25.7.10

Bertaubat Tapi Tetap Melakukan Maksiat

angel vs demon
Assalamualaikum.. kalau dibenarkan saya mahu bertanya tentang dosa ber'couple'...dan kawan saya selalu melakukan.. apakah peluk dan melakukan ringan ringan tetapi tidak pernah meninggalkan solat itu salah....?? dia bertaubat tetapi tetap melakukan maksiat?? saya keliru??

Saya diajukan soalan di atas. Alhamdulillah, penyoal seorang yang mengambil berat kepada rakannya. Dan dia berfikir, mengapa bertaubat tetapi tetap melakukan maksiat?

Saya terpanggil untuk menjawab permasalahan ini. Berhenti daripada perbuatan dosa bukan semudah mencuci debu di jendela. Lebih-lebih lagi dosa yang sudah sebati dalam kehidupan kita. Dosa yang apabila dibuat, langsung tidak rasa gentar kepada Allah s.w.t. Dosa yang direlakan atas bisikan syaitan yang mengatakan tidak mengapa, Allah Maha Pengampun.

Itu dosa yang sebati dengan kehidupan. Belum lagi dosa yang kita tidak sedar, dosa yang tidak ternampak dari pandangan mata! Alangkah banyaknya dosa kita. Astaghfirullah.

Hidup = Gelas Kosong

Cuba anda memerhatikan gelas. Gelas yang kosong. Dan bayangkan itu waktu hidup seharian kita. Kita mempunyai 24 jam. Dan dalam 24 jam, hal kebaikan dan hal keburukan akan berperang untuk mengisi gelas yang kosong tadi.

Jika air jernih kebaikan yang terisi dalam gelas tersebut, alangkah moleknya dari pandangan mata. Jika sebaliknya, air hitam pekat busuk yang mengisi gelas tersebut, alangkah jijiknya.

Justeru, kita kena isi kehidupan kita dengan sebanyak-banyaknya dengan kebaikan. Buat amal soleh. Buat kebaikan sebanyak-banyaknya. Dengan menyebarkan kebaikan, kita rasa lega. Kita rasa tenang.

Kita rasa bahagia kerana membahagiakan orang. Pernahkah anda merasakan sedemikian? Jika belum, cuba anda memberikan pertolongan kepada orang lain, anda akan rasa gembira dan puas, insyaAllah.

Bertaubat dan Berdoa hanya Salah Satu dari banyak Usaha

Ada orang menyangka, untuk berhenti daripada lubang dosa, hanya sekadar berdoa dan solat taubat. Tidak. Sekali-kali tidak. Usah menoktahkan usaha setakat berdoa dan solat taubat.

Anda kena melakukan lebih daripada itu.

Kerana apa? Kerana syaitan tidak pernah sesaat pun berhenti daripada menyesatkan manusia. Dan ketahuilah, syaitan itu musuh kamu yang nyata!

Meskipun syaitan mengalir dalam pembuluh darah manusia, ingatlah, Allah itu lebih dekat daripada urat leher kita. Allah sentiasa ada. Dia ada untuk melindungi hamba-hambaNya daripada godaan syaitan.

Hamba manakah yang akan bebas daripada godaan syaitan? Hanyalah hamba-hamba Allah yang ikhlas. Maka, sama-sama latih diri untuk ikhlas dalam melakukan sesuatu. Semua yang kita lakukan harus bermatlamatkan Allah. RedhaNya. RahmatNya.

Kesimpulan

Akhirnya, selain doa dan solat taubat, isilah dan sibukkanlah kehidupan anda dengan sebanyak-banyaknya amalan KEBAIKAN. Jauhkan diri anda daripada pintu-pintu dan amalan-amalan kejahatan.

Contoh amalan kebaikan ialah solat berjemaah, menghadiri ceramah, kuliah, solat-solat rawatib, bacaan al-Quran, zikir kepada Allah, usrah, bangun qiamullail, bacaan al-Mathurat dan sentiasa mendampingi orang-orang soleh dan alim.
Continue Reading

24.7.10

Travelog: Korea (Soul of Asia) Part 3


Alhamdulillah, hujung minggu begini rasa tenang menghirup udara segar pagi sehingga tengah hari. Dan kerana itu, saya ada 'mood' untuk menyambung travelog saya di bumi Korea. Jom kita tengok apa tempat-tempat menarik untuk di lawati di Seoul.

Buat permulaan, jika anda mahu berjalan-jalan di Seoul, gunalah perkhidmatan Seoul Metro (kereta api bawah tanah), insyaAllah semua tempat sampai.

Myeongdong (Syurga Anak Muda, Syurga Fesyen)

Kenal Super Junior? Kenal Girls Generation? Tahu jenama SPAO? Secara serius, saya pun tak tahu jenama SPAO ni. Tapi, inilah kegilaan kebanyakan teman-teman saya di Korea. Mereka ke gedung SPAO 4 tingkat ini untuk membeli pakaian-pakaian berkualiti pada harga serendah 9900Won (RM28). Dan SPAO ini ialah jenama yang diasaskan oleh Super Junior dan Girls Generation.

Jika anda mahu membeli-belah pakaian, di sinilah syurganya. Ada pelbagai butik pakaian di sini. Tak lupa juga kedai-kedai kosmetik yang baru jalan tak sampai 100meter dah jumpa 3-4 buah. Sebut sahaja The Face Shop, Nature Republic (Rain duta dia), The Skin Food dan macam-macam lagi, semuanya berlumba-lumba membuat promosi! Masuk sahaja kedai mereka, kamu akan dapat free gift macam toner, face mask dan pelbagai lagi. Bezakan? Di Malaysia, The Face Shop tu lengang sahaja.

Namdaemun (Syurga brooch dan Souvenier murah-murah)

Namdaemun Market ini memang tempat pelancong asing memborong brooch-brooch. Kalau di sana, harga brooch yang lawa dan berkelip-kelipan itu hanya RM9. Tapi, di Malaysia, harganya boleh mencecah RM50. Kristal juga boleh di beli di sini. Mungkin harganya hanya RM1000, tapi ada pelajar Malaysia yang menjualnya 200-300% untung!

Di Namdaemun juga, anda boleh membeli souvenier yang mempunyai identiti Korea. Memang murah. Keychain, beg, chopstick, sudu, penanda buku dan banyak lagi!

Dongdaemun (kilang dan deretan kedai pakaian)

Dongdaemun ini ialah gudang pakaian. Jika anda mahukan pakaian yang murah bertulis Korea dan sebagainya, disinilah tempatnya. Dulu, Dongdaemun ini ialah tempat yang paling miskin di Seoul. Sebuah tugu peringatan dibangunkan di sini, untuk memperingati kisah seorang remaja yang berusaha berniaga dalam serba kekurangan bagi membantu keluarganya yang susah. Semangat anak muda ini, menjadi inspirasi kepada pekedai-pekedai sekarang untuk terus bersemangat berniaga.

Itaewon

Ini bandar pelancong asing. Di sinilah terdapatnya satu-satu masjid di bandar Seoul. Teman-teman saya, mendapatkan bekalan daging halal di sini. Mereka juga berjihad untuk solat Jumaat di sini. Perjalanannya, mengambil masa satu jam!

Gwanghwamun

Gwanghwamun ialah tempat di mana muzium sejarah King Sejung, pengasas tulisan Korea (Hangeul) dibangunkan. Masuk muzium ini percuma sahaja. Di sini, anda akan teruja dengan muzium yang interaktif. Anda juga boleh mempelajari tulisan Hangeul dan menulis nama anda dalam tulisan Korea menggunakan berus dan dakwat hitam. Semua itu percuma!

War Memorial

Perang Korea pada awal tahun 50-an merupakan sejarah hitam bagi Korea Selatan. Kerana pertembungan ideologi komunis dan demokrasi, Korea Selatan dan Korea Utara terheret ke kancah peperangan. Sehingga kini, perang ideologi itu masih berlangsung.

Muzium ini menempatkan segala-galanya tentang sejarah Korea, semenjak beribu tahun dahulu. Laman muzium dipenuhi dengan monumen, tugu, kapal perang, kereta kebal, jet dan pelbagai lagi pengangkutan dan senjata yang digunakan sewaktu peperangan.

Bagi saya, orang Korea hebat! Meskipun, usia negara mereka lebih kurang dengan Malaysia, negara mereka sudah maju ke hadapan. Dari pengamatan saya, mereka maju 10-15 tahun daripada kita.

N Seoul Tower

Seoul Tower ini memang mengujakan. Anda dapat melihat pemandangan seluruh bandar Seoul yang cantik, terutamanya pada waktu malam. Anda juga boleh mengenalpasti, tempat-tempat yang penting untuk anda lawati daripada atas menara. Bagi yang ingin berkongsi nostalgia menaiki menara Seoul ini, anda boleh mengeposkan poskad dari atas menara ke mana-mana tempat di dunia.

Hanok Village, Chungmuro

Jika anda hendak merasai kehidupan perkampungan tradisional Korea, di sinilah tempatnya. Tempat ini dibuka setiap hari kecuali pada hari Selasa.

Gyeongmukgong

Ini ialah kompleks istana. Besar sangat sampai tak larat nak jalan semua kawasan. Kat sini, anda boleh mencuba memakai pakaian tradisional Korea.

p/s: Itu sahaja, jika anda ke Seoul, Korea, anda boleh ke tempat-tempat yang saya syorkan di atas. Terima kasih.
Continue Reading

22.7.10

Travelog: Korea (Soul of Asia) Part 2


Alhamdulillah, bertemu lagi kita dalam siri Travelog di Korea ini. Kini saya akan bercerita tentang simposium yang saya hadiri. Jom baca. Bagi mereka yang belum membaca Part 1, tidak mengapa. Ambillah masa anda membacanya.

Asia-Pasific Pharmaceutical Symposium ke-9, University of Seoul, Korea

Sesi cerah mentari

Program tahunan ini ialah wadah latihan bakal ahli farmasi dan juga method utama berkenal-kenalan dan pertukaran pendapat di antara pelajar-pelajar farmasi dari India, Nepal, Taiwan, Jepun, Indonesia, Australia, Thailand, Malaysia, Singapura dan tidak dilupakan, negara tuan rumah, Korea.

Aktiviti pada sebelah paginya begitu bagus. Tajuk-tajuk dan pembentangnya terdiri daripada orang lama. Tajuknya dibentang berdasarkan 3 cabang utama farmasi iaitu Farmasi Klinikal, Farmasi Komuniti dan Farmasi Industri.

Dan, saya diberi peluang untuk melawat Handok Pharmaceutical yang mengeluarkan ubat seperti Amaryl! Saya sudah melawat, CCM dan Pharmaniaga di Malaysia. Teknologi di Handok memang mengatasi keupayaan kilang farmaseutikal kita.

Mereka mempunyai kereta pembawa kotak-kotak yang automatik bergerak ke tempat mengangkut dan memunggah. Apabila ada objek yang menghampiri kereta automatik tersebut, kereta akan berhenti. Apabila objek itu menjauhinya, kereta tersebut akan bergerak semula.

Handok juga mempunyai muzium farmaseutikal tertua di Korea. Lengkap dengan ubat-ubatan lama, moden, dan tradisional. Hebat, memang hebat! Lebih kurang 40 pelajar bersama-sama saya mendapat ole-ole pendrive 4gb berlabel Handok. Pendrive, tu.

Sesi yang kelabu dan gelap

Dewan simposium diadakan di tempat gelap pencahayaannya. Lebih teruk lagi, duduk atas bangku kayu yang tidak ada tempat sandar selama 2-3 jam. Bayangkanlah. Punyalah tak selesa. Lebih menerukkan keadaan, pembentang membentangkan tajuk simposium dalam bahasa Korea dan diterjemahkan semula dalam bahasa Inggeris. Tolonglah. Penat otak nak bekerja dalam dewan suram-suram malam itu!

Pada malam pertama, ada minggu ta'aruf. Malam kenal-kenal sebenarnya. Saya bersyukur kerana tiba lewat dan sudah makan malam itu. Makanan yang dihidangkan memang tiada yang halal. Arak pun ada disediakan.

Peserta kemudian dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Sekarang, permulaan musim panas di Korea. Maka, pakaian malamnya, memang membeliakkan mata. Semua potong sana, pendek sini. Acara tersebut dicemar dengan tarian gelek-gelek dan percampuran lelaki perempuan yang tiada batasnya. Ada perempuan panjat belakang lelaki dan macam-macam adegan yang menyeramkan iman.

Kerana itu, saya dan rakan-rakan tidak hadir pada setiap malam sepanjang simposium tersebut berlangsung. Baik kami berjalan-jalan di Seoul bersama Iman Sulaiman (rakan saya di sana). Bukan mudah nak ketemu.

p/s: Saya rasa cukup sekadar itu, insyaAllah part 3 berkenaan tempat-tempat yang menarik yang saya lawati di Seoul. Teruskan menanti dan setiakan diri anda untuk membaca! Boleh subscribe untuk tidak ketinggalan.
Continue Reading

19.7.10

Travelog: Korea (Soul of Asia) Part 1


Pengunjung blog saya ini ada yang meminta untuk dinukilkan bagaimana pengalaman saya ketika berada di Korea. Justeru, terimalah coretan travelog saya di Korea. Bagi mereka yang sering membaca status FB saya ketika saya berada di sana, versi ini mungkin lebih jelas.

Hari 1

Saya tiba di Incheon International Airport, Korea awal-awal pagi lagi. Sebaik sahaja tiba, saya dan rakan (Aizuddin) mencari tempat solat. Alhamdulillah, di Hong Kong International Airport, kami tidak mempunyai masalah. Tempat ibadat disediakan, meskipun sekadar karpet 5x5 kaki beserta tempat wuduk. Itu sudah mencukupi bagi kami.

Di Incheon, saya mencongak sudah pasti lapangan terbang ini menyediakan kemudahan yang sama. Cari punya cari, dengan mengikut petunjuk "prayer room" pada papan tanda, kami berdua menapak laju bagi menunaikan solat fardu Subuh sesegera mungkin.

Sampai sahaja, kami terkejut. Mula-mula, gereja kecil Katolik, kemudian gereja kecil Protestan dan di hujung lorong kecil itu, ada bilik ibadah agama Buddha. Pelik. Mana surau ni? Gereja kecil itu ada kerusi panjang bersusun, ada tanda salib dan pelbagai lagi kelengkapan. Kuil kecil Buddha itu tidak kurang lengkapnya. Surau seringkas di Hong Kong, masakan tiada?

Akhirnya, kami menunaikan solat di bawah 'escalator'. Dalam hati, saya mengerti Islam begitu asing di Korea ini.

Pertemuan dengan pelajar Malaysia di Universiti Hanyang

Seusai solat, kami dijemput oleh Iman Sulaiman dan Rashidi. Mereka merupakan pelajar tahun akhir kejuruteraan di Universiti Hanyang. Mereka membawa kami menaiki kereta api laju dari Incheon ke stesen keretapi Gimpo. Kemudian, dari Gimpo kami menaiki Seoul Metro (kereta api antara bandar) ke Universiti Hanyang.

Tiba sahaja di Hanyang, kami tidur dan berehat di dalam bilik tumpangan Iman dan Rashidi. Saya terserempak dengan junior sekolah saya, Mohd Tarmizi. Asyik sangat bersembang kerana sudah hampir 6 tahun tidak berjumpa, penat saya hilang. Saya melupakan mimpi indah. Kini, saya gembira bersembang dengan Tarmizi. Seronok bertukar-tukar cerita dan pengalaman. Hampir 3 jam bersembang non-stop!

Bandar Itaewon, Bandar Masjid

Petang itu kami ke Itaewon. Itaewon ialah bandar pendatang. Bandar pertembungan budaya asing di Korea. Banyak restoran luar negara, pub dan sebagainya. Yang baiknya, di sinilah satu-satunya bandar di Seoul yang ada masjid. Damai hati saya melihat tulisan AllahuAkbar di hadapan pintu masjid.

Masjid ini banyak berjasa. Masjid ini benteng terakhir Islam di Seoul. Masjid ini tempat pelajar-pelajar Malaysia membeli daging,ayam dan pelbagai lagi makanan halal. Masjid ini juga tempat pelajar-pelajar Malaysia sembahyang jumaat. 1 jam perjalanannya untuk menunaikan solat Jumaat. Besar mujahadah mereka di bumi Korea!

Sisi gelap Seoul

Dari Itaewon, kami pulang semula ke Universiti Hanyang. Kemudian, saudara Iman membawa kami ke Motel. Menurut Iman, nak dapat penginapan yang murah memang motellah jawapannya. Murah-murah pun, semalam dekat RM120 juga. Namun, segala-galanya lengkap. Yang kelengkapan asas macam katil, bantal, tuala tu tak perlu saya ceritakan.

Bilik tu, lengkap dengan desktop beserta internet berkelajuan tinggi. Lebih mantap daripada 4G di Malaysia! Ada televisyen dengan hampir 100 saluran.

Sebenarnya, motel tersebut memaparkan sisi gelap Seoul. Ada bilik yang tergantung gambar perempuan bogel. Ada condom disediakan + 2 saluran lucah. Astaghfirullah.

Menurut kawan saya di Korea, masyarakat di sana kurang masalah rogol, buang anak dan yang sama waktu dengannya. Malah, seorang pelajar perempuan untuk berjalan tengah-tengah malam juga, tidak perlu risau akan apa-apa. Mereka juga tiada masalah kesihatan seperti diabetes, darah tinggi dan sebagainya. Yang menjadi masalah bagi mereka, ialah tekanan hidup yang menyebabkan berpuluh-puluh kes bunuh diri berlaku saban hari.

p/s: Begitulah alkisah hari pertama saya di sana. InsyaAllah akan bersambung lagi. Saya perlu tidur untuk pergi kerja esok. Sabar menanti ya!
Continue Reading

18.7.10

Sirah: Thabit ibn Qais r.a.


Assalamualaikum w.b.t.

Apa khabar rakan-rakan sekalian. Moga-moga, saya, anda dan kita semua berada dalam lingkaran iman yang mengikat hati-hati kita untuk mencintai Allah s.w.t.

Lama saya menyepi setelah pemusafiran saya selama 7 hari di bumi Seoul (Soul of Asia) dan 3 hari di bumi Hong Kong (Asia's World City), kini alhamdulillah saya kembali mencoret di Berubah Meskipun Payah.

Kali ini saya ingin kongsikan cerita sahabat Rasulullah s.a.w iaitu Thabit ibn Qais r.a. Kenalkah kamu akan sahabat Nabi ini?

Ya? Tidak?

Walau apa pun jawapannya, tidak mengapa. Mari sama-sama merenung ayat al-Quran al-Hujurat:2 ini

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara yang keras sebagaimana kerasnya (suara) sebahagian kamu terhadap yang lain, nanti (pahala) segala amalmu bisa terhapus sedangkan kamu tidak menyedari.

Rakan-rakan sekalian, Thabit bin Qais r.a. amat terkesan dengan firman Allah s.w.t. ini. Beliau terkenal sebagai seorang yang bersuara lantang. Kerana itu, setiap kali solat berjemaah di Masjid Nabi, beliau akan mengelak daripada bertemu dengan Rasulullah s.a.w.

Beiau khuatir, suaranya yang lantang dan tinggi daripada suara Rasulullah s.a.w. akan menyebabkan amalannya terhapus dan menjadi ahli neraka. MasyaAllah, hebat betul keimanan Thabit bin Qais r.a.

Rasulullah s.a.w. merupakan manusia yang paling baik akhlaknya. Baginda ambil berat, kasih, sayang sahabat-sahabatnya. Baginda hairan kerana sudah lama baginda tidak bertemu dengan Thabit bin Qais r.a.

Lalu Baginda Rasulullah bertanya pada sahabat-sahabat yang lain, "Ke manakah Thabit ibn Qais? Sudah lama aku tidak bertemu dengannya."

Sahabat-sahabat baginda menjawab, Thabit bin Qais r.a. mengelak untuk berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. kerana takut meninggikan suara dan bersuara kasar dengan Nabi. Kerana itu, Thabit akan menjadi ahli neraka.

Rasulullah s.a.w. berkata "Sesungguhnya dia (Thabit) ialah ahli syurga. Bukan ahli neraka."

Thabit ibn Qais r.a berperanan sebagai pemidato dan jurucakap bagi Rasulullah s.a.w. Suaranya yang lantang dan pandai berpidato menjadikan beliau sesuai menggalas tugas tersebut.

Kesimpulan

Kita lihat bagaimana sahabat Rasulullah s.a.w mempunyai taqwa yang tinggi. Mereka begitu patuh dengan ayat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Lihatlah, Thabit ibn Qais r.a. Beliau sanggup meminggirkan diri daripada bertemu kekasih Allah, kerana takut menjadi ahli neraka.

Kedua, lihat bagaimana Rasulullah begitu sayangkan sahabat-sahabat baginda. Baginda ambil berat sahabat-sahabatnya. Tidak kelihatan lama, Rasulullah tanya. Rasulullah prihatin. Allahumma Solli 'Ala Muhammad.

p/s: Thabit bin Qais r.a. mati syahid sepertimana yang Rasulullah janjikan kepada beliau. Thabit ibn Qais r.a. syahid dalam peperangan memerangi Musailamah al-Kazzab semasa pemerintahan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a.

Beliaulah satu-satunya sahabat yang memberikan wasiat setelah beliau meninggal dunia. Beliau mendatangi sahabat yang lain melalui mimpi dan menyampaikan wasiatnya.

Terima kasih kerana membaca. Semoga kita lebih mengenali sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. daripada mengenali personaliti-personaliti dan artis masa kini.
Continue Reading
Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template