16.5.10

Mekah al-Mukarramah

Ini siri kedua selepas entri Madinah al-Munawwarah. Di sinilah bumi yang pertama sekali diciptakan oleh Allah s.w.t. dan didoakan oleh Nabi Ibrahim a.s. supaya bumi ini aman. Keberkatan bumi ini tidak perlu diperkatakan lagi. Saya sendiri mengakuinya. Sejak berbulan-bulan lamanya, saya mencari titik noktah dalam uzlah (keterasingan) saya yang panjang. Uzlah itu menyebabkan saya tawar dengan rasa manisnya persahabatan dan ukhuwwah. Saya lebih menyendiri, takut untuk menyusahkan orang lain, dan berusaha untuk melakukan apa-apa pekerjaan tanpa pertolongan orang lain.

Sebelum ke tanah haram, saya risau, jika saya memerlukan bantuan, adakah di sana insan yang sudi menghulurkan bantuan dengan tanpa rasa teragak-agak? Pengalaman silam melihat manusia yang tidak pandai berterima kasih dan bersikap 'heartless' begitu memberi impak dalam mentaliti saya.

Lantas saya berdoa: Ya Allah, rasakanlah hatiku, agar kusentiasa bersama-Mu, supaya aku rasa ada Kawan melindungku dan supaya ku tak rasa sepi di dalam hidupku. Di tanah suci inilah, Allah tunjukkan dan limpahkan saya kemanisan ukhuwwah yang tiada tolong bandingnya.

Ketika saya mahu melintas jalan, ada yang memimpin saya. Ketika saya keseorangan, ada manusia yang bertanya khabar, bersalam, memeluk dan mencium saya. Saya lihat perkara sedemikian sebagai satu tazkirah dan nikmat terus daripada Allah buat saya.

Bahawa jika anda bersahabat atas dasar tauhid dan keimanan kepada Allah, maka ukhuwwah itu alangkah manisnya. Bukan itu sahaja, sahabat-sahabat seangkatan yang bersama saya mempunyai akhlak yang tinggi. Mereka orang-orang yang tidak lokek untuk menghulurkan bantuan. Sesungguhnya mereka orang-orang yang kaya budi! Alhamdulillah, baru saya sedar, Allah takkan sia-siakan kebaikan hamba-hambaNya. Jika A tidak membalas budi kita, Allah datangkan B, C, D, E dan lain-lain untuk sentiasa membantu kita. Subhanallah.

Begitulah. Jom kita lihat gambar-gambar di Mekah al-Mukarramah.






1,2,3) Kaabah
4) Di hadapan Hotel Baru berdekatan Masjid Haram
5) Bukit Marwah
6) Di atas Jabal Nur (Gua Hira) Sempat lagi posing letih-letih daki bukit.
7) Di Universiti Ummul Qura
8) Marwah dan dataran burung merpati
Continue Reading

15.5.10

Madinah al-Munawwarah

Alhamdulillah, saya diizinkan Allah untuk menjadi tetamu di 2 tanah haram. Setelah menarik diri beberapa kali untuk ke sana, akhirnya, Allah pilih saya jua. Subhanallah, saya terfikir, meski banyak mana pun duit kita, atau kita tidak mampu untuk ke sana, jika Allah izinkan dan pilih kita, kuasa dan perancangan Allah itu amat tak terjangkau dari kuasa dan perancangan manusia.

Dalam rombongan umrah kali ni, saya ditemukan dengan seorang pekerja di Petronas. Meskipun beliau seorang yang kaya dan muda, namun sifat mudah bergaul dan tinggi budi amat saya puji. Dia berpesan, "Jika nak tunggu waktu senggang dengan urusan dunia ni, sampai bila pun tak habis-habis.". Saya mengangguk tanda mengiakan. Manusia tidak mampu memupuk 2 cinta. Biar cinta Allah memimpin cinta-cinta yang lain.

Inilah gambar-gambar di Madinah al-Munawwarah.




1) Di pasar Kurma.

Kurma yang terbaik ialah Kurma Ajwa. Rasulullah s.a.w bersabda:

"Barang siapa yang makan pagi dengan 7 butir kurma Ajwah, maka tak akan mencelakainya racun dan sihir pada hari itu" (Shahih al-Bukhari)

Kurma ajwah ni, ada yang dari bumi Madinah ada yang tidak. Pastikan anda membeli kurma yang ditanam di Madinah.

2) Halaqah al-Quran di Masjid Nabawi.

InsyaAllah, anda akan berpeluang memperbetulkan bacaan anda dengan tuan guru. Indahnya, semua orang yang berbeza warna kulit, duduk bersama membaca ayat-ayat Allah. Dan, mereka ini bersatu atas tauhid kepada Allah jua.

3) Air zam-zam

Ada yang sejuk dan ada yang tidak. Tepuk dada tanya selera. Doa yang dianjurkan untuk kita semasa meminumnya ialah: Allahumma inni asaluka i'lman nafia' warizqan wasia' washifaam min kulli dain. Sahabat baginda, Abu Zar al-Ghifari hidup hanya dengan minum air zam-zam untuk beberapa lama.

4) Kilang al-Quran

Di sinilah, al-Quran dicetak untuk dijual dan diwakafkan di masjid-masjid terutamanya Masjidil Haram dan Masjidin Nabawi. Hanya pihak muslimin dibenarkan melawat dan anda akan mendapat satu al-Quran percuma yang diwakafkan oleh pemerintah Arab Saudi.

5) Di Taybah Universiti Bersama Rektor

Taybah juga nama lain bagi Madinah. Lawatan sambil belajar yang disambut penuh semangat ukhuwwah. Sudah menjadi satu kemestian bagi orang Arab untuk melayan tetamu dengan penuh mesra. Yang masalahnya, saya tak mampu nak makan sebanyakmana orang Arab makan.

6) Bukit Uhud

Pahala solat jenazah digambarkan sebanyak bukit uhud ini. Bukit Uhud ini sepanjang 7 km. Besarkan?

7) Masjid Jumuah

Masjid pertama Rasulullah menunaikan solat Jumaat berkiblatkan Masjidil Haram.

8) Masjid Nabawi

Rindu akan masjid ini. Nak melangkah kaki keluar daripadanya terasa berat. Solat disini pahalanya 1000 kali ganda dari masjid lain kecuali Masjidil Haram

9) Masjid Quba

Pahala solat dua rakaat di masjid ini selepas mengambil wuduk dan bermusafir dari rumah, ialah sama seperti menunaikan satu umrah.

10) Mimbar Rasulullah

Ma baina baiti wa mimbari raudatam mirriyadhil jannah. Apa di antara rumahku dan mimbar ku, taman di antara taman-taman syurga. Kerana itulah orang ramai berebut-rebut untuk solat di raudhah. Solat di antara mimbar dan rumah Rasulullah memang 'feel' dia lain.

11) Dari Perkuburan Baqi'

Perkuburan Baqi' ni ialah kubur ahli Bait, Ummahatul Mukminin dan para sahabat Rasulullah. Perkuburan ini dibuka selepas waktu subuh dan asar.

Ya Allah, aku memohon supaya kubisa menjejakkan kaki ke 2 tanah haram-Mu lagi. Ameen.
Continue Reading

14.5.10

Berhenti Lakukan 7 Perkara di Facebook


Facebook merupakan laman web sosial yang boleh dikatakan semua orang ada akaunnya. Dalam keghairahan kita berinteraksi, kita cuai dalam mendedahkan maklumat yang tidak sepatutnya dikongsikan kepada khalayak ramai. Pembuli internet akan mengambil maklumat diri anda dan percayalah mereka ini bakal melakukan onar di kemudian hari. Sedar-sedar, bil kad kredit kita meningkat!

Maka, jangan lakukan 7 perkara ini.

1) Password yang lemah

Elakkan daripada menggunakan perkataan yang boleh terus dicari dalam kamus atau nama sendiri walaupun gabungan perkataan dan huruf di belakang. Contoh: ahmad07. Jangan. Jangan. Yang terbaik, gunakan gabungan upper case,lower case, simbol, nombor. Masukkan simbol dan nombor di tengah juga satu idea bijak. Contoh: @Hm4Do7

2) Meletakkan Tarikh Lahir

Maklumat tarikh lahir penting bagi penjenayah siber mencari lebih banyak maklumat tentang diri anda seperti nombor akaun bank dan nombor kad kredit. Jika anda telah pun meletakkan tarikh lahir anda, ikut langkah ini.

Tekan Profile--->Tekan info tab--->Edit Information--->Di bawah Basic Information, pilih show only month and day or no birthday at all

3) Mengabaikan 'Privacy Setting' yang berguna

Apa sahaja di Facebook, anda boleh hadkan untuk anda sendiri, kawan sahaja, kawan kepada kawan dan semua orang. Hadkan layaran di bahagian foto, tarikh lahir, religious views, maklumat keluarga dan lain-lain lagi yang anda rasa terlampau terbuka. Berfikir sama ada perlu untuk meletakkan nombor telefon dan alamat rumah.

4) Meletakkan nama anak anda di 'caption' foto

Jangan gunakan nama anak anda di'tag' atau di'caption'. Jika seseorang telah melakukannya, tekan 'remove tag'. Jika anak anda tidak ada akaun Facebook, dan orang lain mendedahkan namanya di caption foto, minta orang tersebut membuang nama anak anda. Jenayah culik kanak-kanak sejak kebelakangan ini menggusarkan.

5) Memberitahu anda tiada di rumah

Itu seperti memanggil pencuri ke rumah anda. Tunggu sehingga pulang dari bercuti atau outstation sebelum ghairah bercerita.

6) Membenarkan 'Search Engine' mencari anda

Untuk memastikan tidak ada orang asing pergi ke profile anda, lakukan langkah ini.

Pergi ke Search section di Privacy Control--->Pilih 'Only Friends' untuk carian di Facebook.

Pastikan kotak kecil untuk Public Search tidak di tick.

7) Membenarkan kanak-kanak menggunakan Facebook tanpa pantauan

Facebook hanya membenarkan kanak-kanak berumur 13 tahun ke atas untuk membuka akaun, tetapi kanak-kanak lebih muda daripada umur tersebut sudah pun menggunakan Facebook. Salah satu cara untuk memantau ialah menjadi 'online friends' mereka. Ini akan memantau apa yang mereka lakukan di facebook, kerana notifications dan komen mereka akan dihantar ke email anda.
Continue Reading

13.5.10

Syukur: Kisah Tembikai

Assalamualaikum. Hari ni kita berperi. Biar peri ini sering didengari tapi yang baik patut diulangi agar pengajarannya dekat di hati.

Arakian, maka pulanglah lelaki soleh membawa sebiji tembikai. Tembikai itu lantas diserahkan kepada isteri tercinta.

Maka dibelah oleh si isteri lantas dia merasa. "Ah, tawar sekali rasa. Seperti tidak diletak gula. Masakan mahu di makan orang. Melepas tekak tidak pula akan tembikai ini."selar isteri yang asyik menyelar sahaja kerjanya. Suka makan ikan selar kuning agaknya.

Lelaki soleh memandang tepat ke arah isteri belahan jiwanya. Atau dalam bahasa Jawanya sigaraning. Dia membuka bicara "Abang yang beli di pasar tadi. Agaknya intan payungku, hajat hati mahu dipilih manis atau tawar di pasar tadi?"

"Alah, abang ni. Masakan tidak tahu. Sudah gaharu cendana pula. Kura-kura dalam perahu pun tahu jawapannya." jawab si isteri walaupun sedikit gusar, benarkah kura-kura pun tahu?

"Nah, ketika penjual tembikai ini menjual di pasar, adakah yang manis atau yang tawar pilihan hatinya?"

"Manislah kanda. Jikalau tawar, tidakkah bersepai kepala penjual itu dengan tembikai-tembikainya? Ish, ish kanda ni. Relevan, kanda. Relevan."

"Isteriku yang matanya bulat bak purnama mengambang. Dahimu luas sekangkang kera. Bibirmu merah bak delima merekah," si suami menarik nafas, tidak berani dia memuji memuja si isterinya lagi, kerana si isteri sudah kembang semangkuk.

Lantas dia menyambung, "Semua orang mahukan yang manis. Dari penanam tembikai, pemetik tembikai, peraih tembikai, penjual tembikai, pembeli tembikai, pembelah tembikai. Tetapi, kuasa Allah yang memutuskan buah itu tawar rasanya. Jadi awak nak marahkan siapa? Awak nak marahkan Allah yang menentukan rasa tawar?

Zasss. Terdiam si isteri. Mukanya yang hitam-hitam manis bak kulit manggis itu bertukar menjadi merah merona kulit rambutan.

Syukur

Syukurlah dengan apa yang ada. Syukurlah, maka Allah akan tambah nikmatnya kepada kamu. Belajarlah menyukai apa yang kita ada. Apa yang ada, jarang disyukuri. Apa yang tiada sering dikesalkan.

Adab makan juga, jangan dikecam makanan yang tidak sedap. Renunglah dan hayatilah kisah di atas. Sanggupkah kita marah dengan Pencipta kita?
Continue Reading

11.5.10

Tips: Hidup Mudah dan Tenang


Seronoknya apabila hidup kita dalam keadaan tenang. Jika selalu berfikir, kesihatan kita akan terjejas. Bukan tidak boleh berfikir, tapi jika terlampau berfikir, kita akan mensia-siakan masa dan peluang yang terbentang luas di hadapan kita. Jadilah kita umpama pepatah, kuman diseberang laut kelihatan, gajah di depan mata tidak pula.

Rancang dengan Apa yang Ada

Pernah dengar lagu Nowseeheart? "Rancang dengan apa yang ada ditangan, Bukan yang kita angan-angankan?". Malah cerdik pandai mengingatkan: "Beradalah di tempat kamu berada."

Maknanya, hidup dan beradalah pada hari ini dan sekarang. Jangan dikhuatir hari esok yang belum pasti. Jangan dihantui hari semalam yang telah berlalu

Yang pentingnya, rancang dan susun jadual kehidupan kita, kerana kegagalan untuk merancang, bermakna kita merancang untuk gagal atau istilah yang lebih popular "Fail to Plan is Plan to Fail". Iya kan?

Hidup umpama membaca sebuah buku yang tebal. Sabar dan jangan dilangkau-langkau dalam membacanya. Bacalah mengikut helaian dan setiap patah kata. Terkadang, kita boleh menggunakan pengalaman dan ilmu, yang sudah kita baca pada halaman sebelumnya untuk tindakan kita sekarang.

Nah, inilah antara rahsia ketenangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Mereka amat produktif kerana tidak gelisah dengan perkara yang tidak pasti. Mengapa saya katakan mereka produktif? Kerana kelangsungan dakwah mereka sampai kepada kita generasi kini. Allahumma Solli Ala Muhammad!

Usah difikirkan sangat masa depan yang dikawal oleh Tuhan. Inilah hikmahnya mengapa Allah rahsiakan Qada' dan Qadar daripada pengetahuan manusia. Supaya hamba-hambaNya dapat hidup tenang tanpa diganggu sedikitpun tentang pengetahuan masa hadapan.

Life make it simple

Akhirnya, life make it simple. Tenanglah dan hiduplah dengan mudah. Usah bebankan diri anda dengan perkara yang tidak pasti. Gunakan masa sebaiknya sekarang. Anda di masa depan ialah apa yang anda usahakan sekarang!
Continue Reading
Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template