menyelamatkan nyawa Rasulullah s.a.w. Ya Allah, Subhanallah. Hebat-hebat.

Saya merasakan Abdul Rahman bin Auf ialah contoh yang baik untuk jutawan masa kini. Bersedekahlah dan bersyukur, maka Allah akan tambah nikmat kepada kamu. Benarlah kata-kata Allah.

p/s: Gambar Bugatti Veyron
Continue Reading
Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template