24.2.12

Cerpen: Menjalani Janji Hati Kita

Hari ini hari baru. Hari yang Allah kurniakan peluang untuk hamba-hamba-Nya bergerak, berusaha, bertaubat, berbuat bakti bagi menyiapkan diri untuk menghadapi mati. Tidak ramai yang ambil peduli peluang ini, lantas hari baru dijalani seperti hari sebelumnya. Tiada beza.

Garis-garis cahaya mentari menembusi jendela dan mula menerangi bilik tidur Salina. Salina sudah lama bangun daripada tidur. Bagi dirinya, kesempatan beruzlah di bumi asing Stockholm ini bukanlah bererti dia keseorangan. Peluang beruzlah ini digunakan untuk meneliti diri. Peluang baginya mencabar diri, beramal bukan kerana mahu dilihat manusia. Tetapi beramal hanya kerana Allah, Tuhan yang menciptakan dirinya daripada tiada kepada ada. Bukan untuk siapa-siapa.

Malah, di Stockholm dia mula menyertai Islamic Circle of Stockholm bersama-sama dengan komuniti Malaysia di sini. Mereka memperbaiki bacaan al-Quran, membaca hadis, mendengar tazkirah, mempelajari sirah dan macam-macam lagi. Itulah kebiasaannya setiap hujung minggu.

Kalau dulu, dia terlampau sibuk dengan tugasnya sebagai seorang doktor. Syukurlah dapat baca al-Quran seminggu sekali. Itu pun satu dua muka sahaja. Di sini, dia bersyukur dapat meningkatkan bacaan al-Quran dan mendalami ilmu-ilmu agama.


Setiap pagi Sabtu pula, Salina akan berhubung melalui Skype dengan keluarga tercinta. Jika di Stockholm pagi, di Shah Alam, petang. Dia menekan butang 'panggilan video' Abah. Tidak lama kemudian dua jasad insan yang dia cintai muncul di skrin MacBook Pro. Jelas kelihatan wajah mereka berseri-seri.

"Assalamualaikum. Ibu abah apa khabar?"

"Waalaikumussalam. Sihat, Ina. Allah pelihara, mestilah sihat. Anak abah sihat?" mesra jawapan Abah.

"Alhamdulillah, syukur abah ibu. Ina sihat. Makan kenyang, tidur lena, mandi pun basah."

Ketawa kecil menghiasi suasana.

"Kamu ini Ina, ada-ada saja. Ina, ibu ada benda penting nak bincang dengan Ina. Ada keluarga yang datang untuk merisik anak ibu ini. Ibu dan abah rasa sudah tiba masanya Ina mendirikan rumah tangga. Ina pun dah 'final semester' di Karolinska Institut tu."

"Ibu maksudkan kahwin?" Serta-merta wajah putih Salina menjadi merah dan panas. Biar betul ini. Kahwin? Dasar hatinya terdetik, siapa tidak mahu kahwin. Aci tipulah siapa yang tidak mahu bercinta, mencintai dan berkahwin. Semua itu fitrah. 

Cuma tinggal tangan-tangan manusia yang menodai cinta sebelum kahwin. Salina percaya cinta itu fitrah. Mustahil sesuatu yang fitrah cuba ditidakkan. Islam tidak pula mengajar cinta itu sesuatu yang haram. Malah Islam, agama lengkap ini mengajar, jika benar cinta, bawalah yang kamu cinta ke syurga. Apa-apa yang membawa ke neraka bukan cinta. Itu dusta.

"Ya. Rombongan daripada Encik Don Biyajid. Dia merisik untuk anaknya, Don Luqman." Ibu memandang wajah anak perempuan bongsunya itu. Comel. "Katanya, kamu berdua sudah kenal sebelum ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Kalau Ina kata ya, mereka hendak datang meminang minggu hadapan."

Mata Salina yang sepet itu membesar. "Don Luqman? Minggu hadapan? Meminang? Betul ke apa yang aku dengar ini?" Hampir terjatuh rahang dibuatnya. Nama Don Luqman menyebabkan rahang jatuh seinci lagi.

"Ibu dan abah tidak memaksa untuk Ina memberikan jawapan sekarang. Ina boleh solat sunat istikharah, doa agar minta petunjuk. Oh, ya. Jika Ina ada sesiapa yang Ina berkenan, Ina boleh beritahu."

***

Telinga berdentum lagu Sedang Apa Dan Dimana, Sammy Simorangkir. "Dalam beratus-ratus lagu dalam iPhone ni, macammana lagu melankolik pula yang naik." detik hati Salina.

Dulu selalu ada. Waktu untuk kita. Kini kusendiri. 

Dulu di PPUM, Dr. Don Luqman itu Doktor Pakar Neurologi. Boleh kata setiap hari kena mengekori dia ke wad. Ikut macam anak itik. Saban minggu juga menyaksikan dia membedah otak para pesakit. Bak kata pujangga, cinta datang tanpa diundang. Sudah berbulan-bulan bersama. Perasaan itu ada. Tapi itu dulu di PPUM, kini aku sendiri di bumi Sweden.

Dulu kata cinta. Tak habis tercipta. Kini tiada lagi.

Pernah sekali aku dipanggil oleh Dr. Don Luqman ke pejabatnya. 

"Dr. Salina. Kamu yang mulakan IV Ciprofloxacin 400mg tiga kali sehari kepada pesakit katil 13, bukan?" Dr. Don memberi pandangan serius. "Berapa dos maksimum sehari antibiotik Ciprofloxacin untuk pesakit dialisis?"

Salina bungkam diluar berbicara sendiri. "Pagi-pagi Dr. Don ini dah buat 'mood spoil'. Pesakit meningitis katil 13 tu memang ada masalah buah pinggang. Macammana aku boleh tersilap dos antibiotik. Sepatutnya, 400mg sekali sehari."

"Dr. Salina. Kalau kamu hendak buat sesuatu, baik kamu buat dengan betul. Beza tahu orang yang boleh buat dengan orang yang bagus buat."

Mulalah tu dia ni nak bagi falsafah-falsafah Socrates. "Baik. Saya akan betulkan. Ada apa-apa lagi, Dr. Don?" 

"Lagi satu. 3 bulan lagi ada Konvensyen Neurologi di Hotel Hilton. Saya hendak kamu hantar permohonan untuk bentang hasil kajian kamu tentang Astrocytoma."

"3 bulan lagi? Saya akan pergi ke Karolinska Institut, Sweden. Saya mendapat tawaran untuk buat sarjana dalam bidang Neurologi."

"Apa? Kamu tidak bincang apa-apa pun dengan saya. Kenapa?"

"Karolinska Institut antara universiti perubatan terbaik di dunia. Saya ingin menambah kepakaran dalam bidang pembedahan otak." Salina menjawab mudah sambil memandang wajah Dr. Don yang terkejut.

Salina menyambung "Disebabkan saya sudah mahu pergi, saya harap kita dapat bekerjasama dengan baik dalam tempoh yang ada."

Dr. Don tunduk. Dia mengeluarkan sesuatu daripada poket. Sekeping gambar.

"Bagaimana dengan ini?" Dr. Don menunjukkan foto itu kepada Salina. Gambar itu ialah foto PET scan otak Salina yang menunjukkan dia punya perasaan kepada Dr. Don.

Mata Dr. Salina terbeliak. Dia menarik nafas dan menunduk, "Saya suka awak. Bukan, saya cinta akan awak. Saya cuba tidak melayannya, tetapi bukan mudah." 

Salina berhenti sebentar dan menyambung. 

"Saya tidak tahu sama ada awak cintakan saya seperti saya cintakan awak. Tetapi saya percaya kita mempunyai perasaan yang sama. Jika kamu merasakan yang sama dan benar-benar ikhlas, saya harap awak dapat merelakan pemergian saya dan tunggu saya kembali."

Salina mengangkat pandangan ke arah Dr. Don. Mata mereka bertentang. Riak wajah Dr. Don sukar ditafsir. Terkejut. Sedih. Geram. Semua itu bercampur-baur.

Dr Don menghela nafas "Tidak. Saya tidak setuju dan tidak akan menunggu. Saya nak kamu berada di sini, di sisi saya. Saya sudah merancang untuk membawa keluarga saya berjumpa dengan keluarga awak cuti sekolah ini. Jika kamu tidak bersetuju, kamu ambil gambar ini. Dan kita lupakan semuanya."

Lagu Sammy Simorangkir sudah habis berdendang. Salina tersedar daripada kisah lalu. Air matanya jatuh menitis tanpa disedari.

Salina bangun dari kerusi dan membuka laci almari pakaian. Dia membuka album gambar-gambar keluarga. Ada abah, ibu dan gambar adik-beradik yang lain. Rindu. Dia menyelak lagi helaian muka surat album itu dan berhenti. Tangannya perlahan-lahan mengeluarkan gambar PET scan yang keramat itu. 

Suasana sepi dan sayu bilik tidur Salina itu tidak bertahan lama. Lagu Doa Seorang Kekasih Inteam pula berlagu dari corong speaker iPhone.

Oh Tuhan
Seandainya telah Kau catatkan 
Dia milikku, tercipta untuk diriku
Satukanlah hatinya dan hatiku
titipkanlah kebahagian

Air mata Salina mengalir lebih deras. Dia bersyukur kerana Allah melorongkan hati Dr Don untuk memperisterinya setelah apa yang berlaku. Dia percaya tanda seseorang lelaki yang serius dengan cinta, dia akan menghalalkan janji hati itu, segera. Kini, Salina harap mereka dapat benar-benar bercinta. Itu bermakna, mempersiapkan diri untuk membawa diri masing-masing menjejak syurga. 

Glosari
IV Ciprofloxacin - suntikan antibiotik Ciprofloxacin ke dalam salur darah, vena. IV = intravenous.
Meningitis - keradangan pada membran sekeliling otak dan saraf tunjang.
Astrocytoma - barah otak (barah sel astrocyte)
PET - Positron Emission Topography, PET menunjukkan fungsi dan aktiviti otak.

9 comments:

NooR AzLen BinTi HaRoN on February 25, 2012 7:10 AM said... [Reply to comment]

Secanggih itu dunia perubatan sekarang..baru tau ttg PET scan

Terima kasih ats perkongsian "perkataan2 perubatan"ini.

Salahuddin Harith on February 25, 2012 3:11 PM said... [Reply to comment]

@NooR AzLen BinTi HaRoN

to azlen, PET scan ni amat berguna dalam mengubati pesakit-pesakit Alzheimer

sama-sama.
terima kasih kerana sering berkunjung ke sini

musafir kehidupan on February 26, 2012 1:10 AM said... [Reply to comment]

"Beza tahu orang yang boleh buat dengan orang yang bagus buat."
suka ayat ni..

Salahuddin Harith on February 26, 2012 4:19 PM said... [Reply to comment]

@musafir kehidupanterima kasih musafir kehidupan yang tidak jemu-jemu melawat blog saya.

PencintaALLAH... cuma hamba biasa.. on March 9, 2012 3:59 PM said... [Reply to comment]

Assalamualaikum... syukran atas perkongsian, moga istiqamah, saudara menulis sendiri ker? Teruskan dakwah pena, TAKBIR!!!

Salahuddin Harith on March 9, 2012 4:23 PM said... [Reply to comment]

@PencintaALLAH... cuma hamba biasa..waalaikumussalam, sama-sama atas masa anti membaca entri-entri di blog saya yang serba kekurangan ini.

saya menulis sendiri, mungkin idea-idea datang daripada pembacaan, pengalaman diri dan rakan taulan sekeliling.

insyaAllah, terima kasih atas sokongan.

PencintaALLAH... cuma hamba biasa.. on March 11, 2012 11:30 PM said... [Reply to comment]

Assalamualaikum, maaf sekali lagi ana menyelit di sini, emmm kadang2 sebagai penulis blog kita akan menulis mengikut keadaan semasa, mood, pemikiran, buah pandangan , dll. Apa yang tercetus di hati kita akan gambarkan melalui bentuk penulisan dgn harapan agar pembaca mendapat mesej2 yg disampaikan walaupun penyampaian agak santai...

So, ana nak tanya akhi solah bagaimana mungkin seorang yang busy dengan thesis master in farmasi boleh menulis artikel2 berkaitan kewangan islam, politik, motivasi, dan sebagainya yerr? biasanya student sains kurang peka isu2 sebegini, tapi alhamdulillah atas perkongsian... ana juga student master skrg dalam economics Islam

Mungkin selepas ini akhi boleh menulis isu2 lain pula, kadang2 pembaca juga terkeliru dgn apa yang disampaikan tapi insyaAllah gaya penceritaan dgn sir perlu lebih hazar agar tidak mendatangkan spekulasi... insyaAllah dengan secebis masa yang ada teruskan menulis. ini juga sebagai saham akhirat...

wassalam, maaf jika page akhi penuh dengan komen ana yang panjang ini... jazakallah, moga terus istiqamah.

Salahuddin Harith on March 11, 2012 11:52 PM said... [Reply to comment]

@PencintaALLAH... cuma hamba biasa..waalaikumussalam.

sebenarnya saya sudah futur dalam berkarya. niat asal saya dahulu berblog ialah untuk suka-suka. namun, saya mendapat pencerahan untuk menulis entri-entri yang bermanfaat dan memberi ilmu kepada para pembaca. moga-moga Allah kira sebagai khidmat kecil saya dalam mengajak manusia menjadi hamba.

jika di lihat, entri saban tahun sudah menurun. saya banyak menulis semasa bachelor dulu. setelah bekerja dan menyambung sarjana, saya sudah kurang menulis. namun, alhamdulillah, sambutan page views masih baik. saya harap entri-entri yang bermanfaat ini Allah kira sebagai dakwah.

alhamdulillah, saya ditemukan Allah dengan pelbagai manusia dari pelbagai latar belakang. ada yang minat kewangan, ada yang berpolitik dan ada yang kuat motivasinya. justeru, dengan pengalaman dan perkongsian itu saya menulis sekadarnya.

saya ingin mengekalkan cerpen-cerpen motivasi. bila ada masa lapang dan idea, saya suka bercerpen. dan sepatutnya saya lebih menulis tentang ubat-ubatan kerana itu bidang saya.

terima kasih atas doa dan sokongan.semoga berjaya.

PencintaALLAH... cuma hamba biasa.. on March 12, 2012 12:32 AM said... [Reply to comment]

alhamdulillah, bukan futur dalam berkarya, jangan ada istilah futur dalam apa sekali pun, biar sikit asalkan istiqamah, wacana minda ummat kian terhakis perlu bacaan pencetus pemikiran perubah revolusi... moga terus maju dan berjaya dunia and akhirat khususnya, TAKBIR!!!

DOAKAN UNTUK SEMUA...

insyaAllah, ibda' bi nafsi...

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template