19.7.10

Travelog: Korea (Soul of Asia) Part 1


Pengunjung blog saya ini ada yang meminta untuk dinukilkan bagaimana pengalaman saya ketika berada di Korea. Justeru, terimalah coretan travelog saya di Korea. Bagi mereka yang sering membaca status FB saya ketika saya berada di sana, versi ini mungkin lebih jelas.

Hari 1

Saya tiba di Incheon International Airport, Korea awal-awal pagi lagi. Sebaik sahaja tiba, saya dan rakan (Aizuddin) mencari tempat solat. Alhamdulillah, di Hong Kong International Airport, kami tidak mempunyai masalah. Tempat ibadat disediakan, meskipun sekadar karpet 5x5 kaki beserta tempat wuduk. Itu sudah mencukupi bagi kami.

Di Incheon, saya mencongak sudah pasti lapangan terbang ini menyediakan kemudahan yang sama. Cari punya cari, dengan mengikut petunjuk "prayer room" pada papan tanda, kami berdua menapak laju bagi menunaikan solat fardu Subuh sesegera mungkin.

Sampai sahaja, kami terkejut. Mula-mula, gereja kecil Katolik, kemudian gereja kecil Protestan dan di hujung lorong kecil itu, ada bilik ibadah agama Buddha. Pelik. Mana surau ni? Gereja kecil itu ada kerusi panjang bersusun, ada tanda salib dan pelbagai lagi kelengkapan. Kuil kecil Buddha itu tidak kurang lengkapnya. Surau seringkas di Hong Kong, masakan tiada?

Akhirnya, kami menunaikan solat di bawah 'escalator'. Dalam hati, saya mengerti Islam begitu asing di Korea ini.

Pertemuan dengan pelajar Malaysia di Universiti Hanyang

Seusai solat, kami dijemput oleh Iman Sulaiman dan Rashidi. Mereka merupakan pelajar tahun akhir kejuruteraan di Universiti Hanyang. Mereka membawa kami menaiki kereta api laju dari Incheon ke stesen keretapi Gimpo. Kemudian, dari Gimpo kami menaiki Seoul Metro (kereta api antara bandar) ke Universiti Hanyang.

Tiba sahaja di Hanyang, kami tidur dan berehat di dalam bilik tumpangan Iman dan Rashidi. Saya terserempak dengan junior sekolah saya, Mohd Tarmizi. Asyik sangat bersembang kerana sudah hampir 6 tahun tidak berjumpa, penat saya hilang. Saya melupakan mimpi indah. Kini, saya gembira bersembang dengan Tarmizi. Seronok bertukar-tukar cerita dan pengalaman. Hampir 3 jam bersembang non-stop!

Bandar Itaewon, Bandar Masjid

Petang itu kami ke Itaewon. Itaewon ialah bandar pendatang. Bandar pertembungan budaya asing di Korea. Banyak restoran luar negara, pub dan sebagainya. Yang baiknya, di sinilah satu-satunya bandar di Seoul yang ada masjid. Damai hati saya melihat tulisan AllahuAkbar di hadapan pintu masjid.

Masjid ini banyak berjasa. Masjid ini benteng terakhir Islam di Seoul. Masjid ini tempat pelajar-pelajar Malaysia membeli daging,ayam dan pelbagai lagi makanan halal. Masjid ini juga tempat pelajar-pelajar Malaysia sembahyang jumaat. 1 jam perjalanannya untuk menunaikan solat Jumaat. Besar mujahadah mereka di bumi Korea!

Sisi gelap Seoul

Dari Itaewon, kami pulang semula ke Universiti Hanyang. Kemudian, saudara Iman membawa kami ke Motel. Menurut Iman, nak dapat penginapan yang murah memang motellah jawapannya. Murah-murah pun, semalam dekat RM120 juga. Namun, segala-galanya lengkap. Yang kelengkapan asas macam katil, bantal, tuala tu tak perlu saya ceritakan.

Bilik tu, lengkap dengan desktop beserta internet berkelajuan tinggi. Lebih mantap daripada 4G di Malaysia! Ada televisyen dengan hampir 100 saluran.

Sebenarnya, motel tersebut memaparkan sisi gelap Seoul. Ada bilik yang tergantung gambar perempuan bogel. Ada condom disediakan + 2 saluran lucah. Astaghfirullah.

Menurut kawan saya di Korea, masyarakat di sana kurang masalah rogol, buang anak dan yang sama waktu dengannya. Malah, seorang pelajar perempuan untuk berjalan tengah-tengah malam juga, tidak perlu risau akan apa-apa. Mereka juga tiada masalah kesihatan seperti diabetes, darah tinggi dan sebagainya. Yang menjadi masalah bagi mereka, ialah tekanan hidup yang menyebabkan berpuluh-puluh kes bunuh diri berlaku saban hari.

p/s: Begitulah alkisah hari pertama saya di sana. InsyaAllah akan bersambung lagi. Saya perlu tidur untuk pergi kerja esok. Sabar menanti ya!

1 comments:

Haziah Salleh on July 20, 2010 at 8:14 PM said... [Reply to comment]

NIce experience (^^) happy working solah~

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template