18.10.11

Budaya Kerja Orang Denmark

Bersama Harrie, supervisor
Pada tahun 2010, Forbes.com melaporkan orang Denmark ialah orang yang paling gembira di dunia. Salah satu faktor utama mereka gembira adalah kerana budaya kerja. Setelah beberapa lama di Denmark, saya terdedah dengan budaya kerja dan hidup orang Denmark yang baik untuk diperhatikan dan dicontohi.

Orang Denmark kurang formal

Semasa kuliah berjalan, saya terkejut juga dengan stail pakaian pensyarah. Dengan muka yakin, beliau pakai jeans 3/4 dan mengajar. Itu yang perempuan. Yang lelaki dengan T-shirt dan 'sweater' saja.

Rupa-rupanya macam itulah budaya mereka. Jika anda hendak hadir temuduga kerja di sini, tak perlulah memakai tali leher, kot dan sebagainya. Orang Danish akan berfikir anda "salesman". Cukup dengan jeans, baju kemeja dan kasut. Pakai pakaian 'leisure' saja. 

Orang Denmark 'enjoy' bekerja

Mereka amat menggemari apa yang mereka kerjakan. Pernah seorang pengutip sampah di temuduga oleh satu syarikat televisyen. Dia tidak merasa hina hanya kerana dia bekerja sebagai pengutip sampah. Orang ramai akan bertegur sapa dengannya dan menganggap pekerjaannya penting.

"Work life balance"

Ini merupakan satu budaya yang amat menarik minat saya. Jarang sekali mereka berada di tempat kerja selepas jam 4 atau 5 petang. Selepas kerja, mereka akan bersenam di gim, atau mengambil anak-anak dari sekolah dan tidak kurang juga beriadah di taman-taman yang menghijau di kota Copenhagen ini. 

Seorang rakyat Malaysia yang bekerja di sini juga merasainya. Setelah dia pulang, tidak wajib baginya mengangkat telefon dari pejabat. Mentaliti mereka, sekiranya tidak mengangkat telefon, itu bermakna pekerja tersebut sudah pulang ke rumah. Kalau di Malaysia, esoknya pasti ditegur bos kerana tidak mengangkat telefon. =)

"Work life balance' juga merupakan faktor bagi majikan untuk memilih pekerja. Mereka mahu melihat bakal pekerja mereka bukan hanya seorang yang rajin bekerja tetapi mempunyai aktiviti-aktiviti yang lain selepas waktu kerja. Mereka melihat pekerja mereka sebagai seorang manusia secara keseluruhannya.

Ketepatan Masa

Budaya ketepatan masa di Denmark amat saya puji. Jika pukul 10 pagi anda berjanji, mereka akan tiba awal 5 hingga 10 minit. Jika anda lewat, itu sudah memberikan persepsi yang kurang enak. 

Jika kelas bermula pada jam 8 pagi, maka pensyarah akan mulakan kelas pukul 8 pagi meskipun kehadiran belum penuh.

Aktiviti-aktiviti luar dan persatuan

Di Denmark terdapat beratus-ratus kelab dan persatuan untuk menepati hobi dan minat rakyatnya. Balik sahaja dari tempat kerja, mereka akan bermain, pergi ke kelas memasak dan melakukan pelbagai hobi yang lain. Hidup mereka bukan hanya tertumpu pada kerja tetapi pelbagai lagi aktiviti yang dapat mewarnai kehidupan, mengurangkan stress dan gembira untuk bekerja kembali.
Budaya berbincang

Di sini, anda berhak untuk bersuara untuk memberikan pendapat meskipun di hadapan anda ialah bos-bos besar. Orang Denmark ini saya boleh katakan sosialis. Jadi meskipun bos, tak semestinya kita perlu rasa ada batu penghalang untuk dijadikan kawan dan melontarkan idea. Satu kebiasaan bagi seorang bos untuk turun ke pantri dan membancuh kopi lalu bersembang dengan para pekerjanya.

Kesimpulan

Saya amat memuji budaya ketepatan masa dan 'work-life balance' rakyat Denmark.

p/s: Sumber tulisan ini ialah daripada beberapa ceramah kareer yang saya hadiri. Ceramah-ceramah ini disampaikan oleh orang Denmark dan expatriat yang bekerja di sini. Saya masih mahu pulang dan bekerja di tanah air.

Continue Reading

9.10.11

Ikon Denmark: The Little Mermaid

Tidak sah jika anda berkunjung ke Denmark tetapi tidak meluangkan masa sedetik dua untuk melawat patung The Little Mermaid.  Foto anda bersama patung itu merupakan bukti kukuh anda sudah tiba di Denmark. Itulah yang menjadi kemestian para pelancong yang datang ke sini.

Patung ini terletak di Langelinie, Copenhagen. Kerana pusat bandar Copenhagen yang sederhana besar, hanya dengan berjalan kaki dari Stroget pun anda boleh tiba ke sini. Jaraknya kurang lebih 2-3km. Jika tidak, anda boleh berbasikal dengan menggunakan basikal yang disediakan khas untuk pelancong. Dengan 20 kroner (RM12), anda sudah boleh memulakan kayuhan. Setelah anda meletakkan basikal pada tempatnya, anda boleh ambil kembali 20 kroner tersebut. Ya, percuma saja. Tiada had waktu.

 The Little Mermaid merupakan karya 'fairy tale' yang popular. Karya ini ditulis oleh Shakespeare Denmark (Hans Christian Andersen) pada tahun 1837. Ia mengisahkan kehidupan seorang puteri duyung yang sanggup meninggalkan dunianya di laut demi mengejar cinta putera kacak di darat.

Patung Little Mermaid ini dibuat oleh pengukir patung iaitu Edvard Eriksen pada tahun 1913. Dia menggunakan isterinya sebagai model untuk patung tersebut. Patung ini telah mendepani pelbagai masalah vandalisme. Dia pernah kehilangan kepala dan juga kedua-dua belah tangannya banyak kali.  Pada tahun 2006, seniman Denmark Bjorn Norgaard telah membuat semula patung tersebut. Patung tersebut kini diperbuat daripada konkrit yang menyukarkan masalah vandalisme yang mendatang.

Ya, hampir terlupa. Anda juga boleh menaiki boat untuk melihat seluruh ikon-ikon penting di Copenhagen termasuklah The Little Mermaid. Selamat melancong ke Denmark.
Continue Reading

23.9.11

Stroget:Laluan 'shopping' terpanjang di Eropah

Di hadapan Guiness World of Record Museum
Selepas solat Jumaat di Norrebro, saya terus mengambil bas 5A ke Stroget. Tujuan asal ialah untuk mengurangkan kepenatan sebagai seorang pelajar. Manakan tidak tiap-tiap hari naik tersembul biji mata membaca jurnal. Sebelum tidur, buku-buku Drug Discovery dan Pharmacology menjadi teman.

Baik, mari kita fokus kepada cerita Stroget. Pada November 1962, Stroget yang merupakan jalan tiada kenderaan telah dibina kerana kenderaan mula memenuhi jalan-jalan di Copenhagen. Ramai yang menentang idea ini, namun akhirnya Stroget berjaya menarik ramai pekedai dan pelancong.

Meskipun pertambahan kenderaan berlaku, jika anda bertandang ke Copenhagen, sukar untuk anda terperap di dalam suasana 'traffic jam'. Semuanya tenang-tenang saja. Selama saya berada di sini, saya tidak pernah rasa tertekan kerana kesesakan lalu lintas.
Stroget (pic~copenhagenet.dk)
Seeloknya saya fokus perihal Stroget kembali. Stroget merupakan laluan pejalan kaki yang terpanjang di Eropah, iaitu sepanjang 3.2km. Keluasannya mencapai 100,000 kaki persegi. Luas bukan? Laluan Stroget ini bermula dari Town Hall Square dan berakhir di Kongens Nytorv. Jika anda bermula dari Kongen Nytorv sebaliknya akan berlaku. Perlu diingat ini bukan laluan sehala.

Jadi apa yang anda akan buat di Stroget? Berjalan untuk mengurangkan lemak? Ya, saya juga bersetuju. Namun, apa yang menjadi tarikan di sini ialah kedai-kedai membeli-belah yang banyak dan pelbagai. Sebut sahaja kedai pakaian ternama seperti Tommy Hilfiger, Burberry, Levis, Lacoste atau H&M. Semuanya ada di sepanjang jalan. Sekejap, H&M ternama ke? 


Lego tu...
Jika anda bukan kaki shopping, anda boleh window shopping melihat kedai permainan seperti BR dan Lego. Meskipun saya dah terlebih umur untuk menyusun Lego tiap-tiap hari, tetapi melihat monumen-monumen Lego, saya begitu terpesona. 

Jika tidak, anda boleh memilih untuk membeli kopi di Baresso dan menikmati persembahan muzik jalanan yang menghiburkan. Anda juga boleh melawat Muzium Guiness World of Record di Stroget.

Untuk yang mencari ole-ole dari Denmark juga, anda boleh mencarinya di sini. Pelbagai barangan cenderamata atau cenderahati yang menarik boleh dibeli. Harga janganlah difikirkan. Dapat t-shirt harga RM60 tu syukurlah.

Itulah alkisahnya, Stroget. Laluan pejalan kaki tertua dan terpanjang di dunia! Selamat melancong.
Continue Reading

Berbicara Tentang Cinta

Love is Cinta (pic~deviant art)
Aku berbicara tentang cinta, buat tatapan kedua-dua bola mataku dan jua paparan kedua-dua bola mata kalian. Kisah cinta tidak akan sepi dari dunia manusia. Fitrahnya insan, ingin bercinta, dan dicintai.

Aku khabarkan, ramai manusia menterjemah cinta sebegini rupa. Cinta ialah keluar bersama sepasang 'couple', membonceng motor bersama-sama, berjalan berpimpin tangan, makan satu pinggan, minum satu straw, sanggup menggadaikan teruna dan dara dan itulah makna cinta.

Akhirnya, cinta yang suci itu dipalit noda. Maka, ada yang benci berbicara tentang cinta. Mereka merasakan, cinta itu keji. Cinta itu menyakitkan. Cinta itu dusta. Malah, sudah trauma berbicara tentang cinta.

Aku percaya, cinta itu berbeza kerana dasarnya. Andai dasarnya rapur, mahligai cinta akan runtuh menyembah bumi. Sepertimana Majnun yang gila akibat cintanya ditolak Laila. Itu dasarnya manusiawi. 

Kita alpa. Cinta itu ciptaan Pencipta. Maka, cinta itu dasarnya kerana Pencipta. Bukan kerana siapa-siapa. Pencipta itu segala-galanya. Andai disuburkan cinta kerana Pencipta, mahligai itu pasti teguh.

Perlukah kita menutur, "Aku cinta akan kamu, maka aku ingin membawa kamu ke dalam api neraka?" 

Tidak. Sekali-kali tidak. Kerana dasar cinta sebenar, kita berkata, "Aku cinta akan kamu, maka aku akan membawa kamu ke syurga."

Maka, aku seru. Letaklah cinta pada tempat yang hak. Adillah dengan cinta.

Cinta itu jua Pengorbanan 

Aku percaya, cinta itu sepertimana Iman, tersemat di kalbu, terbuktinya pada setiap tindakan dan baris kata. Pada setiap langkah diatur dan pada setiap nafas yang dihembus. 

Dengan itu, kita masih terlupa. Kita masih menterjemah makna cinta dengan kata-kata: "Aku Cinta Kamu" atau yang sewaktu dengannya. Atau, kita menganggap sentuhan mesra dan pelukan itu cinta.

Kita lupa, cinta jua takrifannya pengorbanan. Seorang ibu, kerana cinta, berkorban apa sahaja untuk membesarkan anaknya. Seorang ayah, kerana cinta, sanggup berhujan panas membanting tulang, demi keselesaan keluarganya. 

Kita berkorban, kerana di sebalik pengorbanan terpahat satu kenikmatan yang agung. Bukankah membahagiakan manusia, kita juga turut bahagia? Melihat garis senyum di wajah anak-anak, kita juga akan turut tersenyum. 


Inilah coretan tentang cinta. Moga semua kita bercinta, untuk ke syurga bertemu Pencipta.
Continue Reading

19.9.11

Ber'hygge' di Avedove, Denmark

Kek Aiskrim Black Forest (Satu kek=RM20)
Hygge merupakan salah satu budaya yang sebati dengan orang Denmark. Hygge ialah menikmati suasana yang tenang dan selesa bersama orang tersayang, dengan hidangan makanan, snek atau minuman. Tidak dilupa, kehadiran cahaya lilin bakal menaikkan lagi seri suasana. Menurut orang Denmark (Danish), waktu hygge terbaik ialah semasa hujan di waktu malam gelap yang diterangi cahaya lilin.

Hari ini, saya mendapat jemputan untuk ber'hygge' di Avedove. Avedove merupakan pekan yang terletak 9 km di barat bandar Copenhagen. Kak Shureen sudah berpesan, majlis 'hygge' akan bermula tepat pada jam 11 pagi. Sudah menjadi satu budaya yang menebal di kalangan orang Denmark untuk menepati masa. Untuk itu, awal-awal lagi saya sudah melayari rejseplanen.dk bagi merancang perjalanan.

Rejsepalnen.dk merupakan laman web yang memberikan maklumat penting waktu bertolak semua rangkaian kereta api dan bas di Denmark. Saya hanya perlu menaip alamat rumah yang ingin saya tuju. Seketika kemudian, rejseplanen akan merancang perjalanan saya untuk tiba sebelum jam 11 pagi di Avedove. Untuk lebih mudah, saya meminta rejseplanen.dk menghantar SMS, pelan perjalanan saya ke Avedore. Semua itu percuma. Menarik bukan?
Ahli-ahli Hygge
Saya tidak keseorangan ber'hygge' di Avedove. Abang Hariz sekeluarga sudah tiba lebih awal. Mereka memilih untuk berjalan kaki dari stesen kereta api Avedove. Saya pula memilih untuk menaiki bas dari stesen kereta api Friheden. Kerana sistem pengangkutan yang cekap dan tersusun, kami mempunyai banyak pilihan untuk ke destinasi. Amat mudah jika hendak ke mana-mana.

Kami bermula dengan bihun sup. Setelah puas menghirup kuah, kami beralih menikmati kek keju. Kemudian, kek Black Forest pula menjadi mangsa. Itu pusingan pertama.

Pai Epal
Pusingan kedua, kami mencicah nachos dengan sos. Akhirnya, kami tutup selera dengan pai epal. Resipi pai epal diperturunkan oleh Kak Shureen kepada saya. Memang mudah disediakan. Sedap pula tu.

Setelah beberapa jam berceloteh, bertukar cerita, kami semua pulang ke rumah masing-masing. Abang Hariz tidak sabar untuk menonton perlawanan bola sepak antara Manchester United dan Chelsea. Sejujurnya, kami amat gembira dapat menikmati 'hygge' di rumah Kak Shureen.

'Hygge' memang satu budaya yang patut dicontohi. Dalam kesibukan kita dengan keluarga dan kerjaya, konsep 'hygge' atau dalam Islam, ziarah dapat merapatkan hubungan silaturrahim sesama saudara mara dan sahabat handai. Oleh itu, selamat ber'hygge'!
Continue Reading
Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template