22.8.10

Ramadhan 12: Mari Jadi Ahli Syurga

syurga
Assalamualaikum w.b.t sahabat-sahabat.

Saya mengucapkan selamat berpuasa dan selamat melangitkan Islam dalam jiwa. Apabila kita rasa dan faham ketinggian Islam, kita tidak akan lagi segan untuk melaksana dan menerap Islam dalam segenap juzuk hidup kita. InsyaAllah.

Matawang Syurga itu Pahala

Hari ni, saya berkongsi firman Allah s.w.t dalam surah az-Zariyat, ayat 15 sehingga 19.

ayat 15: Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman syurga dan mata air.

ayat 15 ini menerangkan kenikmatan dan balasan Allah terhadap orang beriman. Nikmatnya hidup di taman, segar, hijau, damai. Ada mata air. Ada bidadari. Ada mahligai. Ada sungai yang
mengalir. Ada buah-buahan. Cuba bayangkan, semuanya ada.

Itu di akhirat.

Di dunia? Kita sejak dari kecil lagi bercita-cita hendak kerja hebat, gaji besar, rumah besar, isteri cantik dan macam-macam lagi. Kita berlumba-lumba untuk menjadi hebat. Kita sering membandingkan hidup kita di dunia dengan hidup orang lain.

Jika orang lain hidup senang, kita pun nak hidup senang. Berusaha berhutang, berusaha bekerja membayar hutang. Pendek kata, kita nak kehidupan senang di dunia, kita USAHA. Kerana kita nak dapat kehidupan mewah itu, kita perlu WANG.

Di akhirat, wang yang berguna untuk dapat seperti yang Allah sebut dalam ayat 15 surah az-Zariyat itu ialah PAHALA daripada amal-amal soleh.

Bagaimana nak Jadi Ahli Syurga?
Allah tidak tinggalkan hamba-hambaNya tercari-cari di dunia. Allah sediakan petunjuk yakni al-Quran yang menjadi manual kehidupan kepada orang-orang beriman.

Lihat ayat seterusnya surah az-Zariyat (16-19). Inilah tips ahli syurga!

ayat 16: Sesungguhnya mereka sebelum itu (di dunia) adalah orang-orang yang berbuat BAIK.

ayat 17: Mereka SEDIKIT TIDUR pada waktu malam

ayat 18: dan pada AKHIR MALAM mereka memohon ampun kepada Allah

ayat 19: Dan pada harta benda mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak meminta.

Nah, al-Quran telah menceritakan sifir ahli syurga. Mereka ialah orang-orang yang banyak melakukan dan menebarkan kebaikan. Mereka ialah orang yang bangun malam. Mereka orang yang beristighfar pada waktu sahur. Mereka rajin bersedekah dan meninfaqkan harta mereka pada jalan Allah.

Sama-samalah latih diri untuk menepati ciri-ciri amalan ahli syurga! Moga Allah mudahkan usaha kita ke arah mentaatiNya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template