14.4.11

Farvel PPUM Velkommen København


Farvel PPUM Velkommen København bermaksud, selamat tinggal PPUM, selamat datang Copenhagen. Hari ni dengan perasaan sedikit berat hati untuk meninggalkan profesion seorang pegawai farmasi saya menghantar notis perletakan jawatan berkuatkuasa 3 bulan daripada sekarang.

Sepanjang kehidupan di hospital, saya percaya ada pro n cons. Pro nya, seronok bertemu dengan pesakit dan dapat memberikan input-input yang berguna kepada mereka. Contohnya, beza Enoxaparin (Clexane) dan Fondaparinux (Arixtra). Jika mereka Muslim, tanggungjawab saya untuk memperingatkan mereka sumber ubat cair darah tersebut. Clexane diperbuat daripada sumber khinzir. Malah, Clexane 0.6mL itu harganya lebih mahal daripada Arixtra 2.5mL. Satu suntikan Clexane berharga RM27.80 manakala satu suntikan Arixtra ialah RM26.80.

Begitu juga, saya seronok dapat belajar banyak benda baru. Saya belajar karenah manusia. Ada yang bekerja saja, seperti tiada kehidupan lain. Kerja, kerja dan kerja. Ada yang diluar waktu kerja, mereka merupakan manusia yang harmoni. Beriadah, berpersatuan, sering menziarahi rumah Allah dan rajin berkuliah. Keseimbangan hidup. Saya mencemburui mereka. Dan dalam cemburu, saya amat mahu mencontohi mereka.

Awal-awal dulu, saya merasakan profesion farmasi ini mudah. Gaji besar, kerja rileks. Sangkaan saya meleset. Sebagai last station dalam hospital, farmasi harus memastikan ubat-ubatan itu selamat untuk digunakan oleh pesakit. Jadi, istilah, to err is human sudah tidak boleh digunapakai. To err will make patient die. Pernah suntikan ubat kanser melebihi dos, pesakit mati semasa sedang menjalani rawatan.

Yang Cons nya, saya berperang untuk menjalani kehidupan sebagai hamba Allah yang baik. Terkadang melewatkan sembahyang, kurang berzikir, kurang membaca al-Quran, kurang menghadiri majlis ilmu dan sebagainya. Pendek cerita, saya tidak mahu menjadi mesin yang bekerja. Saya mahu hidup yang lebih fleksibel dan berkualiti.

Apa pun, segalanya ada hikmah daripada Allah s.w.t. Apa pun profesion kita, kita merupakan khalifah yang akan memakmurkan bumi Allah ini, bukan membuat kerosakan. Jika semua orang nak jadi Doktor, siapa nak jadi Jurutera, semuanya ada perancangan Allah. Moga-moga dalam kesibukan kita menjadi khalifah Allah, kita tidak lupa peranan kita sebagai Hamba Allah.

p/s: Doakan yang terbaik untuk saya. Moga Islam masih tertegak dalam diri di perantauan kelak. InsyaAllah boleh.
Continue Reading

13.4.11

Gadget Baru Dunia Baru



Sudah lama saya tidak mencoret di dalam blog. Mencoret saja-saja. Mencoret sebagai sejarah. Biar tak luput dek zaman. Biar segar tertulis di alam maya.

Alhamdulillah, pada hari Ahad (10 April) yang lepas, saya dikurniakan 2 teman baru dalam hidup. Bak kata pujangga berdua lebih baik. Tapi ini bukan sekadar berdua, malah bertiga!

Saya seronok sekali membeli belah di Plaza Low Yat tempoh hari. Teruja dengan promosi daripada Acer untuk men'trade-in' laptop, saya gagahkan diri mengusung laptop lama saya yang semakin tenat. Maklumlah sudah 5 tahun, tapi masih relevan dan superb. Saya menukar laptop tersebut supaya saya lebih bersedia untuk tugasan seorang pelajar sarjana kelak. (Budget dapat sambung belajar, tak dapat malu teman.)

Akhirnya, dapat juga laptop 15-inci yang baru. Ya. Acer Aspire 5750G. Dengan segala spesifikasi yang tip-top, saya tak dapat menolak untuk membelinya kerana harganya yang murah jika nak dibandingkan dengan harga pesaing di pasaran. (Mula-mula ada hati nak beli MacBook Pro, bila congak-congak, bankrup teman nanti)

Apa pulak teman ke-2 saya? Tak lain dan tak bukan ialah kamera. Bukan DSLR. Saya tak suka membawa barang-barang besar untuk berjalan-jalan. Pilihan saya ialah kamera digital baru dari Canon, IXUS 220HS. Ini pun merupakan persediaan untuk travelog ke bumi Medan, Danau Toba hujung bulan ini. InsyaAllah saya akan laporkan lawatan saya. (Kata dah ada 2 teman baru).

Harapnya, dengan kehadiran 2 gadjet baru ini, saya akan lebih bersemangat untuk mengejar impian saya sebagai seorang pensyarah dan penyelidik kelak. Dan, teman-teman ini juga penting untuk mewarnai dunia saya di bumi orang nanti.

p/s: Doakan kejayaan saya untuk temuduga dengan Kementerian Pengajian Tinggi pada minggu hadapan. Berjaya beerti terbang ke bumi orang. =) Ameen. Allah jualah yang merencanakan hidup kita, tugas kita sebagai manusia ialah terus berusaha.



Continue Reading

9.4.11

Helping you is Helping Myself


Hari ni saya ingin berperi satu cerita.

Kisah ini berlaku di pergunungan Himalaya. Ada dua orang lelaki berbangsa India sedang mengharungi badai salju yang seakan-akan tiada noktah. Udara yang sangat dingin menembusi pakaian tebal mereka menyebabkan derap kaki semakin payah. Mereka harus terus melawan. Berhenti beerti mati.

Di tengah perjalanan, mereka bertemu dengan seorang lelaki yang terjelepok di atas selimut putih salji. Dengan segera, salah seorang daripada mereka memeriksa nadi lelaki tersebut dan berkata:

"Orang ini masih bernyawa. Kesejukan akan menelan hidupnya. Ayuh kita tolong dia."

Temannya berasa gusar dengan cadangan rakannya tersebut lantas berkata, "Tolong diri kita dulu kawan. Mengendong dia akan menyebabkan perjalanan kita akan menjadi perlahan. Kita semua akan mati. Badai salju masih kejam sekarang!"

Dipendekkan cerita, temannya tersebut meneruskan perjalanan bersendirian. Dengan jerit payah dia mengendong orang yang terjelepok tadi. Pada permulaan perjalanan dia merasakan setiap langkah seperti berjalan di dalam neraka. Tapi lama-kelamaan, kepanasan orang yang dikendongnya menjalar ke tubuh badannya. Dengan kehangatan itu, langkah menjadi lebih kuat dan pantas.

Di akhir perjalanan, sekali lagi dia melihat seseorang yang terlentang meniarap di atas salji. Ketika dia melihat lebih dekat lagi, rupa-rupanya temannya tadi. Alangkah sedihnya apabila menyedari temannya itu sudah meninggal dunia kerana kesejukan.

Dek kerana kepanasan orang yang dikendongnya, dia masih bernafas.

Kesimpulan

Lihatlah daripada kisah dua orang sahabat di pergunungan Himalaya ini. Kisah mereka memberi peringatan bahawa kuasa menolong orang itu amat besar hikmahnya.

Di dalam hidup kita sehari-hari, kita berdepan dengan dilema sama ada untuk mengenepikan perasaaan dan kepentingan kita dengan mengutamakan orang lain.

Namun, jika kita fikirkan kembali, pasti ada hikmahnya Allah memberi kita peluang untuk membuat kebajikan. Kerana janji Allah itu pasti, sesiapa yang memudahkan masalah orang lain, dengan izinNya, Allah akan membantu mempermudahkan kehidupan kita.

Ayuhlah, helping you is helping myself.
Continue Reading

4.4.11

Berusaha Atas Jodoh


"Mudahnya jodoh si Adli tu. Bukan baru putus cintakah Ustaz dua tiga bulan yang lepas? Sekarang tup tap tup tap dah jemput kita ke walimah dia pula." ujar Johan.

Ustaz Amirul tersenyum. Dalam dan lama dia menarik nafas. "Jodoh di tangan Allah, Johan. Dan, Adli berusaha mencari serta memilih isteri yang sesuai dengan ketentuan yang ditetapkan olehNya."

"Berusaha? Macammana Adli berusaha Ustaz? Saya tengok dia tak pula ber'dating' ke, bergayut ke, tenang saja saya tengok selama saya sebilik dengan dia." soal Johan bertubi-tubi.

"Pernah dengar tak bidalan, every action has reaction. Dan, peribahasa, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Untuk mendapatkan jodoh, kita juga perlu usaha. Ya, usaha. Usaha itu termasuklah berusaha menjadi baik dan kekal baik. Malah, menerima jodoh pilihan orang baik-baik seperti naqib, ustaz, imam, ibu bapa juga merupakan satu usaha."

"Oooo, jadi Ustazlah yang memperkenalkan bakal isteri kepada Adli tu." cucuk Johan bersahaja.

Ustaz Amirul menguntum senyum. "Terlanjur bicara, kamu ke mari disebabkan perkara yang samakah?"

"Eh, taklah Ustaz. Sengaja saya nak bersembang dengan Ustaz. Bak kata orang, menuntut sikit." jawab Johan sambil tersengih.

"Ada-ada saja kamu ni. Johan, dalam usaha mendapatkan jodoh, seseorang harus kekal fokus berdoa kepada Allah agar dikurniakan jodoh yang baik. Contohnya, seseorang yang sibuk bekerja. Fokusnya hanya kepada kerjanya sahaja sehinggakan mengabaikan orang di sekitar yang berpotensi untuk dijadikan pasangan. Tidak salah mengejar cita-cita, mengejar kerjaya, tetapi fokus harus juga diberikan dalam soal jodoh. Yang bulat tak akan datang bergolek yang pipih tak akan datang melayang. Macam kamu, usia dah hampir mencecah 26. Kenapa belum ada tanda-tanda lagi?"

Johan terdiam seketika berfikir, lalu berkata,"Ustaz, saya belum bersedia."

"Johan, selagi hati kita mengatakan belum bersedia untuk berkahwin, selagi itulah sukar untuk seseorang mendapat jodoh. Perkahwinan memang dipenuhi dengan pelbagai tanggungjawab. Namun, jika terlampau memikirkan bahawa tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut selamanya tidak akan rasa bersedia. Perkahwinan bukan bebanan tetapi ketenangan."

Johan tunduk akur.

"Ha, Ustaz ada calon untuk kamu ni. Mahu atau tidak?"

Mata Johan membundar. Biar betul Ustaz ni. Pertemuan yang seketika ini seakan pintu kepada alam perkahwinan pula. Di dalam hatinya terdetik, mungkin inilah jodohnya, disyorkan oleh orang yang baik dan disyorkan di dalam masjid, tempat yang paling baik.

Akhirnya, Johan mengangguk perlahan.
Continue Reading

3.4.11

Serahkan pada Super Power


"Saya baru terdengar kematian salah seorang bekas kekasih saya yang membunuh diri kerana tekanan hidup dan putus cinta. Dia seorang yang luar biasa. Seolah-olah dia mempunyai segala-galanya. Kerja, paras rupa, wang tapi akhirnya dia mati dengan begitu tragik. Di dalam hati saya, saya masih sayang akan dia. Dan, saya berasa bersalah kerana tidak dapat menyelamatkan satu nyawa yang penting dalam hidup saya." (Anonymous)

Kita akan terpukul dan terduduk dengan ujian hidup yang tak putus-putus. Belum habis masalah kita carikan penyelesaiannya, kita dihujani dengan pelbagai ujian lagi. Akhirnya ramai yang mengambil keputusan untuk bunuh diri. Seolah-olah itulah penyelesaian yang terbaik.

Saya teringat pengalaman seorang yang begitu tabah menghadapi hidup. Dia baru sahaja diceraikan dan merupakan ibu tunggal yang mempunyai dua orang anak. Suaminya menceraikannya tanpa meninggalkan apa-apa. Dia terpaksa mencari pekerjaan untuk menyara kehidupan dia dan anak-anaknya. Saban hari hutangnya semakin meningkat. Keretanya terpaksa di tarik oleh pihak bank. Rumahnya hampir-hampir digadai. Sungguh berat ujian yang menimpa dirinya. Seolah-olah sudah tiada jalan keluar baginya. MUFLIS.

Apabila orang bertanya bagaimana dia menghadapi kesukaran hidup itu, dia dengan tenang menjawab: Saya serahkan hidup saya pada Super Power yakni Allah s.w.t.

Wah, jawapan yang sungguh tepat. Manusia amat lemah. Apabila segala-galanya diserahkan pada Allah s.w.t., siapakah yang mampu melawan kehendak dan kuasaNya. Terserlah ketinggian kenalnya saudari tersebut dengan Penciptanya.

Saudari tersebut sedar bahawa semua di dalam kehidupan ini merupakan pinjaman. Suaminya merupakan pinjaman, bukan miliknya. Saya lihat ramai pasangan yang lupa akan hal ni. Seringkali pasangan menjadi hamba kepada pasangannya. Istilah queen control dan suami diktator memang seakan sinonim dengan suasana kekeluargaan. Itulah penangan kerana ingin memiliki dan dimiliki. Apabila diuji, lupa diri, dan bunuh diri. Nauzubillahimin zalik.

Justeru, biar seteruk mana pun keadaan kehidupan kita, ayuhlah kita kenal Pencipta kita yakni Allah. Pinjamlah kekuatanNya untuk menghadapi mehnah dan tribulasi hidup.

Percayalah rahmat dan kasih sayang Allah pasti menyambut kita sebelum kita sempat menangis.
Continue Reading
Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template