14.5.09

Dibunuh atau Membunuh


Puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah s.w.t yang ar-Rahman dan ar-Rahim. Ar-Rahman kerana memurahkan rezeki memberikan nikmat masa untuk saya berceloteh sebentar di ruang maya. Ar-Rahim kerana mengasihani saya dengan pertolongan yang agung untuk melepasi ujian yang maha hebat. Puji-pujian yang terus terusan untuk Allah s.w.t. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.

Dibunuh atau membunuh. Ini bukan matlamat permainan seperti Counter Strike atau DOTA. Ini tentang masa. Bak kata orang-orang sekarang, too much time to kill. Begitulah keadaan diri saya. Berlibur selama hampir 3 bulan tanpa sebarang latihan industri, community posting atau apa-apa sahaja yang sewaktu dengannya menyebabkan diri ini bosan tahap petala ke lapan. Dah bunuh masa tapi banyak lagi masa yang perlu dibunuh. Macam main Naruto Ultimate Ninja pula. Kage Bunshinnya terlampau banyak.

Masa ibarat pedang, jika kamu tidak membunuhnya maka kamu akan dibunuh. Itu dicedok daripada pepatah Arab yang berbunyi,

Air yang bertakung (tidak mengalir) akan dirosakkan oleh statiknya itu, pemuda yang banyak masa lapang (tidak dinamik) akan dibunuh oleh masa lapangnya itu.

Begitulah, malah, Dr. 'Aidh bin Abdullah al-Qarni juga berpesan agar isilah kekosongan dengan kesibukan. Masa lapang tanpa berbuat apa-apa (statik) akan menyebabkan diri malas, hidup dalam zon selesa dan tidak mahu berusaha memajukan diri.

Oleh kerana itu, saya sentiasa menyibukkan diri sampai kekadang macam jaga tepi kain orang pula. Huhu. Boleh dikatakan setiap hari saya akan bertanya ibu, hari ni ada kerja apa? Mahu ke mana? Supaya diri ini akhirnya, ada kerja. Apabila direnung, ruginya tidak berindustrial posting, tapi bila fikir balik, ada hikmahnya. Tahun hadapan, belum tentu dapat menemani ibu yang keseorangan di kampung. Perancangannya mahu bekerja di Kuala Lumpur. Inilah, masanya hendak berteduh kasih semahu-mahunya dengan ibu. Ya, ibu yang cinta tanpa syarat. Ibu, yang sifat pemaaf disertai dengan pertambahan kasih sayang. Celupan daripada sifat maha Pengampun, Allah s.w.t.

Jika dilihat, kebanyakan orang yang memaafkan kita, belum tentu terus menyayangi kita kembali. Ia mengambil masa dan selalunya bersyarat. Ibu tidak begitu. Ibu tetap menyayangi anak yang menumpang perutnya selama 9 bulan walaupun anak menconteng arang di muka ibu. Maka sama-samalah hargai ibu bapa kita selagi mereka masih hidup. Macam tema yang dilancarkan Astro sempena Hari Ibu, dakaplah ibumu.

Ibu bapa adalah pintu syurga yang paling tengah. Terserahlah kepada kamu sama ada mahu mensia-siakan pintu ini atau memeliharanya (Hadis sahih riwayat Ahmad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

p/s: Makanya, terserah kepada diri kita, untuk membunuh masa, atau dibunuh masa...ingatlah to live well or live hell, we choose..

Continue Reading

7.5.09

Pelaburan al-Awfar Bank Islam

Pelaburan al-Awfar

Beberapa bulan lalu, Bank Islam telah memperkenalkan produk pelaburan yang berteraskan al-Mudharabah iaitu al-Awfar. Al-Awfar membawa maksud pelaburan menguntungkan. Terdapat 2 jenis produk al-Awfar iaitu Akaun Simpanan-i dan Akaun Pelaburan-i. Kedua-dua produk ini adalah akaun yang memberikan insentif instimewa iaitu pulangan keuntungan Mudharabah (jika ada) dan peluang untuk menerima wang tunai (RM100,000) melalui undian yang dilakukan setiap 3 bulan. Setiap RM100 bersamaan dengan 1 penyertaan. Lagi banyak anda mendepositkan wang ke dalam al-Awfar, lagi tinggi peluang anda untuk mendapatkan hadiah cabutan wang tunai.

Berikut adalah sedikit perbezaan antara Akaun Simpanan-i dan Akaun Pelaburan-i

Transaksi Deposit

Akaun Simpanan-i

Amaun deposit minima permulaan sebanyak RM100 diperlukan untuk membuka akaun. Amaun minimum yang boleh dimasukkan pada bila-bila masa ialah RM1. Baki minimum ialah RM100 yang perlu dikekalkan setiap masa.

Akaun Pelaburan-i

Amaun deposit minima permulaan RM1000 diperlukan untuk pelaburan tempoh 1 bulan. Manakala, untuk pelaburan 3 bulan dan ke atas, deposit minima ialah RM500. Baki minima untuk pelaburan 1 bulan ialah RM1000 manakala pelaburan 3 bulan ke atas memerlukan baki minima sebanyak RM500.

Transaksi Pengeluaran

Akaun Simpanan-i

Pengeluaran wang boleh dilakukan di ATM dan di kaunter bank. Namun, baki minima perlu dikekalkan sebanyak RM100. RM100 ini hanya boleh dikeluarkan jika akaun ditutup.

Akaun Pelaburan-i

Untuk pelaburan, anda akan diberikan satu sijil. Wang dalam pelaburan anda hanya boleh dikeluarkan sekiranya sijil ini dikembalikan dengan tandatangan pelabur. Pengeluaran juga tidak boleh dilakukan dalam jumlah-jumlah yang berlainan dengan cek atau draf. Sebarang pengeluaran pra-matang sebelum tempoh 1 bulan, pelabur tidak layak untuk mendapat sebarang pulangan (jika ada).

Kelebihan

Pelabur berpeluang mendapat hadiah wang tunai melalui cabutan bertuah yang diadakan setiap 3 bulan. Hadiah-hadiahnya ialah seperti berikut:

Pertama RM100,000 (1)

Kedua RM10,000 (1)

Ketiga RM5,000 (1)

Keempat RM1000 (3)

Kelima RM500 (5)

Keenam RM250 (18)

Ketujuh RM100 (500)

*() bilangan hadiah setiap 3 bulan

p/s: apa yang ditunggu lagi, jadikan produk perbankan Islam ini wahana pergandaan wang anda.

Continue Reading

Luahan Hasrat dan Rasa

Apabila dikenang kembali, saya menulis di blog secara suka-suka. 4 tahun yang lepas sehingga awal tahun ini saya menulis di friendster. Atas dorongan dan tunjuk ajar abang ipar saya abufaris, saya berkecimpung dalam blogspot. Itu pun, belajar dalam keadaan mata yang menghidap viral conjunctivitis. 2 minggu saya tak menghadiri kelas. Serba salah jadinya apabila berpapasan dengan pensyarah dan teman-teman. Mana taknya, saya tunduk malu untuk bertatap mata.

Ingat lagi, rakan-rakan awal yang aktif ber'blog' di matric seperti Azwadi, Hendy dan Fakhri. Di bloglah saya meluahkan rasa ketidakpuashatian saya, tempat perkongsian cerita suka duka, ceria dan lara. Saya meluahkan hampir segalanya, kerana saya tahu, blog saya tidak ramai pembacanya. Dahulu saya menggunakan bahasa pasar, tapi sekarang, atas nasihat teman, saya menggunakan bahasa Melayu penuh.

Blogspot ini jika dilihat, tulisan-tulisan saya lebih mementingkan informasi daripada bercakap lebat. Dan genrenya lebih kepada kewangan kerana saya amat meminati bidang kewangan walaupun masa tingkatan 3 dulu saya amat membenci topik akaun dalam Kemahiran Hidup. Jika ada 10 soalan tentang akaun, adalah satu dua yang betul. Huhu.

Saya menulis tentang kewangan kerana rasa tanggungjawab untuk berkongsi sedikit ilmu pengurusan kewangan dengan teman-teman dan para pembaca sekalian. Ilmu pengurusan kewangan penting kerana wang merupakan elemen penting untuk hidup. Kekurangan penekanan di dalam kurikulum sekolah dan universiti menyebabkan pengurusan wang tidak dilakukan secara pintar. Jika hendak membeli buku-bukunya, mahal juga. Makanya, saya mengambil inisiatif untuk berkongsi di sini.

Hendak menulis tentang ilmu agama, saya amat jahil dan masih mendidik diri untuk mencintai perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Allah. Saya hamba Allah yang lemah terutamanya dalam menjadi hamba Allah yang bersyukur. Teringat saya tentang Rasulullah yang sampai bengkak-bengkak kakinya beribadah sebagai simbolik bersyukur kepada Allah atas segala nikmat.

Saya sedar, saya tak sehebat teman-teman yang bisa menulis tazkirah, ibrah, mauizoh yang menyentuh seperti Muzani, Shahmin, Mujahidin, Dr. Radzi dan lain-lain. Sebab itulah, jika saya menulis sedikit tentang tarbiyyah, ada teman yang kurang senang, kerana kebanyakan manusia, melihat siapa yang mengucapkan sesuatu, daripada apa yang diucapkan.

Kepada para pembaca, terima kasih kerana tetap menyokong blog saya. Semoga di alam maya ini, kita dapat bertukar-tukar fikiran dan informasi. Tanpa ilmu dan amal kita lemah, jahil dan tidak ke mana. Sekian.

Continue Reading

Mewahkah anda?

Apa yang ada jarang disyukuri, apa yang tiada sering dikesalkan. Bagi yang meminati irama nasyid sejak kecil, pasti dapat mendendangkan ayat pembukaan tersebut dengan betul. Cuba kita melangkah ke belakang sejenak, mengingati apa yang berlaku. Apakah ayat pembukaan tadi menyentuh hati kita? Jujur saya katakan, saya amat terkesan dengannya.

Sehingga saat saya menulis karangan ini, hati saya amat berharap untuk menukar handphone saya kepada Nokia Touch Screen, walaupun handphone saya masih sihat walafiat. Tambahan pula, saya tiada teman yang ramai, selalunya sepi itu kawan rapat saya. Makanya, kurang menggunakan telefon bimbit. Namun, hati terus teruja untuk merasai gadjet baru yang canggih.

Terkadang, kita melihat orang berkereta mewah, bermotorsikal baru, mempunyai telefon bimbit mahal dan semua gadjet-gadjet terkini, timbul rasa mahu seperti mereka. Ya, mahu yang teruk membelasah perlu. Sedangkan, ukuran baju di badan sendiri sudah ketat. Lumrah manusia, apabila berkereta mewah itu orangnya kaya. Namun hakikatnya, kereta itu bukanlah milik orang tersebut sehinggalah kesemua harga kereta habis dibayar.

Ukuran kemewahan yang sebegini patut ditepis jauh-jauh. Kemewahan sebenar adalah suatu nisbah antara jumlah simpanan anda, dibahagikan dengan jumlah perbelanjaan anda. Jom kira sama-sama.

Langkah 1: Campurkan kesemua simpanan anda.

Contoh: Tabung Haji (RM5000) + Public Mutual (RM10000) + Baki di Bank Islam (RM5000) =RM20k

Langkah 2: Campurkan kesemua perbelanjaan bulanan

Contoh: Makanan (RM400) + Ansuran Kereta (RM400) + Minyak Kereta (RM200) = RM1000

Langkah 3:

Bahagikan jumlah simpanan dengan perbelanjaan: RM20000/RM1000 = 20 (Sihat)

Penanda Aras Kemewahan

<1 = ICU

1-5 = HDU

6-10 = Normal

10-20 = Sihat

21-50 = Sihat Walafiat

50-96 = Tenang

>96 = Sangat Tenang

>168 = Kebebasan kewangan

p/s: Jadi, anda di mana? Alhamdulillah, saya yang masih bertatih tentang pengurusan kewangan ini, sedang menuju ke Sihat Walafiat. Sama-sama kita menyemarakkan amalan menabung.

Continue Reading

5.5.09

Tsunami Atjeh


Alhamdulillah puji dan syukur diserahkan kepada Rabbul Jalil kerana memperkenankan saya kembali menjejakkan kaki di tanah Indonesia. Ini kali ke-4 saya ke sini. Kali ini bukan ke Jakarta atau Bandung, tetapi ke serambi Mekah Indonesia iaitu Banda Aceh, negeri di utara Sumatera.

Pengangkutan

Dengan menaiki Air Asia selama 1 jam 25 minit saya tiba di Sultan Iskandar Muda Airport. Pemandangan dari atas flight menunjukkan Banda Aceh masih lagi berusaha untuk membangun selepas kejadian tsunami pada 26 Disember 2004.

Bercanda di sekitar Banda Aceh menaiki sebuah bas. Bas ini disewa untuk 3 hari dengan harga RM400 ringgit sehari. Ada juga kami menaiki Labi-labi (@ Angkot di Jakarta) dan beca bermotor. Harganya Rp 5000 bersamaan RM1.70 seorang tidak kira jauh atau dekat destinasinya.


Hotel

Tinggal di Hotel Lading, hanya 5 menit berjalan kaki daripada masjid kebanggaan rakyat Aceh iaitu Masjid Baiturrahman. Masjid ini begitu aktif diimarahkan oleh penduduk Aceh. Bacaan imam dan alunan ayat-ayat suci al-Quran, mengingatkan kita tentang Masjid Haram dan Masjid Nabawi. Semalam hanya RM20. Bilik lengkap dengan TV, AC dan air panas.

Makanan

Aceh terkenal dengan kopi Ulee Kareng. Kopi ini cair tapi rasanya begitu sedap, malah setanding dengan Nescafe. Rakyat Aceh selalunya minum 3 cawan kopi ini sehari. Namun, anda perlu memesan kopi yang kurang manis kerana minuman-minuman Aceh begitu manis.

Nasi gurih dan nasi uduk memang bukan selera anak tekak saya. Saya rasa loya dengan haruman limau purut yang terlampau sarat. Jika makanan Padang atau Minang saya amat menggemari Ayam Pop (dimasak dengan bawang putih) dan untuk minuman pula saya tidak jemu-jemu menyedut Jus Markisa.Markisa ini banyak didapati di tepian jalan Bandung-Bogor. Jus buah disini begitu pekat. Memang berbaloi-baloi.

Kesan Tsunami

Tsunami berlaku selepas 30 minit air laut surut sejauh 1-2km. Kemudian air setinggi 1km menghempas Banda Aceh sejauh lebih kurang 5km. Kapal yang seberat 6000tan di bawa tsunami sejauh 5km daripada pantai.

Tsunami mengorbankan lebih 400,000 nyawa iaitu 10% daripada penduduk negeri Aceh. Nampaknya, tsunami juga memberikan impak positif kerana tsunami melumpuhkan Gerakan Aceh Merdeka. Sebelum tsunami, peperangan berlaku selama 32 tahun antara pemimpin Aceh dengan pemerintah Indonesia. Ini kerana kezaliman pemerintah Indonesia yang mengambil hasil bumi Aceh tanpa menghiraukan kebajikan rakyat dan pembangunan di Aceh.

Barangan

Terkenal dengan sulaman yang begitu molek untuk dipandang. Tas tangan, baju, dompet dan barangan lain diwarnai dan dihiasi dengan corakan sulam yang mempunyai identity tersendiri. Simbol pagar Aceh merupakan corak wajib dalam sulaman. Kek Lapis Medan juga boleh dijadikan ole-ole. Berbeza dengan kek lapis Jakarta yang berempah, kek lapis Medan (negeri bersebelahan Aceh) lebih sedap. Namun, saya lebih menggemari kek lapis Sarawak.

Kesimpulan

Aceh merupakan kawasan yang selamat untuk membeli-belah atau bercanda jika dibandingkan dengan Jakarta. Tiada peminta sedekah, tiada aktiviti meragut beg dan aktiviti keganasan. Kata rakyat Aceh, "kami udah capet mau ribut-ribut". Aceh begitu mementingkan agama. Dan suasananya seperti di Kelantan. Cumanya, tiadalah aktiviti menaikkan harga barangan kepada orang yang tidak berbahasa Kelantan. Peniaga di Aceh begitu jujur dan menghormati pelanggan. Saya begitu gembira berpecah-belah (bahasa Aceh untuk membeli-belah) di negeri Aceh.

Sekian

p/s: Insya Allah akhir tahun ini atau tahun hadapan kami ke Beijing pula. Tahun hadapan juga Insya Allah, menyambut orang baru dalam keluarga kami. Amin.

Continue Reading
Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template