Showing posts with label Sirah. Show all posts
Showing posts with label Sirah. Show all posts

18.7.10

Sirah: Thabit ibn Qais r.a.


Assalamualaikum w.b.t.

Apa khabar rakan-rakan sekalian. Moga-moga, saya, anda dan kita semua berada dalam lingkaran iman yang mengikat hati-hati kita untuk mencintai Allah s.w.t.

Lama saya menyepi setelah pemusafiran saya selama 7 hari di bumi Seoul (Soul of Asia) dan 3 hari di bumi Hong Kong (Asia's World City), kini alhamdulillah saya kembali mencoret di Berubah Meskipun Payah.

Kali ini saya ingin kongsikan cerita sahabat Rasulullah s.a.w iaitu Thabit ibn Qais r.a. Kenalkah kamu akan sahabat Nabi ini?

Ya? Tidak?

Walau apa pun jawapannya, tidak mengapa. Mari sama-sama merenung ayat al-Quran al-Hujurat:2 ini

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara yang keras sebagaimana kerasnya (suara) sebahagian kamu terhadap yang lain, nanti (pahala) segala amalmu bisa terhapus sedangkan kamu tidak menyedari.

Rakan-rakan sekalian, Thabit bin Qais r.a. amat terkesan dengan firman Allah s.w.t. ini. Beliau terkenal sebagai seorang yang bersuara lantang. Kerana itu, setiap kali solat berjemaah di Masjid Nabi, beliau akan mengelak daripada bertemu dengan Rasulullah s.a.w.

Beiau khuatir, suaranya yang lantang dan tinggi daripada suara Rasulullah s.a.w. akan menyebabkan amalannya terhapus dan menjadi ahli neraka. MasyaAllah, hebat betul keimanan Thabit bin Qais r.a.

Rasulullah s.a.w. merupakan manusia yang paling baik akhlaknya. Baginda ambil berat, kasih, sayang sahabat-sahabatnya. Baginda hairan kerana sudah lama baginda tidak bertemu dengan Thabit bin Qais r.a.

Lalu Baginda Rasulullah bertanya pada sahabat-sahabat yang lain, "Ke manakah Thabit ibn Qais? Sudah lama aku tidak bertemu dengannya."

Sahabat-sahabat baginda menjawab, Thabit bin Qais r.a. mengelak untuk berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. kerana takut meninggikan suara dan bersuara kasar dengan Nabi. Kerana itu, Thabit akan menjadi ahli neraka.

Rasulullah s.a.w. berkata "Sesungguhnya dia (Thabit) ialah ahli syurga. Bukan ahli neraka."

Thabit ibn Qais r.a berperanan sebagai pemidato dan jurucakap bagi Rasulullah s.a.w. Suaranya yang lantang dan pandai berpidato menjadikan beliau sesuai menggalas tugas tersebut.

Kesimpulan

Kita lihat bagaimana sahabat Rasulullah s.a.w mempunyai taqwa yang tinggi. Mereka begitu patuh dengan ayat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Lihatlah, Thabit ibn Qais r.a. Beliau sanggup meminggirkan diri daripada bertemu kekasih Allah, kerana takut menjadi ahli neraka.

Kedua, lihat bagaimana Rasulullah begitu sayangkan sahabat-sahabat baginda. Baginda ambil berat sahabat-sahabatnya. Tidak kelihatan lama, Rasulullah tanya. Rasulullah prihatin. Allahumma Solli 'Ala Muhammad.

p/s: Thabit bin Qais r.a. mati syahid sepertimana yang Rasulullah janjikan kepada beliau. Thabit ibn Qais r.a. syahid dalam peperangan memerangi Musailamah al-Kazzab semasa pemerintahan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a.

Beliaulah satu-satunya sahabat yang memberikan wasiat setelah beliau meninggal dunia. Beliau mendatangi sahabat yang lain melalui mimpi dan menyampaikan wasiatnya.

Terima kasih kerana membaca. Semoga kita lebih mengenali sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. daripada mengenali personaliti-personaliti dan artis masa kini.
Continue Reading

8.6.10

Ar-Raheeq Al-Makhtum (The Sealed Nectar)

raheeq makhtum the sealed nektar
Pada tahun 1976, konferens pertama tentang Sirah Nabi Muhammad s.a.w. telah berlangsung di Pakistan yang ditaja oleh Liga Muslim Dunia. Liga ini telah menganjurkan pertandingan menulis Buku Biografi junjungan besar Muhammad s.a.w. Pemenang akan membawa pulang wang tunai berjumlah 50000SR (RM60000-RM65000).

Akhirnya, Ar-Raheeq Al-Makhtum (The Sealed Nectar) telah memenangi pertandingan ini dengan mengenepikan 170 manuskrip biografi Rasulullah s.a.w yang lain.

Tentang Penulis

Safiur Rahman al-Mubarakpuri ialah ulama' besar di Universiti Islam Madinah. Beliau lahir di Mubarakpur, India.

Tentang Buku

Manuskrip setebal 584 muka surat ini memberikan gambaran yang jelas terhadap perjalanan hidup Nabi Muhammad s.a.w sehingga baginda s.a.w wafat. Permulaan buku ini membawa pembaca menelusuri susur galur keturunan baginda s.a.w. dan diakhiri dengan mengenal karakter dan akhlak Nabi Muhammad s.a.w.

Buku ini juga menerangkan kronologi peristiwa pada zaman Nabi Muhammad s.a.w dengan kaedah yang begitu tersusun. InsyaAllah, jika anda mula memegang buku ini, anda akan merasakan payah untuk menutupnya kembali. Anda akan terkesima dengan hebatnya peribadi Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya. Percayalah, titisan air mata akan mengalir dari kedua bola mata anda.

Banyak kisah sirah yang saya terlepas pandang selama ini. Dahulu, saya sangka nasyid ahli Madinah "Tola'al Badru 'alaina" itu, dinasyidkan oleh penduduk Madinah semasa ketibaan Rasulullah s.a.w tatkala berhijrah. Namun, saya tersasar. Rupa-rupanya, nasyid ini dialunkan semasa ketibaan pulang Rasulullah s.a.w dan para sahabat dari medan Tabuk.

Malah, peristiwa perang Uhud amat menyentuh perasaaan. Rasulullah dilindungi oleh 9 orang sahabat (7 Ansar 2 Muhajirin) semasa serangan balas pihak Quraish. 7 orang Ansar syahid, manakala Saad bin Abi Waqqas r.a. dan Talhah bin Ubaidillah r.a. mempertahankan Nabi dengan bersungguh-sungguh. Sehingga Abu Bakar r.a. mengatakan Hari Uhud ialah Hari Talhah r.a. Manakan tidak, Talhah r.a. tercedera di tangan dan terputus jarinya kerana melindungi Rasululah s.a.w. Dan, tidak hairanlah, Saad r.a. dan Talhah r.a. tergolong dalam 10 orang yang dijanjikan syurga.

Sikap dan jasa Abu Bakar r.a. juga begitu mengagumkan. Sehingga Rasulullah s.a.w. bersabda: "....sekiranya aku hendak memilih Khalil ( rakan) selain Allah s.w.t, maka aku akan pilih Abu Bakar sebagai rakanku."

Dan baginda bersabda, "Jika ditimbang iman Abu Bakar dengan iman seluruh umat, maka berat lagi timbangan Abu Bakar."

Kesimpulan

Sesungguhnya, jiwa setiap Muslim itu pasti mencintai junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Kerana apa? Kerana, melalui baginda kita dapat kenal Islam dan beriman kepada Pencipta sekalian alam yakni Allah azzawajalla.

Memupuk cinta kepada Rasulullah s.a.w amat penting seperti yang difirmankan oleh Allah di dalam al-Quran (Ali Imran:31)

"Katakanlah (wahai Muhammad), jika kamu benar-benar mencintai Allah, maka ikutlah aku (yakni Islam, ikut al-Quran dan As-Sunnah), maka Allah akan mencintai kamu."

Marilah sama-sama memperbanyakkan selawat pada baginda Rasulullah s.a.w. Dengan memperbanyakkan selawat, itu tanda kita mencintai baginda.

"Allahumma Solli 'Ala Muhammad, Wa'ala ali Muhammad"

Ringkasan

Tajuk Buku: Ar-Raheeq Al-Makhtum (The Sealed Nectar)
Penulis: Safiur Rahman Al-Mubarakpuri
Terbitan: Darussalam Riyadh, Saudi Arabia
Muka Surat: 584
Harga: RM30-35
Tempat Beli: Da'wah Corner, As-Safwa Tower, Makkah al-Mukarramah

Selamat Membaca!
Continue Reading

23.5.10

Mari Sedermawan Abdul Rahman Auf


Kenalkah anda dengan sahabat Rasulullah yang dijanjikan syurga iaitu Abdul Rahman bin Auf? Andai taaruf (perkenalan) itu sudah, mari bersama kembali menelurusi sirah. Andai belum, baiklah dihayati kisah dermawan ini.

Abdul Rahman bin Auf ini amat kaya orangnya. Kaya sehingga Rasulullah s.a.w berkata kepadanya "Abdul Rahman bin Auf nanti akan memasuki syurga dalam keadaan merangkak."

Meskipun kaya, Abdul Rahman bin Auf tidak sedikit pun terikat dengan kekayaannya. Buktinya, beliau berhijrah ke Madinah sehelai sepinggang. Beliau meninggalkan segala harta kemewahannya di Mekah demi kecintaannya terhadap Allah dan Rasulullah. Inilah bukti umat ukhrawi dan bukannya hamba duniawi.

Abdul Rahman vs Yahudi di Madinah

Di Madinah, Abdul Rahman yang sehelai sepinggang dari Mekah memulakan perniagaannya dengan meminjam modal daripada sahabat yang lain. Yang ajaibnya, dalam masa yang singkat, beliau berjaya mendapat keuntungan yang melimpah ruah. Kehebatannya dalam perniagaan menjadikan beliau berjaya memecahkan monopoli Yahudi di Madinah dalam bidang perniagaan.

Abdul Rahman Amat Kaya Tapi Dermawan

Keuntungan yang melimpah ruah itu telah menyebabkan seorang sahabat berpesan kepada Abdul Rahman.

"Wahai Abdul Rahman. Aku melihat hartamu terlampau banyak. Bersedekahlah."

Abdul Rahman menjawab,"Aku sudah bersedekah."

"Jadi, bagaimana hartamu masih banyak?"

"Bagaimana hartaku hendak berkurang? Aku infakkan 1000 dinar pada siang hari, dan Allah kurniakan aku 2000 dinar pada malamnya.

Diriwayatkan, pada suatu hari sedang Ummul mukminin, Saidatina Aisyah duduk bersama hamba sahayanya, lalu mereka berasa seperti gegaran berlaku. Lantas, Saidatina Aisyah bertanya hambanya, apakah yang berlaku?

Hamba itu menjawab, "Itu Abdul Rahman bin Auf datang dengan 70 ekor unta merah yang semuanya penuh dengan muatan."

Para pembaca sekalian, unta merah ini jika hendak diumpamakan seperti Pagani Zonda atau Bugatti Veyronlah pada zaman sekarang. Dan yang menariknya 70 unta merah ini, disedekahkan oleh Abdul Rahman ke jalan Allah

Abdul Rahman Amat Cinta Akan Rasulullah s.a.w
Abdul Rahman tidak larut dalam kemewahannya. Beliaulah antara benteng terakhir Rasulullah s.a.w semasa peperangan Uhud. Kecintaannya kepada Rasulullah, menyebabkan beliau ditikam sebanyak 21 tikaman di kaki kirinya sehingga beliau tempang. Subhanallah, inilah dia contoh orang kaya yang melebihkan kecintaan terhadap Allah dan Rasul-Nya daripada kecintaan terhadap kebendaan.

Kesimpulan

Lihatlah bukti-bukti kedermawanan Abdul Rahman ini. Lihat juga pengorbanannya terhadap Islam dan Rasulullah s.a.w. Dia sanggup ditikam 21 kali di kaki kiri sehingga tempang demi menyelamatkan nyawa Rasulullah s.a.w. Ya Allah, Subhanallah. Hebat-hebat.

Saya merasakan Abdul Rahman bin Auf ialah contoh yang baik untuk jutawan masa kini. Bersedekahlah dan bersyukur, maka Allah akan tambah nikmat kepada kamu. Benarlah kata-kata Allah.

p/s: Gambar Bugatti Veyron
Continue Reading

25.2.10

Kewafatan Nabi Muhammad


Rasulullah s.a.w ibarat seutas tali yang menghubungkan bumi dan langit. Sebarang permasalahan penduduk bumi, mereka merujuk kepada baginda. Apabila baginda tiada, bumi seperti hilang serinya.

Saidina Umar, kerana sedih dengan kewafatan Nabi berucap dengan penuh kontroversi di khalayak ramai:

"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak wafat, sehingga Allah swt menghancurmusnahkan semua golongan munafikin!"

Abu Bakar, sahabat nabi yang ulung terdengar suara Umar. Beliau keluar dari rumah Aishah dan menenteramkan Umar. "Bertenanglah wahai Umar, berhentilah daripada bercakap."

Kemunculan Abu Bakar menyebabkan beliau mendapat tumpuan khalayak ramai. Mereka ingin mendengar dari sahabat karib kekasih Allah itu.

Abu Bakar membaca firman Allah (Ali-Imran 144):

"Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa berbalik ke belakang, maka dia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur."

Orang ramai terpana seolah-olah mereka tidak tahu bahawa ayat tersebut sudah ada, kecuali setelah dibacakan oleh Saidina Abu Bakar. Demikianlah Abu Bakar berjaya menenteramkan umat Islam kerana kewafatan baginda.

Rasulullah begitu sayangkan umatnya

Dalam keadaan uzur, Rasulullah saw masih memikirkan umatnya. Pintu rumah baginda bertentangan dengan pintu masjid. Maka, Rasulullah saw dapat menyaksikan umat Islam mendirikan solat.


Pada pagi yang hening, Abu Bakar dan para sahabat sedang berdiri dalam saf untuk menunaikan solat Subuh. Tiba-tiba, kelihatan Rasulullah saw di ambang pintu dengan wajah yang manis.

Abu Bakar berundur untuk memberi ruang kepada Rasulullah saw menjadi imam. Namun, Rasulullah saw memberi isyarat agar diteruskan solat berimamkan Abu Bakar, kerana baginda masih uzur.

Rasulullah saw berbisik di dalam hati: "Apa akan berlaku kepada umatnya setelah kewafatannya kelak?" Baginda tersenyum kerana puas dengan apa yang dilakukan oleh para sahabat.

p/s:

Lihat, Rasulullah saw begitu memikirkan umatnya. Oleh itu, sempena Maulidur Rasul tahun ini, yakni esok, mula perbanyakkan Selawat atas junjungan besar Muhammad SAW setiap hari.

Allahumma Solli A'la Muhammad, Waa'la Ali Muhammad.
Continue Reading

5.2.10

Sirah: Zaid bin Tsabit


"Wahai seluruh kaum Muslimin! Barangsiapa yang ingin bertanya tentang masalah al-Quran, maka hendaklah dia mendatangi Zaid bin Tsabit."

Umar al-Khattab
Susunan barisan ketenteraan itu rapi. Muka-muka pejuang penuh dengan semangat jihad yang menyala untuk ke medan Badar.

Dalam keadaan yang riuh dengan persiapan perang, seorang anak kecil yang baru berumur 13 tahun bertemu dengan Rasulullah dan berkata:

"Biarkan diriku menjadi penebus dirimu, wahai Rasulullah. Izinkanlah aku pergi bersamamu untuk berjihad melawan musuh-musuh Allah di bawah panjimu!"

Rasulullah kagum dengan semangat anak muda ini. Baginda menepuknya dengan lembut dan kasih sayang, dan menolak hasrat murni anak muda tersebut.

Hancur hati anak muda ini. Namun, dia berazam untuk mendekati Rasulullah dengan cara lain. Cara tersebut ialah dengan menggunakan kekuatannya menghafal.

Siapakah anak muda ini? Dialah Zaid bin Tsabit. Beliau merupakan pemuda golongan Ansar yang menjadi rujukan umat Islam dalam bab al-Quran. Beliau bertanggungjawab menulis wahyu pada zaman Rasulullah dan memashafkan Rasm Ustmani pada zaman Khalifah Usman bin Affan.

Pengajaran


Zaid bin Tsabit, meskipun berusia 13 tahun, namun semangat untuk berjuang di jalan Allah, dan ingin menyumbang sesuatu dalam menegakkan agama Allah.

Justeru, kita jangan merendah diri kerana usia kita untuk menyumbang sesuatu buat ummah. Zaid bin Tsabit telah membuktikannya. InsyaAllah, sama-sama kita menyumbang buat agama dan ummah ini mengikut kapasiti masing-masing.

p/s: InsyaAllah setiap Jumaat akan ada tinta Sirah di sini. Doakan kekuatan saya untuk menukilkannya.

Idea tercetus dari tazkirah maghrib tadi. Jazakallah bro.!
Continue Reading
Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template