Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

3.4.11

Serahkan pada Super Power


"Saya baru terdengar kematian salah seorang bekas kekasih saya yang membunuh diri kerana tekanan hidup dan putus cinta. Dia seorang yang luar biasa. Seolah-olah dia mempunyai segala-galanya. Kerja, paras rupa, wang tapi akhirnya dia mati dengan begitu tragik. Di dalam hati saya, saya masih sayang akan dia. Dan, saya berasa bersalah kerana tidak dapat menyelamatkan satu nyawa yang penting dalam hidup saya." (Anonymous)

Kita akan terpukul dan terduduk dengan ujian hidup yang tak putus-putus. Belum habis masalah kita carikan penyelesaiannya, kita dihujani dengan pelbagai ujian lagi. Akhirnya ramai yang mengambil keputusan untuk bunuh diri. Seolah-olah itulah penyelesaian yang terbaik.

Saya teringat pengalaman seorang yang begitu tabah menghadapi hidup. Dia baru sahaja diceraikan dan merupakan ibu tunggal yang mempunyai dua orang anak. Suaminya menceraikannya tanpa meninggalkan apa-apa. Dia terpaksa mencari pekerjaan untuk menyara kehidupan dia dan anak-anaknya. Saban hari hutangnya semakin meningkat. Keretanya terpaksa di tarik oleh pihak bank. Rumahnya hampir-hampir digadai. Sungguh berat ujian yang menimpa dirinya. Seolah-olah sudah tiada jalan keluar baginya. MUFLIS.

Apabila orang bertanya bagaimana dia menghadapi kesukaran hidup itu, dia dengan tenang menjawab: Saya serahkan hidup saya pada Super Power yakni Allah s.w.t.

Wah, jawapan yang sungguh tepat. Manusia amat lemah. Apabila segala-galanya diserahkan pada Allah s.w.t., siapakah yang mampu melawan kehendak dan kuasaNya. Terserlah ketinggian kenalnya saudari tersebut dengan Penciptanya.

Saudari tersebut sedar bahawa semua di dalam kehidupan ini merupakan pinjaman. Suaminya merupakan pinjaman, bukan miliknya. Saya lihat ramai pasangan yang lupa akan hal ni. Seringkali pasangan menjadi hamba kepada pasangannya. Istilah queen control dan suami diktator memang seakan sinonim dengan suasana kekeluargaan. Itulah penangan kerana ingin memiliki dan dimiliki. Apabila diuji, lupa diri, dan bunuh diri. Nauzubillahimin zalik.

Justeru, biar seteruk mana pun keadaan kehidupan kita, ayuhlah kita kenal Pencipta kita yakni Allah. Pinjamlah kekuatanNya untuk menghadapi mehnah dan tribulasi hidup.

Percayalah rahmat dan kasih sayang Allah pasti menyambut kita sebelum kita sempat menangis.
Continue Reading

24.12.10

Bagaimana menyambut Krismas?

christmas
Esok 25 Disember 2010 merupakan tarikh bagi penganut agama Kristian merayakan hari Natal atau Krismas. Hari Krismas ini disambut bersempena lahirnya Nabi Isa a.s. ke dunia meskipun pihak gereja berbeza pendapat tentang perkara ini. Di sesetengah tempat di dunia seperti di Mesir dan Etopia,mereka merayakan Krismas pada 7 Januari.

Pada hari Krismas, pihak gereja akan menyambutnya dengan pelbagai aktiviti termasuklah paparan kelahiran Jesus Christ. Tradisi ini diperkenalkan di Itali dan menjadi ikutan banyak gereja di seluruh dunia. Babak kelahiran dipaparkan dalam bentuk patung sebesar saiz manusia, ataupun sekecil kotak mancis.

Di seluruh dunia, orang yang menganut agama lain juga menyambutnya dengan penuh sekular. Di Jepun, yang penganut Kristiannya sedikit menyambut Krismas dengan bertukar-tukar hadiah dan menghias pokok Krismas. Tradisi pohon krismas ini berasal daripada negara Jerman.

Itulah sedikit sebanyak sambutan Krismas, yang terkadang umat Islam terlepas pandang tentang sejarah dan sewenang-wenangnya menyambut hari Krismas dengan rasa bangga. Bangga bertukar-tukar hadiah, bangga menyanyikan lagu-lagu Krismas dan pelbagai lagi bentuk sambutan yang dilakukan.

Umat Islam sepatutnya sedar bahawa hari Krismas merupakan satu perayaan penganut Kristian yang berbeza aqidah dengan umat Islam. Demi menyelamatkan aqidah diri, seharusnya umat Islam tidak terjerumus dengan perayaan dan aktiviti hedonisme yang melampau.

Hari Krismas sinonim dengan hadiah. Dan, di dalam Islam seorang Muslim tidak dilarang untuk memberi dan menerima hadiah daripada non-Muslim. Rasulullah sendiri pernah memberi hadiah kepada non-Muslim. Al-Bukhari merekodkan dalam perang Tabuk, seorang raja pernah menghadiahkan baginda dengan kain putih.

Walaupun begitu, sekiranya kita memberikan hadiah kepada mereka semasa berlangsungnya hari perayaan yang dimuliakan mereka, ini amalan yang ditegah. Bahkan dalam hal ini, orang Islam sendiri yang memberi hadiah kepada orang Islam yang lain sempena perayaan Krismas juga tidak dibolehkan seperti yang diulas oleh Ibn Taimiyah:

"Dan sesiapa yang memberi hadiah kepada orang Islam dalam hari perayaan (orang kafir),maka jangan diterima hadiahnya. Terutamanya, jika hadiah itu berkaitan dengan perayaaan mereka."

Umat Islam seharusnya merujuk kepada al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w dalam melaksanakan sesuatu perkara. Rasulullah s.a.w tidak merayakan hari Krismas.

Di dalam Islam, kita sudah dikurniakan dengan pelbagai sambutan. Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Awal Muharram, 10 Muharram, Hari Arafah,Nisfu Syaaban dan pelbagai lagi. Cintailah Islam, maka anda akan rasa Islam itu merupakan nikmat yang amat berharga.

Usah disambut Krismas. Biarkan sahaja penganutnya sahaja yang menyambut.
Continue Reading

14.5.10

Berhenti Lakukan 7 Perkara di Facebook


Facebook merupakan laman web sosial yang boleh dikatakan semua orang ada akaunnya. Dalam keghairahan kita berinteraksi, kita cuai dalam mendedahkan maklumat yang tidak sepatutnya dikongsikan kepada khalayak ramai. Pembuli internet akan mengambil maklumat diri anda dan percayalah mereka ini bakal melakukan onar di kemudian hari. Sedar-sedar, bil kad kredit kita meningkat!

Maka, jangan lakukan 7 perkara ini.

1) Password yang lemah

Elakkan daripada menggunakan perkataan yang boleh terus dicari dalam kamus atau nama sendiri walaupun gabungan perkataan dan huruf di belakang. Contoh: ahmad07. Jangan. Jangan. Yang terbaik, gunakan gabungan upper case,lower case, simbol, nombor. Masukkan simbol dan nombor di tengah juga satu idea bijak. Contoh: @Hm4Do7

2) Meletakkan Tarikh Lahir

Maklumat tarikh lahir penting bagi penjenayah siber mencari lebih banyak maklumat tentang diri anda seperti nombor akaun bank dan nombor kad kredit. Jika anda telah pun meletakkan tarikh lahir anda, ikut langkah ini.

Tekan Profile--->Tekan info tab--->Edit Information--->Di bawah Basic Information, pilih show only month and day or no birthday at all

3) Mengabaikan 'Privacy Setting' yang berguna

Apa sahaja di Facebook, anda boleh hadkan untuk anda sendiri, kawan sahaja, kawan kepada kawan dan semua orang. Hadkan layaran di bahagian foto, tarikh lahir, religious views, maklumat keluarga dan lain-lain lagi yang anda rasa terlampau terbuka. Berfikir sama ada perlu untuk meletakkan nombor telefon dan alamat rumah.

4) Meletakkan nama anak anda di 'caption' foto

Jangan gunakan nama anak anda di'tag' atau di'caption'. Jika seseorang telah melakukannya, tekan 'remove tag'. Jika anak anda tidak ada akaun Facebook, dan orang lain mendedahkan namanya di caption foto, minta orang tersebut membuang nama anak anda. Jenayah culik kanak-kanak sejak kebelakangan ini menggusarkan.

5) Memberitahu anda tiada di rumah

Itu seperti memanggil pencuri ke rumah anda. Tunggu sehingga pulang dari bercuti atau outstation sebelum ghairah bercerita.

6) Membenarkan 'Search Engine' mencari anda

Untuk memastikan tidak ada orang asing pergi ke profile anda, lakukan langkah ini.

Pergi ke Search section di Privacy Control--->Pilih 'Only Friends' untuk carian di Facebook.

Pastikan kotak kecil untuk Public Search tidak di tick.

7) Membenarkan kanak-kanak menggunakan Facebook tanpa pantauan

Facebook hanya membenarkan kanak-kanak berumur 13 tahun ke atas untuk membuka akaun, tetapi kanak-kanak lebih muda daripada umur tersebut sudah pun menggunakan Facebook. Salah satu cara untuk memantau ialah menjadi 'online friends' mereka. Ini akan memantau apa yang mereka lakukan di facebook, kerana notifications dan komen mereka akan dihantar ke email anda.
Continue Reading

13.5.10

Syukur: Kisah Tembikai

Assalamualaikum. Hari ni kita berperi. Biar peri ini sering didengari tapi yang baik patut diulangi agar pengajarannya dekat di hati.

Arakian, maka pulanglah lelaki soleh membawa sebiji tembikai. Tembikai itu lantas diserahkan kepada isteri tercinta.

Maka dibelah oleh si isteri lantas dia merasa. "Ah, tawar sekali rasa. Seperti tidak diletak gula. Masakan mahu di makan orang. Melepas tekak tidak pula akan tembikai ini."selar isteri yang asyik menyelar sahaja kerjanya. Suka makan ikan selar kuning agaknya.

Lelaki soleh memandang tepat ke arah isteri belahan jiwanya. Atau dalam bahasa Jawanya sigaraning. Dia membuka bicara "Abang yang beli di pasar tadi. Agaknya intan payungku, hajat hati mahu dipilih manis atau tawar di pasar tadi?"

"Alah, abang ni. Masakan tidak tahu. Sudah gaharu cendana pula. Kura-kura dalam perahu pun tahu jawapannya." jawab si isteri walaupun sedikit gusar, benarkah kura-kura pun tahu?

"Nah, ketika penjual tembikai ini menjual di pasar, adakah yang manis atau yang tawar pilihan hatinya?"

"Manislah kanda. Jikalau tawar, tidakkah bersepai kepala penjual itu dengan tembikai-tembikainya? Ish, ish kanda ni. Relevan, kanda. Relevan."

"Isteriku yang matanya bulat bak purnama mengambang. Dahimu luas sekangkang kera. Bibirmu merah bak delima merekah," si suami menarik nafas, tidak berani dia memuji memuja si isterinya lagi, kerana si isteri sudah kembang semangkuk.

Lantas dia menyambung, "Semua orang mahukan yang manis. Dari penanam tembikai, pemetik tembikai, peraih tembikai, penjual tembikai, pembeli tembikai, pembelah tembikai. Tetapi, kuasa Allah yang memutuskan buah itu tawar rasanya. Jadi awak nak marahkan siapa? Awak nak marahkan Allah yang menentukan rasa tawar?

Zasss. Terdiam si isteri. Mukanya yang hitam-hitam manis bak kulit manggis itu bertukar menjadi merah merona kulit rambutan.

Syukur

Syukurlah dengan apa yang ada. Syukurlah, maka Allah akan tambah nikmatnya kepada kamu. Belajarlah menyukai apa yang kita ada. Apa yang ada, jarang disyukuri. Apa yang tiada sering dikesalkan.

Adab makan juga, jangan dikecam makanan yang tidak sedap. Renunglah dan hayatilah kisah di atas. Sanggupkah kita marah dengan Pencipta kita?
Continue Reading

8.5.10

Solat Dhuha: Amalan Orang Kaya


Solat Sunat Dhuha merupakan solat sunat yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w melalui hadis-hadis baginda. Makanya, ini merupakan sunnah qauliyah (perkataan) dan merupakan sunnah tertinggi jika hendak dibandingkan dengan sunnah taqririyah dan sunnah fi'liyah (perbuatan).

Waktu Solat Dhuha

Dari naik matahari sampai sepenggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir. Tetapi disunatkan dita'khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.

Berapa rakaat?

Solat sunat ini sama seperti solat sunat yang lain yakni dua rakaat dan satu salam.

Berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh at-Thabarani:

Sesiapa yang mengerjakan solat sunat dhuha,

2 rakaat=orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah
4 rakaat=orang yang suka beribadat
6 rakaat=dicukupkan baginya hari tersebut
8 rakaat=orang yang selalu berbuat taat
12 rakaat=Allah akan membina baginya mahligai di dalam syurga

Doa Selepas Solat sunat Dhuha

Ya Allah ya Tuhanku, jika rezekiku di atas langit, maka Engkau turunkanlah. Jika rezekiku di bumi, maka Engkau keluarkanlah. Jika sukar, mudahkanlah. Jika lambat, percepatkanlah. Jika haram, halalkanlah. Jika jauh perdekatkanlah.

Kelebihan

Rasulullah s.a.w bersabda: 2 rakaat solat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.

Inilah yang dipegang oleh sahabat baginda Said bin Zaid. Ketika beliau menjadi pemimpin dan hidup dengan keadaan yang begitu zuhud, Khalifah Umar al-Khattab bertemu dengannya untuk memberi sedikit bantuan. Beliau menjawab: Aku mengamalkan solat sunat Dhuha, maka itu sudah cukup mengkayakan aku.

Rasulullah s.a.w. juga bersabda:Barangsiapa yang menjaga solat Dhuhanya, maka diampuni Allah baginya segala dosanya walaupun seperti buih di lautan (Ibnu Majah dan At-Tirmidzi).

p/s

Ramai yang sedang bercuti barangkali. Dan hari ni dan esok merupakan hari cuti. InsyaAllah boleh diambil masa 5 minit untuk mengerjakan solat sunat Dhuha. Sama-sama kita sokong satu sama lain untuk beramal.
Continue Reading
Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template