
Televisyen sedang menayangkan rancangan Akademi al-Quran musim ke-4. Penontonnya, Azwadi sedang duduk di sofa yang empuk, seakan dipukau oleh kemerduan alunan bacaan al-Quran. Setiap minggu, dia tidak akan ketinggalan rancangan yang menjadi pujaan kalbunya ini. Antara faktor X rancangan tersebut, ialah penyertaan kawan baiknya.
Hassan Adli. Ya, nama itu. Betapa indahnya ukhuwwah antara mereka sewaktu pengajian di universiti. Suka gembira dirai. Duka lara dikongsi. Andai Hassan tercubit, dia juga terasa peritnya.
Di kaca TV, kelihatan Hassan sedang melangkah tertib ke pentas untuk memulakan bacaan. Kemudian, dia duduk bersila di belakang rehal dan bersedia menerima soalan ujian pada minggu ini.
"Sila baca surah al-Baqarah bermula dari ayat 30 dengan menggunakan riwayat Susi," tutur jelas pengadil bahagian qiraat.
Riak wajah Hassan seakan mengingat pelajaran qiraatnya di dalam akademi.
"Dengan menggunakan 2 tarannum, iaitu Husaini dan Rast." sambung Ustaz Radzi Kamarul Hailan, juri tarannum.
Tiba-tiba, dunia Azwadi menjadi gelap. Matanya tidak dapat melihat sinar cahaya. Hendak kata 'blackout', ruang tamu itu masih dilatari alunan bacaan dari Hassan.
"Teka siapa?" satu suara dari belakangnya berbunyi.
"Sofia, abang tengah 'feel' tengok Hassan ni."
Serta-merta dunia kelam menjadi cerah. Sofia sudah mengangkat tapak tangannya dari mata Azwadi, abangnya.
"Abang, Sofia dilantik menjadi Head Girl kat kolej. Macammana ni? Sofia rasa macam satu gunung dekat atas bahu. Tak layaklah, bang. Sofia bukannya bagus sangat." Sofia menutur sambil merenung dirinya. Dia maklum, dia bukanlah bagus sangat. Bukannya, tiap hari dia tepat pun waktu pergi perhimpunan. Ada juga dia kena denda sebab datang lewat sekolah. Tapi, dia tak buatlah perkara-perkara yang budak perempuan lain buat. Tergedik-gedik bersaing berebut prince charming, free hair ke apa. Dia tahu semua tu tak selari dengan agama.
Mata Azwadi masih di kaca TV. Pertanyaan Sofia hanya bahasa sepi yang menjadi jawapannya.
"Abang, dengar tak ni?" kata Sofia tidak berpuas hati.
"Dengar. Baguslah Sofia yang terpilih. Tahniah. Cuba Sofia fikir, kalau jawatan tu dapat dekat orang yang otak dia 'weng', tak ke 'rule' kolej kita tu jadi lebih teruk daripada sekarang. Dahlah yang 'girl' dia free hair kebanyakannya. Yang 'boys' dia pula waktu beriadah tak pandai pula nak tutup aurat ke apa. Cuba Sofia fikir, kalau yang pegang amanah tu orang yang 'hu-ha, hu-ha' tak ke buat dia anjurkan pertandingan ratu kebaya ke apa."
Sofia senyum. Apalah abang dia ni. Ada ke zaman moden sekarang orang buat pertandingan ratu kebaya. Memang mode Hang Tuahlah.
"Bila Sofia pegang Head Girl, sekurang-kurangnya Sofia boleh ubah sedikit-sedikit 'rule' kolej tu. Boleh adakan solat berjemaah, ceramah seminggu sekali, wajibkan tutup aurat semasa bermain, bataskan pergaulan antara berlainan jantina dan sebagainya."
"Betul juga. Terima kasih atas nasihat abang." kata Sofia. Dia terfikir, amanah ni besar, tapi bernilai ibadah. Ada hikmahnya Allah pilih dia. Memang dia bukanlah terbaik. Tapi, alhamdulillah solat 5 waktu cukup, baca Quran paling kurang satu muka surat sehari dan tak buat dosa-dosa besar ni. Moga-moga dengan amanah ni, dia dapat 'push' dirinya menjadi orang yang lebih baik.
"Sama-sama. Selamat menjalankan tugas. Usaha, Doa, Tawakal" Azwadi menutur seperti pegawai polis sambil menabik adiknya.
p/s: cerpen ini saya tulis semasa bengkel penulisan novel Islami Galeri Ilmu. Minta berkongsi komen anda tentang cerpen ini. Ambillah yang jernih. Terima kasih





