22.8.10

Ramadhan 12: Mari Jadi Ahli Syurga

syurga
Assalamualaikum w.b.t sahabat-sahabat.

Saya mengucapkan selamat berpuasa dan selamat melangitkan Islam dalam jiwa. Apabila kita rasa dan faham ketinggian Islam, kita tidak akan lagi segan untuk melaksana dan menerap Islam dalam segenap juzuk hidup kita. InsyaAllah.

Matawang Syurga itu Pahala

Hari ni, saya berkongsi firman Allah s.w.t dalam surah az-Zariyat, ayat 15 sehingga 19.

ayat 15: Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman syurga dan mata air.

ayat 15 ini menerangkan kenikmatan dan balasan Allah terhadap orang beriman. Nikmatnya hidup di taman, segar, hijau, damai. Ada mata air. Ada bidadari. Ada mahligai. Ada sungai yang
mengalir. Ada buah-buahan. Cuba bayangkan, semuanya ada.

Itu di akhirat.

Di dunia? Kita sejak dari kecil lagi bercita-cita hendak kerja hebat, gaji besar, rumah besar, isteri cantik dan macam-macam lagi. Kita berlumba-lumba untuk menjadi hebat. Kita sering membandingkan hidup kita di dunia dengan hidup orang lain.

Jika orang lain hidup senang, kita pun nak hidup senang. Berusaha berhutang, berusaha bekerja membayar hutang. Pendek kata, kita nak kehidupan senang di dunia, kita USAHA. Kerana kita nak dapat kehidupan mewah itu, kita perlu WANG.

Di akhirat, wang yang berguna untuk dapat seperti yang Allah sebut dalam ayat 15 surah az-Zariyat itu ialah PAHALA daripada amal-amal soleh.

Bagaimana nak Jadi Ahli Syurga?
Allah tidak tinggalkan hamba-hambaNya tercari-cari di dunia. Allah sediakan petunjuk yakni al-Quran yang menjadi manual kehidupan kepada orang-orang beriman.

Lihat ayat seterusnya surah az-Zariyat (16-19). Inilah tips ahli syurga!

ayat 16: Sesungguhnya mereka sebelum itu (di dunia) adalah orang-orang yang berbuat BAIK.

ayat 17: Mereka SEDIKIT TIDUR pada waktu malam

ayat 18: dan pada AKHIR MALAM mereka memohon ampun kepada Allah

ayat 19: Dan pada harta benda mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak meminta.

Nah, al-Quran telah menceritakan sifir ahli syurga. Mereka ialah orang-orang yang banyak melakukan dan menebarkan kebaikan. Mereka ialah orang yang bangun malam. Mereka orang yang beristighfar pada waktu sahur. Mereka rajin bersedekah dan meninfaqkan harta mereka pada jalan Allah.

Sama-samalah latih diri untuk menepati ciri-ciri amalan ahli syurga! Moga Allah mudahkan usaha kita ke arah mentaatiNya.
Continue Reading

11.8.10

1 Ramadhan: Dekatkan Dirimu Dengan Ayat-Ayat Allah

ramadhan
Assalamualaikum w.b.t. Saya mengucapkan tahniah kepada semua umat Islam kerana berjaya memasuki Universiti Tarbiyyah Ramadhan. Dan sesungguhnya, Ramadhan merupakan nikmat yang besar dari Allah kepada kita. Ruang dan peluang dalam Ramadhan untuk menggemukkan taqwa seharusnya digunakan seoptima mungkin.

InsyaAllah, di Berubah Meskipun Payah, saya akan kongsikan tazkirah-tazkirah yang saya dengar sepanjang bulan Ramadhan ini kepada para pembaca. Moga-moga biar entri tersebut pendek, namun harapan saya agar ada manfaatnya untuk semua.

1 Ramadhan, saya membawa tajuk, Dekatkan Dirimu dengan ayat-ayat Allah.

Pembaca sekalian, singkaplah terjemahan ayat kedua surah al-Baqarah. Allah berfirman yang bermaksud: Kitab ini (al-Quran) yang tidak ada sebarang keraguan di dalamnya, merupakan petunjuk bagi orang-orang beriman.

Sungguh. Al-Quran merupakan kitab yang magis. Mukjizatnya besar. Tak percaya? Cuba fikirkan. Berapa kali kita baca ibu al-Quran (surah al-Fatihah) seharian? Paling kurang 17 kali bagi mereka yang penuh menunaikan solat fardu. 17 kali? Tak bosankah?

Jawapannya tidak. Tidak sama sekali. Kerana itu ayat-ayat Allah. Bukan ayat ciptaan manusia. Adakah kamu berfikir?

Bandingkan tulisan yang hebat seperti lord of the rings atau Harry Potter? Berapa kali kamu ulang? Ada sebulan sekali? Tidak. Baca sekali rasa hebatnya. Ajaibnya. Hendak baca kali kedua, bosan sudah menjelma. Benarkan?

Ramadhan, Bulan Kenal al-Quran

Saya terfikir. Kita sudah lama hidup di dunia. Bertahun-tahun, berpuluh-puluh tahun. Kita dah banyak baca al-Quran, alhamdulillah. Bagi mereka yang belum menjadikan bacaan al-Quran sebagai satu elemen wajib dalam hidup sehari-hari, inilah masanya!

Bagi yang sudah membaca satu muka surat atau satu ain atau banyak mana pun, inilah masanya untuk menambah kuantiti dan kualiti bacaan.

Cuma yang menarik perhatian saya, bila kita nak habis baca satu terjemahan al-Quran? Buku itu, buku ini kita sudah habis baca. Buku teragung yang bernama al-Quran itu bila? Mari sama-sama dekati ayat-ayat al-Quran. Fahami maksud ayat-ayatnya.

Jom sama-sama. Mari.

Kesimpulan

al-Quran petunjuk bagi orang beriman. Marilah dekatkan diri dengannya. Membacanya sudah membersihkan jiwa. Memahami maksudnya, mampu mengalirkan air mata. Buku Agung, buku terulung. Mari sama-sama merenung.

Salam Ramadhan! Salam Kenal al-Quran!
Continue Reading

7.8.10

Template: Contoh Resume

contoh resume
Assalamualaikum w.b.t.

Dulu, saya pernah berkongsi satu resume yang saya gunakan semasa interview SPA. [klik sini]

Kini, saya kongsikan resume yang saya gunakan semasa memohon jawatan di Boustead Holdings. Boustead Holdings ialah syarikat yang mempunyai anak syarikat seperti Affin Bank, Pharmaniaga dan Idaman Pharma. Boustead Holdings juga bertanggungjawab membangunkan Mutiara Damansara terutamanya The Curve.

Resume (sila klik pada gambar untuk lebih besar, copy untuk panduan)

Bahagikan resume kepada beberapa bahagian.

1) Personal Information/Maklumat Diri

Gambar Passport Terkini, Nama Penuh, No. Kad Pengenalan, Tarikh Lahir, Jantina, Status Perkahwinan, Alamat Surat-Menyurat, email, nombor telefon dan lain-lain.

2) Academic Achievement/Pencapaian Akademik

Buat 1 table 4 column.

Labelkan column kepada No., Examination, Achievement dan School/Institution.

3) Working Experience

Buat 1 table 5 column.

Labelkan column kepada No., Work Place, Position, Date/Duration, Contact.

Bahagian Contact bermaksud nama dan nombor telefon bos anda di tempat lama. Atau, orang atasan yang mengenali diri anda.

4) Training Experience

Buat 1 table 4 column.

Labelkan column kepada No., Traning, Date, Organizer

5) Non Credited Co-curricular Activities

Bahagian ini ialah bahagian pencapaian atau aktiviti ko-kurikulum yang anda sertai.

Saya bahagikan kepada 3 bahagian.

a) Participation in Programme/Activities. Penyertaan dalam program dan aktiviti.

Bahagikan program dan aktiviti tersebut kepada peringkat. Contoh: International, National, University, Club, State dan lain-lain.

Kemudian untuk setiap peringkat, buat 1 table, 5 column.

Labelkan column itu kepada, No., Name of Activity, Date, Organizer dan Designation (Jawatan).

b) Membership in Societies/ Club. Keahlian dalam persatuan dan kelab.

Bahagikan keahlian anda kepada peringkat. Contoh: International, National, University, Club, State dan lain-lain.

Di sinilah anda nak sebut semua penyertaan anda dalam kelab dan persatuan.

Buat 1 table, 4 column.

Labelkan column itu kepada, No., Name of Club/Society/Association, Designation (Jawatan) dan Session.

c) Competition. Pertandingan.


Anda pernah menyertai pertandingan? Mesti pernah. Jadi, catatkan di sini.

Bahagikan pertandingan tersebut kepada peringkat. Contoh: International, National, University, Club, State dan lain-lain.

Buat 1 table, 5 column.

Labelkan column, kepada No., Name of Competition, Date, Organizer, dan Placing.

Kesimpulan


1) Klik pada gambar untuk lebih besar dan copy untuk rujukan.
2) Ubahsuai mengikut kesesuaian anda. Mungkin ada elemen yang anda perlu buang atau tambah.

Terima kasih, semoga anda dipermudahkan Allah untuk mendapat yang dihajati.
Continue Reading

3.8.10

Allah Sayang Akan Hamba-Nya


Saya terbaca satu ruangan soal jawab agama di akhbar. Penyoal menyatakan bahawa dia banyak membuat dosa, termasuk tidak bersolat, meninggalkan puasa, berjudi dan berzina. Kemudian, dia digerakkan hati oleh Allah untuk mendaftarkan diri bagi menunaikan umrah. Meskipun demikian, dia masih belum mampu meninggalkan dosa-dosa tersebut walaupun tarikh untuk dia menunaikan umrah semakin hampir.

MasyaAllah, Subhanallah. Saya kira, Allah amat menyayangi hamba-hamba-Nya. Lihatlah penyoal di atas. Dia tidak menunaikan solat, meninggalkan puasa, berjudi dan berzina. Namun, Allah gerakkan hatinya untuk menjadi tetamu-Nya di Haramain. Di Kaabah.

Allah panggil dia masuk program umrah. Program yang Allah tetapkan rukun-rukunnya. Program yang jika manusia ikhlas melakukannya, insyaAllah, pengajaran dan hikmahnya tiada tolok bandingnya. Bisa sahaja, penyoal di atas menjadi orang yang dikasihi dan diredai Allah suatu hari nanti.

Begitu juga dengan kita. Kita sibuk bekerja. Sebelum subuh sudah menghidupkan enjin ke pejabat. Tatkala camar pulang senja, kita masih terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Tiba di rumah, hanya tilam yang kita fikirkan.

Namun, Allah sayang akan kita. Allah gerakkan hati kita supaya menunaikan solat sebelum tidur. Allah gerakkan kita, untuk membaca al-Quran paling kurang satu muka surat sehari. Allah gerakkan hati kita untuk berjemaah di masjid. Pendek kata, Allah gerakkan hati kita untuk mengingati-Nya!

Maha Suci Allah. Allah amat sayang akan hamba-hamba-Nya. Allah tidak lupakan kita, meskipun kita sering lupa akan-Nya.

Suatu hari Rasulullah s.a.w pernah bertanya kepada sahabatnya,

"Bagaimana keadaan kamu, seandainya kamu berada di padang pasir membawa bekal dan unta, lalu kamu tertidur. Kemudian, apabila kamu terjaga, didapati bekal dan unta kamu hilang?

Para sahabat menjawab,

Tentu cemas sekali, ya Rasulullah.

Rasulullah menyambung,

Di saat kalian cemas, tiba-tiba kamu nampak, unta itu datang kepada kalian bersama bekal kamu. Apa perasaan kamu ketika itu?

Para sahabat menjawab,

Tentu bahagia sekali, ya Rasulullah.

Rasulullah s.a.w berkata:

Allah akan lebih bahagia apabila melihat hamba-hamba-Nya pulang kepada-Nya daripada kebahagiaan seorang yang kehilangan unta di padang pasir dan kemudian menjumpainya.

AllahuAkbar.

Benar. Selangkah kita berjalan menuju Allah, seribu langkah Allah menuju kita. Allah suka hamba-hambaNya yang datang menuju-Nya

Justeru, marilah sama-sama menuju Allah. Bagi yang belum mampu berlari, merangkak itu sudah memadai. Kemudian, sama-sama kita berjalan dan berlari kepada Allah.

Mari menuju Allah. Allah sayang akan hamba-Nya!
Continue Reading

30.7.10

Persedian Ramadhan, Anda Ambil Peduli?

persediaan ramadhan
Assalamualaikum w.b.t.

InsyaAllah, tanggal 11hb Ogos ini ialah 1 Ramadhan. Bulan yang saya boleh katakan sebagai training camp untuk memperkasa iman. Piling iman itu seharusnya dalam, supaya bangunan Islam dalam diri kita juga sama panjangnya dengan piling iman. Apabila berlakunya perkara ini, bangunan tersebut tidak akan mudah untuk runtuh dilanda gempa maksiat, taufan bisikan syaitan dan sebagainya.

Ramadhan. Kita sebagai umat Islam yang akan memasuki madrasah ini perlu bersiap-siaga. Bak kata pepatah Inggeris, Fail to Plan is planning to fail. Takkanlah kita nak sia-siakan Ramadhan tahun ini dengan percuma. Karnival Ibadah, keberkatan, rahmat dan redha Allah, takkan kita tak ambil peduli? Marilah pulang. Pulang menjadi hamba total kepada Allah. Mari, bersama-sama.

Baiklah. Secara mudah, saya bahagikan persediaan menghadapi Ramadhan kepada 3 bahagian.

Persediaan fizikal

Islam itu indah. Tersusun. Lengkap. Universal. Serba-serbi hebat. Lihatlah, kerana nak tingkatkan 'degree' khusyuk dalam solat, kita ada solat rawatib qabliah. Kan indah tu?

Begitu juga dengan Ramadhan. Nak bagi biasa, Rasulullah s.a.w, insan mulia tersebut sudah mengajar kita. Baginda berpuasa sunat dengan banyak di dalam bulan Syaaban berbanding bulan-bulan yang lain. Kerana apa?

'Warming-up' dulu. Supaya umat Islam tak menjadikan puasa alasan untuk mengurangkan kuantiti dan kualiti kerja. Malulah kita, sahabat-sahabat dahulu berperang dalam bulan Ramadhan. Kita tak sampai tahap tu, sudah menarik diri untuk berjihad di lapangan kerja.

Persediaan akal

Akal ini makanan dia ilmu. Bila akal disumbat dengan ilmu yang baik, maka 'tendency' untuk hati menjadi baik itu lebih tinggi. Dan bila hati baik, anggota-anggota tubuh kita akan melakukan perkara-perkara yang baik.

Maka, untuk menjadi murid di madrasah ramadhan, sebaiknya lengkapkanlah diri kita dengan ilmu tentang Ramadhan. Dari segi sirahnya. Dari segi ibadahnya. Dari segi kelebihannya. Dari segi apa jua.

Supaya akhirnya, kita menghargai bulan Ramadhan, dan ambil cakna terhadapnya.

Persediaan Rohani

Boleh dah kita mula servis hati kita. Tukar minyak hitam. Penapisnya. Tambah aksesori baru. Kemudian, hidup kan enjin. Moga-moga masa 1 Ramadhan nanti, kita sudah bersedia untuk bertolak menuju destinasi cinta Ilahi.

Nak servis hati bagaimana? Sudah pastilah dengan mengingati Allah. Mendengar peringatan-peringatan. Membaca al-Quran dan mula rajin membaca terjemahannya.

Boleh mula bangun sebelum Subuh, mandi dan menunaikan solat Subuh secara berjemaah. Moga nanti, mudah bangun sahur dan menunaikan solat berjemaah Subuh di dalam bulan Ramadhan.

Kesimpulan

Hendak memulakan sesuatu itu memerlukan pemikiran positif dan 'just do it'. Renungilah kata-kata di dalam gambar entri ini.

Berubahlah. Berubah meskipun payah. Berubah kepada hidup yang lebih Indah. Berubah hidup bersama Allah.
Continue Reading
Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template