
Assalamualaikum w.b.t. Saya mengucapkan tahniah kepada semua umat Islam kerana berjaya memasuki Universiti Tarbiyyah Ramadhan. Dan sesungguhnya, Ramadhan merupakan nikmat yang besar dari Allah kepada kita. Ruang dan peluang dalam Ramadhan untuk menggemukkan taqwa seharusnya digunakan seoptima mungkin.
InsyaAllah, di Berubah Meskipun Payah, saya akan kongsikan tazkirah-tazkirah yang saya dengar sepanjang bulan Ramadhan ini kepada para pembaca. Moga-moga biar entri tersebut pendek, namun harapan saya agar ada manfaatnya untuk semua.
1 Ramadhan, saya membawa tajuk, Dekatkan Dirimu dengan ayat-ayat Allah.
Pembaca sekalian, singkaplah terjemahan ayat kedua surah al-Baqarah. Allah berfirman yang bermaksud: Kitab ini (al-Quran) yang tidak ada sebarang keraguan di dalamnya, merupakan petunjuk bagi orang-orang beriman.
Sungguh. Al-Quran merupakan kitab yang magis. Mukjizatnya besar. Tak percaya? Cuba fikirkan. Berapa kali kita baca ibu al-Quran (surah al-Fatihah) seharian? Paling kurang 17 kali bagi mereka yang penuh menunaikan solat fardu. 17 kali? Tak bosankah?
Jawapannya tidak. Tidak sama sekali. Kerana itu ayat-ayat Allah. Bukan ayat ciptaan manusia. Adakah kamu berfikir?
Bandingkan tulisan yang hebat seperti lord of the rings atau Harry Potter? Berapa kali kamu ulang? Ada sebulan sekali? Tidak. Baca sekali rasa hebatnya. Ajaibnya. Hendak baca kali kedua, bosan sudah menjelma. Benarkan?
Ramadhan, Bulan Kenal al-Quran
Saya terfikir. Kita sudah lama hidup di dunia. Bertahun-tahun, berpuluh-puluh tahun. Kita dah banyak baca al-Quran, alhamdulillah. Bagi mereka yang belum menjadikan bacaan al-Quran sebagai satu elemen wajib dalam hidup sehari-hari, inilah masanya!
Bagi yang sudah membaca satu muka surat atau satu ain atau banyak mana pun, inilah masanya untuk menambah kuantiti dan kualiti bacaan.
Cuma yang menarik perhatian saya, bila kita nak habis baca satu terjemahan al-Quran? Buku itu, buku ini kita sudah habis baca. Buku teragung yang bernama al-Quran itu bila? Mari sama-sama dekati ayat-ayat al-Quran. Fahami maksud ayat-ayatnya.
Jom sama-sama. Mari.
Kesimpulan
al-Quran petunjuk bagi orang beriman. Marilah dekatkan diri dengannya. Membacanya sudah membersihkan jiwa. Memahami maksudnya, mampu mengalirkan air mata. Buku Agung, buku terulung. Mari sama-sama merenung.
Salam Ramadhan! Salam Kenal al-Quran!


2 comments:
jom tengok video
;)
perkongsian yg pendek tapi padat lebih menarik
teruskan akh~
Post a Comment