
Assalamualaikum w.b.t.
InsyaAllah, tanggal 11hb Ogos ini ialah 1 Ramadhan. Bulan yang saya boleh katakan sebagai training camp untuk memperkasa iman. Piling iman itu seharusnya dalam, supaya bangunan Islam dalam diri kita juga sama panjangnya dengan piling iman. Apabila berlakunya perkara ini, bangunan tersebut tidak akan mudah untuk runtuh dilanda gempa maksiat, taufan bisikan syaitan dan sebagainya.
Ramadhan. Kita sebagai umat Islam yang akan memasuki madrasah ini perlu bersiap-siaga. Bak kata pepatah Inggeris, Fail to Plan is planning to fail. Takkanlah kita nak sia-siakan Ramadhan tahun ini dengan percuma. Karnival Ibadah, keberkatan, rahmat dan redha Allah, takkan kita tak ambil peduli? Marilah pulang. Pulang menjadi hamba total kepada Allah. Mari, bersama-sama.
Baiklah. Secara mudah, saya bahagikan persediaan menghadapi Ramadhan kepada 3 bahagian.
Persediaan fizikal
Islam itu indah. Tersusun. Lengkap. Universal. Serba-serbi hebat. Lihatlah, kerana nak tingkatkan 'degree' khusyuk dalam solat, kita ada solat rawatib qabliah. Kan indah tu?
Begitu juga dengan Ramadhan. Nak bagi biasa, Rasulullah s.a.w, insan mulia tersebut sudah mengajar kita. Baginda berpuasa sunat dengan banyak di dalam bulan Syaaban berbanding bulan-bulan yang lain. Kerana apa?
'Warming-up' dulu. Supaya umat Islam tak menjadikan puasa alasan untuk mengurangkan kuantiti dan kualiti kerja. Malulah kita, sahabat-sahabat dahulu berperang dalam bulan Ramadhan. Kita tak sampai tahap tu, sudah menarik diri untuk berjihad di lapangan kerja.
Persediaan akal
Akal ini makanan dia ilmu. Bila akal disumbat dengan ilmu yang baik, maka 'tendency' untuk hati menjadi baik itu lebih tinggi. Dan bila hati baik, anggota-anggota tubuh kita akan melakukan perkara-perkara yang baik.
Maka, untuk menjadi murid di madrasah ramadhan, sebaiknya lengkapkanlah diri kita dengan ilmu tentang Ramadhan. Dari segi sirahnya. Dari segi ibadahnya. Dari segi kelebihannya. Dari segi apa jua.
Supaya akhirnya, kita menghargai bulan Ramadhan, dan ambil cakna terhadapnya.
Persediaan Rohani
Boleh dah kita mula servis hati kita. Tukar minyak hitam. Penapisnya. Tambah aksesori baru. Kemudian, hidup kan enjin. Moga-moga masa 1 Ramadhan nanti, kita sudah bersedia untuk bertolak menuju destinasi cinta Ilahi.
Nak servis hati bagaimana? Sudah pastilah dengan mengingati Allah. Mendengar peringatan-peringatan. Membaca al-Quran dan mula rajin membaca terjemahannya.
Boleh mula bangun sebelum Subuh, mandi dan menunaikan solat Subuh secara berjemaah. Moga nanti, mudah bangun sahur dan menunaikan solat berjemaah Subuh di dalam bulan Ramadhan.
Kesimpulan
Hendak memulakan sesuatu itu memerlukan pemikiran positif dan 'just do it'. Renungilah kata-kata di dalam gambar entri ini.
Berubahlah. Berubah meskipun payah. Berubah kepada hidup yang lebih Indah. Berubah hidup bersama Allah.


0 comments:
Post a Comment