Showing posts with label Ulasan Buku. Show all posts
Showing posts with label Ulasan Buku. Show all posts

23.4.11

Dari IKEA ke PWTC (Pesta Buku 2011)

Imaen
Bersama penulis Imaen

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBKLI) kini tiba. Saban tahun, saya tidak terkecuali untuk menunggu kehadiran pesta di PWTC yang memang gempak ini. Membeli dengan harga diskaun hebat, berjumpa dengan penulis-penulis, mengoyakkan plastik yang membalut naskhah, merasakan rasa segar helaian buku merupakan pengalaman yang memang mengujakan.

Saya memetik kata-kata G.K. Chesterton seorang sasterawan Inggeris
"There is a great deal of difference between an eager man who wants to read a book and a tired man who wants a book to read."

Wajah-wajah kempunan Meatballz

Perjalanan bermula dengan sarapan pagi di IKEA bersama Mr. H. Mr. H datang dari utagha nun punya nak makan meatball, tapi akhirnya, kempunan, meatball hanya dihidangkan tatkala waktu makan tengahari. Secara spesifiknya 1130am. Habis makan pun 1130am. Mr. H tak pula buat cadangan tapau.

Setelah itu, saya dan Mr. H menuju ke PWTC. Setelah hampir 5 jam membeli belah, inilah hasilnya:


1) A Doctor In The House (Tun Dr. Mahathir Mohamad)
2) Rahsia Selebriti Berkahwin Pada Bajet RM25,000 (Faisal Mohd Zabidy)
3) Tip-tip Kewangan Untuk Rakyat Malaysia (K C Lau)
4) Matahari (Hilal Asyraf)
5) Batu-bata Kehidupan (Hilal Asyraf)
6) Takdir (Hilal Asyraf)
7) Hero (Hilal Asyraf)
8) 101 Rekreasi Hati (Dr Zahazan Mohamed dan Nik Wafdi)
9) Triple Your Reading Speed (Wade E. Cutler)
10) Contengan Jalanan (Hlovate)
11) Blues Retro (Imaen)
12) Beduk Diketuk (Pahrol Mohd Juoi)
13) Fanzuru (Hilal Asyraf)

p/s: Harap-harap sempat dibaca sebelum Ogos =)
Klik pada gambar untuk membesar
Continue Reading

13.6.10

Tips: Mencari Pasangan Hidup

mencari pasangan hidup
Cuti sekolah memang sinonim dengan jemputan kenduri-kendara sanak saudara dan rakan taulan. Ada yang mengembara jauh ke selatan tanah air meskipun tinggal di utara bagi meraikan rakan yang mahu melengkapkan sebahagian daripada agama menerusi perkahwinan.

Yang telah melafazkan "Aku Terima Nikahnya" sudah lega kerana sudah bertemu jodoh. Yang masih bujang trang tang tang, berura-ura untuk mencari pasangan hidup. Siapalah isteri aku nanti? Siapalah prince charming aku nanti? Soalan-soalan fitrah menerjah cerebrum yang tidak mengenal erti noktah.

Baru menziarahi rumah saudara, soalan spesis yang sama berkumandang lagi. Itu belum waktu hari raya. Lagilah macam mesingan soalan-soalan itu ditanya sama ada menuntut jawapan atau sengaja menjadi buah lelucon.

Persoalan bagaimana mencari pasangan hidup pasti terfikir jua dek akal. Hendak ber'couple' jauh sekali. Itu membuka jalan dosa. Jadi bagaimana mahu mencari pasangan hidup? Bagaimana ciri-ciri lelaki dan wanita yang baik?

Ciri-ciri lelaki dan wanita soleh

1) Mengawal Hawa Nafsu

Kita boleh perhatikan bagaimana lelaki atau wanita tersebut bergaul. Adakah terjaga batas-batas pergaulannya. Atau, bersenang lenang bercanda bermesra dengan berlainan jantina.

Ini amat penting. Semasa berumah tangga nanti, kedua-dua suami isteri akan bekerja. Seawal 6pagi sudah keluar rumah, pulang pula lewat malam. Maknanya, waktu di pejabat lebih berkualiti daripada waktu di rumah. Lelaki dan wanita yang mengawal hawa nafsu, dan menjaga pergaulan di mana-mana sahaja, sudah pasti lebih terselamat daripada fitnah yang memungkinkan lafaz "Aku Ceraikan Dikau" dilontarkan.

2) Di bawah naungan al-Quran dan As-Sunnah
Lelaki dan perempuan yang baik sentiasa merujuk kepada al-Quran dan As-Sunnah sebagai pedoman hidup. Andai dia ditimpa musibah, kekeliruan dan kesulitan, dia menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan bagi membebat hati yang luka.

Dia tidak akan mengeluh, merungut, mengherdik, marah atas apa yang Allah uji ke atas dirinya. Pendek kata, kita boleh mengenal lelaki dan perempuan yang baik untuk dijadikan pasangan dengan melihat akhlaknya. Selalunya, akhlak lelaki dan perempuan tersebut terserlah ketika dia bersama-sama dengan lingkungan teman-teman rapatnya.

3) Beribadat kepada Allah

Seringkali apabila datang merisik si gadis, bakal ibu mertua akan bertanya, "Kamu kerja apa? Berapa gaji kamu? Pakai kereta apa?" Kita lupa untuk bertanya "Kamu solat tak?"

Lelaki dan perempuan yang baik akan diringankan hatinya untuk melakukan ibadah kepada Allah. Dia rindu untuk sujud merendahkan dirinya sebagai hamba kepada Allah. Kita boleh lihat, bagaimana seseorang itu rajin beribadah atau tidak. Adakah dia menghormati waktu solat ketika tiada keuzuran dan sebagainya.

4) Terikat Hati dengan Masjid dan Dakwah

Bermakna, rajinkah dia mengerjakan solat berjemaah? Sensitifkah dia dengan isu-isu semasa dan terlibat dalam proses dakwah dan humanisasi? Renung-renungkanlah

5) Berakhlak Mulia dan Berbudi Bahasa

Kata orang, hendak mengenal seseorang, kita memerlukan masa sekurang-kurangnya 2minggu. Ya, ada benarnya juga. Masa akan sedikit sebanyak memaparkan sisi-sisi negatif seseorang. Kawan saya Dr. Ahmad Hazim Abd Ghaffar pernah berpesan kepada kami rakan-rakannya (mengikut pemahaman saya seperti berikut):

"Semakin lama anda berkawan dengan saya, anda akan lihat kelemahan-kelemahan yang terdapat pada diri saya. Usahlah anda menggunakan kelemahan-kelemahan tersebut untuk membenci saya. Seharusnya, sama-samalah kita menutup lubang-lubang kelemahan antara satu sama lain kerana kita semua bersahabat kerana-Nya".

Kita boleh lihat bagaimana akhlak seseorang. Bagaimana dia bersama rakan-rakan, guru-guru, ibu bapa dan sebagainya. Ketawa tak ingat alamkah? Bercerita 24 jamkah? Bersuara seperti keldaikah?

Kesimpulan

Sebenarnya, banyak lagi ciri-ciri yang diungkapkan oleh Ustaz Emran Ahmad dalam bukunya Mencari Pasangan Hidup terbitan Alaf 21. Buku yang murah ini (RM16), pasti menjadi nasihat yang berguna bagi mereka yang sudah berkira-kira untuk mencari pasangan hidup.

Akhirnya, jangan terlampau mengharapkan yang terbaik. Jangan terlalu high expectation terhadap pasangan anda. Bukankah "Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka" (Al-Baqarah: 187). Lengkap melengkapi, kurangkan sepatutnya dalam hidup berumahtangga. Contohnya, sepatutnya isteri tukang masak, suami tukang makan dan sebagainya.

Renunglah ciri-ciri di atas. Jika sudah ketemu calonnya, dan bersedia, mulakan langkah pertama. Usah didengar bisikan syaitan yang membenci perkahwinan.
Continue Reading

8.6.10

Ar-Raheeq Al-Makhtum (The Sealed Nectar)

raheeq makhtum the sealed nektar
Pada tahun 1976, konferens pertama tentang Sirah Nabi Muhammad s.a.w. telah berlangsung di Pakistan yang ditaja oleh Liga Muslim Dunia. Liga ini telah menganjurkan pertandingan menulis Buku Biografi junjungan besar Muhammad s.a.w. Pemenang akan membawa pulang wang tunai berjumlah 50000SR (RM60000-RM65000).

Akhirnya, Ar-Raheeq Al-Makhtum (The Sealed Nectar) telah memenangi pertandingan ini dengan mengenepikan 170 manuskrip biografi Rasulullah s.a.w yang lain.

Tentang Penulis

Safiur Rahman al-Mubarakpuri ialah ulama' besar di Universiti Islam Madinah. Beliau lahir di Mubarakpur, India.

Tentang Buku

Manuskrip setebal 584 muka surat ini memberikan gambaran yang jelas terhadap perjalanan hidup Nabi Muhammad s.a.w sehingga baginda s.a.w wafat. Permulaan buku ini membawa pembaca menelusuri susur galur keturunan baginda s.a.w. dan diakhiri dengan mengenal karakter dan akhlak Nabi Muhammad s.a.w.

Buku ini juga menerangkan kronologi peristiwa pada zaman Nabi Muhammad s.a.w dengan kaedah yang begitu tersusun. InsyaAllah, jika anda mula memegang buku ini, anda akan merasakan payah untuk menutupnya kembali. Anda akan terkesima dengan hebatnya peribadi Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya. Percayalah, titisan air mata akan mengalir dari kedua bola mata anda.

Banyak kisah sirah yang saya terlepas pandang selama ini. Dahulu, saya sangka nasyid ahli Madinah "Tola'al Badru 'alaina" itu, dinasyidkan oleh penduduk Madinah semasa ketibaan Rasulullah s.a.w tatkala berhijrah. Namun, saya tersasar. Rupa-rupanya, nasyid ini dialunkan semasa ketibaan pulang Rasulullah s.a.w dan para sahabat dari medan Tabuk.

Malah, peristiwa perang Uhud amat menyentuh perasaaan. Rasulullah dilindungi oleh 9 orang sahabat (7 Ansar 2 Muhajirin) semasa serangan balas pihak Quraish. 7 orang Ansar syahid, manakala Saad bin Abi Waqqas r.a. dan Talhah bin Ubaidillah r.a. mempertahankan Nabi dengan bersungguh-sungguh. Sehingga Abu Bakar r.a. mengatakan Hari Uhud ialah Hari Talhah r.a. Manakan tidak, Talhah r.a. tercedera di tangan dan terputus jarinya kerana melindungi Rasululah s.a.w. Dan, tidak hairanlah, Saad r.a. dan Talhah r.a. tergolong dalam 10 orang yang dijanjikan syurga.

Sikap dan jasa Abu Bakar r.a. juga begitu mengagumkan. Sehingga Rasulullah s.a.w. bersabda: "....sekiranya aku hendak memilih Khalil ( rakan) selain Allah s.w.t, maka aku akan pilih Abu Bakar sebagai rakanku."

Dan baginda bersabda, "Jika ditimbang iman Abu Bakar dengan iman seluruh umat, maka berat lagi timbangan Abu Bakar."

Kesimpulan

Sesungguhnya, jiwa setiap Muslim itu pasti mencintai junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Kerana apa? Kerana, melalui baginda kita dapat kenal Islam dan beriman kepada Pencipta sekalian alam yakni Allah azzawajalla.

Memupuk cinta kepada Rasulullah s.a.w amat penting seperti yang difirmankan oleh Allah di dalam al-Quran (Ali Imran:31)

"Katakanlah (wahai Muhammad), jika kamu benar-benar mencintai Allah, maka ikutlah aku (yakni Islam, ikut al-Quran dan As-Sunnah), maka Allah akan mencintai kamu."

Marilah sama-sama memperbanyakkan selawat pada baginda Rasulullah s.a.w. Dengan memperbanyakkan selawat, itu tanda kita mencintai baginda.

"Allahumma Solli 'Ala Muhammad, Wa'ala ali Muhammad"

Ringkasan

Tajuk Buku: Ar-Raheeq Al-Makhtum (The Sealed Nectar)
Penulis: Safiur Rahman Al-Mubarakpuri
Terbitan: Darussalam Riyadh, Saudi Arabia
Muka Surat: 584
Harga: RM30-35
Tempat Beli: Da'wah Corner, As-Safwa Tower, Makkah al-Mukarramah

Selamat Membaca!
Continue Reading

7.1.10

Tergigit Dengan Sirah



Kini tiba minggu ke-5 semester terakhir saya. Itu bermakna, saya sudah ke wad untuk berjumpa pesakit. Makanya, masa perlu dibunuh untuk menukilkan entri di blog ini. Kali ini, saya ingin menulis tentang budaya membaca.

Membaca memberikan anda ilmu yang berterusan. Dengan ilmu, kehidupan kita lebih bermakna. Tidaklah kita merasakan fikiran kita kosong, dan jati diri kita lemah. Malah, dengan membaca, anda akan melihat sesuatu perkara dengan lebih matang.

Bahan bacaan itu pelbagai. Ada biografi, komik, majalah, buku ilmiah, jurnal, surat khabar dan sebagainya. Ada orang berpendapat, hendak mengenal orang, kita lihat apa bahan bacaannya.

Kalau orang beli majalah Mempelam (bukan nama sebenar), pasti dia suka meng'update' kisah-kisah artis kat Malaysia ni. Kalau orang beli majalah Solusi, pasti orang ini ada usaha untuk memperbaik diri.

Dalam banyak-banyak bahan bacaan, novel selalunya orang cari. Ombak Rindula, Cinta Adam dan Hawa, Rooftop Rant dan banyak lagi. Kalau buku-buku sains Sosial, memang sikitlah pembacanya.

Percaya atau tidak, Sirah itu genre dia tidak lari banyak dari novel. Penceritaan tentang kisah Rasulullah, para sahabat, ilmuan Islam amat menarik untuk dibaca. Gaya bahasa yang santai tapi bermanfaat bisa menggigit hati-hati pembaca.

Justeru, kerana tidak kenal, maka tidak cinta, bacalah juga Sirah junjungan besar Muhammad s.a.w, supaya hati dididik untuk mencintai Nabi.

Ada 3 bahan bacaan yang baik untuk dibaca:


1) Al-Raheeq al-Makhtum (The Sealed Nektar) karangan Sheikh Mubarak Furi
2) Muhammad: Based on Early Sources karangan Martin Lings/Muhammad Abu Bakr Syrajudin
3) Fiqh Sirah (3 Jilid) karangan Sheikh Sai'd Ramadhan al-Buuty

p/s: Saya pun belum membaca buku-buku berkenaan, insyaAllah satu masa yang lapang nanti.

Continue Reading

4.12.09

Akhbar IluvIslam-Sejarah Tercipta

Seusai solat Jumaat di masjid bandar warisan Taiping, saya terus mencari akhbar edisi pengenalan ini. Untuk meningkatkan peluang saya mendapatkannya, saya ke kedai menjual buku-buku agama di tepi Ayamas Taiping.

Rupa-rupanya tinggal satu naskhah saja lagi. Macam pisang goreng panas akhbar mingguan yang keluar setiap Jumaat ni. Untuk edisi pengenalan, akhbar setebal 40 muka surat ini dijual pada harga RM1.00. Bermula minggu hadapan, harga akhbar ialah Rm2.00.

Saya amat berbesar hati kerana akhbar IluvIslam mewarnai pentas dakwah setelah majalah-i, Solusi dan lain-lain. Belek punya belek, saya teruja dengan beberapa artikel di dalamnya. Antaranya, kiamat boleh diramal, penahanan Dr. Asri, terlalu 'Islamik' umat tidak maju dan lain-lain.

Banyak ruangan yang ada, contohnya i luv C.I.N.T.A, i luv makan, i luv biz, i luv jalan muslim dan lain-lain.

Meskipun ada kekurangan sedikit melalui penyampaian namun gaya bahasa dan isu-isu yang diketengahkan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

Justeru, dapatkanlah edisi mingguan akhbar IluvIslam ini!


Continue Reading
Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template